15/11/09

Review Filem : 2012



Sinopsis:

Filem hebat arahan Roland Emmerich ini mengisahkan tentang ramalan masyarakat Mayan sejak berabad yang lalu yang menetapkan pada tarikh 21 Disember 2012 akan berlaku sesuatu terhadap bumi. Ia bakal memusnahkan lebih separuh daripada rakyat bumi dan bencana yang paling teruk dalam sejarah akan terjadi di luar pemikiran manusia.

Detik itu semakin hampir dan saintis dari NASA juga telah meramalkan bahawa akan berlaku perubahan polar yang bakal membawa bencana besar. Namun, penduduk dunia masih tidak menyedari apa yang akan terjadi dan masih menjalani kehidupan seperti biasa. Kerajaan yang telah sedia maklum berusaha untuk mengatasi masalah tanpa pengetahuan rakyat. Pada 2012, pemimpin dunia telah berbincang mengenai hal ini dan cuba menyelamatkan sebanyak manusia yang boleh daripada menjadi korban bencana itu. Namun, tidak semua dapat diselamatkan.

Apabila Jackson Curtis(John Cusack) dan dua orang anaknya mengadakan lawatan keluarga ke Yellowstone, mereke terserempak dengan makmal kajian rahsia yang terletak di dasar tasik yang telah dikeringkan. Mereka mendapati bahawa bencana bakal berlaku dan kerajaan cuba merahsiakan daripada pengetahuan umum. Segalanya telah terbongkar dan ramalan tersebut bakal menjadi kenyataan.

Jackson terpaksa bertindak sendiri bagi menyelamatkan diri dan keluarganya. Dalam usaha tersebut mereka menempuh pelbagai halangan alam seperti gempa bumi, gunung berapi, tsunami, tanah runtuh dan sebagainya untuk menyelamatkan diri masing - masing.


Pelakon:
John Cusack, Amanda Peet dan Thandie Newton.


Ulasan Hans:

Sangat hebat terutama dari segi kesan effect dan nilai kasih sayang sesama manusia. 2012 bukanlah filem pertama sutradara Roland Emmerich yang mengangkat tema kehancuran dunia kerana sebelum ini beliau juga menempa nama menerusi filem The Day After Tomorrow dan Independence Day.
Sinopsis filem ini telah pun diceritakan oleh penulis pada entry sebelum ini(sila lihat di bawah). Jadi, penulis rasa selain dari berhibur menonton kesan – kesan effect yang menarik dan superb nih tak salah jikanya kalau kita renungkan mesej di sebalik filem ini.
Tema kasih sayang sesama manusia terutama antara ahli keluarga sangat terkesan dihati penulis sewaktu menonton filem ini. Garapan ceritanya yang menimbulkan nilai – nilai murni nih patutnya dicontohi oleh pengarah – pengarah filem di Malaysia. Maksud penulis disini, tidak salah jika penonton Malaysia disogok dengan teknik CGI atau apa – apa kesan khas yang hebat ataupun pengarah sahaja merasakan benda itu hebat tetapi dalam masa yang sama jangan lupa selitkan unsur – unsur kasih sayang seperti ini kerana penonton anda bukan sahaja dihiburkan dengan aksi – aksi hebat sahaja tetapi pada waktu yang sama mengajar dan mengingatkan mereka tentang kasih sayang yang amat tinggi nilai harganya.
Dari segi kesan khas, pengarah filem ini telah memaksimumkan imaginasi beliau di dalam filem ini. Tanah runtuh, letupan gunung berapi, tsunami yang lebih tinggi dari gunung sangat hebat dan kelihatan sangat realiti. Sangat menakutkan bagi penulis sewaktu menonton. Bagi pasangan couple? Semakin takut semakin memeluk. Takut pada filem tetapi tak takut pada dosa. Hahaha..
Dari segi politik, penulis rasa pengarah filem ini sangat bijak dengan menjadikan negara – negara berkuasa di dunia atau G8 seperti Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, China dan lain – lain sebagai salah sebuah subjek filem beliau. Di dalam filem ini, kita ditunjukkan bahawa yang berkuasa dan kaya menjadi penentu kepada nyawa manusia lain. Hakikatnya, dunia sekarang memang menjadi seperti itu. Ia seakan Aparteid tetapi kali ini ia bukannya melibatkan warna kulit tetapi kepada jurang kekayaan. Yang kaya akan hidup dan yang miskin pandai – pandailah nak hidup. Mungkin lebih kepada sistem kasta kalau boleh disamakan. Cuma, Presiden Amerika kali ini dilakonkan oleh manusia berkulit hitam dan mungkin dirujuk kepada Obama. Dan kalau betul Obama akan berkelakuan seperti dalam filem ini pada 2012 akan datang, penulis akan berasa sangat terharu.
Cuma, penulis rasa sedikit kecewa kerana ‘Hari Kiamat’ yang cuba digambarkan dalam filem ini tidak melibatkan semua benua kerana negara Afrika digambarkan selamat dalam bencana ini. Ironinya, manusia takkan mampu menyelamatkan diri sendiri sewaktu kiamat itu datang. Tetapi, secara keseluruhan filem ini sangat bagus dan penulis berasa sangat sedih menonton filem ini terutama nilai kasih sayang yang ditonjolkan dalam filem ini.

Penambahan Fakta : Adegan - adegan yang mengecewakan seperti adegan bercium di saat - saat genting dan talian telefon bimbit yang masih berfungsi sedikit mencacatkan filem ini. Tetapi, mana ada filem yang sempurna. So, abaikan!


9/11/09

Review Filem : Pisau Cukur



Filem:
Pisau Cukur


Pengarah:
Bernard Chauly


Genre:
Komedi & Cinta


Pelakon:
Fazura, Maya Karin, Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Dato' Rahim Razali,
Khatijah Tan, Umie Aida, Sharifah Sofea, Liyana Jasmay, Nas-T & Etc.


Ulasan Hans:

Owh My Gucci!Owh My Prada! Itulah antara ungkapan yang cukup menghiburkan dari filem Pisau Cukur(Siapa Tak Nak Hidup Senang?) yang dibintangi oleh pelakon yang cukup hebat dan berbakat besar Nur Fazura, Maya Karin, Aaron Aziz, Shahredza Minhat, Eizlan Yusof, Liyana Jasmay..(sekadar menyebut beberapa nama).

Filem Arahan Bernard Chauly ini mengisahkan tentang Bella(Maya Karin) dan Intan(Fazura) yang pergi bercuti di atas kapal mewah Putri Duyung dengan harapan untuk mendampingi lelaki – lelaki kaya selepas Bella tewas dalam pertandingan Siapa Mahu Kahwin Jutawan. Di atas kapal itu, Bella telah berjumpa dengan Datuk Hisham(Eizlan Yusof) dan cuba mendampinginya dengan mempergunakan seorang jejaka kacak, Faqir(Shahredza Minhat) untuk mencapai impian itu. Faqir sebenarnya sukakan Bella dan cuba memikat Bella walaupun dia sedar Bella hanya mahukan lelaki kaya sahaja.

Intan pula yang bertugas sebagai pengacara sebuah rancangan jenayah pula mempunyai seorang sugar daddy iaitu Datuk Salleh(Radhi Khalid) yang sudah berkahwin tetapi tidak ikut serta bersama mereka belayar di atas kapal mewah itu kerana terpaksa menjaga isterinya yang koma selepas membuat sedutan lemak untuk kelihatan lebih cantik.

Kebetulan ketika pelayaran, mereka bertemu dengan Datuk Zakaria yang datang belayar bersama tiga isterinya(Khatijah Tan, Umie Aida dan Shafirah Sofia) serta dua anaknya Suri(Liyana Jasmay) dan Johan(Nas-T). Dalam percutian ini, Datuk Zakaria ditemui mati disyaki termakan jeruk yang mempunyai racun tikus. Jadi, seorang detektif, Ari(Aaron Aziz) yang menyiasat misteri pembunuhan Datuk Zakaria ini mencabar Intan(Fazura) agar membuktikan bahawa beliau boleh membantunya mencari siapakah pembunuh Datuk Zakaria dan bukannya hanya bersandarkan pada wajah yang cantik sahaja.

Bagi penulis, filem ini sangat – sangat menghiburkan dari mula hingga akhirnya. Lakonan dan keletah yang gedik dari Fazura terutamanya sangat menjadi dan langsung tidak nampak di buat – buat. Serta ayat – ayat yang diungkapkan seperti “Oh, My Dior”, “Owh My LV” dan lain – lain lagi tidak mustahil akan menjadi ikutan selepas ini. Lakonan dari pelakon baru iaitu Shahredza Minhat juga sangat bagus dan meyakinkan penulis. Pelakon – pelakon lain juga sangat bagus dalam setiap watak dan situasi yang mereka lakonkan.

Sinematografi filem ini yang boleh dikatakan keseluruhannya berlandaskan 'Green Screen' agak bagus dan tidak mengecewakan. Setiap plot cerita di susun dengan kemas dan penulis tidaklah pening kepala untuk memahami cerita ini. Dan teka teki tentang siapakah yang membunuh Datuk Zakaria membuatkan filem ini sangat menarik. Tahniah untuk pengarah filem ini iaitu Bernard Chauly.


Penulis beri 4 Setengah Bintang Dari Skala 5.