27/12/10

Review Filem : Cuti - Cuti Cinta



Filem:
Cuti - Cuti Cinta

Pengarah:
Ahmad Idham

Genre:
Cinta & Pengembaraan

Pelakon:
Farid Kamil, Nora Danish, Cat Farish, Zaibo, Zed Zaidi,
Azizah Mahzan, Kazaar dan Kumpulan Fabolous Cat


Sinopsis:

Eava Ealiana merupakan anak kepada Tan Sri Zaini dan sebagai anak tunggal sememangnya beliau dilimpahi dengan kasih sayang dan kemewahan daripada keluarganya. Gara - gara itu, beliau menjadi seorang yang sangat sombong, suka membangga diri dan amat cerewet dari sebesar - besar perkara hinggalah kepada perkara - perkara kecil yang remeh temeh. Beliau di tunangkan dengan Remy namun apabila mengetahui mengetahui Remy curang dengannya maka beliau pergi membawa diri ke sebuah hotel di Morib.

Disana Eava berjumpa dengan Omar Rudy selepas berlaku satu kekecohan antara beliau dan rakan - rakan pekerja Omar Rudy kerana siap beliau yang cerewet tidak bertempat itu. Namun, yang menjadi pertikaian rakan - rakan Omar Rudy ialah apabila segala kehendak Eava akan dituruti sahaja oleh Omar Rudy tanpa bantahan. Akhirnya, segalanya itu berubah apabila mereka berdua terpaksa bermalam di sebuah pulau kerana enjin bot mereka rosak. Apakah yang terjadi? Mampukah Omar Rudy bertahan dengan sikap Eava yang sentiasa membebel dan merungut tidak kira masa itu? Sama - sama saksikan filem Cuti - Cuti Cinta ini.


Ulasan Hans:

Aku baru selesai menonton filem nih sebentar tadi selepas bersusah payah download semalam. Memang lucu lah filem nih. Ketawa jer aku tengok walaupun kadang - kadang tu aku pening tengok kerenah manusia fanatik di twitter dan facebook yang sampai membawa kedalam blog nih berkenaan isu laser pada final pertama bola sepak semalam. Hehehe!

Apabila sesekali melihat Farid Kamil bertukar gandingan memang agak menggembirakan kerana selalunya jika ada Farid maka adalah Lisa Surihani. Bukan bermaksud aku tidak menyukai Lisa kerana memang salah besar lah jika anda semua berkata begitu. Kepada sesiapa yang kenal blog ini pasti tahu betapa sukanya tuan punya blog kepada Lisa Surihans. Hahaha! Cuma apabila pada filem ini Farid Kamil digandingkan dengan Nora Danish terasa tiada apa yang hilang tetapi nampak menarik dan sepadan juga.

Filem ini sebenarnya memang lucu namun tiada lah apa - apa keistimewaan pun seperti mana filem - filem yang bergenre seperti ini. Cuma jika ingin menghiburkan diri filem ini memang bagus dan yang pasti 10 kali lebih menarik daripada filem 4 Madu. Lakonan Cat Farish memang menggelikan hati! Hehehehe!

Apa - apapun, daripada 5 bintang, aku memberi 3 bintang kepada filem ini. Selamat menonton!



26/12/10

Drama Antara Garisan Memang Layak Ditabalkan Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010



Baru selesai menonton drama yang baru ditabalkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010 baru - baru ini iaitu drama Antara Garisan lakonan hebat Noorkhiriah, Sharifah Amani, Isma Yusoof dan Ismail Abd Aziz. Selain daripada itu, drama ini juga telah memenangi anugerah Pelakon Wanita dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik serta Lakon Layar Drama Terbaik. Tahniah di ucapkan kepada semua krew produksi dan pelakon - pelakonnya,

Alhamdulillah aku berkesempatan menonton drama ini selepas mendowload drama ini DISINI sebab rumah aku tiada Astro jadi sangat bersyukur akhirnya dapat juga menonton drama yang sememangnya terbaik ini. Jadi, aku mengharapkan marilah ramai - ramai menonton drama ini kerana hakikatnya manusia sekarang tambah - tambah apa yang aku lihat termasuklah diri aku sendiri tidak lari daripada suka menjatuhkan hukum terhadap orang lain. Alhamdulillah, filem ini mengajar dan memberi banyak mesej yang sangat bagus.

Sesungguhnya memang benar apa yang dikata dan aku sendiri pun pernah menyaksikan juga perkara ini berlaku sepanjang aku hidup cuma cara dan situasinya saja berlainan tetapi masih berlandaskan kepada satu perkara yang menjadi objektif utama di dalam drama ini. Hari ini anda melihatnya sebagai manusia yang paling teruk, yang paling jahil atau sebagainya tetapi esok lusa mungkin anda pula akan berada di tempatnya yang dulu yang paling anda hina atau keji. Percayalah!

Memberi nasihat tidak salah! Memberi teguran tidak salah! Tetapi, biar kena caranya dan secara berhemah! Jangan menjatuhkan hukuman membabi - buta kerana anda menjatuhkan hukuman itu kepada manusia dan anda sendiri pun sebenarnya manusia. Apa - apapun, aku suka ayat terakhir drama nih :-


"Aneh bukan? Dalam sekelip mata manusia boleh berubah tempat tanpa mereka sedari. Sebuah kisah tentang sifat manusia yang seringkali merasakan diri mereka lebih baik dari yang lain sehingga menyebabkan mereka gemar menjatuhkan hukuman sesama mereka seolah - olah dosa dan pahala mereka sesama mereka yang tentukan. Apakah mereka semua lupa yang mereka semua sebenarnya sama sahaja. Kalau ada pun yang membezakan mereka hanyalah satu garisan halus yang mana mereka tidak akan sedar bila masa mereka akan melintas garisan itu."


Selamat Menonton!



7/12/10

Review Filem : Aku Tak Bodoh



Filem:
Aku Tak Bodoh

Pengarah:
Boris Boo

Genre:
Komedi & Keluarga

Pelakon:
Amy Mastura, Riezman Kuzaimi, Namron, Wan Noor Aizzat, Suhaiiri Sunari,
Rohaizat Hassan, Jalaluddin Hasan & Adibah Noor


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang keluarga seorang kanak - kanak lelaki bernama Jefri yang berusia 8 tahun dan mempunyai seorang abang bernama Roy yang berusia 16 tahun. Mereka hidup dalam kemewahan tetapi merasakan tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang cukup daripada kedua ibu bapa mereka. Bapa mereka bekerja sebagai seorang pengaturcara computer manakala ibu mereka pula ialah seorang editor majalah yang sentiasa sibuk dan sering kali tidak mempunyai masa untuk bersama anak-anak mereka.

Ibu bapa mereka sentiasa mengkritik dan tidak pernah memuji walaupun perkara yang mereka buat itu adalah baik dan mengagumkan. Semua yang dibuat mereka pasti dikatakan tidak betul. Roy mula memberontak dan beliau juga mempunyai seorang kawan, Sudin yang juga senasib dengan beliau. Cuma bezanya ialah Sudin berasal daripada keluarga yang miskin. Oleh kerana tidak tahan dengan desakan dan kerenah ibu bapa mereka akhir mereka terjebak dengan pergaulan kurang sihat bersama budak - budak samseng jalanan.

Masalah menjadi semakin besar apabila Roy dan Sudin sudah berani menjadi pencuri dan ditangkap oleh 'polis'. Jefri juga sudah melakukan satu kesalahan yang membangkitkan kemarahan besar ibu dan ayahnya. Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah keluarga Roy akan bersatu kembali? Adakah Sudin akan berbaik semula dengan ayahnya? Adakah mereka semua akan bahagia?

Saksikan filem Aku Tak Bodoh di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans

Filem ini adalah adaptasi daripada filem I'm Not Stupid namun diolah berdasarkan budaya tempatan masyarakat Malaysia. Aku tidak penah menonton filem I'm Not Stupid jadi aku tidak boleh membuat perbandingan yang mana satu lebih menarik. Jadi, aku menontonnya tadi dengan berfikiran neutral tanpa mahu membandingkan atau mencari kelemahan dan kekuatan. Hehehe!

Pada awal permulaan filem hati aku sudah digeletek dengan dialog yang lucu. Bagi aku kekuatan filem ini adalah jalan ceritanya serta mesej yang cuba disampaikan kepada penonton dan untuk menyokong kekuatan ini maka setiap pemegang watak haruslah memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan setiap karakter mereka dan terbukti mereka berjaya. Tahniah!

Filem yang langsung tidak membosankan bagi aku! Mampu membuat aku ketawa dan sedih serta dalam masa yang sama mesej - mesej yang mahu disampaikan itu sampai kepada aku. Mungkin dialog serta perlakuan di dalam filem ini bagi sesetengah babak agak kasar dan tidak baik untuk tontonan kanak - kanak seperti melawan cakap orang tua atau guru tetapi filem ini tidak membiarkan babak seperti itu habis begitu sahaja. Pasti akan diselitkan kenapa terjadi begitu dan cara untuk mengelakkannya atau menyelesaikannya jika diamati betul - betul.

Elemen kekeluargaan sangat kuat di dalam filem ini dan mungkin kerana aku juga rapat dengan keluarga maka apabila tibanya adegan yang menyentuh emosi dan babak itu berjaya menyentuh hati aku. Jika aku wanita mungkin air mata sudah jatuh menyembah bumi agaknya. Apa - apapun, tahniah untuk filem Aku Tak Bodoh kerana filem ini memang tak bodoh dan langsung tidak membodohkan aku sebagai penonton!

Walaupun mungkin ada sedikit kelemahan atau babak lucu yang tidak lucu namun biasalah kerana setiap filem tidak akan sempurna. Filem ini sebenarnya ringkas. Sebelum menonton pun orang pasti tahu apa filem ini cuba sampaikan tetapi hakikatnya ramai yang tak pernah mengambil berat tentang hubungan kekeluargaan. Itulah kebenarannya.

Jadi, daripada 5 bintang aku memberi filem ini 5 bintang kerana aku sangat suka filem ini. Tahniah sekali lagi kepada pelakon dan semua krew produksi filem ini! Memang tak rugi aku menonton dan selamat menonton kepada semua! Kalau aku ada duit lebih nak jer aku tengok lagi sekali filem nih! Layan!


Antara Babak - Babak Di Dalam Filem ATB:


Mengingatkan Zaman Aku Sekolah


Babak Nih Paling Lucu Bagi Aku


Kadang - Kadang Kita Tak Tahu Nak Tunjukkan Kasih Sayang Kita


Babak Ganas Nih


Babak Nih Sangat Menyedihkan. Tahniah Adibah Noor!


Aeril Zafrel Nih Dalam Babak Lawan - Lawan.
Macam Ong Bak Pun Ada. Hohoho!


F.A.M.I.L.Y = Father And Mother..I Love You!




5/12/10

Yasmin Ahmad Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-54

Allahyarham Yasmin Ahmad diiktiraf sebagai pengarah terbaik untuk filem Mualaf yang juga filem terakhir beliau pada Festival Filem Asia Pacific yang ke-54 yang berlangsung di Taipei semalam dan ini merupakan anugerah pertama yang dimenangi oleh delegasi Malaysia untuk anugerah pengarah terbaik sepanjang penyertaan Malaysia di dalam festival filem ini.

Filem Malaysia lain yang turut menyertai festival ini selain Mualaf ialah filem Magika, Lagenda Budak Setan, Pisau Cukur dan Cinta Ais Kacang. Malaysia sebelum ini pernah memenagi beberapa kategori besar melalui Tan Sri P.Ramlee untuk pelakon lelaki terbaik melalui filem Anakku Sazali(1957) serta Maya Karin(2004) serta Datin Seri Tiara Jacquelina(2005) untuk anugerah pelakon wanita terbaik.

Sumber Daripada BERNAMA




Aku memang berkeinginan untuk tengok filem nih tapi masih belum berkesempatan. Kawan aku dah ada filem nih dalam laptop dia tapi aku tak sempat nak ambil salinan. Jadi, aku tak tahu macam mana kisah filem nih tapi apa - apapun tahniah pada semua team produksi filem Mualaf kerana kejayaan ini.


P/S : Rindu Karya - Karya Seperti Allahyarham Yasmin Ahmad Ini



2/12/10

Review Filem : Ngangkung



Filem:
Ngangkung

Pengarah:
Ismail Bob Hasim

Genre:
Komedi Seram

Pelakon:
Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Azad Jasmin, Eira Syazira,
Putri Mardiana, Azlee Jaafar, Mazlan Ahmad.

Sinopsis:

Filem ingin mengisahkan tentang Azim yang bekerja sebagai seorang pemandu lori yang hidupnya agak susah disamping sentiasa menerima desakan daripada isterinya, Suri yang mahukan kehidupan yang lebih baik. Azim mempunyai 2 orang kawan baik iaitu Tasnim dan Wan dimana kedua - dua mereka merupakan kaki ekor dan sentiasa mengamalkan perbuatan syirik dengan berjumpa bomoh dan memuja semata - mata untuk mendapatkan nombor ekor untuk menang.

Oleh kerana tidak tahan di desak oleh isterinya akhirnya Azim mengambil keputusan untuk mengikut Tasnim dan Wan pergi berjumpa pendeta bagi meminta nombor ekor. Bermula dari itu, ketiga - tiga mereka mengalami pelbagai kejadian aneh yang menganggu kehidupan seharian mereka. Selain itu juga, pelbagai bala datang menimpa Tasnim dan Wan. Wan diburu Ah Long gara - gara berhutang untuk membeli nombor ekor manakala Tasnim pula kehilangan kontrak membekalkan jentera.

Tetapi, lain pula dengan Azim apabila sekembalinya beliau daripada kerja di Kelantan. Dengan sentiasa memakai kain berwarna merah di leher dan tiba - tiba nombor ekor yang dibelinya mengena namun sikapnya berubah daripada seorang lelaki yang baik kepada pemarah. Apakah puncanya? Apakah fungsi kain merah itu? Apa yang terjadi sewaktu beliau ke Kelantan?

Saksikan di pawagam - pawagam berdekatan anda! Selamat menonton!


Ulasan Hans:

Dari segi komedi, filem ini menghiburkan walaupun aku merasakan Adnan Sempit lebih hebat dari segi humornya. Susunan ceritanya sebenarnya sedikit messy @ serabut kerana kurang sikit penekanan kepada cerita setiap wataknya dan kadang - kadang plotnya juga tiada kesinambungan. Mungkin kerana terlalu terkejar untuk menceritakan tentang 3 kisah watak - watak ini walaupun watak utama yang ditumpukan ialah watak Azim lakonan Shahiezy Sam. Apa - apapun, sebagai filem komedi ia masih lagi boleh dikira agak bagus lah.

Unsur komedi di dalam filem ini memang banyak dibantu oleh setiap watak - watak di dalam filem ini hinggakan watak hantu juga memainkan peranan yang besar dalam menimbulkan unsur lucu yang bukannya sedikit. Tahniah kepada semua pelakon - pelakon filem ini. Seperti yang Shaheizy Sam beritahu, jangan bandingkan watak beliau di dalam filem ini dengan wataknya di dalam filem Adnan Sempit kerana memang tidak sama dan aku akui memang lain melalui riak wajah dan suara yang dibuat sebegitu rupa. Adakalanya, nampak menarik dan adakalanya nampak seperti menganggu beliau untuk melontarkan dialog - dialognya dengan lebih bagus. Apapun, ini salah satu percubaan yang berani dan ia juga diterima baik oleh semua penonton. Paling menarik babak beliau boleh bercakap Kelantan secara tiba - tiba dan itu memang kelakar gila. Hehehehe!

Unsur suspen atau kejutan memang menarik kerana penonton tidak perlu ditakutkan pada babak yang tak perlu dan filem ini menggunakan unsur itu apabila perlu dan diakui berjaya. Tahniah! Memang mengejutkan! Apa - apapun, filem ini memang membuktikan ia memang filem komedi seram dan memang terhiburlah menonton filem ini! Jadi, aku beri 3.8 daripada 5 bintang. Selamat Menonton!




23/11/10

Review Film : Harry Potter and the Deathly Hallows Part 1



Filem:
Harry Potter and the Deathly Hallows - Part 1

Pengarah:
David Yates

Klasifikasi:
PG13

Pelakon Utama:
Daniel Radcliffe, Rupert Grint, Emma Watson,
Ralph Fiennes, Alan Rickman, Tom Felton & etc.

Sinopsis

Pakatan Voldemort semakin kuat dan berjaya mengawal Hogwarts. Manakala Harry Potter, Ron Weasley dan Hermione Grange memutuskan akan bergabung sekali lagi bersama - sama dalam usaha membantu Harry Potter mencari saki baki The Horcrux dan dalam masa yang sama memusnahkan setiap horcrux yang dijumpai untuk melemahkan kuasa Voldemort.

Jadi, di dalam episod kali ini mereka berdepan pelbagai cabaran kerana setiap orang yang dijumpai mereka langsung tidak boleh dipercayai kerana setiap dari mereka pasti mempunyai hubungan dengan Voldemort sama ada secara sukarela mahupun terpaksa. Pertengkaran berlaku di antara Harry Potter dan Ron menyebabkan Ron akhirnya menarik diri untuk membantu Harry dan Hermione namun akhirnya beliau kembali juga untuk membantu mereka.

Pakatan Voldemort yang kuat telah bertempur dengan ahli - ahli sihir yang menyokong dan membantu Harry Potter. Ramai ahli sihir yang pro Harry Potter telah mati dibunuh. Siapakah mereka? Siapa pula pakatan Voldemort? Apa yang membuatkan Ron datan kembali dan apakah Horcrux serta rahsia - rahsia baru yang dijumpai dan diketahui mereka berkenaan Voldemort? Adakah Voldemort berjaya mencari Horcrux terbaru? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans:

Filem Harry Potter and the Deathly Hallows Part 1 ini dibuat dalam dua bahagian dan bahagian akhir akan mula ditayangkan tahun hadapan. Jadi, untuk bahagian pertama ini tiada lagi babak - babak yang kita boleh lihat tentang sihir baru yang dipelajari di Hogwarts kerana Harry Potter dan rakan - rakan terpaksa melarikan diri daripada Voldemort dan pakatan jahatnya sambil mencari dan memusnahkan Horcrux.

Filem kali ini agak berat dan bermain dengan emosi serta air mata. Kebanyakan elemen humor dapat dilihat melalui watak Ron yang sangat lucu dan selamba. Namun, filem ini juga nampaknya tidak dapat lari daripada dikuasai oleh elemen cinta yang agak banyak juga yang kadangkala membosankan sedikit tetapi nasib babak - babak itu tidak lama dan dipenuhi dengan aksi mencemaskan serta mengejutkan dan agak beremosi berbanding filem - filem sebelum ini. Sangat menarik filem bahagian pertama ini!

Apa - apapun, aku sangat suka filem ini kerana walaupun ada juga yang mengatakan filem kali ini agak berat tetapi ia sebenarnya menunjukkan sisi kematangan setiap watak, pengembaraan yang mencabar, magis yang menarik, pengkhianatan dan komedi yang bagus. Langsung tidak rasa masa sudah lama berjalan kerana asyik menonton filem ini dan semestinya terasa sangat - sangat berbaloi membeli tiket untuk sebuah filem yang memuaskan.

Sebagai peminat filem - filem Harry Potter yang tidak pernah membaca bukunya, aku beri 4.5 dari 5 bintang. Memang best! Layan! Selamat menonton!