24/04/11

Review Filem : Cun



Filem:
Cun


Pengarah:
Osman Ali


Genre:
Keluarga, Komedi & Cinta


Pelakon:
Maya Karin, Remy Ishak, Faezah Elai, Nadiyatul Nisaa,
Kartina Aziz, Mislina Mustaffa, Ning Baizura, Jehan Miskin & Etc.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:

Luna Latisya merupakan seorang pengacara terkenal sebuah rancangan gosip paling popular di televisyen iaitu rancangan Meletops. Luna bercinta dengan seorang pelakon terkenal iaitu Ryan Hidayat. Pada suatu hari, Luna dan krew rancangan Meletops ke rumah Ryan Hidayat untuk membuat satu kejutan hari lahir kepada Ryan tetapi malangnya Luna yang dikejutkan apabila melihat Ryan berada berdua - duaan dengan seorang artis baru iaitu Siti Senjakala yang berlakon dengan Ryan di dalam filem terbaru mereka. Akibat tertekan dan kecewa maka Luna memaksa pembantu peribadinya iaitu Tom mengikutnya pulang ke kampung halaman Tom di Kedah. Disana, Luna telah berkenalan dengan seorang jejaka kampung yang selekeh bernama Atan dan juga keluarga besar lelaki tersebut iaitu adik perempuan Atan yang bernama Manis serta Tok Chah iaitu nenek kepada Atan. Namun, kedatangan Luna tidak disenangi oleh Bedah Tonggek yang rasa tercabar dengan aura Luna lalu dia menelefon Candy iaitu penerbit program Meletops untuk datang sendiri melihat kemesraan Luna dan Atan. Masalah mula timbul satu demi satu selepas itu. Adakah Luna akan berkahwin dengan Atan? Mampukah Atan menerima gadis bandar yang penuh glamor seperti Luna? Mampukah Ryan Hidayat menawan kembali cinta Luna? Apakah rancangan Bedah Tonggek untuk menawan hati Atan? Adakah rating rancangan Meletops akan meletup? Saksikan filem ini sendiri.


Ulasan Hans:

Filem ini merupakan sebuah filem ringan yang penuh dengan unsur kekeluargaan dan komedi. Mungkin kerana hampir 80% latar filem ini berlatarkan suasana sawah padi di negeri Kedah dan menggunakan loghat utara maka filem ini amat dekat dengan diri aku. Bagi aku filem ini cuma bertemakan sebuah tema biasa yang aku selalu lihat pada mana - mana filem seperti ini iaitu percintaan antara dua darjat yang berbeza di mana jika tidak lelaki bandar bercinta dengan wanita kampung pasti wanita bandar yang bercinta dengan lelaki kampung seperti di dalam filem Cun ini cuma elemen komedi di dalam filem ini memang menarik dan mampu membuat aku ketawa tidak henti - henti.


Adegan Filem Ini Yang Aku Paling Suka!


Aku sangat suka dengan watak Manis lakonan hebat Nadiyatul Nisaa. Bagi aku inilah watak yang paling hebat dan berkesan sekali di dalam filem ini. Aku tak tahu kenapa tetapi aku amat tersentuh melihat adegan luahan hati Manis kepada Luna sambil disaksikan Atan sewaktu Manis merajuk dan melarikan diri ke 'Bukit Manis'. Babak itu amat menarik pada pandangan aku. Aku juga kagum dengan Remy Ishak kerana mampu menuturkan loghat Utara dengan bagus sekali kerana setahu aku beliau berasal dari Masjid Tanah, Melaka tetapi kelihatannya sebutan bahasa Kedah beliau sangat fasih dan bagus. Tahniah Remy Ishak kerana anda memang pelakon berbakat.


Percintaan Antara KLCC Dan Sawah Padi


Aku juga suka dengan sinematografi filem ini kerana beberapa tempat yang selama ini aku lihat dengan mata aku tidaklah secantik mana tetapi aku menyebut WOW! apabila melihat tempat yang sama di dalam filem ini. Cuma aku sedikit rimas dengan kekerapan adegan Luna dan Atan saling berdakapan atau berpeluk kerana seolah - olah aku sedang menonton sebuah filem romantik Korea. Aku terasa kurang keasliannya disitu. Maksud aku disini ialah bukannya tidak perlu diadakan adegan seperti itu cuma jangan terlalu banyak kerana jika tidak nilai romantis itu akan hilang dengan sendiri.


Aku Ulang 3 Kali Babak Nih! Sangat Kelakar!


Apa - apapun, filem ini memang seronok untuk ditonton kerana ia memang sebuah filem yang cukup lucu bagi aku dan amat menghiburkan melihat keletah Tok Chah, Tom, Manis Dan Bedah Tonggek yang memang cukup menggeletek hati. Selamat menonton!




P/S : Aku Pasti Lebih Gembira Jika Filem Cun Dijadikan Sebagai Sebuah Filem Bergenre Berat!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan