16/05/11

Review Filem Kongsi



Filem:
Kongsi


Pengarah:
Farid Kamil


Genre:
Aksi & Komedi


Pelakon:
Shaheizy Sam, Fizo Omar, Yana Samsudin, Azad,
Putri Mardiana, Bront Palarae, Piee & etc.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang 3 kumpulan kongsi gelap terbesar sekitar Kuala Lumpur yang terdiri daripada 3 kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang mula bergaduh sesama sendiri kerana ketua - ketua atau ahli - ahli berpengaruh di dalam kumpulan mereka ditemui mati dibunuh oleh seseorang. Setiap kumpulan menuduh antara satu sama lain yang sedangkan pembunuh sebenar ialah Tumulak, seorang pembunuh upahan yang berasal dari Thailand. Beliau mendapat arahan daripada ketua Gangster Thailand iaitu Kimpedu yang mahu menguasai kawasan - kawasan hitam di Malaysia daripada kumpulan kongsi gelap Malaysia. Kegiatan Tumulak akhirnya dikesan oleh polis Malaysia dan beliau kini diburu oleh polis serta kumpulan kongsi gelap yang ingin membalas dendam atas perbuatannya selama ini. Tanpa disangka, ASP Sharif yang mengetuai pasukan polis dalam memburu Tumulak sebenarnya mengenali rapat pembunuh upahan itu. Siapakah Tumulak sebenarnya? Apa kaitan beliau dan ASP Sharif? Mampukah Tumulak diberkas oleh pasukan polis atau kumpulan kongsi gelap Malaysia? Saksikan sendiri di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans:

Jika dilihat pada sinopsis yang terdapat di Sinemamalaysia, ada dinyatakan bahawa Tumulak lakonan hebat Shaheizy Sam turut diburu oleh Maia iaitu pembunuh upahan kedua yang diupah leh Kimpedu tetapi aku tidak pasti adakah aku terlepas pandang sebab sepanjang aku menonton filem ini tidak pula aku terperasan dengan watak Maia. Mungkin adegan ini telah dipotong atau aku terlepas pandang. Aku tidak pasti! Aku juga tidak pasti tetapi jika tak silap aku ini adalah karya ke-2 Farid Kamil selepas Rempit V3(jika salah sila beritahu aku). Terdapat banyak jugalah peningkatan jika dibandingkan filem Kongsi ini dengan Rempit V3 tetapi apa yang dapat aku simpulkan kedua - dua pengakhiran filem ini kurang memuaskan hati aku.


Aku Suka Babak Pertarungan Nih


Bagi aku plot dan jalan cerita ini filem ini kurang menarik atau lebih tepat lagi tidak kuat dalam menyokong antara satu sama lain. Ada banyak persoalan yang dicipta tetapi adegan yang ditimbulkan untuk menyokong persoalan itu tidak membantu seperti kenapa Kimpedu terlalu ingin menguasai kongsi gelap di Malaysia. Jika dilihat pada sinopsis memang aku tahu beliau mahukan wang dan kuasa tetapi jika ditonton di dalam filem aku tidak nampak semua itu. Bagaimana Tumulak yang melarikan diri daripada polis tiba - tiba mampu memiliki sebuah kereta yang gah dalam sekelip mata juga sedikit mencacatkan filem ini.


Salah Satu Aksi Menarik Di Dalam Filem Ini


Bagi aku filem ini sebenarnya hebat dari segi pertarungan, aksi dan komedi yang dicetuskan oleh pelakon - pelakonnya seperti Shaheizy Sam sendiri serta Fizo Omar dan Azad serta watak ketiga - tiga ketua kongsi gelap terutama Pak Piee sangat membantu menghidupkan unsur humor filem ini. Aksi pertarungan yang ditonjolkan oleh pelakon wanitanya terutama Yana Samsudin juga amat menarik hati kerana hari ini aku terasa puas dapat menonton aksi pertarungan daripada seorang pelakon wanita Malaysia yang kelihatan gagah dan tangkas berbanding filem - filem lain sebelum ini yang pelakon wanitanya apabila berlawan kelihatan terlalu kewanitaan.


Aku Suka Lakonan Shaheizy Sam Di Dalam Filem Ini


Cuma sayangnya disini ialah dialog yang diucapkan oleh Shaheizy Sam di dalam loghat Kelantan kali ini tidak banyak dan selalu berulang - ulang yang kadang kala membuatkan aku sedikit bosan namun lakonan beliau memang berkesan dimata aku. Apa - apapun, dari segi aksi dan komedi bagi aku filem ini memang agak berjaya membuatkan aku terhibur dan teruja menonton cuma sayangnya plot dan susunan jalan cerita filem ini hanyalah biasa - biasa sahaja.


Antara Pelakon Utama Filem Kongsi


Aku tidak pasti tetapi jika dilihat daripada sinopsis mungkin ada beberapa adegan daripada filem ini yang telah dipotong barangkali sehingga mungkin membuatkan jalan ceritanya sedikit kabur atau kurang jelas. Apa - apapun, filem ini banyak diselamatkan oleh aksi dan lakonan setiap pelakon - pelakonnya yang banyak membantu untuk membuatkan filem Kongsi ini mampu ditonton sehingga penamat. Bagi aku mungkin filem ini terlampau memfokuskan pada aksi - aksi atau lagak ngeri sehingga pengarah terlupa atau mengabaikan kekuatan jalan cerita filem ini.

Namun, masing - masing ada citarasa sendiri jadi adalah lebih baik anda pergi menonton sendiri di pawagam. Selamat menonton yer!


P/S : Bagaimana Anda Yang Sudah Menonton?
Puas Hati? Kongsikan Di Ruang Komen Entry Ini!




1 ulasan:

  1. Puas hati dengan ulasan ini.
    Tq hans....

    Ada beberapa komen dan review daripada rakan di fb dan blog tapi gua masih tak puas hati.

    Ulang alik gua ke bloh hans yg satu mencari review citer nie. Hehehe.. akhirnya ketemu di sini..

    Tq again..

    BalasPadam