28/06/11

Review Filem Rasuk



Filem:
Rasuk


Pengarah:
S. Baldev Singh


Genre:
Ngeri


Pelakon:
Fauziah Ghous, Iqram Dinzly, Sidek Hussain, Fauziah Nawi, Khir Mohd Noor & Etc.


Penilaian:
2 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri iaitu Arman dan Melati yang berpindah ke sebuah banglo lama yang wujud sejak era penjajahan Jepun lagi. Banglo usang itu dijaga oleh tukang kebun iaitu Pak Mail seorang lelaki yang mengalami ketumbuhan di pipi dan sangat misteri orangnya. Kejadian aneh mula berlaku apabila Melati telah mengangkat sebuah batu yang ditandakan di tepi pagar rumah beliau untuk menanam pokok dimana beliau terus pengsan gara - gara satu semangat yang keluar daripada pisau yang dijumpainya di bawah batu tersebut. Disebabkan peristiwa itu Melati selalu berada dalam keadaan yang kurang sihat dan wajahnya sentiasa pucat seperti orang sakit. Ibu Arman, Zaiton yang datang melawat mereka berdua pula meninggal secara mengejut pada waktu malam gara - gara gangguan aneh yang berlaku di rumah tersebut. Doktor yang memeriksa Melati pula memberitahu Arman bahawa isterinya hanya kekurangan vitamin di dalam badan namun Melati masih juga tidak sembuh selepas berjumpa doktor tersebut. Apa sebenarnya yang terjadi pada Melati? Adakah rumah banglo lama itu berhantu? Mungkinkah Pak Mail mengetahui sebab musabab berlakunya semua ini? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Filem yang baik ialah walaupun terdapat segelintir 'makhluk asing' atau pun penonton yang tidak bertamadun wujud di dalam panggung ketika sesuatu filem itu sedang ditayangkan namun filem itu tetap akan kelihatan terbaik di mata penonton yang bertamadun apabila mereka menonton filem tersebut sehingga ke akhir cerita. Namun filem Rasuk bagi aku tidak lah seperti yang dicanang - canangkan sebelum ini di media yang mengatakan filem ini ialah filem paling seram di Malaysia dan pelbagai lagi komen yang kelihatannya begitu positif. Aku terasa filem ini mengambil masa terlalu lama untuk berkembang dan sememangnya menantikan filem ini tamat dengan segera kerana terasa sangat bosan menantikan kesudahannya. Aku rasa skrip filem ini boleh tahan tetapi mungkin kerana tidak diolah dengan menarik sewaktu di visualkan sebagai filem menjadikan filem ini sangat menyedihkan di mata aku.


 Misteri Banglo Lama Bermula Disini


Filem ini sebenarnya banyak diselamatkan oleh lakonan yang mantap oleh pelakon - pelakon utamanya iaitu Fauziah Ghous, Iqram Dinzly serta Fauziah Nawi dan apa aku boleh katakan filem ini sebenarnya mempunyai mesej - mesej yang bercirikan Islamik dan semestinya bagus untuk tontonan penonton namun jalan cerita filem ini tidak diperkemaskan dengan sebaik mungkin. Aku terasa durasi masa antara satu babak ke satu babak banyak dibazirkan dengan adegan yang panjang dan tak ada apa - apapun sebenarnya yang mahu diberitahu kepada penonton atau boleh membuatkan aku berasa teruja. Untuk elemen CGI atau kesan khas di dalam filem ini, apa boleh aku katakan aku suka dengan hasilnya kerana kebanyakkannya kelihatan menarik dan tidak kelihatan terlalu animasi seperti di dalam filem Nur Kasih. Aku agak kagum lah dengan adegan - adegan yang melibatkan CGI di dalam filem ini kerana bagi aku mereka agak berjaya dari segi itu.


 Salah Satu Babak Cemas Di Dalam Filem Ini


Terdapat sedikit unsur humor di dalam filem ini tetapi elemen komedinya lebih kepada 'double meaning'. Aku tidak sukakan 20 minit babak awal filem ini. Terasa sangat bosan melihat adegan kemesraan suami isteri yang ditonjolkan pada aku. Paling membuatkan aku kecewa dengan filem ini ialah tentang watak doktor di dalam filem ini. Mungkin watak ini dicipta untuk membuatkan penonton ketawa atau sebaliknya. Entah! Aku tidak mahu ambil tahu tetapi apa yang aku nak cakap watak doktor ini sangat mengjengkelkan aku dengan ketawanya yang sentiasa bergema tidak kira di waktu beliau patut ketawa atau pun tidak. Kadang - kadang aku terfikir doktor nih sawan ker sebab ketawa waktu orang meninggal dunia. Senang cakap aku langsung tidak gemar dengan watak tersebut dan jika pengarah memang mahu watak itu dibenci mungkin mereka berjaya tetapi jika sekadar untuk elemen komedi bagi aku mereka telah gagal sepenuhnya.


Barisan Pelakon Filem Rasuk


Kesan bunyi juga merimaskan aku. Boleh dikatakan 70% adegan filem ini pasti ada latar bunyi atau suara yang menggerunkan. Masalahnya aku tidak berasa gerun pun. Nak gerun apa kalau tunjuk pokok di waktu siang sambil letakkan unsur bunyi yang kuat. Apa aku boleh cakap filem ini bukan selera aku tetapi mungkin ada orang yang suka kerana kadang - kadang elemen kejutannya menjadi. Apa - apapun, bagi aku plot cerita ini lemah dan tidak banyak yang boleh membanggakan aku atau membuatkan aku senyum puas hati keluar dari wayang. Jadi, kepada yang ingin menonton pergi lah menonton kerana mungkin anda akan menyukai filem ini kerana ini semua hanya pandangan peribadi aku sahaja. Lain orang lain citarasa bukan? Jadi, selamat menonton dan selepas menonton tinggalkan lah komen disini ya. Assalammualaikum dan salam sejahtera.

P/S : RM9 Kalau Diguna Untuk Beli GCB McD Pun Puas Hati! Sakit! Sakit! Sakit! Sakit!(^_^)Y




23/06/11

Review Filem Green Lantern



Filem:
Green Lantern


Pengarah:
Martin Campbell


Genre:
Aksi & Sains Fiksyen


Pelakon:
Ryan Reynolds, Blake Lively, Peter Sarsgaard, Mark Strong, Temuera Morrison & Etc.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Hal Jordan iaitu seorang juruterbang yang mempunyai ego yang tinggi tetapi berani menghadapi sebarang bentuk ancaman atau ketakutan yang melanda diri beliau. Pada suatu hari sebuah kapal angkasa yang membawa Abin Sur iaitu salah satu makhluk angkasa lepas yang bergelar Green Lantern telah terhempas di bumi dan Abin Sur dalam keadaan nazak akibat serangan daripada Parallax iaitu salah satu makhluk kejahatan yang mahu memusnahkan seluruh hidupan di setiap planet termasuk planet OA yang menempatkan penghuni - penghuni Green Lantern yang terpilih. Menggunakan cincin hijaunya untuk mencari pengganti yang sesuai dan akhirnya cincin itu memilih Hal Jordan iaitu manusia pertama yang terpilih untuk menjadi Green Lantern. Hal Jordan kemudian dibawa ke planet OA untuk diuji adakah beliau layak menjadi Green Lantern. Manakala Hector Hammond iaitu salah seorang pensyarah telah ditemui oleh biro rahsia kerajaan untuk memeriksa mayat Abin Sur yang ditemui mereka. Tanpa disedari sel darah Hector Hammond telah dijangkiti oleh sesuatu yang datangnya daripada Parallax. Kini Hector yang tidak mampu mengawal dirinya mahu merampas wanita yang beliau cintai iaitu Carol Ferris yang menyintai Hal Jordan manakala Hal Jordan pula berasakan cincin itu sudah salah memilih dirinya sebagai Green Lantern dan menarik diri daripada pertubuhan itu. Parallax pula semakin hampir menuju planet bumi. Jadi, apakah yang akan berlaku terhadap bumi? Mampukah Hal Jordan sebagai seorang Green Lantern menghalang niat jahat Parallax serta Hector? Siapakah sebenarnya Parallax dan Abin Sur? Saksikan sendiri filem hebat ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Seperti biasa filem - filem superhero sebegini pasti akan mempertaruhkan kecanggihan C.G.I atau dipanggil kesan khas di dalam setiap babak filem ini untuk menarik perhatian penonton supaya menonton dan bagi aku sememangnya dari aspek ini filem ini telah menunjukkan satu kejayaan yang membanggakan. Penonton akan dibawa menjelajah beberapa planet dan melihat sendiri keindahan planet OA yang bagi aku cukup unik. Aku juga suka dengan beberapa karakter Green Lantern yang terpilih yang berasal dari planet lain dimana struktur tubuh dan wajah mereka sangat unik dan ada yang belum pernah dilihat lagi. Sangat menarik dan menghiburkan! Tahniah untuk hal ini.


 Wajah - Wajah Green Lantern Terpilih Yang Unik


Plot dan susunan jalan ceritanya kemas dan menarik cuma macam biasalah apabila kita menonton filem superhero pastinya watak superhero itu susah untuk dimatikan melainkan hanya ada beberapa filem daripada ribuan filem yang bertindak bertentangan dengan dengan berani mematikan watak hebat itu. Jangan risau kerana superhero kali ini iaitu Hal Jordan lakonan Ryan Reynolds tidak dimatikan. Tetapi, ada satu babak yang begitu menarik hati aku iaitu adegan yang cukup klise dimana dalam mana - mana kisah superhero pasti akan melibatkan kisah percintaan antara superhero dan juga wanita yang dicintainya dimana mereka akan bertemu dalam keadaan si jejaka itu bertubuh superhero dan bertemu dengan wanita yang dicintainya pada waktu malam di rumah atau dimana - mana. Kemudian, selalunya wanita itu tidak akan mengenali siapa superhero tersebut namun apa yang membuat aku sedikit gembira dengan adegan ini apabila Carol Ferris lakonan Blake Lively mengenali Hal Jordan dengan begitu cepat dan ini menggembirakan aku kerana memang mustahil jika beliau tidak mengenali Green Lantern manusia itu yang hanya bertopeng di bahagian mata sahaja. Tahniah untuk babak itu!


 Kisah Percintaan Menjadi Perkara Wajib
Di Dalam Kebanyakkan Filem Superhero


Dengan bajet filem ini sebanyak 150 juta dolar US maka tidak menghairankan apabila penonton dihidangkan dengan C.G.I atau kesan khas yang betul - betul mampu memuaskan hati dan kehendak sepasang mata setiap penonton untuk menyusuri dan menghayati setiap adegan - adegan di angkasa. Filem ini juga bagi aku boleh diterjemahkan kepada unsur - unsur politik dunia masa kini apabila melihat kepada 7 atau 8 orang ketua puak kuno yang berada di Citadel di planet OA yang kelihatan seperti wakil negara - negara maju G-8 pada pandangan aku dan Parallax itu bolehlah dikatakan seperti musuh pada negara - negara berkenaan. Hahahahaha!


 Salah Satu Babak Yang Melucukan Di Dalam Filem Ini


Apa - apapun, aku kurang berkenan sedikit kepada pengakhiran hayat Parallax yang ditunjukkan di dalam filem ini kerana pada anggapan aku Parallax ialah sebuah makhluk yang begitu hebat kerana mampu mengalahkan Abin Sur yang berjaya mengurungnya berpuluh - puluh tahun di sebuah planet yang tidak dihuni mana - mana makhluk namun begitu mudah sekali beliau ditewaskan oleh Manusia Green Lantern. Sedikit kecewa disitu kerana aku mengharapkan lebih kesukaran untuk Hal Jordan sebagai Green Lantern membunuh parallax yang bagi aku sangat kuat sebelum pertemuan mereka berdua secara bersemuka.


 Ryan Reynolds Sebagai Green Lantern


Lakonan Ryan Reynolds juga bagi aku sangat menarik dan kadang kala kelihatan seperti Hritik Roshan pula apabila memakai topeng hijau itu. Mungkin kerana badannya yang dilatih menjadi begitu sasa di dalam filem ini mengakibatkan aura beliau mampu mencairkan hati penonton wanita yang menonton. Manakala lakonan pelakon siri Gossip Girl iaitu Blake Lively juga tidak menghampakan kerana membuatkan aku teruja melihat kemunculan beliau di layar perak.


 Watak Antagonis Filem Ini Iaitu Hector


Apa - apapun, Green Lantern merupakan sebuah filem yang menarik untuk ditonton dan kepada yang menggemari filem - filem sebegini maka aku menyarankan agar kalian pergilah menonton untuk melihat pelbagai aksi, wajah dan karakter di dalam filem ini. Selamat menonton!




P/S : Melihat Trailer Harry Potter and Deathly Hallows: Part 2 Yang Cukup Hebat Membuatkan Aku Sangat Teruja Mahu Menonton Di Pawagam. (^_^)Y




21/06/11

BoBoiBoy



Animasi:
BoBoiBoy


Jumlah Episod:
13 Episod


Genre:
Aksi & Komedi


Siaran:
TV3


Waktu:
Ahad - 7.00 Malam


Pengarah:
Mohd Nizam B Abd Razak


Watak - Watak Animasi:

BoBoiBoy
Yaya
Gopal
Ying
Adu Du
Ochobot
Tok Aba


Sinopsis:

Siri animasi 3D ini mengisahkan tentang BoBoiBoy iaitu seorang kanak - kanak yang berumur 10 tahun yang tinggal dengan Tok Aba iaitu atuknya yang menjual minuman koko di sebuah tempat. Pada suatu hari seekor makhluk asing iaitu Adu Du datang ke bumi untuk mencuri biji koko bagi mengaktifkan tenaga dan seterusnya menjajah planet bumi. Sasarannya ialah kedai Tok Aba yang mempunyai biji koko paling terbaik sekali. Namun BoBoiboy berjaya menghalang niat jahat Adu Du dan secara tidak sengaja terbawa balik Ochobot iaitu sebuah bola kuasa daripada kapal angkasa Adu Du. Tanpa disangka - sangka BoBoiBoy dan rakan - rakan barunya iaitu Yaya, Gopal dan Ying juga turut menerima kuasa luar biasa daripada Ochobot yang bertujuan untuk menentang Adu Du daripada cubaan mencuri biji koko Tok Aba dan secara tidak langsung melindungi bumi daripada ditawan oleh makhluk asing hijau tersebut.


Rujukan:




Ulasan Hans:

Siri animasi BoBoiBoy ini sebenarnya sudah lama ditayangkan kepada penonton di Malaysia namun aku baru berkesempatan menontonnya baru - baru ini gara - gara kesibukan sewaktu di kuliah tempoh hari. Bagi aku animasi 3D yang berkisarkan tentang kisah superhero kanak - kanak ini adalah animasi yang telah berjaya menarik hati aku untuk menonton siri ini selepas siri animasi Upin Dan Ipin yang berlatar belakang kan pemandangan dan suasana kehidupan rakyat Malaysia di kampung.

 Karakter BoBoiBoy Menggunakan Suara Adik Nur Fathiah
 Yang Juga Pelantun Suara Kepada Karakter Upin Dan Ipin


Persamaan antara kedua - dua siri animasi ini ialah dari segi perpaduan di mana setiap watak di dalam kedua - dua siri ini meliputi 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India dan aku memang menggemari mesej - mesej yang diterapkan di dalam animasi ini. Apa yang membuatkan aku gembira dengan penghasilan animasi BoBoiBoy ini ialah kerana kisahnya yang lucu dan tiada unsur - unsur ganas yang melampau seperti sesetengah animasi yang diimport dari luar negara yang pada pandangan aku langsung tidak sesuai untuk tontonan kanak - kanak yang baru mahu mengenali dunia.


 Watak Yaya Kanak - Kanak Comel Bertudung Memang Mencuit Hati


Aku berasa sangat berbangga dengan penghasilan animasi 3D BoBoiBoy yang dibuat di dalam 2 versi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang berjaya menarik perhatian beberapa negara seperti Perancis dan Indonesia untuk menayangkan siri animasi ini di siaran televisyen mereka. BoBoiBoy juga akan ditayangkan di saluran Disney bermula pada bulan Jun ini. Jadi, aku berharap agar reputasi pihak Animonsta Studios akan semakin berkembang secara positif dan semoga mereka akan lebih berjaya dan dikenali serata dunia selepas ini dengan produk - produk yang membanggakan rakyat Malaysia. Tahniah!




P/S : Menanti Filem Boboi Boy Yang Dirancang Akan Diterbitkan Pada Tahun 2012 Ini! (^_^)Y




20/06/11

Stanza Cinta



Drama Bersiri:
Stanza Cinta


Jumlah Episod:
13 Episod


Siaran:
TV3


Waktu:
Ahad - 9.00 Malam


Pengarah:
Along Kamaludin


Pelakon:
Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Nur Fathia & Etc.


Sinopsis:

Oleh kerana drama bersiri Stanza Cinta ini adalah adaptasi daripada novel Stanza Cinta maka anda boleh membaca sinopsis drama ini DISINI.


Trailer:




Komen Hans:

Berdasarkan episod pertama yang aku tonton semalam boleh dikatakan gadis - gadis yang sebelum ini tergila - gilakan Aaron Aziz kerana kebaikan wataknya sebagai Seth Tan dalam drama Nora Elena pasti akan berubah gara - gara beliau yang memegang watak sebagai Irfan sememangnya bertentangan dengan karakter Seth Tan. Apa - apapun, setakat semalam aku melihat lakonan kesemua pelakon memang menarik dan drama bersiri ini boleh pergi jauh dan semestinya ia bakal membawa fenomena yang sama seperti Nora Elena di mana jalan cerita, lagu dan pelakon - pelakonnya memberi kelebihan kepada Stanza Cinta untuk memikat hati penonton Malaysia. Jadi, selamat menonton drama bersiri yang hebat ini hanya di TV3!


P/S : Drama Mahu Pun Filem Yang Diadaptasi Dari Novel Kini Menjadi Fenomena Baru Kepada Penonton Malaysia. Setuju? (^_^)Y




19/06/11

Al - Fatihah Untuk Zami Ismail


Hari ini bersamaan 19 haribulan Jun 2011, kita telah dikejutkan dengan pemergian seorang pelakon komedi tanah air yang cukup terkenal dengan gelaran Pak Uda di dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah membawa fenomena kepada penonton Malaysia iaitu Zami Ismail yang meninggal dunia pagi tadi akibat serangan sakit jantung dalam usia 67 tahun.


 Salah Satu Agedan Di Dalam Siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu


Pernah membintangi pelbagai sitkom antaranya Salam Pantai Timur dan semestinya sitkom yang cukup lama bertahan di TV3 iaitu Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Allahyarham juga membintangi banyak filem yang berjaya menarik perhatian penonton seperti filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Janin serta sebuah filem yang bakal menemui penonton - penonton tempatan di pawagam iaitu filem Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit

Al - Fatihah untuk allahyarham Zami Ismail dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al - Fatihah!

P/S : Watak Pak Uda Yang Berkancing Baju Senget Memang Dekat Di Hati Aku 




15/06/11

Review Filem Mars Needs Moms



Filem:
Mars Needs Moms


Pengarah:
Simon Wells


Genre:
Animasi, Aksi,  Pengembaraan & Keluarga


Pelakon:
Seth Green, Joan Cusack, Dan Fogler, Elisabeth Harnois,
Mindy Sterling, Kevin Cahoon, Tom Everett Scott & Etc.


Penilaian:
5 / 5


Sinopsis:

Filem animasi ini mengisahkan tentang Milo seorang kanak - kanak lelaki yang memberontak terhadap ibunya gara - gara selalu disuruh melakukan perkara yang tidak disukainya seperti membuang sampah dan sebagainya. Pada suatu hari, ayah Milo menelefon memberitahu beliau tidak dapat menemani Milo menonton Zombie Down III gara - gara terkandas di lapangan terbang. Jadi, ibu Milo berjanji akan membawa Milo menonton pergi menonton Zombie Down III jika beliau menghabiskan makan malamnya. Namun Milo tidak menghabiskan sayur brokoli yang tidak disukainya kerana menggangap rupa sayur tersebut seperti otak manusia dan memberi sayur tersebut kepada kucing peliharaannya. Jadi, ibunya tidak membawa Milo pergi menonton Zombie Down III. Milo memberontak dan bertengkar dengan ibunya sehingga dia berkata,"Hidup saya akan lebih baik jika saya tidak ada ibu seperti awak!" Ini membuatkan ibunya kecil hati.


 Watak Utama - Milo


Tanpa mereka sedari terdapat makhluk di Planet Marikh yang memerhatikan kehidupan mereka berdua dan pada malam itu juga mereka telah menculik ibu Milo untuk dibawa ke planet mereka. Milo menyedari hal itu dan cuba menyelamatkan ibunya dan hal ini secara tidak langsung telah membawa Milo ke planet Marikh tanpa beliau sedari. Disana, beliau terjumpa dengan satu - satunya manusia yang wujud dan tinggal di situ iaitu Gribble, seorang lelaki yang bersaiz besar. Milo meminta bantuan Gribble untuk menyelamatkan ibunya dan Gribble setuju untuk membantu Milo. Milo hairan bagaimana Gribble boleh berada di planet Marikh seorang diri sehinggalah beliau sedar bahawa Gribble senasib dengannya cuma malangnya ibu Gribble sudah tiada gara - gara kegagalan eksperimen yang dijalankan oleh Supervisor iaitu ketua makhluk asing di situ.


 Gara - Gara Hal Ini Ibu Milo Diculik Oleh Makhluk Asing


Namun, Ki iaitu makhluk asing planet Marikh berlainan sifatnya dengan supervisor dan sudi membantu Milo dan Gribble untuk menyelamatkan ibu Milo. Kenapakah ibu Milo diculik? Siapakah sebenarnya Gribble? Kenapa Ki begitu baik dengan manusia? Adakah mereka mampu menyelamatkan ibu Milo? Saksikan filem animasi yang hebat ini untuk mendapatkan jawapan - jawapan bagi persoalan ini.


Ulasan Hans:

Filem animasi ini berjaya menarik perhatian aku untuk menonton sehinggat tamat dan aku akui plot dan susunan jalan ceritanya begitu unik dan membuatkan aku cukup terharu menontonnya. Aku suka filem - filem yang menerapkan nilai kekeluargaan dan filem ini walaupun bergenre animasi namun aku merasakan filem ini telah berjaya menyampai satu perkara yang kadang - kadang ramai di antara kita lupa iaitu 'Walau Apa Pun Yang Kita Buat Sama Ada Baik Mahu Pun Jahat Tetapi Insan Yang Melahirkan Kita Tetap Akan Menyayangi Kita Sehingga Akhir Hayat Mereka'.


 Adegan Menyedihkan Diantara Milo Dan Ibunya


Jalan ceritanya kemas dan tersusun serta mudah untuk difahami kerana ia dipertontonkan secara terus kepada penonton tanpa persoalan yang memaksa penonton untuk berfikir bagi mencari jawapannya sendiri. Elemen kekeluargaan dan komedi padat menghiasi filem ini yang pasti akan membuatkan anda yang menonton berasa cukup terharu dan kadang - kadang ketawa geli hati melihat adegan - adegan lucu yang terhasil antara karakter Milo, Gribble dan Ki yang cukup menjadi.


 3 Karakter Yang Menghidupkan Filem Ini


Wajah dan pergerakan animasi 3D yang terhasil juga cukup mengagumkan aku kerana krew - krew filem ini merakam setiap babak di dalam studio sebelum wajah setiap pelakon diubah menjadi animasi. Patutlah ia kelihatan seakan - akan manusia sebenar dan seterusnya menjadikan filem ini sebuah filem animasi yang begitu bertenaga dan amat menarik untuk ditonton sehingga akhir.


 Inilah Cara - Cara Bagaimana Pengembaraan
Filem Ini Dibuat Dan Diubah Menjadi Animasi


Apa - apapun, filem animasi ini memang sarat dengan mesej - mesej dan nilai - nilai murni yang bukan sahaja sesuai dan berfaedah untuk ditonton oleh kanak - kanak sahaja malahan juga kepada orang yang dewasa. Jadi, aku menyarankan kalian menonton filem animasi yang hebat ini dan nikmatilah pengembaraan kanak - kanak bernama Milo yang pergi menyelamatkan ibunya di Planet Marikh. Selamat menonton dan semoga terhibur.




P/S : Aku Suka Menonton Siri Animasi Upin & Ipin! (^_^)Y



14/06/11

Review Penunggu Istana



Filem:
Penunggu Istana


Pengarah:
Wan Hazliza


Genre:
Seram


Pelakon:
Adeek, Sara Ali, Nor Zafirah Abd Rahim, Amar Asyraf Zailudin,
Mustaqim Mohamed Zaki, Nadzirah Ahmad Nadzri & Uncle Seekers


Penilaian:
2.5 / 5


Sinopsis:

Filem ala - ala dokumentari ini menceritakan tentang sebuah kumpulan remaja seramai 5 orang yang mengikuti kumpulan The Seekers iaitu sebuah kumpulan paranormal untuk mencari misteri yang terdapat di sebalik sebuah istana lama yang berada di Perak iaitu Istana Bilah disamping untuk mencari bahan untuk tugasan kuliah mereka. Jadi, mereka telah bermalam di sana selama beberapa hari untuk mendapatkan bukti - bukti dan imej kewujudan makhluk halus atau paranormal melalui alat - alat khas. Sekumpulan remaja ini telah mendapat footage yang diinginkan tetapi seorang daripada mereka berkeras tidak mahu pulang kerana kononnya itu tidak dapat membantu mereka untuk mendapat A di dalam tugasan. Jadi, mereka meminta bantuan kepada Uncle Seekers untuk meminjam alat - alat beliau dan melakukan penyiasatan tanpa bantuan kumpulan Seekers. Mereka berjaya dan sebagai permulaan beberapa orang daripada mereka cuba merancang untuk menipu dengan mengada - adakan gangguan makhluk halus supaya apabila dipertontonkan nanti akan ada ramai yang percaya dan kagum dengan bahan - bahan yang dirakam. Walaupun beberapa orang daripada mereka tidak setuju namun rakaman tetap dijalankan. Bermula daripada hari tersebut mereka mula menemui kejadian - kejadian yang aneh dan menakutkan. Kemudian salah seorang dari kumpulan tersebut menarik diri dan pulang ke rumah manakala baki 4 orang lagi meneruskan penyiasatan mereka. Pada suatu malam mereka dikejutkan dengan penemuan yang betul - betul telah merubah hidup mereka berempat buat selama - lamanya.


Ulasan Hans:

Filem ini dicanang - canangkan sebagai sebuah kisah benar yang betul - betul terjadi terhadap 5 orang remaja yang terlibat di dalam filem ini. Ada yang percaya ia sebuah kisah benar, ada pula yang ragu - ragu dan ada pula yang langsung tidak percaya bahawa ini kisah benar melainkan ia hanyalah lakonan semata - mata. Bagaimana dengan aku? Sudah pasti aku percaya ini cumalah lakonan semata - mata dan tidak lebih dari itu


 Perancangan Dilakukan Oleh 5 Remaja Untuk
Mendapatkan Bahan Palsu Berakhir Dengan Tragedi


Jika 12 tahun dahulu filem ini telah diterbitkan dan ditayangkan pasti ramai penonton yang akan mempercayai filem Penunggu Istana ini adalah sebuah kisah benar seperti mana yang terjadi kepada penonton - penonton yang tertipu sewaktu menonton filem The Blair Witch Project yang diterbitkan pada tahun 1999 dimana mereka menyangkakan itu adalah sebuah kisah benar. Kepada penonton - penonton diharap cuba berfikir secara rasional sebelum mempercayai ini adalah kisah benar kerana jika betul semua perkara di dalam filem ini terjadi memang susah untuk diterbitkan kepada umum kerana ia secara tidak langsung telah menjadi salah satu bahan bukti kepada pihak polis. Memang merepek jika percaya ini adalah rakaman asli ditambah salah seorang pelakonnya iaitu Sara Ali sudah mulai dikenali kini.


 Mempertaruhkan Pelakon - Pelakon Yang Tidak Dikenali
Adalah Kebiasaan Untuk Filem - Filem Bergenre Sebegini


Filem ini pada 40 minit pertama sangat membosankan pada pandangan peribadi aku manakala 20 minit daripada 30 minit terakhir membuatkan aku sedikit teruja sebelum 10 minit terakhir membuatkan aku kembali kecewa kerana pengakhirannya bagi aku kurang menarik. Hahahahaha! Lakonan pelakon - pelakonnya(aku menyebut pelakon kerana aku percaya filem hanya lakonan dan bukannya kisah benar) bagi aku ada yang bagus dan ada yang tidak. Ada juga satu atau dua babak yang buat aku sedikit terkejut namun adegan - adegan lain biasa sahaja.


 Tujuan Kedatangan Mereka Adalah Untuk
Mendapatkan Bahan Untuk Menyiapkan Tugasan Kuliah


Satu sahaja yang paling aku tidak berkenan atau tidak suka apabila menonton filem - filem yang bergenre seram dimana melibatkan sekumpulan pelajar yang konon - kononnya membuat tugasan kuliah. Boleh aku tahu bidang atau jurusan apakah di universiti tempatan yang menawarkan kursus - kursus sebegini? Memang wujud kah jurusan ini dan jika wujud apakah nama universiti yang menawarkan kursus - kursus sebegini kepada pelajar Malaysia? Jika ada tolong beritahu aku di ruangan komen yer sebab aku tak pernah tahu atau dengar lagi tentang hal ini. Jika betul - betul wujud aku akan berasa ianya relevan tetapi jika tidak sememangnya membosankan apabila melihat tentang perkara ini yang secara tidak langsung telah mengingatkan aku kepada filem Mistik dan Niyang Rapik.


 Antara Adegan Menyeramkan Di Dalam Filem Ini


Apa - apapun, bagi aku filem ini masih belum dapat menandingi filem Seru dan apa aku boleh katakan filem Seru adalah filem Malaysia yang paling terbaik setakat ini di dalam filem yang bercorak begini. Jadi, kepada sesiapa yang belum menonton filem ini bolehlah menonton filem Penunggu Istana untuk merasai ketakutan dan kesuraman suasana filem ini yang adakalanya mampu membuatkan anda terasa seram dan terserah kepada anda jika mahu mempercayai filem ini atau berpandangan seperti aku. Selamat menonton!




P/S : Kutipan Filem KL Gangster Sudah Mencapai RM6 Juta Dalam Masa 4 Hari? Betul Kah? (^_^)Y




13/06/11

Review Filem Paul



Filem:
Paul


Pengarah:
Greg Mottola


Genre:
Pengembaraan, Komedi & Sains Fiksyen


Pelakon:
Simion Pegg, Nick Frost, Seth Rogen, Jane Lynch,
Jeremy Owen, Jason Bateman, Bill Hader, Joe Lo Truglio & Etc.


Penilaian:
3.5 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Graeme Willy dan Clive Gollings iaitu dua orang manusia yang terlalu obses dengan apa - apa sahaja berkenaan sains fiksyen dan mereka ini boleh dikategorikan di dalam perkataan yang disebut sebagai Geek. Sewaktu mereka dalam perjalanan pulang selepas melarikan diri daripada 2 orang lelaki yang dijumpai di sebuah bar gara - gara tanpa sengaja terlanggar kenderaan mereka tiba - tiba ada sebuah kereta mengejar mereka dengan begitu laju sekali. Merasakan kereta itu adalah kepunyaan 2 orang tadi maka mereka memecut laju namun kereta tersebut semakin menghampiri dan akhirnya memotong mereka namun kereta itu terbabas di bahu jalan. Mereka menghampiri dan akhirnya mereka berjumpa dengan seekor makhluk asing yang bernama Paul. Paul merupakan seekor makhluk asing yang tersesat di bumi gara - gara kerosakan piring terbangnya yang terhempas di sebuah rumah yang di diami seorang gadis iaitu Tara pada 60 tahun dan lepas. Jadi, dia meminta bantuan Graeme Willy dan Clive Gollings untuk membantu membawa beliau berjumpa Tara yang ditimpa nasib malang kerana kehadiran beliau ke situ serta ke satu lagi tempat dan perjalanan mereka kemudian telah merubah hidup  Graeme Willy dan Clive Gollings kerana mereka telah bertemu Ruth iaitu seorang gadis yang buta sebelah matanya. Pelbagai insiden lucu dan mencemaskan berlaku sepanjang perjalanan mereka kerana mereka turut diburu oleh Agent Zoil, Haggard dan O'Reilly yang mahukan makhluk asing tersebut serta bapa Ruth yang menyangka anaknya diculik. Jadi, selamat menonton filem Paul untuk mengetahui kesudahannya!


Ulasan Hans:




Filem ini kelihatannya sama seperti filem - filem terdahulu yang menjadikan makhluk asing sebagai salah satu subjek utama di dalam penceritaannya namun kelainannya di sini ialah Paul merupakan seekor makhluk asing yang begitu baik terhadap manusia. Walaupun beliau mempunyai pengalaman yang pahit dengan beberapa manusia yang berpewatakan antagonis namun tidak pernah pun beliau menyimpan dendam kepada mereka. Seperti biasa filem - filem sebegini pasti akan disokong oleh beberapa watak yang boleh aku sifatkan sebagai watak yang berada di dalam dunia obsesinya terhadap sesuatu perkara dan ini secara tidak langsung telah diterapkan di dalam watak Graeme Willy dan Clive Gollings dengan begitu menarik sekali.


 Simion Pegg Dan Nick Frost Hebat Di Dalam Watak Masing - Masing


Bagi aku filem ini seronok untuk ditonton kerana elemen komedinya yang begitu mencuit hati walaupun kadang - kadang aku boleh klasifikasikan sesetengah lawak yang terhasil daripada filem ini adakalanya sedikit kotor kerana berunsurkan seksual namun ia masih boleh dimaafkan kerana ia tidak melebih - lebih. Babak yang paling melucukan bagi aku apabila Ruth menyangka bapanya telah terkorban gara - gara rumah Tara meletup dan lari mendapatkan bapanya dengan wajah yang penuh kerisauan namun apabila disedari bapanya masih hidup maka beliau membatalkan hasratnya itu dan berpatah balik melarikan diri bersama Graeme Willy dan Clive Gollings. Sungguh lucu babak tersebut! Elemen - elemen lain seperti persahabatan juga banyak ditonjolkan di dalam filem ini yang mampu membuatkan kalian terharu menontonnya.


 Comel Tak Si Paul Nih?


Aku suka melihat bagaimana Paul dibentuk yang bagi aku kelihatan begitu realistik walaupun aku tahu itu adalah sebuah animasi rekaan manusia melalui perisian di komputer. Bagi aku Paul direka cukup sempurna dan kelihatan betul - betul hidup. Apa - apapun, bagi aku jalan ceritanya mudah difahami dan menghiburkan kerana filem ini bagi aku cukup ringan dan segalanya telah dihidang bulat - bulat kepada penonton secara terus tanpa perlu membiarkan penonton pening memikirkan apakah sebab atau punca terjadinya semua itu. Jadi, aku mengucapkan disini selamat menonton filem komedi Paul ini kepada kamu dan kamu yang masih belum berkesempatan menonton.




P/S : Masih Berfikir Mahu Pergi Menonton Filem 3,2,1 Cinta Atau Tidak! (^_^)Y




12/06/11

Review Filem KL Gangster



Filem:
KL Gangster


Pengarah:
Syamsul Yusof


Genre:
Aksi


Pelakon:
Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Ridzuan Hashim, Adi Putra, Zizan Raja Lawak,
Sofi Jikan, Adam Corrie Lee, Sheera Iskandar, Ku Fridah & Etc.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan dua orang adik beradik yang telah lama bergelumang di dalam dunia gangster iaitu Malek dan adiknya Jai. Malek telah dipenjara selama 5 tahun ekoran dikhianati oleh kumpulannya sendiri di mana Shark iaitu anak tiri kepada King yang merupakan seorang ketua kongsi gelap paling berpengaruh di Kuala Lumpur menjadi dalangnya. Sewaktu Malek di penjara beliau berikrar ingin mengubah cara hidupnya dan tidak mahu lagi menjalani kehidupan sebagai ahli kongsi gelap namun selepas bebas beliau sentiasa diganggu oleh kumpulan Shark akibat dendam mereka terhadap Malek manakala Shark yang mahu menguasai kawasan Kuala Lumpur terasa tergugat dengan pembebasan Malek. Namun King membantu Malek dan ini tidak disenangi oleh Shark yang sentiasa menimbulkan kekecohan. Hubungan King dan Shark semakin dingin dan Shark menyalahkan Malek atas segala yang terjadi. Lalu konflik mula timbul apabila Shark menyuruh Jai iaitu adik kandung Malek agar membunuh abangnya sendiri. Manakah yang lebih penting antara keluarga, wang dan kuasa? Apakah yang akan terjadi? Saksikan KL Gangster di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans:

Bagi aku filem KL Gangster ini berjaya menarik perhatian aku dari segi aksi pertarungannya yang bagi aku cukup menarik dan menghiburkan. Sejak awal hingga ke penamat filem ini tidak pernah lesu dari adegan bertarung yang membuatkan aku cukup teruja menontonnya walaupun aku akui ada sesetengah adegan begitu ganas dan menyakitkan. Namun masih ada juga kelemahannya terutama dari segi jalan cerita dan karakter watak - wataknya yang kadang - kadang digambarkan sedikit mengelirukan.


 Adi Putra Memang Sesuai Melakonkan Watak Antagonis


Seperti yang aku jangkakan, pelakon Sofi Jikan sekali lagi berjaya mengagumkan aku dengan wataknya sebagai Ajib yang dilakonkannya dengan penuh karisma. Aku akui masih ramai penonton yang belum mengenali Sofi Jikan tetapi insyaallah kemunculannya di dalam filem ini pasti akan membuka peluang yang lebih cerah terhadap beliau kerana sememangnya beliau seorang pelakon yang bagus. Lakonan Aaron Aziz dan Adi Putra juga tidak mengecewakan kerana masing - masing berjaya menjiwai watak mereka sehabis baik. Aku terlupa untuk menyebut nama Adam Corrie Lee dan disini aku juga sangat kagum dengan beliau kerana selain wajahnya beliau juga bijak memanfaatkan bahasa dan lenggok tubuhnya yang menjadikan beliau sebagai pelakon yang sentiasa berjaya membawa watak antagonis.


 Tahniah Sofian Jikan! Watak Anda Memang Terbaik!


Cuma aku meminta maaf kepada Syamsul Yusof kerana agak sukar bagi aku untuk melihat beliau berada di dalam karakter gangster. Kadang - kadang nampak ganas tetapi lebih kepada dibuat - buat. Namun lakonan beliau sudah ada peningkatan. Insyaallah mungkin selepas ini lakonan beliau akan lebih menarik. Pada pandangan aku mungkin kerana keseluruhan tutur kata yang dilontarkan oleh wataknya di dalam filem ini terlalu ganas menyebabkan wajah gangster itu tidak dapat dijelmakan dengan baik oleh beliau. Aku suka dengan watak Malek(lakonan Aaron Aziz) dan Jai(lakonan Adi Putra) dimana tutur kata mereka tidak kesemuanya kasar tetapi mereka bijak memainkan lenggok badan dan wajah untuk menampakkan keganasaan watak tersebut. Ini hanya pandangan peribadi aku jadi jangan marah yer Bro Syamsul.


 Tatu Bro Dah Ganas Tapi Bro Kurang Gangster Lah


Jangan sangka KL Gangster hanya sebuah filem aksi yang terlalu serius kerana kemunculan Zizan Raja Lawak sebagai Fadil atau Abang Long berjaya mengubah wajah filem ini dimana setiap kali kemunculannya pasti akan membuatkan penonton ketawa tanpa henti melihat keletah Zizan. Bagi aku memang sesuai lah Zizan dilabelkan sebagai pelakon komedi kerana kemunculannya begitu banyak membantu untuk menyerikan filem ini. Tahniah Zizan! Ketawa aku hingga keluar air mata gara - gara kelucuan watak kamu sebagai Abang Long Dil.


 Zizan Bakal Membuat Anda Pecah Perut Kerana Ketawa Tidak Henti - Henti


Aku sudah mengetahui filem - filem sebegini selalunya akan lebih menumpukan kepada aksi berbanding jalan cerita. Lihat sahaja trailer filem ini dan anda pasti tahu bahawa pengarah menjadikan aksi - aksi dan babak pertarungan sebagai subjek utama untuk menarik perhatian penonton untuk menonton. Jadi semestinya ada beberapa persoalan yang tidak terjawab apabila menonton filem ini cuma aku bersyukur kerana pada pandangan aku filem ini jauh lebih baik dari filem Kongsi yang jalan ceritanya sangat berterabur. Bagi aku plot filem ini agak baik cuma kurang diberi penekanan terutamanya tentang apakah yang telah dilakukan oleh Shark(lakonan Syamsul Yusof) kepada Malek(lakonan Aaron Aziz) sehingga Malek dipenjara selama 5 tahun? Aku faham Malek dikhianati tetapi bagaimana caranya dikhianati itu? Persoalan kedua ialah perkara apakah yang telah dilakukan oleh King(lakonan Ridzuan Hashim) iaitu bapa tiri Shark kepada ibunya sehingga Shark berdendam dengan King secara diam? Aku tidak kisah sangat persoalan kedua tetapi aku sangat ingin tahu jawapan untuk persoalan utama yang tidak aku temui sehingga tamat aku menonton filem ini.


 Salah Satu Adegan Menarik Di Dalam Filem ini


Aku juga suka dengan mesej - mesej yang bercirikan kekeluargaan di dalam filem ini seperti kasih sayang ibu terhadap anak - anak walaupun sebenarnya ia hanyalah mesej - mesej yang kita selalu lihat di dalam drama mahu pun filem - filem lain namun paling tidak ia membuatkan filem ini bukan sekadar filem aksi sahaja tetapi masih punya jiwa. Cuma aku kurang suka pada pengakhiran filem ini. Bukan kerana pengakhirannya tidak menarik tetapi aku kurang gemar pengakhiran seperti itu. Kepada sesiapa yang menonton filem ini pasti faham aku lebih suka pada pengakhiran yang tidak diakhiri dengan suara pelakon utamanya yang menceritakan apa yang terjadi selepas itu. Ia seolah - olah menunjukkan pengarah sudah malas mahu ambil kisah atau mengarah kerana durasi filem ini bagi aku tidak lah terlampau lama.


 Salah Satu Aksi Kejar Mengejar Di Dalam Filem ini


Apa - apapun, filem ini berjaya membuatkan aku agak berpuas hati dengan wang yang aku laburkan untuk menonton filem ini dan kepada yang belum menonton silalah menonton kerana insyaallah anda pasti terhibur dengan aksi pertarungan dan elemen - elemen komedi yang terdapat di dalam filem ini. Selamat menonton!


 Senarai Pelakon Dan Krew Yang Terlibat Di Dalam Filem KL Gangster


P/S : Janganlah Bawa Anak - Anak Kecil Atau Bayi Semasa Menonton Filem Ini Kerana Bagi Aku Kurang Elok Mereka Didedahkan Dengan Bahasa Filem Ini Dan Paling Utama Tidak Menganggu Fokus Penonton Lain Terhadap Filem Ini.




8/06/11

Drama Bersiri Ana Lu'lu



Drama Bersiri:
Ana Lu'lu


Jumlah Episod:
13 Episod


Siaran:
TV3


Waktu:
Setiap Selasa - 9.00 Malam


Pengarah:
Pierre Andre


Pelakon:
Nora Danish, Kamal Adli, Adey Syafrien, Cat Farish,
Puteri Syasya, Zarina Zainuddin, Sharifah Sakinah, Mustapha Kamal & Etc.


Sinopsis:

Drama ini mengisahkan tentang kisah hidup seorang gadis yang sentiasa riang iaitu Ana Lu'lu yang menarik perhatian orang - orang sekelilingnya gara - gara cara berfesyennya yang cukup aneh. Bekerja sebagai pembantu jurujual di sebuah kedai bunga, Ana Lu'lu mendapat seorang rakan baru iaitu Bunga. Masalah mula timbu apabila Harris jatuh hati dengan Ana sedangkan Ana mencintai Fadzil yang mempergunakan beliau untuk mendapatkan wang.


Ulasan Hans:

Drama bersiri ini pada pandangan aku yang baru menonton episod pertama bermula dari jam 9.00 malam sehingga 9.40 malam(terlepas 20 minit terakhir gara - gara masalah siaran TV3) adalah drama komedi ringan yang sesuai ditonton oleh setiap lapisan umur. Cerita yang cukup santai dan tak berapa banyak yang boleh aku katakan untuk episod pertama ini.

Lagu tema drama ini iaitu Kalau Cinta nyanyian penyanyi Aliff Aziz dan Joanna ini memang kena dengan perjalanan drama ini yang cukup ceria dan menghiburkan. Cuma lakonan pelakon - pelakon tambahan atau 'pak pacak' seperti orang - orang kampung dan juga gelagat dua orang pelajar yang salah seorangnya menangis sewaktu melihat keputusan peperiksaan PMR amat kaku dan nampak sangat dibuat - buat lalu menjadikan ia sedikit lucu di mata aku.

Satu sahaja adegan disini yang amat memeningkan aku iaitu adegan awal drama ini dimana Ana Lu'lu sedang dalam perjalanan pulang dan diganggu oleh 'kutu - kutu' kampung yang mengatakan Ana Lu'lu tidak cantik. Adakah kalian buta? Hahaha! Ini adalah satu kelemahan besar yang tampak begitu ketara kerana bagi aku Ana Lu'lu hanya berpakaian mengikut fesyen yang pelik dan tidak kena dengannya tetapi tidak bermaksud beliau tidak cantik melainkan jika Ana Lu'lu ditonjolkan dengan kesan solekan yang terlampau tebal atau pelik dan juga fesyen rambut yang lebih buruk maka mungkin aku akan setuju dengan kata - kata 'kutu - kutu' kampung.

Aku rasa pengarah atau pihak - pihak terlibat perlu sedar bahawa Nora Danish adalah wanita yang comel jadi hanya menjadikan rambutnya bertocang dan memberi kostum yang berwarna - warni tidak mampu melunturkan keayuan wajahnya itu. Apa - apapun, masih terlalu awal untuk menilai drama bersiri ini kerana ia masih di peringkat awal. Jadi, selamat menonton drama bersiri Ana Lu'lu setiap hari Selasa pada pukul 9.00 malam hanya di TV3.


P/S : Mahu Lihat Adakah Karakter Nora Danish Di Dalam Drama Bersiri Ana Lu'lu Ini Seakan - Akan Watak Puteri Atau Sebaliknya. (^_^)Y




7/06/11

Review Drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel



Drama:
Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel


Pengarah:
Mamat Khalid


Genre:
Komedi


Pelakon:
Delimawati, Rozie Othman, Man Kadir,
Jamaludin Kadir, Along Kamaruddin, Opie Zami & Etc.


Sinopsis:

Drama ini mengisahkan tentang rombongan penduduk kampung yang membuat lawatan ke upacara pembukaan Sukan Komanwel yang diketuai oleh Cik Kiah. Pelbagai kejadian dan halangan yang dihadapi mereka sebelum dan semasa perjalanan menuju ke Bukit Jalil. Pelbagai kerenah, ragam serta rungutan dari setiap peserta rombongan gara - gara kedatangan bas yang lewat serta keadaan bas yang begitu daif membuatkan Cik Kiah terpaksa bersabar dan menenangkan mereka. Selamat menonton drama komedi yang penuh dengan nilai dan semangat patriotisme ini.



Boleh Ditonton Disini Kepada Sesiapa Yang Belum Pernah Menonton:




Ulasan Hans:

Drama arahan seorang pengarah filem yang kini terkenal dengan buah tangannya yang membawa fenomena kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tak lain tak bukan Mamat Khalid ini begitu menarik dari segi mesej, semangat patriotisme dan nilai - nilai murni dimana setiap elemen ini bijak diselitkan di dalam adegan - adegan yang penuh dengan humor dan sarkastik di dalam drama yang cukup lucu ini.


 Mamat Khalid


Aku begitu meminati wajah drama ini yang menunjukkan bagaimana sifat - sifat manusia yang pasti kita selalu lihat atau jumpa atau pun kadang - kadang tanpa sedar kita sendiri mengamalkannya. Aku suka bagaimana setiap karakter itu dibentuk dimana sifat baik hati, memberontak, hasad dengki, atas pagar dan tidak berputus asa berjaya ditonjolkan di dalam drama ini dengan begitu jayanya sekali.


 Mana Lah Diorang Kutip Bas Nih? Hahahaha!


Walaupun ada sesetengah adegan lucu yang jika difikirkan logiknya pastinya susah untuk diterima akal tetapi anggap sahaja lah itu sebagai salah satu keunikan di dalam setiap hasil karya Mamat Khalid yang bagi aku cukup bersahaja dan semestinya membuatkan aku tidak kering gusi untuk menonton drama ini berulang kali. Mana mungkin aku tidak ketawa menonton kejadian lesung batu jatuh menimpa pemandu bas serta ekzos yang tergantung di dalam bas.


 Keadaan Bas Yang Begitu Dasyat Dan Melucukan


Aku juga cukup suka melihat bagaimana nilai patriotik bijak diterapkan di dalam drama ini melalui setiap watak terutamanya watak Cik Kiah, Majid, Lokman dan Pian yang begitu bersemangat untuk menonton pembukaan Sukan Komanwel yang julung - julung kali diadakan di Malaysia. Tidak perlu mengangkat senjata untuk menunjukkan semangat itu tetapi hanya dengan berbekalkan semangat dan keazaman watak - watak ini sahaja sudah cukup menunjukkan bahawa dram ini walaupun komedi tetapi padat dengan nilai patriotisme acuan Mamat Khalid.


 Cik Kiah Lakonan Delimawati Yang Begitu Tinggi Semangat Patriotiknya


Apa - apapun, drama ini sememangnya menarik untuk ditonton kerana secara tidak langsung ia sebenarnya mencerminkan juga wajah masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu yang mana boleh dilihat melalui setiap karakter di dalam drama ini dan sememangnya ia masih lagi relevan pada ketika ini. Jadi, selamat menonton drama ini.


P/S: Aku Tengok Drama Nih Dekat NTV7 Sewaktu Aku Masih Bersekolah Rendah! (^_^)Y