31/10/11

Review Filem RA. One


Filem:
RA. One


Pengarah:
Anubhav Sinha


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Sains Fiksyen


Pelakon:
Shah Rukh Khan, Armaan Verma, Kareena Kapoor, Arjun Rampal, Sanjay Dutt & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Shekhar merupakan seorang bapa yang cuba untuk menjalin perhubungan yang lebih akrab dan bermakna dengan anak lelakinya iaitu Prateek. Dalam usaha memancing minat anaknya agar menghabiskan waktu dengannya maka Shekhar telah pun berjaya mencipta satu permainan virtual hebat yang selalu diidamkan oleh Prateek dimana dia mahukan karakter musuh diangkat sebagai hero dan tidak mampu dikalahkan oleh superhero yang selalu menjadi pujaan manusia. Namun, tanpa disedari Shekhar permainan yang diciptanya itu rupa - rupanya mempunyai pengaruh dan kesan yang hebat terhadap kehidupan realiti mereka selepas itu dimana karakter musuh yang dicipta di dalam permainan tersebut iaitu RA. One mampu mengawal situasi dan mempunyai kuasa pemikiran serta mampu wujud secara realiti di dunia. Disebabkan permainan yang dicipta memerlukan pemainnya menghabiskan perlawanan dan Prateek tidak sempat menamatkan misi permainan tersebut maka RA. One telah muncul secara realiti dan memburu Prateek. Hanya seorang sahaja yang mampu menggagalkan niat RA. One iaitu  G.One namun mampukah G.One menewaskan RA. One yang telah dicipta agar tidak akan kalah di dalam permainan tersebut? Adakah Prateek akan selamat atau sebaliknya? Saksikan filem 3D ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Pertama sekali aku mengucapkan tahniah pada Shah Rukh Khan dan semua krew yang terlibat di dalam menjayakan filem yang bagi aku sangat menarik dan membuat aku teruja untuk menonton dari awal sehingga ke akhir saat filem ini ditayangkan. Menelan belanja yang sangat besar dan dikhabarkan filem Bollywood yang paling mahal kos pembuatannya setakat ini maka tidak menghairankan apabila mata anda akan puas menonton adegan - adegan yang menghidangkan kesan khas dari segi grafik dan visual yang memang WOW! Serius WOW! Jadi, nampaknya filem Endhiran sudah tewas dari segi tersebut kerana bagi aku kesan khas yang terdapat di dalam filem ini cukup teliti, sangat cantik dan memang sangat menakjubkan. Terbaik!!! Kostum para karakter adiwira atau antagonis juga terbaik!!


 Sempoiiii!!


Jalan cerita filem ini bagi aku mungkin lain daripada yang lain dan ia membuatkan aku terasa bahawa filem ini tampil dengan idea segar. Aku tidak pasti tentang adakah terdapat filem - filem lain yang seumpama seperti ini namun di mata aku ini adalah satu idea baru yang menarik untuk dijadikan sebuah subjek filem yang cukup memukau. Aku suka bagaimana subjek permainan virtual yang dikembangkan sebegitu rupa dibantu dengan elemen - elemen sains yang boleh diterima pakai logik akal jadi aku tidak merasakan jalan ceritanya bodoh tetapi sangat kreatif. Menarik!!


 Lagu Chammak Challo Yang Kelakar Pada Awalnya! Hehehe!!


Elemen kekeluargaan yang kuat di dalam filem Bollywood menjadikan aku sangat menggemari filem mereka dan filem ini juga tidak kalah dari segi itu. Bagaimana seorang bapa cuba sebaik mungkin untuk membuatkan anaknya berasa bangga dengannya sehingga terkorban sememangnya sangat menarik untuk diteladani dan ditonton. Tidak sah namanya filem Bollywood jika tidak ada nyanyian di dalam perjalanan ceritanya dan bagi aku terdapat 2 atau 3 lagu yang agak sedap juga untuk didengar dan mampu membuat kepala anda mengikut rentak irama lagu tersebut. Lagu Chammak Challo yang tak silap aku terdapat koloborasi bersama Akon agak menarik walaupun pada permulaan ia kelihatan terlalu aneh! Hahahaha!!


Hohoho!


Sebut sahaja Shah Rukh Khan maka peminat filem Bollywood pasti mengagumi figura ini kerana ia mempunyai aura seperti mana superstar Rajnikanth! Serahkan sahaja apa watak pasti akan dilakonkan dengan tahap paling terbaik dan sekali lagi Raja Khan ini telah menunjukkan lakonan yang sangat mantap bagi setiap karakter yang dibawanya di dalam filem ini(iaitu karakter Shekhar dan G.One). Tidak kira sama ada adegan yang melibatkannya memerlukan beliau bermain emosi atau pun di dalam keadaan serius atau lucu pasti akan berjaya dipersembahkan dengan baik. Lakonan Shah Rukh Khan telah berjaya membuatkan aku berasa cukup puas hati menonton filem ini.


 Arjun Rampal Hebat Di Dalam Karakter Antagonis


Lakonan adik Armaan Verma dan Kareena Kapoor juga sangat menyakinkan dan hidup! Aku cukup suka dengan watak antagonis RA.One sewaktu watak tersebut dipegang oleh Arjun Rampal. Aku tak tahu kenapa tetapi apabila watak RA.One itu sampai kepada bahagian beliau aku nampak sosok jahat yang betul - betul menjadi! Walaubagaimanapun, bagi aku aksi - aksi di sepanjang landasan keretapi mengingatkan aku pada filem Endhiran dengan aksi - aksi yang lebih kurang sama. Namun, kemunculan sekejap Rajnikanth dengan watak robot Chitti lakonannya di dalam filem Endhiran itu memang menggamitkan keadaan cuma sayangnya wataknya cuma seketika. Mungkin sekadar gimik atau itu satu pertaruhan untuk menarik penonton.


Salah Satu Babak Menarik Di Dalam Filem Ini!!


Apa aku boleh cakap, sebagai salah seorang peminat filem Bollywood dan Tamil maka aku sangat berpuas hati dengan filem RA.One ini. Menariknya ialah kerja mereka sangat teliti dan cukup bagus! Aku sentiasa melihat sekitar wajah atau leher Shah Rukh Khan sewaktu beliau di dalam karakter G.One untuk melihat jika ada peluh atau pun tidak! Kenapa aku mencari titisan peluh? Kerana jika ada titisan peluh maka gagal lah bagi aku kerana G.One ialah sebuah robot tetapi menariknya wajah karakter G.One itu sentiasa kering tanpa ada kesan lembap sekali pun. Sangat teliti dan kemudian ia mengingatkan aku pada watak Cicak Man lakonan Saiful Apek yang berpeluh walaupun Metrofulus yang digambarkan itu sangat sejuk. Hahahaha!!


Salah Satu Babak Menarik Di Dalam Filem Ini


Jadi, aku sarankan jika anda peminat filem Bollywood maka pergi lah menonton jika anda berniat untuk menonton kerana filem Bollywood RA.One ini ada satu pembaharuan yang bagi aku sangat menarik dan mungkin juga tidak sia - sia Shah Rukh Khan mempromosikan filem ini sepenuh hati kerana ia sebuah filem yang walaupun masih juga terdapat sedikit kelemahan tetapi bagi aku filem ini masih terbaik pada pandangan dan citarasa aku! Tahniah pada semua yang terlibat dalam menjayakan filem RA.One(walaupun aku tahu mereka tidak akan membaca pun blog ini!). Hahahaha!! Selamat menonton!!


P/S : Tertunai Jua Hajat Nak Menonton Filem 3D Nih Selepas 4 Kali(3 Kali Pergi Pekerjanya Kata Bosnya Suruh Simpan Dulu Filem Nih) Ke Panggung Wayang! Puas! Hahahaha!! (^_^)Y



29/10/11

Filem - Filem Yang Bertanding Di Dalam FFM24



Festival Filem Malaysia Ke-24(FFM24) yang dijangka akan dilangsungkan pada 19 November 2011(dengar kata nak tunda! betul ker?) ini telah mengumumkan bahawa terdapat 42 filem yang layak bertanding pada festival kali ini dan ini merupakan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah. Filem - filem tersebut ialah :-

1. Mantra *

2. Senario Asam Garam *

3. 4 Madu *

4. Cuti-Cuti Cinta *

5. Ngangkung *

6. Aku Tak Bodoh *

7. Hantu Kak Limah Balik Rumah *

8. Aku Masih Dara *

9. Janin

10. Damping Malam *

11. Khurafat *

12. Sini Ada Hantu *

13. Kembar Siang *

14. Hikayat Merong Mahawangsa *

15. Ratu *

16. ... Dalam Botol *

17. Cun *

18. Dilarang Masuk *

19. Senjakala *

20. Penunggu Istana *

21. Seru *

22. Momok Jangan Panggil Aku

23. Kongsi *

24. Nurkasih The Movie *

25. Karak *

26. KL Gangster *

27. 3,2,1 Cinta *

28. Rasuk *

29. Sekali Lagi *

30. Tolong Awek Aku Pontianak *

31. Senario The Movie Ops Pocot *

32. Flat 3A *

33. Karipap-karipap Cinta *

34. Hantu Bonceng *

35. Bini-biniku Gangster *

36. Libas *

37. Al-Hijab *

38. Sumpahan Puaka

39. Raya Tak Jadi *

40. Jangan Pandang Congkak 2 *

41. Klip 3gp *

42. Crayon

* = Sudah Menonton Filem Ini


Pertanyaan : Filem Crayon Masih Bertanding Atau Tarik Diri?


Jika dilihat di atas, daripada 42 filem yang bakal bertanding aku sudah menonton 38 filem daripada kesemua 42 buah filem tersebut. Ada yang aku tonton di pawagam manakala ada beberapa filem yang terpaksa aku tonton di internet. Aku menonton filem di internet hanya kerana 2 sebab iaitu pertama filem tersebut tidak ditayangkan di pawagam berdekatan rumah aku yang kecil tu dan kedua ialah aku berasa tidak berbaloi untuk melaburkan duit aku untuk menonton filem tersebut di pawagam. Aku rasa kebanyakan filem pilihan aku yang aku tonton di pawagam adalah bertepatan dengan selera dan kepuasan serta agak berbaloi.

Jadi, daripada 38 filem yang aku pernah tonton tersebut maka aku senaraikan 7 filem(aku senaraikan 7 sebab aku suka nombor 7) yang aku rasa aku sukakannya :-)





2) Hantu Kak Limah Balik Rumah


3) Cun










Apa - apapun, keputusan di tangan juri - juri yang bertauliah lah kan! Aku cuma menyatakan filem - filem yang aku suka. Ada juga filem yang mungkin lebih baik daripada 7 filem yang aku senaraikan ini cuma bak kata orang tua - tua dahulu kala,"Lain Padang Lain Belalangnya, Lain Orang Lain Ragamnya". Hehehe! Jadi, kita nantikan keputusannya nanti!


P/S : Entri Ini Dibuat Selepas Mendapat Inspirasi Daripada PerangFilem (^_^)Y




28/10/11

Filem Aku Bukan Tomboy



Filem:
Aku Bukan Tomboy


Pengarah:
Syamsul Yusof


Genre:
Komedi & Drama


Pelakon:
Syamsul Yusof, Scha Al Yahya, Shaheizy Sam, Salina Saibi, Sheera & Etc.


Tarikh Tayangan:
17 November 2011


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Farisa atau Eisha yang berpewatama tomboy yang dibesarkan oleh bapanya selepas kehilangan ibunya sejak kecil. Bermula dari zaman persekolahan yang penuh dengan dugaan kerana sering diganggu oleh beberapa orang pelajar 'pengkid' antaranya Bell dan Sam. Tekanan disekolah yang dialami Farisa mendorongnya untuk mengubah dirinya sebagai seorang yang berpesonaliti agresif dan kasar. Walaupun berpenampilan persis seorang lelaki namun Farisa masih mempunyai naluri sebagai seorang gadis sejati. Perwatakan sebegini berterusan sehingga ke alam pekerjaannya sebagai seorang penghantar pizza.




Masalah mula timbul apabila Farisa dikejutkan dengan kemunculan dua jejaka iaitu Harry dan Burn yang berhasrat menjalinkan hubungan istimewa dengannya. Harry merupakan seorang juru jual yang terlebih dahulu menjalinkan hubungan mesra dengan Farisa dan kemudian merasa tergugat apabila Burn muncul sebagai pesaing yang mencetuskan perebutan antara mereka berdua untuk mendapatkan Farisa. Dalam masa yang sama Farisa juga berdepan dengan konflik perbezaan darjat dan kedudukan Burn sebagai Eksekutif Junior di syarikat bapanya yang menyukarkan hubungan mereka.




Di samping itu, Farisa secara kebetulan bertemu semula dengan Bell dan Sam yang merupakan pengkid yang turut berebut untuk menjadikannya sebagai pasangan mereka. Konflik cinta tiga segi yang berbeza ini telah mewarnai catatan kehidupan Farisa iaitu si gadis tomboy. Persoalannya ialah apakah pengorbanan yang dituntut dalam dilema percintaan Farisa?


Trailer:




3 Sebab Aku Mahu Menonton Filem Ini:


Comel!!


1) Aku suka dengan karakter Scha Al Yahya dan apabila mengetahui beliau membawakan watak sebegini sememangnya aku sedikit yakin watak Farisa/Eisya tersebut akan berjaya dihidupkan dengan baik.

2) Aku nak tahu adakah filem ini cuma bersifat komersial atau ada sesuatu yang mahu disampaikan.

3) Aku berkenan melihat rambut Syamsul Yusof yang sama seperti penerbit filem '40 Juta' di dalam filem ini! Hahahahaha!! (Padahal Alasan Utama Cuma Nombor 1 Jer)


Cayalah Rambut!! Hahaha!!


P/S : Masih Kecewa Tak Dapat Menonton Filem RA. One!! (^_^)Y





26/10/11

Filem RA. One



Filem:
RA. One


Pengarah:
Anubhav Sinha


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Sains Fiksyen


Pelakon:
Shah Rukh Khan, Kareena Kapoor, Arjun Rampal, Sanjay Dutt & Etc.


Tarikh Tayangan:
26 Oktober 2011


Sinopsis:

Shekhar merupakan seorang bapa yang cuba untuk menjalin perhubungan yang lebih akrab dan bermakna dengan anak lelakinya. Dalam usaha memancing minat anaknya agar menghabiskan waktu dengannya maka Shekhar telah berjaya mencipta satu permainan virtual hebat untuk dimainkan bersama. Tanpa disedari, permainan rupa - rupanya mempunyai pengaruh dan kesan hebat terhadap kehidupan realiti mereka.


Trailer:



3 Sebab Aku Mahu Menonton Filem Ini:

1) Sebab Filem Ini Ada Shah Rukh Khan

2) Antara Filem Bollywood Yang Termahal Dari Segi Kos Pembikinannya

3) Mahu Membandingkan Filem Ini Dengan Filem Endhiran Lakonan Rajnikanth!


P/S : Aku Tengok Dekat Surat Khabar Filem Ini Tak Ditayangkan Di Pawagam Berhampiran Rumah Aku! Aku Lihat Di Internet Filem Ini Ada Dalam Senarai Tayangan Pula! Kejap Lagi Nak Serbu Pawagam Lah Tanya Mana Satu Yang Betul! (^_^)Y




25/10/11

Review Filem Raya Tak Jadi



Filem:
Raya Tak Jadi


Pengarah:
Prof. Madya A. Razak Mohaideen


Genre:
Komedi


Penilaian:
2 / 10


Pelakon:
Saiful Apek, Johan Raja Lawak, Jalaluddin Hassan, Wan Sharmila, Mak Jah & Etc.


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan bernama Leo yang bakal mengalami kerugian yang besar kerana kontena yang berisi kurma-kurma yang ingin dijualnya sebelum raya tidak sampai. Jadi, dia telah merancang untuk menunda hari raya dengan menculik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Hj.Ehsan. Dia telah mengarahkan dua pekerjanya iaitu Ali dan Abu untuk melakukan penculikan tersebut. Mereka berdua telah berjaya menculik Hj.Ehsan namun masalah timbul apabila Ali dan Abu telah tertukar teksi mereka dengan Shuib iaitu seorang pemandu teksi.

Shuib mempunyai seorang adik yang mempunyai masalah pelupa yang serius iaitu Bob. Kekecohan berlaku apabila Shuib dan Bob menemui Hj Ehsan yang disangka telah mati di dalam bonet teksi mereka.Mereka berdua telah melakukan pelbagai cara untuk meninggalkan mayat tersebut namun gagal dan membuat keputusan untuk mengebumikan mayat itu. Tiba-tiba mayat yang disangka telah mati itu hidup semula dan ini telah memeranjatkan semua orang. Hj. Ehsan kemudiannya menerangkan mengenai penculikannya. Sementara itu, Leo telah mengarahkan Ali dan Abu untuk mendapatkan semula Hj Ehsan dan mereka telah menculik Ibu dan adik perempuan Shuib dan Bob sebagai tebusan. 

Kemudian, Leo mengarahkan Shuib meminta wang tebusan daripada isteri Hj Ehsan dan menyerahkan wang tebusan tersebut dan Hj Ehsan kepadanya sebelum dia melepaskan ibu dan adik perempuan Shuib dan Bob. Leo dan dua pekerjanya telah diserbu dan ditangkap oleh polis ketika melakukan urusan penukaran tebusan dengan Shuib dan Bob. Shuib dan Bob berasa sedih kerana mereka terpaksa meraikan hari raya seperti hari raya tahun-tahun yang lepas dalam serba kekurangan. Tetapi, Hj Ehsan telah datang menziarahi mereka dan memberikan pelbagai hadiah dan duit yang banyak sebagai ganjaran menolong dia. Selain itu, Hj Ehsan juga menyukai sikap mereka yang baik. Oleh itu dia turut menawarkan Shuib dan Bob untuk bekeja dengannya.


Ulasan Hans:

Aku tidak menaruh harapan yang tinggi sewaktu menonton filem A. Razak Mohaideen kerana niat aku cuma untuk bersantai dan merehatkan badan mengenangkan Johan Raja Lawak dan Saiful Apek merupakan teraju utama yang mempunyai nama yang besar di dalam arena komedi. Kisahnya mudah dimana penyimpan mohor besar diculik gara - gara beranggapan jika penyimpan mohor diculik mungkin raya dapat  ditunda. Aku tak dapat nak pastikan perkara tersebut sebab sejarah negara sebelum ini belum ada lagi lah penyimpan mohor diculik dan jika betul diculik pun aku rasa hari raya tetap juga berlangsung. Jadi, kelemahan yang paling asasnya aku sudah nampak iaitu pada jalan ceritanya dan ia telah ditunjukkan sejak dari awal lagi filem ini bermula!


 Nasib Lah Ada 2 Pelakon Nih Dalam Filem Raya Tak Jadi!


Digambar Leo iaitu seorang peniaga berbangsa Cina dan menjual kurma tetapi masih tidak tahu apa itu bulan Ramadhan dan Syawal. Aneh kerana sebagai seorang penjual kurma besar - besaran sangat tak munasabah lah untuk peniaga seperti beliau sampai tidak tahu bulan apa orang Islam berpuasa dan raya. Sangat tak munasabah! Owh, aku terlupa! Ini sekadar untuk memberi kelucuan! Okay! Tak lucu!


 Kenapa Dato' Terima Watak Nih? Sob Sob Sob!!!


Susunan jalan cerita bagi aku kelam kabut! Sebelum aku menonton filem ini aku ada terbaca review filem ini di blog TMBF berkenaan lakonan Dato' Jalaluddin Hassan dan mungkin aku menyetujui kata - kata beliau dan disini aku aku meletakkan seorang lagi pelakon yang boleh dipersoalkan seperti Jalaluddin iaitu Noreen Noor yang memegang watak sebagai isteri kepada beliau di dalam filem ini. Dato' memakai baju bayi sambil menghisap jari manakala Noreen Noor memakai kostum Cat Woman yang tersangat lah sendat! Ia adalah sangat kelakar jika filem ini diterbitkan pada tahun 2001 dan bukannya pada tahun 2011! Aku tak tahu nak kata apa! Hanya mampu tercengang dan menonton adegan itu sehingga habis! Adakah pengarah merasakan babak itu sangat lucu? Jika anda rasa lucu maka disarankan anda pergi ke Genting Highland dan bermain Solero untuk mengejutkan anda dari tidur!!


 Babak Nih Langsung Tak Kelakar!!!


Aku sependapat juga dengan TMBF di dalam ayat beliau,"Walaupun ini sebuah komedi ringan, ini bukan komedi ringan yang bagus." Bagi aku filem ini cuba memperbodohkan penonton dan jika penonton ketawa maka semestinya anda baru pertama kali menonton filem sebegini yang datangnya dari pengarah filem ini. Jadi, apabila aku melihat kembali Entry Ini dan kemudian membandingkan pula dengan filem Raya Tak Jadi ini maka rasanya filem ini mempunyai jawapan untuk kajian pengarah tersebut.


 Senarai Pelakon Filem Raya Tak Jadi


Bagi aku sendiri sebenarnya aku tidak kisah jika sesebuah filem itu cuba menampilkan pelakon dengan watak yang bodoh - bodoh alang tetapi biarlah jalan cerita filem itu cerdik maka secara tidak langsung pelakon yang melakonkan watak yang tidak cerdik itu akan dipandang hebat di dalam filem tersebut. Tetapi, untuk filem Raya Tak Jadi............(fikir - fikirkan lah!)


P/S : Nasib Ada Johan Dan Apek!! Berjaya Juga Buat Aku Ketawa 2-3 Kali! Kalau Tidakkk....... (^_^)Y




21/10/11

Filem Abuya



Filem:
Abuya


Pengarah:
Imran Haji Ismail


Genre:
Drama


Pelakon:
Faizal Hussein, Jue Aziz, Yank Kassim, Adrea Abdullah, Khir Mohd Noor & Etc.


Tarikh Tayangan:
10 November 2011


Sinopsis:


Di sebuah kampung bernama Kampung Bukit Lalang yang terletak di sempadan Malaysia Thai,10 KM dari garisan sempadan Thailand. Seorang peniaga bernama Abu Zakaria telah datang ke kampung ini dan berkahwin dengan Rubiah seorang wanita kaya di kampung Bukit Lalang. Selepas itu Rubiah menghantarnya ke Turki untuk belajar ilmu agama, tetapi bila dia pulang ABU ZAKARIA membawa pulang seorang perempuan GRO berbangsa Turki yang dijadikan isteri keduanya. Kepulangannya ke kampung membawa sedikit perubahan pada dirinya.

Dia telah menyerapkan unsur- unsur penyelewengan serta menyesatkan sebahagian penduduk kampung itu. ABU ZAKARIA telah menubuhkan markaznya sendiri yang diberi nama MARKAZ KHALIFAH dan mengelarkan dirinya sebagai ABU YA. Sejak terdirinya Markaz Khalifah ini, semakin ramai pengikut dari berbagai bangsa, agama atau pun keturunan yang mengikut ajaran sesat ABU YA. Dengan kebolehan luar biasa yang dipelajarinya semasa di Turki itu membuatkan ABU YA lebih kuat dan berkuasa. Dia bernikah lagi dengan Adawiyah anak seorang pejuang pemisah PATTANI dan mempunyai seorang lagi isteri bernama Suraya.

Kerana kesesatan yang melampaui batas segala kegiatannya telah diketahui oleh orang kampung dan pihak berkuasa Malaysia Thailand. Kehidupan songsang yang diamalkan oleh pengikut ABU YA telah menjadi daya tarikan dari golongan sampah masyarakat untuk menyertai kegiatan ABU YA. Markaz Khalifah bukan sahaja dijadikan pusat pemujaan tetapi juga menjadi pusat latihan perang yang lengkap dengan senjata api. Kisah ini bermula dari tahun 2002 dan telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa Malaysia Thailand pada Julai 2005 atas kesalahan ingkar dan cubaan merampas kuasa dari Yang DiPertuan Agong.





Trailer:



P/S : Aku Rasa Macam Mahu Pergi Menonton Kerana Lama Tak Menonton Lakonan Faizal Hussein! (^_^)Y




17/10/11

Filem Alamak Toyol



Filem:
Alamak Toyol


Pengarah:
Ismail Bob Hashim


Genre:
Seram & Komedi


Pelakon:
Angah Raja Lawak, Along Cham, Hamid Gurkha & Etc.


Tarikh Tayangan:
03 November 2011


Sinopsis:

Kisah bermula dengan Pak Umar yang pergi berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan toyol atas niat untuk cepat kaya. Bomoh itu mempunyai banyak koleksi toyol dan setiap toyol mempunyai harga masing-masing. Oleh kerana tidak mampu, Pak Umar mengambil toyol yang paling murah. Setelah mengambil toyol dari bomoh, bomoh tersebut mengecop barcode di dada kiri Pak Umar. Pada waktu yang sama, Fakhrul dan Kudin yang juga merupakan sahabat baik juga memikirkan jalan untuk mendapatkan duit. Hampir setiap hari mereka mencuba kaedah baru untuk merompak namun semuanya gagal.

Sehinggalah pada suatu hari, Fakhrul dan Kudin mahu merompak Pak Umar namun Pak Umar tiada duit untuk diberikan pada mereka. Pak Umar bercadang mahu memberi toyol tersebut pada Fakhrul dan Kudin. Pada mulanya Fakhrul dan Kudin menolak toyol itu. Namun lama-kelamaan mereka sanggup untuk menerima toyol itu daripada Pak Umar. Toyol beralih arah dan barcode di dada kiri Pak Umar hilang serta-merta dan timbul barcode di dada kiri Fakhrul dan Kudin. Sejak hari itu, bermulalah kisah Fakhrul dan Kudin yang mahu jadi cepat kaya. Malangnya nasib mereka apabila toyol yang diambil dari Pak Umar itu tidak pandai mencuri. Fakhrul dan Kudin terpaksa mengajar teori dan praktikal kepada toyol tersebut untuk mencuri.

Di satu tempat yang lain, Farah yang selama ini setia bekerja dengan Daniel akhirnya mengetahui rupa-rupanya selama ini Daniel menjalankan perniagaan haram iaitu dengan menyeludup dadah. Farah yang mengetahui hal ini telah membuat laporan polis namun pihak polis tidak berjumpa sebarang bukti. Daniel berdendam dengan Farah dan berniat mahu menghapuskan Farah. Suatu malam yang dingin, oleh kerana banyak kali gagal dalam mencuri, Fakhrul dan Kudin berniat untuk mengembalikan toyol pada Pak Umar kembali. Toyol dengan wajah sedih meminta satu lagi peluang dari Fakhrul dan Kudin. Toyol telah masuk untuk merompak rumah Farah dan di sini menjadi titik permulaan pertemuan antara Fakhrul, Kudin dan Farah. Fakhrul dan Kudin terpaksa menolong Farah untuk membongkarkan rahsia Daniel dalam masa yang sama mereka terpaksa mencari Pak Umar untuk mengembalikan toyol tersebut.


Trailer:



P/S : Lidah Aku Kelu Atau Orang Putih Kata Speechless Selepas Menonton Trailer Filem Ini! (^__^)Y


16/10/11

Pada Zaman Dahulu



Animasi:
Pada Zaman Dahulu


Jumlah Episod:
12 Episod


Genre:
Keluarga


Siaran:
TV Al - Hijrah


Waktu:
November 2011


Pengarah:
?


Watak - Watak Animasi:

Aki
Aris
Ara
Wan
Sang Kancil
Sang Kerbau
Sang Tupai


Sinopsis:

Pada Zaman Dahulu merupakan sebuah siri animasi 3d yang kembali memaparkan kisah - kisah rakyat yang terkenal di Malaysia iaitu tentang seekor haiwan yang bijak diberi gelaran sebagai Sang Kancil bersama makhluk hutan yang lain. Pengembaraan hebat Sang Kancil dan rakan - rakannya itu diceritakan semula oleh seorang datuk kepada 2 orang cucunya iaitu Aris dan Ara yang dihantar oleh keluarga mereka dari bandar untuk tinggal bersama datuk dan nenek mereka iaitu Aki dan Wan di kampung kerana  ibu bapa mereka ke luar negara. Setiap hari Aki akan memberitahu mereka cerita-cerita tentang Sang Kancil untuk menghiburkan serta untuk menyebarkan kebijaksanaan dan nasihat tentang bagaimana untuk menjadi individu yang bertanggungjawab kepada Aris dan Ara.


Trailer:




Ulasan Hans:

Memandangkan siri ini akan ditayangkan di saluran TV Al-Hijrah dan liputannya masih belum sampai ke kawasan rumah aku di utara semenanjung maka kemungkinan besar aku terpaksa menontonnya di youtube. Apa - apapun, aku sukakan konsep animasi ini dan sangat bagus apabila kisah dongeng tentang haiwan si kancil ini dibikin semula di dalam bentuk yang lebih menarik untuk tontonan kanak - kanak sekarang.


 Comel Sang Kancil Nih!


Teringat aku di zaman aku masih kanak - kanak kecil dan dihiburkan dengan kisah animasi sang kancil dan buaya terbitan Filem Negara jika tidak salah aku. Walaupun jika dilihat kembali kini memang pergerakan kartun tersebut agak kaku namun itu lah yang menghiburkan aku di kala itu. Jadi, akhirnya kisah ini dibikin semula dan pastinya ia akan menjadi fenomena dan bagus untuk tontonan kanak - kanak di Malaysia kerana selain memberi pengajaran dan dijadikan tauladan ia juga tidak memaparkan aksi - aksi ganas seperti kebanyakkan siri animasi yang di import dari luar negara yang memenuhi saluran televisyen tempatan masa kini.


Aris Dan Bapanya


Jadi, untuk maklumat lanjut atau anda mahu melihat gambar - gambar watak animasi di dalam Pada Zaman Dahulu ini boleh melihatnya di facebook dengan klik PadaZamanDahulu.


Sang Buaya Dan Sang Kerbau


Rujukan Dan Sumber Gambar : PadaZamanDahulu


P/S : Aku Tak Pernah Sangka Animasi Tempatan Akan Berkembang Sebegini Bagus! Alhamdulillah! Tahniah Pada Semua Yang Terlibat Membangunkan Animasi Negara Ke Tahap Yang Cukup Membanggakan Terutamanya Pihak Les' Copaque! (^_^)Y




15/10/11

Review Filem Real Steel



Filem:
Real Steel


Pengarah:
Shawn Levy


Genre:
Aksi, Drama & Sains Fiksyen


Pelakon:
Hugh Jackman, Dakota Goyo, Evangeline Lilly, Anthony Mackie,
Kevin Durand, Hope Davis, Karl Yune, James Rebhorn, Olga fonda & Etc.


Penilaian:
5 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang sukan tinju yang telah beralih arah kepada teknologi tinggi yang melibatkan robot sebagai peninju menggantikan manusia. Charlie Kenton merupakan seorang bekas peninju yang hebat pada zaman beliau walaupun tidak bergelar juara tinju dunia. Namun di dalam arena tinju robot beliau tidak lah sehebat mana kerana sering kali tewas dan menyebabkan beliau berhutan dengan ramai orang. Pada masa yang sama, Charlie tiba - tiba mendapat berita bahawa beliau perlu pergi ke mahkamah untuk menyelesaikan hak penjagaan anak lelakinya Max yang langsung tidak pernah ditemuinya yang kini telah berumur 11 tahun. Charlie terpaksa menjaga seketika Max selepas ditawarkan 100 ribu dollar kerana beliau memerlukan wang untuk membeli robot baru iaitu Noisy Boy untuk kembali berlawan di arena tinju robot. Disebabkan ego dan lembabnya Charlie bertindak maka Noisy Boy rosak teruk dan tidak mampu dibaiki. Sewaktu beliau dan Max mencari bahan buangan robot di sebuah tempat tiba - tiba Max menjumpai robot bernama Atom dari generasi kedua yang menyelamatkan nyawanya secara tak sengaja. Atom sebenarnya merupakan robot yang digunakan sebagai teman pelatih kepada robot peninju sahaja namun Max mahu menjadikan Atom sebagai robot peninju yang hebat. Disini konflik mula timbul melibatkan hubungan anak dan bapa serta ego masing - masing. Berjayakah Max menjadikan Atom sebagai robot peninju? Mampukah Charlie menerima desakan anaknya yang mentah di dalam dunia tinju robot? Adakah hubungan mereka sebagai anak dan bapa akan menjadi jernih? Saksikan filem hebat dan menarik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Ini adalah filem kedua yang aku tonton hari ini selepas filem Klik 3GP. Wow! Filem ini sangat MENYERONOKKAN dan memang WOW HABIS!!! Kalau tak mana mungkin aku memberi 5 bintang kepada filem ini. Memang hati aku puas dan rasa berbaloi membeli tiket untuk menonton filem Real Steel ini kerana ia memaparkan sebuah kisah imaginasi tentang masa depan dimana robot yang bertinju menggantikan manusia yang idea ini aku rasa sangat segar dan unik. Di dalam kepala aku sewaktu filem ini mula ditayangkan mungkin kisahnya hanya sekadar memfokuskan pada kecanggihan dan pertarungan robot sahaja namun ia sama sekali meleset kerana elemen kekeluargaan yang aku begitu gemari dipaparkan dengan begitu bersahaja dan cukup menarik. Elemen ini berjaya menarik hati aku untuk menonton filem lakonan hebat daripada Hugh Jackman dan adik Dakota Goyo(okay tak aku panggil dia adik? hahahaha!!!) ini dengan begitu teruja sekali.


Hubungan Antara Bapa Dan Anak Yang Sangat Menarik!


Aku cukup suka bagaimana pertalian antara seorang bapa dan anak lelaki di dalam filem ini dipertontonkan kepada penonton. Mungkin karakter Charlie itu tahu atau tidak mahu mengambil tahu tentang kehidupan anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu namun ia agak menarik kerana Charlie dipaparkan sebagai seorang bapa yang sebenarnya tidak menyukai kehadiran anak beliau dan sentiasa tidak ingat tentang umur anaknya dan bagaimana situasi pertemuan pertama kali mereka dimana Max berusia 11 tahun ketika itu. Aku tidak nafikan adik Dakota Goyo yang memegang watak sebagai Max telah menjalankan tanggungjawabnya dengan cukup bagus di dalam menghidupkan watak kanak - kanak tersebut sehingga disukai oleh ramai penonton. Dengan wajah comelnya yang sesekali nakal, bijak bermain mata dan mampu melontarkan emosi dengan agak baik menjadikan watak Max lakonan beliau itu cukup kuat dan punya auranya tersendiri dan secara tidak langsung membantu membina watak Charlie lakonan Hugh Jackman dan menjadikan perjalanan filem ini begitu indah. Babak pertengkaran, bertikam lidah dan mengejek antara bapa dan anak di dalam filem ini sangat melucukan. Si anak yang mahir di dalam teknologi tetapi mentah di dalam membuat keputusan manakala si bapa pula yang kaya dengan pengalaman tetapi begitu cemerkap dan ego sering tidak sependapat namun akhirnya kedua - dua watak ini ditunjukkan bersatu di dalam cara yang amat menarik. Anda kena tonton filem ini!


 Dunia Tinju Robot Yang Begitu Mengasyikkan!


Apa yang aku suka tentang filem ini ialah ia tidak memfokuskan pada satu perkara(tanggapan awal aku filem hanya tentang robot yang bertinju) dan ia juga tidak melebih - lebihkan kepada perkara yang lain(dalam adegan anak dan bapa diantara Max dan Charlie). Bagi aku adunan dan pengisiannya memang cukup ramuan dan bahannya. Aku tidak berasa filem ini kekurangan apa - apa dan aku suka bagaimana filem ini menyuruh kita memikirkan jawapan sendiri tentang hubungan ayah dan anak ini yang jawapannya ada di dalam filem tetapi ia lebih kepada hal yang tersurat dan tersirat. Anda kena tonton dan selepas itu mungkin anda faham kenapa aku sangat menyukai tentang perkara ini. Hahahaha!!


Aksi Robot Atom Dan Charlie Yang Menarik!


Dari segi kesan khas atau CGI, unsur bunyi, pencahayaan dan muzik latar boleh aku katakan ia menarik dan menghiburkan. Cukup sesuai dengan kisah tinju robot yang diadakan secara bawah tanah(underground) atau pun yang diiktiraf. Muzik yang rancak dan begitu membantu menghidupkan suasana perlawanan. Robotnya yang kelihatan betul - betul hidup, mimik muka robot yang menarik dan paling lucu si robot boleh menari - menari mengikut gaya si pengawalnya. Babak robot Atom menari dengan Max sangat menarik dan menghiburkan. Anda pasti akan ketawa menontonnya. Aku jamin!


Salah Satu Babak Menarik Di Dalam Filem Ini!


Dari segi jalan cerita pula seperti yang kita semua sedia maklum filem - filem sebegini selalunya agak klise dimana ia akan menonjolkan si pemenang pada awalnya kelihatan begitu lemah dan pasti akan berakhir dengan kemenangan. Itu memang ramai yang boleh jangka namun aku pasti jalan ceritanya memang menarik daripada permulaan, pertengahan hingga ke akhir. Aku suka babak akhir filem ini dimana bagaimana mereka menilai kemenangan itu. Pelakon - pelakon filem ini juga tidak kira pelakon utama mahu pun pembantu semuanya memberi lakonan yang baik dan watak masing - masing juga jelas dan mempunyai karakter tersendiri yang tidak membuatkan kepala anda pening atau tertanya - tanya siapa mereka di dalam filem tersebut.


 Saat - Saat Genting Macam Nih Pun Boleh Buat Penonton Ketawa!


Jadi, aku dengan sukacitanya menyarankan filem ini sebagai filem pilihan untuk ditonton di pawagam jika anda meminati filem sebegini dimana ia bukan saja mempertaruhkan robot - robot yang canggih dari segi kesan khas atau CGI namun juga sisi lain seperti kekeluargaan serta humor yang bagi aku berjaya menjadikan filem ini antara filem kesukaan aku pada tahun ini. Jadi, selamat menonton! :-)


Inilah Dakota Goyo!


P/S : Aku Rasa Sistem Penilaian Harus Bermula Dari Nombor 10 Dan Berakhir Dengan Nombor 0 Pada Review Akan Datang! Anda Setuju? (^_^)Y




13/10/11

Review Filem Klik 3GP



Filem:
Klik 3GP


Pengarah:
Aidil Fitri Mohamed Yunos


Genre:
Seram & Misteri


Pelakon:
Zahiril Adzim, Mimie One Nation Emcee, Fikhree Abu Bakar, Zydee,Shafiq Isam,
Iskandar, Tasha Shila, Adeline Anthony, Amanda Misbun, Sara Ali, Sabhi Saddi & Etc.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

Eddie yang baru berusia sekitar 20 tahun sudah meraih kejayaan di dalam urusan perniagaannya yang dilakukan di Internet. Dia seorang jejaka yang memiliki segala - galanya. Tampan, hidup mewah dan mempunyai ramai teman wanita. Tanpa diketahui sesiapa, Eddie sebenarnya meraih keuntungan daripada perniagaan membeli dan menjual klip-klip pornografi dan sensasi di Internet. Maya Akhtar pula adalah seorang wartawan yang begitu fokus terhadap kerjayanya. Malangnya, dia telah diugut oleh Sunny yang memiliki rakaman video hubungan sulit mereka.

Lebih mengejutkan lagi ialah perbuatan Sunny tersebut disokong oleh isterinya sendiri iaitu Rita kerana inilah cara mereka membuat duit dengan memperdaya wanita untuk tidur dengan Sunny dan memeras ugut mangsa kemudiannya. Suria, Mina dan Zakiah adalah tiga gadis remaja yang dalam perjalanan untuk mencari hiburan hujung minggu di Kuala Lumpur. Tanpa disangka, malam itu berubah menjadi suatu peristiwa yang menyeramkan apabila mendapati diri mereka diburu oleh satu makhluk yang mengerikan. Sandra adalah seorang gadis sekolah yang menjadi mangsa deraan seksual oleh Jefri.

Lebih dari itu, Sandra telah diperkosa beramai-ramai oleh satu geng motosikal yang dianggotai Jefri dan abang kandung Sandra sendiri iaitu Burn. Acara perkosaan ini telah dirakamkan oleh geng ini melalui kamera telefon bimbit Jefri. Dalam filem 3GP, kehidupan watak-watak berbeza ini akhirnya bersulaman dan berkait melalui pembocoran klip-klip 3gp mereka kepada masyarakat Internet dan dunia mereka bertembung dalam satu kemuncak yang dramatik.


Ulasan Hans:


Aku baru selesai menonton filem Klik 3GP sebentar tadi sebelum sekejap lagi menonton pula filem Real Steel. Baiklah! Ini adalah pandangan dan komen peribadi aku selepas berkesempatan menonton filem ini daripada awal sehingga penamat. Klik 3GP digarap berdasarkan kisah - kisah hitam yang mungkin kelihatan negatif bagi segelintir orang. Itu aku tidak nafikan kerana sudah namanya filem ini menyajikan kisah tentang bahana klip lucah, karya porno dan juga pelbagai aksi yang agak dasyat kerana bersifat erotik yang terdapat di dalam filem ini. Jadi, aku mengharapkan agar kepada sesiapa yang mahu menonton jangan lah dibawa bersama kanak - kanak mahu pun budak sekolah walaupun ia diklasifikasikan sebagai PG13 kerana ada beberapa adegan yang aku rasakan sangat tidak sesuai untuk ditonton oleh remaja.


Watak Eddie Yang Bagi Aku Agak Misteri Tetapi Menarik


Aku sukakan intipati kisahnya dan ini secara tidak langsung membuatkan aku bersetuju dengan Zahiril Adzim yang juga antara pelakon utama filem ini dimana sebab beliau bersetuju untuk berlakon filem ini kerana kisah ini sebenarnya dekat dengan masyarakat Malaysia terutamanya remaja. Kebanyakkan daripada masyarakat khususnya yang sudah berusia memang agak asing dengan apa itu 3GP tetapi aku sudah mendengar tentang hal ini sejak 6 tahun yang lalu. Jadi, mungkin pada zaman kini ia lebih dasyat menular dan menjadi barah dalam masyarakat kita khususnya golongan remaja. Itu adalah salah satu mesej yang aku nampak apa yang filem Klik 3GP ini cuba sampaikan dan bagi aku ia adalah sebuah cerita yang sebenarnya bagus dan begitu memberi kesedaran namun ia bergantung kepada penerimaan penonton itu sendiri. Jika yang dicari negatif maka negatif lah yang anda jumpa dan begitulah sebaliknya.


Kurang Umph Sikit Lah!


Filem ini mempunyai 4 buah kisah yang tidak berkait antara satu sama lain tetapi pada akhirnya ia membawa kepada satu jawapan yang sama iaitu kesan laman web 3GP itu sendiri pada hidup mereka. Kebanyakkan kisah tidak diberi kekuatan sama rata dimana apa yang aku perasan hanya kisah mengenai Maya dan Sunny sahaja yang agak kuat sedikit momentum jalan ceritanya dan watak Maya itu yang lebih diberi fokus perkembangan berbanding watak - watak lain. Bagi aku setiap kisah yang lain seperti Hantu Kebaya Merah, kisah Sandra diperkosa abangnya sendiri dan juga kisah kaki skodeng juga mempunyai kekuatan namun di dalam filem ini ia hanya sekadar cerita sampingan yang sebenarnya jika diberi perhatian mampu memberi kekuatan unik pada filem ini sendiri. Kenapa aku berkata begitu? Bagi aku setiap kisah tersebut membuatkan sifat ingin tahu aku meninggi tetapi aku tidak peroleh jawapannya langsung! Sebagai contoh kisah Sandra itu sendiri! Dari mana Sandra datang malam - malam buta ke rumah lelaki yang baru dikenalinya dengan riak rasa ketakutan melampau? Apa penyebab abang dia sanggup melakukan perkara keji tersebut? Banyak lagi yang sebenarnya tidak terjawab di dalam filem ini kerana bagi aku filem ini lebih memberi fokus pada watak Maya sahaja.


Lakonan Sulung Yang Boleh Dipuji


Dari segi lakonan pula boleh aku katakan lakonan Mimie ONE boleh dipuji kerana ini adalah lakonan pertama beliau dan agak menarik juga melihat beliau membawakan watak seorang gadis psiko sebegini. Mungkin ada sedikit kekurangan namun bagi aku lakonan beliau agak bagus. Aku sedikit kecewa kerana watak Eddie kurang dikembangkan di dalam filem ini kerana bagi aku watak ini misteri dan menarik. Fikhree Abu Bakar pula bagi aku berjaya membawakan watak gigolo dengan baik. Lakonan pelakon lain pula apa aku boleh katakan biasa - biasa sahaja dan ada juga yang memberikan lakonan yang mengecewakan. Sebagai contoh di dalam kisah Hantu Kebaya Merah dimana ketiga - tiga pelakon wanita kurang memberi kesan untuk kisah tersebut. Pelakon seperti Sara Ali, Tasha Shila dan Amanda Misbun sebenarnya sudah dikenali melalui filem dan drama sebelum ini namun lakonan mereka agak mengecewakan(walaupun aku meminati Tasha Shila di dalam drama Ramadhan Terakhir). Cuma lakonan Sara Ali sedikit menarik berbanding 2 orang lagi pelakon tersebut. Bagi aku kisah yang melibatkan mereka itu agak menarik cuma hal ini sedikit sebanyak menghilangkan minat aku pada kisah tersebut. Ditambah pula dengan kesan khas hantunya yang langsung tidak menarik.


Suami Isteri Yang Berkomplot


Baiklah! Aku mahu menonton filem lain pula! Apa aku boleh kata filem Klik 3GP ini mempunyai intipadi dan mesej yang mungkin ramai menyedari tetapi kurang nampak kesannya dan bagi aku filem ini mempunyai sebuah idea segar yang agak menarik untuk dijadikan cerita. Jika ditanya tentang mesejnya maka boleh katakan aku nampak bahayanya apa jenis video atau pun di dalam situasi seharian kita dimana kadang - kadang kita tak jangka bahawa perkara sebegitu akan menarik manusia - manusia berhati hitam untuk merakam dan merosakkan hidup kita seumur hidup. Cuma sayangnya plot - plot cerita dan watak - watak lain tidak dikembangkan dengan lebih mendalam. Garapan filem juga bagi aku sedikit serabut dan kurang kemas! Aku lebih suka jika filem ini hanya mengambil 2 kisah dan menggabungkannya jika itu boleh menjadikan filem ini lebih bagus dan padat. Apa - apapun, kepada yang ingin menonton aku ucapkan selamat menonton!


P/S : Selepas Ini Mungkin Pengarah - Pengarah Filem Malaysia Boleh Mula Menjadikan Psikologi Sebagai Tema Filem Pula Seperti Filem The Orphan Kerana Bagi Aku Ia Adalah Satu Subjek Yang Menarik Untuk Diketengahkan :-)