3/10/11

Filem Hantu Racuni Minda! Lambakan Cerita Tahyul Punca Histeria! - Tun Dr. Mahathir Mohamad



Kuala Terengganu : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan filem ketika ini boleh mempromosikan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat produktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik. 

Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir (gambar) dipetik Berita Minggu hari ini.

“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.

“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.

“Untuk bergerak dan maju ke hadapan, kita perlu banyak menerapkan cara berfikir secara saintifik dalam menyelesaikan masalah, bukan bergantung pada bomoh.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak boleh mengubati orang dengan kemenyan,” katanya sambil menambah, “dulu kita tidak ada cara lain mungkin boleh guna cara itu.”

“Dulu jika kita sakit jantung, pergi belah dada kita akan mati.

“Sekarang, jika kita sakit jantung, kita boleh belah (buat pembedahan) sebab sudah ada mesin jantung dan paru-paru. Itu saintifik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam. Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.


Sumber : Berita Harian (2 Oktober 2011)


Assalammualaikum dan salam sejahtera semua! Maaf jika entry kali ini dipenuhi oleh keratan berita di atas berbanding tulisan aku! Aku cuma tertarik dengan tajuk kali ini dan aku memohon jasa baik kalian untuk berkongsi pandangan tentang perkara ini!!


Jika anda setuju dengan pandangan ini berikan sebab anda menyokong!!

Jika anda tidak bersetuju dengan pandangan ini maka berikan sebab kenapa anda menentang!!


Aku saja nak mendengar pandangan dan berkongsi pendapat anda bersama pembaca blog aku ini. Mana tahu kadang - kadang aku hanya berfikir tentang A dan tiba - tiba kalian memberi jawapan B, C atau D dan jawapan - jawapan tersebut mungkin ada rasional dan manfaatnya. Jadi, sama - sama anda berkongsi pandangan masing - masing di ruangan komen yer!



P/S : Masih Mahu Menonton Filem Al - Hijab! (^_^)Y




2 ulasan:

  1. mahadhir bleh jadi pengarah filem! aku suka idea dia, memang tak terfikir apa yg ada dlm minda dia

    BalasPadam
  2. setuju dgn pandangan tue sebab banyak sgt film seram membuatkan masyarakat semakin berfikiran negetive dlm semue aspect

    BalasPadam