21/12/11

Review Filem Songlap



Filem:
Songlap


Pengarah:
Effendee & Fariza Azlina


Genre:
Aksi & Drama


Pelakon:
Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Omar Abdullah,
Rozie Rashid, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi,
Rashidi Ishak, Lisdawati, Eizlan Yusof, Nasir Jani & Etc,


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang dua orang adik beradik iaitu Am dan Ad yang melibatkan diri dalam satu sindiket penjualan bayi yang diuruskan oleh seorang wanita bergelar Mama. Kehidupan dua adik-beradik ini memang jauh berbeza. Am mengambil kesempatan dengan menggunakan perniagaan Mama ini sebagai jalan pintas baginya untuk mendapatkan wang bagi memenuhi kegiatan judinya manakala Ad pula mengimpikan kehidupan yang lebih baik dengan menyertai pertandingan tarian B-Boy. Ad mula menyedari impiannya mungkin tidak akan tercapai akibat kehilangan kawan karibnya iaitu Razak akibat masalah dadah dan melihat sendiri nasib gadis-gadis muda yang dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia. Apabila adik Razak iaitu Hawa yang sedang hamil terjebak pula dengan sindiket tersebut maka ia membuatkan Ad tidak boleh menutup mata dan terpaksa berlumba dengan masa untuk menyelamatkan Hawa tanpa menyedari bapa Hawa iaitu Pak Din juga sedang mencari anaknya yang telah hilang itu. Akan tetapi, niat baik Ad untuk menolong Hawa telah menggoyahkan hubungannya dengan Am lalu terjadilah sebuah pergelutan antara mereka yang akhirnya mencecah tebing maut. Berdepan dengan godaan dan pengkhianatan serta dihambat oleh samseng ganas di jalan raya maka siapakah yang akan menang dalam pertaruhan nyawa antara dua saudara ini? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku berkesempatan menonton filem arahan daripada Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak yang juga pernah mengarah filem Kami The Movie yang ditayangkan pada tahun 2008 yang lalu. Kedua - dua filem ini bergenre drama yang agak berat namun mesej dan permainan watak yang mereka utamakan adalah satu faktor yang membuatkan aku suka menonton kedua - dua filem ini. Menariknya tentang filem yang berlatar belakangkan Kuala Lumpur ini ialah apabila ia memaparkan pelbagai perkara hitam terutamanya yang melibatkan jiwa remaja yang berkecamuk gara - gara keruntuhan sistem rumah tangga yang terjadi di dalam salah silah keluarga mereka, desakan hidup yang menarik mereka untuk terjerumus kepada pekerjaan haram iaitu pemerdagangan bayi dan gadis, berjudi, masalah moral dan pelbagai lagi lalu apabila ia disatukan di dalam sebuah kisah menjadikan filem ini sebagai sebuah filem yang cukup berani berdiri untuk memaparkan kisah kebenaran tentang 'kegelapan nilai hidup manusia' yang wujud di negara ini. Tetapi, setiap yang berlaku mesti ada penyebab dan puncanya dan filem ini juga tidak meletakkan seluruh kesalahan tersebut kepada masalah moral itu kerana filem ini juga membuktikan bahawa jika manusia bijak menggunakan akal untuk mengubah dari yang buruk kepada yang baik maka ia pasti berlaku.


Antara Kasih Sayang, Maruah, Wang Dan Penghormatan


Dua perkara yang cukup menyentuh hati disini ialah pertama apabila filem ini memaparkan hubungan seorang anak iaitu Ad yang masih menyayangi ibunya, Rita sedangkan si ibu sebenarnya langsung tidak mengenali dan tidak pernah untuk cuba mengambil tahu tentang kehidupan anaknya itu dan pekerjaannya sebagai seorang pelacur sangat dibenci oleh abang Ad iaitu Am. Melihat Ad yang sanggup berkorban wang ringgit semata - mata untuk berborak dengan ibunya agak meruntun hati sebenarnya dan melihat pula kepada abang Ad iaitu Am yang amat membenci ibunya adalah satu perkara yang menarik untuk dikupas kerana apa sebenarnya yang membuatkan Am terlalu membenci Rita. Adakah Am beranggapan kehidupannya kini kucar - kacir gara - gara kerana pekerjaan ibunya yang tidak senonoh itu lalu menyebabkan Am turut terheret sama menjadi seorang belia yang tiada masa depan? Atau adakah Am malu dengan pekerjaan ibunya? Namun akhirnya anda akan melihat Am sebenarnya tersepit diantara mahu menyanyangi, fobia atau takut kepada kisah silamnya. Kedua pula ialah tentang nilai persahabatan yang ditonjolkan diantara Ad dan rakannya yang merupakan abang kepada Hawa(lakonan Izzue Islam jika tidak silap aku) yang bagi aku cukup berkesan dan penuh makna. Filem ini ibarat serampang dua mata dimana ia menunjukkan remaja yang bermasalah sebenarnya bukan semuanya berpunca daripada diri sendiri tetapi ia juga bermula daripada keluarga mereka dan inilah apa yang filem ini cuba sampaikan kepada penontonnya.


Watak Rita Lakonan Normah Damanhuri Yang Cukup Berani


Mengambil isu - isu terkini terutamanya tentang kisah penjualan dan pembuangan bayi juga merupakan sesuatu yang agak menarik dan menambah warna di dalam perjalanan filem ini. Pada babak awal filem ini sahaja sudah membuatkan aku tertarik kerana permulaan adegan yang menunjukkan Ad menghantar bayi yang dibeli oleh keluarga yang tidak punya zuriat melalui urusan sindiket penjualan bayi. Penonton akan diajak untuk menilai sendiri apakah yang mereka rasakan tentang kewujudan sindiket penjualan bayi ini. Membiarkan gadis - gadis terlanjur membuang bayi sememangnya satu perbuatan yang keji tetapi bagaimana pula dengan mengambil bayi tersebut daripada gadis - gadis yang pada mulanya tidak mahukan bayi mereka dan sememangnya mereka berhasrat untuk menjual anak mereka tersebut tetapi kemudian apabila mula jatuh sayang kerana 9 bulan bayi itu dikandung mereka tetapi mereka tidak mampu berbuat apa - apa pun untuk menyelamatkan bayi tersebut kerana tidak berdaya. Manakala pihak sindiket pula mengambil kesempatan untuk membantu gadis - gadis terlanjur ini buat seketika dengan memberi tempat tinggal, makanan dan ubat - ubatan kepada gadis ini sehingga mereka bersalin dan kemudian anak tersebut akan dijual dan ibu kepada anak tersebut pula akan dijual. Kemudian, apabila watak Hawa ini muncul pula ia sekali lagi membuktikan apabila sistem keluarga yang diamalkan kucar - kacir dimana apabila si ayah sudah tidak bermoral dan sudah tidak kenal yang mana halal dan yang mana haram menyebabkan Hawa sendiri keliru apa yang perlu dia lakukan kerana dia bukannya gadis liar jika dilihat melalui gayanya itu. Inilah salah satu subjek yang cukup menarik bagi aku kerana sebagai seorang gadis yang dirosakkan oleh darah daging sendiri maka bukannya mudah untuk dia menjaga kandungan tersebut dan sememangnya Hawa tidak rela diperlakukan sedemikian rupa. Bagaimana susahnya Hawa dalam mengawal emosinya kerana untuk menggugurkan tidak sanggup dan untuk melahirkan pun terasa cukup berat di hati. Emosi ini berjaya diterjemahkan oleh Sara Ali dengan agak baik bagi aku. Tanpa dialog yang berjela dan banyak bermain dengan ekpresi wajah dalam menunjukkan emosi dalam menzahirkan watak Hawa ini merupakan satu kejayaan buat pelakon Sara Ali bagi aku.


Emosi Hawa Berjaya Diterjemah Dengan Baik Oleh Sara Ali


Jadi, bagi aku filem ini memang berjaya menggabungkan tentang masalah - masalah tersebut di dalam satu cerita melalui 3 watak utama yang menarik iaitu Ad, Am dan Hawa serta momentum perjalanan ceritanya juga bergerak lancar tanpa perlu adegan atau babak imbas kembali untuk membuatkan penonton faham atau lebih mengenali watak kerana sususan cerita dan dialognya sudah cukup tersusun dan sangat membantu penonton mengenali setiap sisi watak - watak di dalam filem ini. Bagi aku jika anda meminati filem Kami The Movie maka tidak mustahil anda akan lebih meminati filem Songlap ini kerana daya tarikannya bagi aku cukup menjadi dan memang berbaloi.


Shaheizy Sam Akhirnya Tampil Dengan Kekuatan Watak Yang Aku Nantikan


Jika anda ingin melihat sisi lain Shaheizy Sam di dalam lakonannya maka ini lah filemnya kerana ia sememangnya menguji Sam dalam membawakan watak Am tersebut. Unsur humor nya tetap ada tetapi ia lebih bermaruah berbanding filem - filemnya sebelum ini. Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak kerana memberi Sam peluang untuk menonjolkan bakatnya kerana aku tahu Sam sangat berbakat cuma beliau tidak berpeluang untuk menunjukkan kehebatannya tersebut gara - gara filem - filemnya yang lain tidak terlalu membantu perkembangan lakonannya. Tahniah Shaheizy Sam kerana anda sememangnya pelakon yang bagus! Syafie Naswip pula pastinya akan membuatkan Allahyarham Yasmin Ahmad bangga jika beliau masih hidup kerana filem Songlap ini memang adalah jiwa Syafie atau lebih dikenali sebagai Mukhsin ini dalam menghidupan watak Ad tersebut. Emosi, roh, gerak tubuh, jiwa dan nada yang diberi cukup untuk menjadikan watak Ad itu hidup dan berkembang dengan baik. Watak - watak lain juga tidak kurang hebatnya dan tahniah kepada pelakon - pelakon seperti Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi, Hasnul Rahmat, Khairil Ridzuan dan lain - lain yang cukup bijak di dalam menghidupkan karakter masing - masing.


Aku Cukup Sukakan Babak Ini! Sangat Bermakna!


Skor muzik filem ini juga menarik dan membantu dalam meningkatkan minat menonton filem ini. Sinematografi yang juga kemas dan cukup cantik. Mungkin ada beberapa babak yang akan dipertikaikan penonton seperti satu adegan dimana Ad menjerit - jerit bertanyakan kepada Rita dengan dialog,"Ini saya! Saya nih! Saya nih!" yang sebenarnya bertujuan untuk memberitahu Rita bahawa dia adalah ibu kepada Ad namun sampai kesudah itu lah sahaja dialog nya. Ada juga satu babak dimana Hawa terus sahaja mengikut Kak Jah iaitu salah seorang wanita yang terlibat dengan pihak sindiket walaupun baru sahaja berkenalan di sebuah tempat menunggu. Tetapi, adegan ini aku rasa masih boleh diterima kerana bagi aku gadis ini di dalam keadaan cukup bercelaru dan cukup rungsing melalui emosi yang dipaparkannya jadi mungkin itu adalah penyebab dia mengikut sahaja apa yang Kak Jah telah aturkan. Ada satu adegan dimana babak seorang lelaki memijak kepala ikan keli untuk menunjukkan rasa marahnya yang bagi aku agak kejam sebenarnya tetapi bila melihat kembali kepada watak lelaki itu sebagai seorang penjahat berhati kering maka inilah buktinya yang menunjukkan lelaki itu tidak ada perasaan simpati atau kasih sayang kepada manusia apatah lagi haiwan. Ada satu dialog yang sangat lucu bagi aku dan sampai sekarang masih segar di dalam ingatan sewaktu Am bercakap dengan Ad berkenaan pertandingan B-Boy iaitu,"Kalau menari boleh dapat 50 ribu dah lama Dr. Rozmey belajar lah!"


Misteri Watak Bapa Hawa Ini Terjawab Di Dalam Adegan Ini


Apa - apapun, filem ini cukup menarik melalui jalan cerita yang disampaikan dan sesuailah dengan klasifikasi filem ini hanya untuk tontonan 18 tahun keatas kerana adegan - adegan di lorong gelap memang tidak sesuai untuk tontonan kanak - kanak. Jadi, selamat menonton filem yang mempunyai kelas dan wajah tersendiri ini dan diharapkan agar anda bukan sekadar menonton tetapi cuba mencari apa yang filem ini cuba sampaikan dan sama - sama lah berfikir untuk bersetuju atau tidak dengan mesej yang filem ini cuba sampaikan. Sekian!




P/S : Dialog "Nak Tengok Jer Pun Boleh!" Membuatkan Pawagam Riuh Seketika! (^_^)Y

P/S Lagi : Jangan Samakan Atau Rendahkan Kualiti Filem Ini Dengan Filem Bini - Biniku Gangster Atau Pun Filem Kongsi Kerana Filem Songlap Sepuluh Kali Lebih Bermakna Dan Bernilai Daripada Filem - Filem Tersebut! (^_^)Y




17 ulasan:

  1. baca mcm best...tgk iklan pun nmpak best.. :)

    BalasPadam
  2. 'nak tengok pun boleh' tapayah tgu panggung..iklan kat tv pun aku dah tergelak ok..bongok betul haha

    BalasPadam
  3. bila baca review kau ni.. aku rasa nk tgk...

    BalasPadam
  4. mcm best..okeyh..nak tengok..!

    BalasPadam
  5. best je baca reiew nihh . nak tgk laa :)

    BalasPadam
  6. ceritanya "draggy" dan ini menjadi trend filem-filem seni bertaraf dunia, dan scene "aku ni..." memang sengaja di buat dan ramai akan rasa geram kenapa tak sebut "aku ni anak kau lah" hehe aku suka part tu, secara keseluruhan ada berbau filem-filem argentina yang tiada awal, climaks dan akhirnya, syabas untuk fendi dan fizzi, harap akan muncul banyak lagi filem2 tempatan yang sebegini,

    oh ya dalam panggung semalam ramai abg2 dan kakak2 tak puas hati tad dapt tengok karekter ala2 adnan sempit

    BalasPadam
  7. Cik Nur : bagi aku memang filem nih best...seronok sangat sebab akhirnya ada juga filem macam nih walaupun hujung2 tahun baru dia nak keluar :-)

    Amirah Yusof : haha...memang nak tergelak tapi sebenarnya aku suka part tu bila part tu ada hubung kait antara si ibu dan anak :-)

    Mr. Syah : pergila tgok :-)

    chenta : selamat menonton :-)

    missamy : selamat menonton :-)

    MagnusCaleb : haha..aku tahu adegan tu sengaja dibuat sebegitu cuma kadang2 rasa geram juga kenapa susah sangat nak sebut anak..biasa lah tu kan..haha..apa2pun filem nih memang menarik dan seronok sangat sebab impian aku nak tengok Sam pegang watak macam nih tercapai...

    BalasPadam
  8. Bila kau cakap filem ni berat sikit..
    Aku dah mcam lemah sikit..
    Dalam dilema,nak tgk ke tak nak..
    Rate filem ni tinggi ni..8 kau bagi..umm~~~

    BalasPadam
  9. Aku sangat suka dengan review kau. Aku sebenarnya nak ambik contoh sikit dari review kau buat jadi review aku (bukan copy paste). Kalau kau bagi 8/10, aku bagi 4.5/5 bintang untuk filem ni kerana bagi aku, tiada 1 filem kat dunia yang sempurna 100%.

    Setuju dengan review kau tentang ketiga2 watak utamanya. Masing2 berjaya memainkan peranannya sebagai orang2 yang punya konflik dalaman di antara moral dan falsafah hidup.

    Sinematografi dia memang hebat, bagaikan kita melihat gambar-gambar fotografi. Shot/angle berjaya menampilkan karakter/plot cerita dengan lebih berkesan, ditambah pula audio latar oleh Monoloque.

    Cuma aku kecewa dengan segelintir penonton yang tak tahu menilai filem ni dengan baik. Mereka masih lagi dalam minda Kongsi ataupun Bini-biniku Gangster, dengan mengharapkan komedi semata-mata.

    BalasPadam
  10. Terbaik review hans! Jom baca review dari KakiWayang.com : Review filem songlap

    BalasPadam
  11. pinjam ur link k kat my blog....

    http://lidiasuraya.blogspot.com/2011/12/jum-dating-wif-shaheizy-sam.html

    BalasPadam
  12. LOVE LOVE LOVE!

    Satu lagi karya hebat daripada duo yang memperkenalkan KAMI kepada Malaysia!

    =)

    BalasPadam
  13. dah baca macam nak pegi tengok, kena ba rview awak dlo, baru bole putuskan nak pegi atau tak..hehe..so nak pegi la nie..thnks k :)

    BalasPadam
  14. Agak2 filem ni boleh menang tak apa2 award akan datang? Sebab pengisian dan fokus memang ok. Jalan cerita pun tak lari sangat dari masalah utama pemerdagangan manusia.

    BalasPadam
  15. skrip yg matang. tampak semulajadi. tapi akhiran boleh dipermantapkan lagi

    BalasPadam
  16. Panjang review ni.. hehe, saya punya pendek jer..

    http://malayafilm.blogspot.com/2012/03/songlap-2011-4.html

    BalasPadam
  17. Filem ini merupakan filem melayu terbaik pernah dihasilkan (bagi aku) dan pernah aku tonton dalam hidup aku...dan aku tak kisah ia tak menang apa-apa award dlmn FFM kerana FFM itu sendiri adalah satu anugerah yang tiada kualiti dari segi penilaian dan penjurian...at least 9/10 bagi aku untuk sebuh filem yang diterbitkan dari Malaysia..

    from Alif UUM

    BalasPadam