23/02/11

Review Drama Kashaf Imani



Drama:
Kashaf Imani


Karya:
Azma Aizal Yusoof


Pelakon:
Beto Kusyairy, Sharifah Amani, Normah Damanhuri, Wan Sharmila,
Ismail Abdul Aziz, Khairilridzuan K’n, Noryati Taib dan Ain Satar.


Sinopsis:

Mengisahkan tentang Kashaf yang hidup bersama ibu dan adik perempuannya dalam suasana yang kurang sihat dimana beliau sering bertengkar dengan ibunya kerana ibunya suka menyebelahi adik perempuannya. Pada waktu yang sama juga Kashaf bercampur dengan budak - budak liar yang tanpa beliau sedari telah membawa beliau ke satu dunia yang gelap. Imani pula adalah seorang gadis yang mempunyai suatu keistimewaan yang amat luar biasa iaitu mampu melihat roh orang yang telah mati. Dalam diam beliau mencintai Kashaf dan menyimpan apa sahaja barang yang ditinggalkan Kashaf.

Suatu hari Kasyaf telah ditimpa satu kecelakaan selepas bertengkar dengan ibunya dan apabila sedar beliau mendapati bahawa beliau kini adalah roh yang sedang berkeliaran. Kini beliau perlu meminta maaf atas segala dosa yang telah dilakukan terhadap ibunya namun dengan siapakah dia perlu meminta bantuan untuk menyampaikan hasratnya yang dia amat menyayangi ibunya dan ingin meminta maaf atas segala salah dan silapnya selama ini? Beliau menyedari yang Imani mampu melihatnya dan apakah yang bakal berlaku seterusnya? Mampukah Imani membantu Kashaf? Saksikan drama Kashaf Imani.


Ulasan Tuan Punya Blog:

Aku suka drama nih sebab walaupun kadang - kadang ada babak yang klise atau mungkin korang boleh agak dengan berkata,"Aku tahu nih mesti roh si Kashaf nih sebab dia dah mati!' namun kemudian akan ditunjukkan pula babak yang membuatkan engkau keliru sambil berkata,"Okay! Andaian aku salah! Rupanya dia tak mati!" dan kemudian akhirnya andaian engkau tu sebenarnya betul. Kiranya aku suka plot dia yang mampu buat aku keliru pada sesetengah babak.

Lakonan Beto Kusyairy sebagai Kashaf dan Sharifah Amani sebagai Imani sangat mengujakan aku. Aku sangat suka adegan dimana Kashaf dan Imani berjumpa selepas Imani terkantoi yang dia menyukai Kashaf selepas kawan Kasyaf si Pet(lakonan Khairilridzuan K'n) memberi sebuah tin yang mengandungi semua barang Kashaf di dalamnya.


Babak Kesukaan Aku. Sweet Giler!


Watak Rosnah ibu kepada Kashaf lakonan Normah Damanhuri memang tak dapat disangkal lagi kerana memang terbaik manakala watak Shamim iaitu adik perempuan kepada Kashaf lakonan Wan Sharmila pula bagi aku boleh tahanlah. Mungkin sebab suara dia tak ganas sangat kut jadi walaupun aku melihat watak dia di dalam drama ini masih lagi jahat namun ia akan lebih jahat jika suara atau jeritan yang dilontarkannya sewaktu marah atau menjerit itu lebih 'garang'. Aku tiba - tiba terbayangkan jika watak ini diberi pada Nabila Huda mungkin aku akan lebih menyumpah - menyumpah lagi watak tersebut. Hahaha!

Drama ini juga mempunyai mesej yang bagi aku walaupun masih belum setanding dengan drama Antara Garisan namun masih juga padat dengan mesej - mesej keagamaan dan kekeluargaan yang walaupun kita semua terutamanya generasi muda tahu atau pun menyedarinya namun kita masih lupa atau buat - buat lupa kerana ego kita yang terlalu tinggi.

Apa - apapun, aku mengucapkan tahniah kepada semua team produksi drama Kashaf Imani ini daripada krew sehinggalah pelakonnya kerana bagi aku drama ini adalah antara drama terbaik pada tahun ini. Tahniah lagi sekali!


P/S : Menanti Drama Seterusnya Daripada Radius One!



16/02/11

Review Filem : No One Killed Jessica



Filem:
No One Killed Jessica


Pengarah:
Rajkumar Gupta


Senarai Pelakon:
Myra Karn, Vidya Balan, Rani Mukherji, Mohammed Zeeshan Ayyub & et


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis iaitu Sabrina yang cuba mencari keadilan untuk adiknya iaitu Jessica yang mati ditembak oleh seorang lelaki yang merupakan anak kepada seorang ahli menteri di dalam kerajaan India. Sewaktu kejadian terdapat 7 orang yang melihat Jessica ditembak mati oleh anak menteri tersebut dan melalui soal siasat pihak polis terhadap anak menteri itu menunjukkan anak menteri itu mengaku menembak Jessica.

Tetapi, oleh kerana faktor wang atau lebih tepat lagi rasuah maka boleh dikatakan hampir kesemua saksi telah menukar kenyataan mereka kepada tidak tahu atau pun berlakon mengatakan mereka tiada di tempat kejadian kerana telah diugut oleh menteri tadi sama ada mereka memilih wang atau mati. Sabrina merasa perjuangannya sia - sia kerana selepas 6 tahun berpenat lelah turun naik mahkamah akhirnya pihak mahkamah mengistiharkan bahawa pembunuh Jessica bukanlah anak menteri tersebut.

Ibu Sabrina meninggal dunia mendengar keputusan itu manakala Sabrina yang tertekan dengan keputusan itu sudah berputus asa dan tidak mahu mengambil kisah lagi tentang keadilan yang sebelum ini dicarinya. Wartawan hebat India iaitu Meera Gaity pula terasa bersalah jika beliau tidak membantu Sabrina menuntut keadilan yang sepatutnya diperoleh lalu beliau mula menjalankan pelbagai strategi untuk membuktikan bahawa anak menteri tersebut sebenarnya adalah pembunuh Jessica. Berjayakah Meera Gaity membantu Sabrina mendapatkan hak adiknya? Atau adakah filem ini masih akan berakhir dengan ayat 'No One Killed Jessica'? Saksikan sendiri yer! Hehehe!


Ulasan Tuan Punya Blog:


Filem yang berdurasi 2 jam nih memang menarik kerana ia menunjukkan bila orang yang berkuasa telah salah menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi masing - masing maka ia boleh memusnahkan kehidupan ramai manusia lain di luar sana. Filem nih juga menunjukkan bahawa bila rakyat bersatu maka apa yang mustahil diubah mampu direalisasikan seperti apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir baru - baru ini.

Seronok apabila filem ini menunjukkan saksi - saksi kes pembunuhan yang kebanyakkan adalah manusia yang rapat dan merupakan kawan baik kepada Jessica sanggup mengubah pendirian masing - masing semasa di mahkamah gara - gara wang dan akibat diugut oleh menteri berkenaan. Memang babak tersebut ditonjolkan dengan begitu tragis sekali.

Apa - apapun, filem ini memang menarik dan bagus kerana telah diolah dengan menarik. Kepada yang tak minat kepada tarian atau pun penari latar yang ramai seperti yang selalu ada pada filem - filem Bollywood yang lain tu maka anda tak perlu risau kerana tiada aksi - aksi sebegitu di dalam filem ini. Apa - apapun, selamat menonton dan aku memberi 4.3 bintang dari 5 bintang kepada filem ini.


P/S : Filem Ini Memang Menarik!




15/02/11

Review Filem : Sini Ada Hantu Sangat Kelakar



Filem:
Sini Ada Hantu

Pengarah:
James Lee

Genre:
Komedi, Seram & Misteri

Klasifikasi:
PG13

Pelakon:
Alvin Wong, Baki Zainal, Beto Kusyairy, Qhaud AF, Fasha Sandha,
Pete Teo, Patrick Teoh, Eira Syazira, Kuswadinata & Ramai Lagi


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan dua orang pemandu van iaitu Ah Meng dan Bakri yang ditugaskan pada saat akhir untuk menghantar mayat datuk kepada majikan mereka di sebuah kampung dan mereka perlu memastikan mereka tiba di kampung tersebut pada keesokan harinya. Mulanya mereka menolak tetapi disebabkan upah yang lumayan membuatkan mereka bersetuju dengan tawaran tersebut.

Oleh kerana radio van mereka rosak maka mereka berdua pun bercerita tentang kisah seram bagi menghilangkan kebosanan dan rasa mengantuk. Dimulai dengan Bakri yang bercerita tentang kisah Hantu Pokok Pisang dan diketawakan Ah Meng kerana bagi beliau hantu melayu langsung tidak logik. Lalu Ah Meng bercerita pula tentang kehebatan hantu Cina melalui kisah Hantu Nombor Ekor.

Selepas itu, Bakri pula mempertikai cerita Ah Meng dengan mengatakan cerita hantu cina yang diceritakannya itu lagilah tak masuk akal. Lalu Bakri menceritakan pula tentang Hantu Asrama. Selepas itu van yang mereka naik berhenti di tengah jalan raya kerana mempunyai masalah enjin. Lalu mereka berdua keluar dan mengambil kesempatan tersebut untuk keluar membuang air kecil. Tiba - tiba, muncul sebuah lori kecil yang dipandu dengan laju dan melanggar si Ah Meng.

Bakri pula tidak tahu Ah Meng sebenarnya telah dilanggar kerana apabila beliau pergi ke van tersebut kelihatan Ah Meng masih ada di dalamnya. Jadi, apakah nasib si Bakri? Mampukah mereka menyelesaikan tugas mereka? Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Tuan Punya Blog:

Aku sebenarnya tak rancang pun nak menonton filem nih sebab tak ada dalam senarai filem - filem wajib tonton aku untuk tahun nih. Cuma sebab terpaksa dan bila dapat tahu genre filem ini ialah komedi seram maka tawakal jer lah. Panggung tak ramai orang. Mungkin sebab tayangan lewat malam kut.

Kisah 1 : Hantu Pokok Pisang


Filem ini dimulakan dengan 3 kisah hantu. Pergi kepada kisah pertama iaitu Hantu Pokok Pisang. Memang aku ketawa gila - gila. Bukan sebab komedi atau bukan sebab takut. Tapi, aku rasa bosan gila. Ada beberapa watak yang agak kaku tapi aku suka lakonan Beto Kusyairy dalam kisah nih yang memegang watak sebagai samseng kampung. Nampaklah kejahatan dia tu. Manakala watak Fasha Sandha dalam nih rasa - rasanya kalau tak wujud pun tak apa kut. Hahaha! Nak tahu sebab apa aku kata macam tu korang kena tengok sendiri lah. Apa - apapun, aku tak berapa minat dengan kisah hantu yang pertama nih.


Kisah 2 : Hantu Nombor Ekor


Kisah hantu yang kedua agak menarik iaitu Kisah Hantu Nombor Ekor yang mengisahkan tentang 4 orang sahabat yang memuja kubur untuk meminta nombor ekor. Oleh kerana cara mereka memuja salah iaitu mencampurkan darah anjing dan dan darah ayam serta salah memilih kubur menyebabkan masing - masing dilanda musibah. Aku suka kisah kedua nih sebab bagi aku penyelesaian kisah nih sangat 'adil'. Adil yang macam mana aku maksudkan tu kalau korang nak tahu korang kena tengok. Cuma hantu di dalam kisah kedua nih kurang seram. Kalau diseramkan lagi kisah nih agak sempurna. Apa - apapun, kisah hantu ke-2 nih agak menarik juga sebab selalu kita lihat orang Melayu punya cara memuja jer tapi yang nih kita tengok cara orang Cina pula memuja untuk dapat nombor ekor. Perkara baru yang agak menarik bagi aku.


Kisah 3 : Hantu Asrama


Aku paling suka kisah yang ketiga nih iaitu Hantu Asrama. Aku lupa nama - nama watak tu tapi yang aku tahu mereka budak - budak teater sebab aku pernah tengok mereka berlakon di dalam teater Short Eyes. Sumpah memang kelakar gila. Hahaha! Aku ketawa tak henti - henti. Kisah nih mengisahkan tentang hantu jepun yang berkawad di waktu malam di tandas asrama dan gelanggang futsal sebuah sekolah. Walaupun hantu Jepun dia tak seram tapi situasi dan suasana kisah nih memang seram. Apa - apapun, aku sangat suka kisah ketiga nih walaupun pada permulaan kisah ini aku ketawa mendengar dialog baku dari seorang pakcik. Kisah ketiga nih memang terbaik! Aku suka! Dan tak silap yang dalam gambar di atas tu Qhaud AF. Pandai juga dia berlakon. Tak ditambah dengan 3 orang lagi budak teater tu. Memang sampai aku menaip sekarang pun aku masih ketawa. Hahahah!


Ah Meng dan Bakri


Dan kemudian bersambung pada kisah Ah Meng dan Bakri yang memandu van. Mungkin ada sedikit persamaan dengan filem Phobia 2 atau pun secara kebetulan tetapi apa - apapun masih lagi terhibur. Apa - apapun, filem ini bermula daripada kebosanan kepada semakin menarik dan menarik. Alhamdulillah! Mula - mula terluah kata - kata dari mulut aku,"Filem Apa Yang Aku Tengok Nih?" tapi akhirnya berubah kepada,"Boleh tahan jugalah filem nih! Kelakar! Layan!"

Apa - apapun, terpulang pada individu yang menonton lah. Bagi aku, ada kisah yang aku tak suka macam Hantu Pokok Pisang tapi ada juga kisah yang aku memang terhibur menonton seperti Hantu Asrama. Jadi, secara keseluruhannya aku bagi 3.8 bintang untuk filem ini. Kepada yang mahu dan bakal menonton atau telah menonton silalah kongsikan pandangan anda di ruangan komen entry ini yer.


P/S : Situasi Dan Dialog Untuk Kisah Ketiga Hantu Asrama Memang Terbaik! Hahahaha!