30/04/11

Review Filem : Fast & Furious Five



Filem:
Fast & Furious Five


Pengarah:
Justin Lin


Genre:
Aksi, Drama & Jenayah


Pelakon:
Vin Diesel, Paul Walker, Jordana Brewster, Dwayne Johnson,Tyrese Gibson,
Ludacris, Matt Schulze, Sung Kang, Gal Gadot & Etc.


Penilaian:
5 / 5

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Brian O'Conner dan Dom Toretto yang melarikan diri bersama adiknya iaitu Mia Toretto ke Rio Janeiro, Brazil selepas mereka berjaya melepaskan diri daripada tahanan polis. Mereka kini telah menjadi antara penjenayah yang amat dikehendaki oleh pihak Amerika. Untuk mendapatkan kebebasan mereka kembali maka mereka merancang untuk merompak orang paling berpengaruh di Rio iaitu Reyes yang merupakan ahli perniagaan yang paling kejam dan korup di sana. Tetapi, untuk merompak harta Reyes bukannya mudah kerana Reyes telah merasuah dan mempunyai hubungan yang cukup baik dengan ketua polis disitu.


Jadi, mereka telah mengumpulkan beberapa orang untuk dijadikan satu kumpulan khas untuk misi merompak harta Reyes ini demi membeli kebebasan mereka. Masalah mereka bertambah apabila Luke Hobbs iaitu salah seorang ejen yang tidak pernah gagal di dalam setiap tugasnya telah di arah oleh pihak polis Amerika untuk menangkap mereka bertiga. Jadi, mampukan Brian O'Conner, Dom Toretto, Mia Toretto serta kumpulan baru mereka merompak harta Reyes? Adakah mereka akan ditangkap oleh Luke Hobbs? Apakah yang akan dilakukan oleh Reyes untuk menyelamatkan hartanya? Saksikan sendiri di pawagam berdekatan anda.


Ulasan Hans:

Kepada sesiapa yang menonton filem Fast Furious daripada filem pertama hingga yang terbaru pasti akan terhibur dan sangat berpuas hati dengan filem Fast & Furious Five ini. Semalam aku hanya menonton dalam format biasa dan aku sangat teruja dan gembira. Jadi, aku mengesyorkan agar korang menonton dalam format 3D kerana aku yakin mesti akan lebih seronok dan dramatik menonton aksi - aksi yang ditonjolkan di dalam filem ini.


Pertemuan Pertama Untuk Misi Merompak Harta Reyes


Filem kali ini memang sangat menarik kerana jalan ceritanya yang bagus dan plot yang tersusun tidak seperti filem sebelum ini yang hanya lebih kepada perlumbaan kereta sahaja. Di dalam filem kali ini korang semua akan dipertontonkan dengan nilai kekeluargaan, setiawakan, kebebasan dan elemen komedi serta aksi kejar - mengejar dan berlawan yang sangat menarik dan hebat atau boleh aku kategorikan sebagai WOW! Korang akan terpesona melihat kereta mahal yang menjunam ke tasik, perlumbaan kereta menggunakan kereta polis, letupan tandas dan berbagai - bagai lagi aksi dan suasana yang direka dengan cukup kreatif dan menghiburkan.


Babak Nih Memang WOW!


Aku terhibur dengan humor yang ditonjolkan oleh watak Roman dan Tej serta aksi yang dilakonkan oleh Van Diesel serta Dwayne Johnson. Memang korang tak akan kering gusi menonton sebab memang lucu dan sangat dramatik. Aku tak tahu nak taip apa tapi senang cakap filem ini memang terbaik dan kreatif kerana dari babak permulaan filem nih sahaja dah buat korang teruja, ingin tahu dan bersemangat menonton sehingga lah kepada penamat filem ini.


Salah Satu Adegan Kejar Mengejar Diantara Dom Toretto Dan Hobbs.


Senang cakap duit tiket korang memang sangat berbaloi untuk dilaburkan kepada filem terbaik ini. Daripada 5 bintang aku dengan gembiranya memberi 5 bintang untuk filem Fast & Furious Five. Jadi, selamat menonton di pawagam berhampiran anda untuk menikmati kualiti gambar dan bunyi yang amat mengagumkan!



P/S : Aku Rasa Macam Nak Tengok Lagi Sekali Lah Filem Nih!




24/04/11

Review Filem : Cun



Filem:
Cun


Pengarah:
Osman Ali


Genre:
Keluarga, Komedi & Cinta


Pelakon:
Maya Karin, Remy Ishak, Faezah Elai, Nadiyatul Nisaa,
Kartina Aziz, Mislina Mustaffa, Ning Baizura, Jehan Miskin & Etc.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:

Luna Latisya merupakan seorang pengacara terkenal sebuah rancangan gosip paling popular di televisyen iaitu rancangan Meletops. Luna bercinta dengan seorang pelakon terkenal iaitu Ryan Hidayat. Pada suatu hari, Luna dan krew rancangan Meletops ke rumah Ryan Hidayat untuk membuat satu kejutan hari lahir kepada Ryan tetapi malangnya Luna yang dikejutkan apabila melihat Ryan berada berdua - duaan dengan seorang artis baru iaitu Siti Senjakala yang berlakon dengan Ryan di dalam filem terbaru mereka. Akibat tertekan dan kecewa maka Luna memaksa pembantu peribadinya iaitu Tom mengikutnya pulang ke kampung halaman Tom di Kedah. Disana, Luna telah berkenalan dengan seorang jejaka kampung yang selekeh bernama Atan dan juga keluarga besar lelaki tersebut iaitu adik perempuan Atan yang bernama Manis serta Tok Chah iaitu nenek kepada Atan. Namun, kedatangan Luna tidak disenangi oleh Bedah Tonggek yang rasa tercabar dengan aura Luna lalu dia menelefon Candy iaitu penerbit program Meletops untuk datang sendiri melihat kemesraan Luna dan Atan. Masalah mula timbul satu demi satu selepas itu. Adakah Luna akan berkahwin dengan Atan? Mampukah Atan menerima gadis bandar yang penuh glamor seperti Luna? Mampukah Ryan Hidayat menawan kembali cinta Luna? Apakah rancangan Bedah Tonggek untuk menawan hati Atan? Adakah rating rancangan Meletops akan meletup? Saksikan filem ini sendiri.


Ulasan Hans:

Filem ini merupakan sebuah filem ringan yang penuh dengan unsur kekeluargaan dan komedi. Mungkin kerana hampir 80% latar filem ini berlatarkan suasana sawah padi di negeri Kedah dan menggunakan loghat utara maka filem ini amat dekat dengan diri aku. Bagi aku filem ini cuma bertemakan sebuah tema biasa yang aku selalu lihat pada mana - mana filem seperti ini iaitu percintaan antara dua darjat yang berbeza di mana jika tidak lelaki bandar bercinta dengan wanita kampung pasti wanita bandar yang bercinta dengan lelaki kampung seperti di dalam filem Cun ini cuma elemen komedi di dalam filem ini memang menarik dan mampu membuat aku ketawa tidak henti - henti.


Adegan Filem Ini Yang Aku Paling Suka!


Aku sangat suka dengan watak Manis lakonan hebat Nadiyatul Nisaa. Bagi aku inilah watak yang paling hebat dan berkesan sekali di dalam filem ini. Aku tak tahu kenapa tetapi aku amat tersentuh melihat adegan luahan hati Manis kepada Luna sambil disaksikan Atan sewaktu Manis merajuk dan melarikan diri ke 'Bukit Manis'. Babak itu amat menarik pada pandangan aku. Aku juga kagum dengan Remy Ishak kerana mampu menuturkan loghat Utara dengan bagus sekali kerana setahu aku beliau berasal dari Masjid Tanah, Melaka tetapi kelihatannya sebutan bahasa Kedah beliau sangat fasih dan bagus. Tahniah Remy Ishak kerana anda memang pelakon berbakat.


Percintaan Antara KLCC Dan Sawah Padi


Aku juga suka dengan sinematografi filem ini kerana beberapa tempat yang selama ini aku lihat dengan mata aku tidaklah secantik mana tetapi aku menyebut WOW! apabila melihat tempat yang sama di dalam filem ini. Cuma aku sedikit rimas dengan kekerapan adegan Luna dan Atan saling berdakapan atau berpeluk kerana seolah - olah aku sedang menonton sebuah filem romantik Korea. Aku terasa kurang keasliannya disitu. Maksud aku disini ialah bukannya tidak perlu diadakan adegan seperti itu cuma jangan terlalu banyak kerana jika tidak nilai romantis itu akan hilang dengan sendiri.


Aku Ulang 3 Kali Babak Nih! Sangat Kelakar!


Apa - apapun, filem ini memang seronok untuk ditonton kerana ia memang sebuah filem yang cukup lucu bagi aku dan amat menghiburkan melihat keletah Tok Chah, Tom, Manis Dan Bedah Tonggek yang memang cukup menggeletek hati. Selamat menonton!




P/S : Aku Pasti Lebih Gembira Jika Filem Cun Dijadikan Sebagai Sebuah Filem Bergenre Berat!




23/04/11

Review Filem : Source Code



Filem:
Source Code


Director:
Duncan Jones


Genre:
Misteri, Sains Fiksyen & Thriller


Pelakon:
Jake Gyllenhaal, Michelle Monaghan, Vera Farmiga, Jeffrey Wright,
Michael Arden, Cas Anvar, Russell Peters & Etc.


Penilaian:
4.6 / 5


Sinopsis:

Colter Stevens merupakan salah seorang tentera udara Amerika Syarikat yang sedang bertugas di Afghanistan dan tiba - tiba beliau berada di dalam sebuah kereta api yang sedang bergerak menuju ke Chicago. Namun, apa yang memeningkan beliau ialah wajah dan nama beliau di dalam keretapi tersebut adalah milik orang lain dan beliau langsung tidak mengenali sesiapa pun di dalam keretapi tersebut. 8 minit kemudian kereta api itu meletup dan beliau tiba - tiba berada di dalam sebuah tempat lain dan di situ beliau dihubungkan dengan seorang wanita, Goodwin serta seorang saintis iaitu Rutledge yang memohon bantuan beliau untuk mencari siapakah dalang sebenar di sebalik pengeboman kereta api itu yang menyebabkan kesemua penumpang di dalamnya terkorban. Colter Stevens kemudian terpaksa membantu untuk mencari dalang letupan tersebut dan masa yang diberikan hanya 8 minit untuk setiap sesi menggunakan sebuah alat yang dicipta khas oleh Rutledge untuk menyelesaikan masalah ini. Masalah mula timbul apabila Colter Stevens keliru dengan tugasnya serta apabila beliau mengetahui bahawa beliau sebenarnya telah mati 2 bulan yang lalu sewaktu bertugas di Afghanistan. Jadi, apakah sebenarnya yang terjadi terhadap Colter Stevens? Mampukah beliau mencari siapakah dalang yang terlibat di dalam pengeboman kereta api ke Chicago tersebut?


Ulasan Hans:

Filem ini bermula dengan pelbagai persoalan yang bijak disusun rapi di dalam plot yang bergerak secara perlahan pada permulaannya tetapi mula dirungkaikan sedikit demi sedikit hingga membuatkan aku teruja tanpa menguap atau terlelap walau seminit pun. Jalan ceritanya sangat menarik kerana walaupun kebanyakannya latar tempatnya adalah sama dan berulang tetapi ia bijak dimanipulasikan dengan setiap kejadian yang berlaku dibuat dalam keadaan yang sungguh berlainan. Aku dapat merasai keletihan dan kesengsaraan yang di alami oleh Colter Stevens lakonan Jake Gyllenhaal yang cukup hebat dimana beliau terpaksa merasai mati di dalam letupan berulang kali untuk mencari siapakah dalang sebenar di sebalik kejadian pengeboman kereta api tersebut.


Watak Colter Stevens Yang Keliru Dengan Identitinya


Memang tidak masuk akal untuk aku menyokong bahawa ada alat mahu pun mesin yang mampu membawa seseorang kembali ke tempat kejadian untuk mencari siapakah penyebabnya tetapi itulah kreativiti yang aku gemari daripada filem ini. Aku teruja menonton karakter setiap watak yang ditampilkan kerana semua itu mencerminkan realiti kehidupan masa kini yang tiada siapa pun mampu untuk menafikan kebenarannya. Aku suka dengan emosi setiap pelakonnya tidak kira daripada watak utama sehinggalah kepada pembantu.


Elemen Cinta Yang Sedikit Tetapi Memberi Impak
Yang Cukup Kuat Pada Keseluruhan Cerita


Lihat sahaja pada watak Colter Stevens yang menunjukkan sisi keberanian. Watak Christina Warren pula menunjukkan nilai kejujuran. Manakala watak Goodwin pula dipaparkan sangat berperikemanusiaan dan watak Dr Rutledge pula ditonjolkan dengan sifat amat mementingkan diri. Begitu juga dengan watak Derek Frost yang sangat psycho serta pelbagai lagi watak yang menyokong antara satu sama lain hingga menjadikan filem ini begitu menarik dan kuat pada pandangan aku.


Siapakah Dalang Sebenar Yang Dicari Oleh Colter Stevens?


Pelbagai elemen dimasukkan di dalam filem ini sama ada elemen kemanusiaan, hak asasi manusia, komedi, kasih sayang dan sebagainya yang menjadikan filem ini bukannya sekadar sebuah naskhah biasa tetapi lebih kepada satu karya yang cukup istimewa. "Apa yang akan anda lakukan jika anda tahu anda hanya mempunyai masa hanya 1 minit sahaja lagi untuk hidup!" merupakan ayat atau kata - kata yang begitu bermakna sekali di dalam filem ini. Sebab itu aku lebih suka jika filem ini di akhiri dengan adegan semua penumpang tersenyum riang sebelum kejadian letupan tersebut berlaku tetapi sayangnya pengakhiran filem ini digarap untuk membuatkan penonton keliru seperti mana pengakhiran filem Inception dimana aku sebagai penonton boleh membuat pelbagai kesimpulan atau andaian terhadap apa sebenarnya yang berlaku.


"Apa yang akan anda lakukan jika anda tahu anda hanya
mempunyai masa hanya 1 minit sahaja lagi untuk hidup!"


Andaian aku mudah sahaja dimana alat ciptaan Dr Rutledge itu telah mengganggu ruang masa dan untuk membuatkan anda lebih mengerti maka aku menjadikan siri kartun Jepun terkenal iaitu Doraemon sebagai contoh. Jika anda adalah salah seorang peminat siri Doraemon pasti anda akan mengerti tentang gangguan ruang masa yang aku maksudkan dimana jika sesuatu peristiwa yang telah berlaku telah diubah maka ia akan menggangu ruang masa dunia.


Bagi Aku Watak Paling Kejam Ialah Dr Rutledge


Apa - apapun, bagi aku filem ini sangat menarik untuk ditonton kerana anda akan dipertontonkan betapa bernilainya kehidupan ini dan juga dengan kerenah manusia yang pelik dan mementingkan diri yang tidak disedari oleh manusia - manusia itu sendiri. Jadi, selamat menonton filem hebat ini di pawagam berhampiran anda.


P/S : Memang Berbaloi Menonton Filem Source Code.




22/04/11

Review Film : Red Riding Hood



Filem:
Red Riding Hood


Pengarah:
Catherine Hardwicke


Pelakon:
Amanda Seyfried, Gary Oldman, Billy Burke, Shiloh Fernandez, Max Irons,
Virginia Madsen, Lukas Haas, Julie Christie & Etc.


Penilaian:
4.3 / 5


Sinopsis:

Valerie merupakan seorang gadis yang sangat jelita di kawasan perkampungannya dan mencintai Peter iaitu jejaka yang dikenalinya sejak dari kecil lagi. Namun, keluarganya telah memutuskan untuk memilih Henry sebagai tunang kepada Valerie kerana Henry merupakan golongan yang agak berada dan keluarganya percaya Henry mampu membahagiakan Valerie berbanding Peter yang hanya bekerja sebagai tukang kayu. Valerie menganggap perkahwinan yang bakal berlangsung nanti seperti majlis menjual dirinya kepada orang asing dan dia merancang untuk melarikan diri dari kawasan perkampungan itu bersama Peter. Namun, segalanya berubah apabila kakak Valerie ditemui mati dibunuh oleh seekor serigala jadian yang dipercayai penduduk setempat akan muncul pada waktu yang mereka panggil sebagai 'Blood Red Moon'. Penduduk kampung tidak mampu menghalang serigala jadian daripada terus - terusan mengganas sehinggalah mereka terpaksa memanggil Father Solomon yang terkenal kerana pernah membunuh serigala jadian sebelum ini. Konflik mula tercetus apabila serigala jadian itu sebenarnya adalah salah seorang dari penduduk kampung itu yang mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan Valerie. Siapakah sebenarnya serigala jadian tersebut? Adakah mereka mampu menghalang serigala jadian tersebut dari terus - terusan mengganas dan memusnahkan kampung? Mungkinkah serigala jadian tersebut ialah orang yang Valerie cintai?


Ulasan Hans:

Permulaan filem membuatkan kepala aku pening kerana pergerakan kamera yang terlampau laju dan berpusing - pusing. Filem ini bergerak agak perlahan pada permulaan cerita dan lebih fokus terhadap hubungan cinta antara Valerie, Peter serta Henry. Namun, perjalanan cerita kembali menarik hati aku untuk menonton kerana keunikan ceritanya yang telah diubah dan tidak mengikut cerita asal yang selalu kita dengar tentang kisah dongeng ini. Untuk mengetahui siapakah sebenarnya di kalangan mereka yang menjelma sebagai serigala jadian juga sungguh menarik kerana filem ini bijak memanipulasikan setiap watak supaya kelihatan berpotensi untuk dituduh sebagai serigala jadian.


Mata Amanda Seyfried Nih Cantik


Aku tak pasti kenapa tetapi aku suka dengan kesan CGI dan efek khas serigala jadian itu walaupun mungkin ia boleh diperbaiki lagi. Pelakon - pelakonnya juga telah memberikan lakonan yang cukup hebat seperti 3 watak utama iaitu Valerie(lakonan Amanda Seyfried), Father Solomon(lakonan Gary Oldman) serta Peter(lakonan Shiloh Fernandez) serta disokong kuat oleh watak - watak yang lain. Bagi aku walaupun permulaan ceritanya agak perlahan tetapi kemudian jalan ceritanya dipenuhi dengan persoalan dan rasa ingin tahu yang membuatkan aku teruja dan fokus untuk terus menonton filem ini.


Kejam Betul Si Tua Nih..Hahahaha!


Filem ini juga tidak memeningkan kepala(kecuali pada adegan awal filem..hahaha) kerana setiap plot jelas dan tersusun rapi. Aku dipertontonkan dengan sikap Father Solomon yang berhati kering, keberanian Valerie serta sifat sejati yang ada pada watak Peter. Semua itu menarik perhatian aku kerana perjalanan ceritanya senang difahami walaupun ada beberapa babak yang tiada jawapan atau mungkin juga aku terlepas pandang.


Ibarat Api Dan Air


Apa - apapun, filem ini memang seronok untuk ditonton kerana ia sudah lari daripada versi asal walaupun masih ada beberapa perkara yang dikekalkan dan kemungkinan anda juga akan pening untuk memikirkan siapakah serigala jadian yang sebenar. Mungkin filem ini bukanlah filem terbaik tetapi ia masih hebat untuk ditonton. Selamat menonton di pawagam berhampiran anda.



P/S : Tiba - Tiba Aku Mahu Kelihatan Seperti Shiloh Fernandez! Hohohoho!




21/04/11

Review Filem : ...Dalam Botol



Filem:
...Dalam Botol


Pengarah:
Khir Rahman


Pelakon:
Arja Lee, Wan Raja, Diana Danielle, Normah Damanhuri,
Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid & Etc.


Sinopsis:

Rubidin atau lebih dikenali sebagai Ruby merupakan seorang jejaka yang mencintai pasangan sejenisnya iaitu Ghaus sehingga sanggup melakukan pembedahan jantina semata - mata untuk menunjukkan rasa cintanya terhadap Ghaus. Namun, apa yang cuba dibuktikan oleh Ruby itu akhirnya membawa padah pada dirinya sendiri apabila perubahan fizikal dirinya tidak dapat diterima oleh Ghaus. Selepas ayah Ruby meninggal maka dia kembali menjadi seorang lelaki dan tanpa disedari dia mulai jatuh cinta dengan Dina iaitu anak perempuan Makcik Sherry. Namun, Rubidin dalam dilema kerana bagaimana dia mampu untuk membahagiakan Dina jika mereka berdua berkahwin sedangkan beliau bukannya lagi Rubidin yang dahulu.


Ulasan:

Filem ini bermula dengan sisi gelap yang sentiasa menghujani aku dengan pelbagai persoalan yang akan dileraikan satu persatu pada setiap babak yang disusun mengikut kronologi. Susuk tubuh Arja Lee ketika melakonkan watak Ruby agak kaku tetapi Arja Lee memberikan nyawa yang cukup untuk menghidupkan watak Rubidin yang hebat bermain dengan emosi. Kelemahannya disini ialah watak Ruby yang telah melakukan pembedahan jantina itu dipertontonkan kepada penonton tanpa menunjukkan walau sedikit pun kesan kesakitan kerana seperti mana kita tahu melakukan pembedahan jantina terutama dengan membuang alat sulit boleh membawa pelbagai komplikasi kepada individu yang terlibat tetapi di dalam filem ini aku tidak dapat melihat kesan itu.


Bahasa Tubuh Ruby Kurang Menjadi


Namun, watak Rubidin yang banyak bermain dengan emosi telah menyelamatkan perjalanan filem ini. Aku berjaya melihat seorang jejaka yang terasa penuh kekesalan gara - gara terlalu mengikut naluri dan nafsu. Aku dapat merasai betapa teruknya penderitaan yang dilalui oleh Rubidin sewaktu beliau mulai jatuh cinta dengan gadis kampung yang lemah lembut dan baik hati iaitu Dina dan bagaimana keputusan yang diambilnya sewaktu majlis perkahwinan beliau dengan Dina.


Kekeliruan Rubidin dan Dina


Filem ini bermula perlahan dan mengajak aku berfikir tanpa perlu dibantu oleh muzik latar. Penonton akan berasa sedih dengan sendiri jika babak itu bermain dengan emosi dan babak akhir filem ini memberi impak yang amat kuat pada aku. Tahniah kepada pengarah filem ini iaitu Khir Rahman kerana hasil tangannya ini telah memberi satu sinar baru pada perjalanan filem Malaysia. Mungkin sedikit masa lagi dan jika Khir Rahman diberi lebih peluang untuk terlibat dalam pengarahan filem maka tidak mustahil hasilnya nanti akan setaraf dengan karya Yasmin Ahmad atau pun lebih hebat daripada itu. Insyaallah!


Aku Suka Dengan Emosi Filem Ini


Apa - apapun, filem ini sangat menarik untuk ditonton jika anda adalah penonton yang suka berfikir kerana jika anda adalah jenis penonton yang lebih gemar disuap sepanjang masa memang filem ini mampu membuatkan anda tertidur tanpa anda sedar. Filem ini sebenarnya lebih daripada pandangan skeptikal yang diperkatakan sebelum ini iaitu kisah cinta sejenis kerana ia hanya meliputi 5 peratus sahaja daripada apa yang cuba disampaikan di dalam filem ini. Memang ada beberapa perkara yang aku kurang berkenan atau setuju tetapi filem ini masih boleh dikatakan berada pada landasan yang terbaik di dalam kategorinya walaupun masih banyak yang boleh dibaiki. Apa - apapun, selamat menonton kepada sesiapa yang masih belum menonton.



P/S : Adegan Ogy Dan Diana Danielle Pada Babak Akhir Filem Ini Sangat Hebat!




20/04/11

Review Film : First Love




Filem:
First Love

Pengarah:
Puttipong pormsaka Na-Sakonnakom & Wasin Pokpong


Pelakon:
Mario Maurer, Pimchanok Lerwisetpibol,
Sudarat Budtporm, Acharanat Ariyaritwikol & etc.


Genre:
Komedi Romantik


Penilaian:
4/5


Sinopsis:

Nam merupakan seorang gadis biasa yang kelihatan langsung tidak menarik dan boleh dikategorikan sebagai gadis yang hodoh kerana langsung tidak pandai bergaya. Walau bagaimanapun, dalam diam beliau menaruh hati terhadap seorang pelajar lelaki senior bernama P'shone yang merupakan pelajar lelaki paling terkenal di sekolahnya dan kerana kekacakan, kebaikan dan kesempurnaan yang dimiliki oleh P'shone maka ramai pelajar perempuan tergila - gilakan beliau termasuklah Nam. Oleh sebab Nam sedar bahawa beliau tidak layak bercinta dengan P'shone gara - gara keadaan dan rupanya yang tidak menarik maka beliau cuba melakukan pelbagai perkara untuk menjadikan diri beliau kelihatan jelita dan untuk menarik perhatian P'shone. Akhirnya, Nam telah berubah menjadi sangat jelita, bijak dan lebih berkeyakinan namun pelbagai konflik mula berlaku antara Nam dan 3 orang rakan baiknya serta rakan P'shone yang jatuh hati pada Nam sedangkan Nam hanya cintakan P'shone. Apakah yang berlaku seterusnya?


Ulasan Hans:

Filem ini sudah pun ditayangkan di pawagam Malaysia sekitar bulan Ogos tahun lepas iaitu tahun 2010 namun aku baru berkesempatan menonton filem First Love ini pada minggu ini. Filem ini menarik perhatian aku kerana walaupun sudah beratus - ratus atau beribu - ribu filem yang bergenre atau bertema yang sama seperti filem ini dimana seorang gadis yang hodoh bertukar menjadi jelita namun olahan dan jalan cerita filem ini lain dari yang lain. Aku bersyukur kerana tidak dihidangkan dengan jalan cerita yang stereotaip atau klise seperti sesetengah filem Melayu yang lain yang aku memang boleh jangka sejak awal lagi.


Pimchanok Lerwisetpibol sebagai Nam


Jika filem Melayu yang berkisar tentang kisah percintaan antara pelajar sekolah lebih gemar mempergunakan pelakon terkenal untuk menarik perhatian penonton tetapi dengan isi cerita yang entah apa - apa namun aku lebih gemar untuk menyatakan filem First Love ini bijak memanfaatkan lebih daripada itu iaitu pelakon yang hebat dan juga jalan cerita yang menarik dan sedikit segar. Filem - filem Melayu yang berlatar belakang cerita seperti ini yang aku pernah lihat selalunya terlalu ringkas jalan penceritaannya dan kadang - kadang kelihatan keanak - anakan dan sangat mendatar namun filem Thailand ini penuh dengan kematangan yang disampaikan dengan cukup mendalam.


Mario Maurer sebagai P'shone


Setiap adegan yang menunjukkan gadis didalam filem ini iaitu Nam yang sanggup bersusah payah mengubah dirinya agar kelihatan lebih baik di mata P'shone sangat menarik dan membuat aku teruja. Menyimpan rasa cinta lebih daripada 3 tahun terhadap seorang lelaki namun apabila suatu hari cintanya berjaya diluahkan namun sudah pun terlambat kerana lelaki itu sudah pun menjalin hubungan dengan wanita lain kurang seminggu daripada masa yang diberitahu. Babak itu memang kuat penangannya. Rasa sedih yang dicipta memberi impak yang bukannya biasa - biasa. Apabila keberanian sudah dikumpul tetapi hasilnya tidak setimpal dengan luahan hati tersebut maka apa yang anda akan rasa? Adegan yang cukup teguh dan meninggalkan kesan yang hebat terhadap penonton yang menonton filem ini.


Elemen Komedi Yang Tidak Sarat Tetapi Padat


Aku suka dengan mesej filem ini yang menjadikan kegagalan atau kelewatan dalam membuat keputusan sebagai pemangkin untuk kita lebih berjaya di dalam hidup. Seronoknya menonton filem ini kerana walaupun ia cuba menonjolkan bagaimana Nam cuba mendapatkan cinta P'shone namun adegan menuntut ilmu yang melambangkan bahawa kita sedang dipertontonkan dengan kisah cinta remaja yang sedang bersekolah tidak pernah diabaikan atau dilupakan oleh pengarah filem ini. Berbeza dengan sesetengah filem tempatan dimana jika filem itu berkisar kisah cinta di Universiti mahu pun sekolah memang mata ini akan dipertontonkan dengan kisah cinta sahaja hingga terfikir di minda,"Adakah mereka datang belajar ke situ hanya untuk bercinta?"


Salah Satu Adegan Romantis


Itulah bezanya filem First Love ini jika mahu dibandingkan dengan filem - filem tempatan yang cuba menyampaikan kisah atau mesej yang lebih kurang sama atau seakan - akan sama seperti filem Kuliah Cinta. Pengarah tempatan tidak cuba untuk menjadikan filem - filem remaja Malaysia tampak lebih menarik, kreatif dan segar kerana jalan cerita filem - filem mereka terlalu straight forward. Tidak ada liku - liku atau cabang - cabang yang mampu membuatkan penonton kita berfikir adakah itu atau ini yang akan terjadi atau sebaliknya kerana semuanya sudah boleh dijangka sejak dari permulaan cerita.


Salah Satu Adegan Menarik Di Dalam Filem Ini


Namun, filem First Love mampu membuatkan si penonton tertipu dan kemudian tersenyum sendirian melihat kemanisan filem ini. Jadi, selamat menonton filem Thailand berjudul First Love ini dengan hati yang gembira.


P/S : Masih Terbayang - Bayang Keberanian Nam Meluahkan Cintanya Pada P'shone.




16/04/11

Filem Seram Mengawal Selera Penonton Malaysia

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog Hans. Baru - baru ini ramai heboh dengan kehebatan filem ...Dalam Botol yang dikatakan kutipan filem ini telah pun mencecah sebanyak RM1 juta hanya dalam 5 hari waktu tayangannya sahaja tetapi jika mengikut apa yang saya lihat di dalam carta di bawah ini memang itu semua itu hanya sekadar berbual kosong sahaja lah. Mungkin!


Sumber : FINAS


Apa - apapun, saya tidak mahu mengulas tentang kutipan filem ...Dalam Botol pun cuma bila saya melihat kembali 20 filem yang telah ditayangkan atau sedang ditayangkan mahu pun bakal ditayangkan bermula 1 Januari lalu hingga 23 Jun 2011 nanti hampir separuh daripadanya bergenre seram atau seram komedi. Kenapa filem bergenre seram menguasai pasaran filem tempatan?




Jika dikatakan filem seram tempatan mampu memberi pulangan lumayan kepada penerbit mungkin ada juga kebenarannya kerana 70% filem tempatan bergenre seram pada tahun 2010 mencatat kutipan box office dan bakinya pula mendapat kembali pulangan modal. Hanya satu atau dua sahaja filem bergenre seram yang gagal memikat hati penonton Malaysia. Itu adalah rumusan mudah pada tahun 2010.




Berbalik kepada tahun 2011 ini, sudah 3 buah filem bergenre seram atau seram komedi telah pun ditayangkan kepada umum iaitu Khurafat yang mencipta satu sejarah baru buat filem seram tempatan dengan kutipan sebanyak RM8 juta serta filem Sini Ada Hantu serta Ratu The Movie. Bagaimanapun, filem Ratu The Movie jika dilihat di dalam carta di atas memang mengalami kerugian kerana kurangnya sambutan penonton terhadap filem tersebut. Hari ini pula sebuah lagi filem bergenre seram akan ditayangkan kepada penonton iaitu filem Dilarang Masuk.




Bagi saya tidak salah untuk para pengarah di Malaysia terus - terusan menghasilkan filem bergenre sebegini cuma apa yang saya harapkan daripada mereka ialah jalan cerita serta isi yang mantap di dalam filem tersebut perlu lah selari dengan kesan khas atau CGI yang tampaknya kini lebih hebat dan bijak dimanfaatkan oleh mereka. Janganlah filem itu dibuat seperti tangkap muat sahaja kerana hasilnya nanti memang tidak kemana dan karya anda di masa hadapan akan ditolak oleh penonton atas sebab reputasi filem terdahulu anda.



Khurafat berjaya kerana jalan ceritanya yang sedikit berlainan berbanding filem - filem sebelum ini serta kebijaksanaan memanfaatkan kesan khas, solekan dan sistem bunyi yang menarik. Filem Sini Ada Hantu pula mampu mencapai kutipan setaraf dengan pembikinannya kerana mungkin terdapat satu atau dua cerita yang membawa nostalgia kepada penonton - penonton di Malaysia namun itu masih belum mencukupi untuk memberi pulangan modal kerana keuntungan kutipan akan dibahagi dua iaitu 50% kepada pemilik pawagam dan 50% kepada penerbit filem. Jadi, melihat kepada filem Ratu The Movie yang memang gagal di pasaran jika dilihat pada carta di atas maka boleh dilihat disini bahawa penonton Malaysia walaupun suka menonton filem bergenre seram tetapi masih juga bersifat selektif dan tidak juga menyukai pada filem yang agak stereotype atau klise.




Harapan kini agar karya pengarah tempatan lebih kuat dari segala segi terutamanya mesej dan jalan cerita. Lihat sahaja pada filem - filem negara seberang, sebuah filem mereka mampu menyampaikan pelbagai mesej yang menarik dengan kreativiti yang tinggi hanya dalam masa tidak sampai 2 jam namun kebanyakan filem tempatan hanya mampu menyampaikan satu mesej dengan menggunakan masa selama 2 jam(bukannya semua tetapi kebanyakkannya). Saya amat mengagumi filem Malaysia terdahulu yang berwarna hitam putih iaitu ketika zaman P.Ramlee dimana filemnya sangat hebat kerana mampu mematikan kehebatan filem - filem seberang tetapi kini kehebatan filem - filem Malaysia sering dipertikaikan atau kurangnya menonjol atau pun langsung tidak dipandang.




Diharapkan agar pengarah mahu pun penerbit filem - filem tempatan disamping menetapkan sasaran kutipan box office apalah salahnya jika kualiti filem dari segi jalan cerita dan mesej juga dititik beratkan supaya lebih segar, original dan menarik agar penonton dapat dididik melalui filem - filem tempatan.

P/S : Tidak Salah Bernilai Komersial Namun Jangan Berjiwa Kosong.




11/04/11

Review Filem : Dilarang Masuk



Filem:
Dilarang Masuk


Pengarah:
Jeffrey Chiang


Genre:
Thriller


Pelakon:
Asyikin Kamal, Isma Yusoof, Isma Hanum, Muniff Isa,
Esma Daniel, Betty Banafe dan Zuhairi Ibrahim.


Sinopsis:

Empat orang rakan iaitu Fatia, Ronnie, Badrul dan Juli telah tersesat jauh di sebuah tempat dan akhirnya mereka terjumpa sebuah banglo lama lalu mengambil keputusan untuk bermalam di tempat tersebut. Di dalam rumah tersebut, mereka berempat menjumpai pelbagai perkara aneh seperti mayat dua manusia yang sudah pun mereput beserta sepucuk pistol yang masih terdapat peluru di dalamnya. Selain itu, mereka juga menjumpai 3 beg berisi wang sebanyak RM2.8 juta serta beberapa barang berharga. Bagaimanapun, Fatia dibayangi beberapa bayangan aneh yang melibatkan seorang gadis yang seolah - olah menyeru si Fatia untuk membantunya menyelesaikan satu masalah. Keadaan mula menjadi kacau bilau apabila pistol yang berdekatan dengan mayat yang dijumpai mereka di dalam rumah tersebut hilang. Rupanya mereka tidak keseorangan kerana ada orang lain yang memerhatikan mereka. Siapakah orang itu? Apa hubungannya dengan rumah tersebut? Apakah sebenarnya yang telah berlaku? Saksikan sendiri di pawagam berhampiran anda!


Ulasan Hans:

Filem ini bermula dengan seribu satu persoalan. Setiap adegan akan membuatkan aku tertanya - tanya apa sebenarnya yang berlaku? Setiap watak membuatkan aku tertanya - tanya apakah karakter sebenar mereka. Filem ini memang bagus dari segi itu kerana itu adalah salah satu sebab untuk membuatkan aku terus duduk menonton filem ini.

Aku sukakan warna di dalam filem ini. Sangat menarik! Unsur kejutannya juga agak menarik walaupun kadang - kadang aku rasa agak berlebihan! Sistem bunyinya juga mampu membuatkan jantung aku bergerak pantas dan pergerakan serta sudut kamera nya memang mampu mendebarkan sesiapa sahaja yang menonton.


Salah Satu Adegan Di Dalam Filem Dilarang Masuk


Namun, lakonan beberapa pelakon kurang menyerlah. Mungkin masih baru barangkali seperti watak Juli lakonan Isma Hanum yang karakter nya kelihatan sedikit serabut atau kurang menyerlah dari segi cara penyampaian. Watak utama iaitu Fatia lakonan Asyikin Kamal juga kurang kuat dan aku rasakan watak Ronnie lakonan Isma Yusoof telah menyelamatkan dan membantu mengukuhkan watak - watak lain.

Filem ini ada mesej nya tersendiri tetapi babak akhirnya aku kurang gemari kerana aku merasakan seperti kurangnya logik disitu. Aku rasa babak akhirnya memang tidak mampu membuatkan hati aku gembira. Filem ini dimulai dengan seribu satu pertanyaan yang menimbulkan seribu satu persoalan yang menghairahkan yang aku ingin tahu namun mungkin dirosakkan oleh babak akhir. Mungkin juga aku kurang memahami babak akhir filem ini.

Aku pun kurang pasti tetapi jika diikutkan citarasa aku memang aku tidak gembira dengan penamat cerita filem ini dan aku merasakan tajuk filem yang diberi iaitu Dilarang Masuk seperti tidak kena untuk mewakili nama filem ini. Apa - apapun, daripada 5 bintang maka aku memberi 3 bintang untuk filem ini. Masing - masing ada citarasa dan pandangan masing - masing. Jadi, selamat menonton!


P/S : Tak Sabar Nak Tengok Filem Kongsi!!!!!