31/07/11

Review Filem Flat 3A



Filem:
Flat 3A


Pengarah:
Azhari Mohd Zain


Genre:
Seram


Pelakon:
Intan Ladyana, Shasha, Ery Zukhairi, Adey Syafrien,
Syazana Firas, Zaidi Omar, Khaty Azean & Etc.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Fiqah iaitu seorang gadis kilang yang menyedari bahawa beliau telah mengandung hasil hubungannya dengan Anas. Beliau memberitahu hal tersebut kepada Anas selepas usia kandungannya mencapai 4 bulan dan ini membuatkan Anas marah lalu memukul dan memaksa Fiqah untuk mengugurkan kandungannya. Fiqah terpaksa menggugurkan juga kandungannya dengan menelan pil yang diberi oleh Anas. Fiqah kemudian menyertai Ratna berpindah ke sebuah flat murah bersamanya. Tanpa diketahui Fiqah, rumah yang mereka sewa itu sebenarnya adalah rumah seorang dukun bernama Kang Suman yang ditakuti oleh penduduk sekitar kerana mengamalkan ilmu hitam. Dalam waktu yang sama juga, kawasan flat tersebut kecoh dengan kehilangan kanak - kanak perempuan bernama Fatin. Ibu Fatin mengalami tekanan perasaan gara - gara kehilangan Fatin manakal Wahyu iaitu bapa saudara Fatin pula berusaha menjejaki Fatin. Di flat 3A tersebut, Fiqah pula kerap kali diganggu oleh pelbagai suara dan bayangan namun Ratna banyak menyuruh beliau bersabar dan mungkin ini semua hanya bayangan Fiqah sahaja. Namun semuanya berubah apabila suatu hari Fiqah bertemu Fatin yang disangkanya seorang kanak - kanak sedang sebenarnya itu adalah roh kanak - kanak tersebut. Fiqah mula hairan kenapa beliau selalu diganggu oleh Fatin sehingga lah akhirnya dia menemui satu rahsia di rumah sewanya itu yang ada kena mengena dengan Fatin, Anas dan juga Ratna.


Ulasan Hans:

Sekali lagi filem bergenre seram menemui penonton - penonton tempatan dan apa yang boleh aku katakan bahawa filem - filem seram tempatan masih lemah di dalam mempersembahkan latar tempat dan sekali lagi kewarasan fikiran manusia cuba dimanipulasi di dalam filem untuk menerima dan menerima apa yang berlaku terhadap watak - watak di dalam filem ini namun aku masih belum mampu untuk terikut sama di dalam persekitaran filem yang langsung tidak logik pada pandangan mata.


 Anda Nak Tingga Dekat Tempat Macam Nih Tak?


Apabila tiba sahaja pada babak Fiqah dan Ratna berpindah ke flat 3A itu terus aku secara automatik menggeleng - geleng kepala kerana betapa tidak logiknya untuk manusia yang masih waras ditambah pula anak gadis tinggal di rumah seperti itu dan apa yang aku boleh katakan unsur keseraman yang mahu dipersembahkan di dalam filem ini datangnya lebih banyak melalui 'hiasan' yang cukup melampau - lampau dan ini mengingatkan aku pada keadaan tandas di dalam filem Karak yang juga 'dihias' dengan gaya yang sangat hiperbola. Kenapa aku katakan kedua - dua situasi itu sangat hiperbola? Bagi aku tidak ada manusia yang sanggup tinggal di rumah flat 3A dengan keadaan sebegitu rupa atau menggunakan tandas seperti mana di dalam filem Karak. Merepek!


Babak Yang Melibatkan Khaty Azean Sebagai Ibu Fatin


Lakonan Intan Ladyana di dalam filem ini bagi aku sangat menarik. Jeritannya kali ini memang ada aura. Mungkin kerana sudah banyak membintangi filem membuatkan Intan yang sebelum ini berlakon tanpa ada sekelumit pun perasaan sedih di dalam filem Jangan Pandang Belakang lebih bersedia dan menggunakan pengalaman itu untuk menunjukkan bahawa lakonannya sudah punya roh dan aku mengucapkan tahniah untuk lakonannya di dalam filem ini. Lakonan Adey Syafrien pula sedikit kekok kerana mungkin ini penglibatan awalnya di dalam filem manakala lakonan adik Syazana Firas sebagai kanak - kanak bernama Fatin pula cemerlang.


 Salah Satu Babak Yang Menarik Di Dalam Filem Ini


Filem ini mungkin seram pada kebanyakkan orang yang telah menontonnya tetapi bagi aku tidak lah seseram mana. Ada juga adegan - adegan yang menarik seperti nyanyian Fatin yang boleh dikatakan mampu meremangkan bulu roma anda yang menonton.


Satu satu..Fatin Sayang Emak!
Dua dua..Emak Sayang Fatin!
Tiga tiga..sayang sama-sama!
Satu, Dua,Tiga..Sayang Selamanya!


Apa - apapun, aku masih beranggapan filem ini hanya sebuah filem seram yang lebih kurang sama seperti filem - filem lain dan jalan ceritanya juga sudah boleh dijangka. Jadi, kepada yang belum menonton bolehlah menonton filem ini untuk merasa keseramannya. Selamat menonton!


P/S : Tidak Perlu Keadaan Rumah Seperti Di Dalam Filem Ini Untuk Menimbulkan Rasa Seram Pada Penonton! (^_^)Y




29/07/11

Review Filem Tolong Awek Aku Pontianak



Filem:
Tolong Awek Aku Pontianak


Pengarah:
James Lee


Genre:
Komedi Seram


Pelakon:
Zahiril Adzim, Sazzy Falak, Liyana Jasmay,Sufian Mohamed,
Rashidi Ishak, Yus waisar, Nurul Wahab, Syanie, Ameerul,
Datuk Jalaludin Hassan, Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki,
Faezah Elai, Ruminah Sidek, Jehan Miskin, Bell Ngasri.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:

Filem komedi seram ini mengisahkan tentang Bob iaitu seorang pemuda yang berperwatakan lurus dan baik hati yang bekerja di sebuah syarikat periklanan namun kerana kebaikannya maka Faizal iaitu ketua unit mereka selalu mengambil kesempatan dengan mencuri idea - idea hebat Bob. Disebabkan hal tersebut Bob tidak berpeluang untuk dinaikkan pangkat dan ini membuatkan Ina iaitu teman wanitanya mengambil keputusan memutuskan hubungan mereka kerana sudah menunggu lebih 3 tahun untuk Bob dinaikkan pangkat. Selepas perpisahan tersebut, Bob mengambil keputusan untuk berpindah ke sebuah apartment murah bersama kawannya iaitu Pian. Mereka berdua sebenarnya tidak sedar mereka telah ditipu oleh Don iaitu agen hartanah yang memperkenalkan apartment tersebut kerana hakikatnya apartment itu berpuaka.

Pertemuan mereka dengan adik beradik jelita iaitu Maya dan Liyana telah mengubah kehidupan Bob dan Pian disana. Mereka berdua mula jatuh hati pada Maya dan Liyana tanpa mereka sedar sebenarnya Maya dan Liyana ialah pontianak. Liyana pula tidak menyenangi kehadiran Bob dan Pian kerana takut identiti mereka berdua terbongkar tetapi lain pula dengan Maya yang mula jatuh hati pada Bob kerana kejujuran dan ketulusan hati Bob selepas beliau menguji Bob dengan pelbagai dugaan.

Namun Faizal berasa sangsi dan beranggapan Maya ialah pontianak apabila terjadi satu kejadian ngeri di tempat kerja mereka jadi beliau meminta bantuan Pian untuk membantu beliau membuktikan bahawa Maya dan adiknya adalah pontianak. Jadi, mereka merancang mengadakan sebuah parti untuk membongkar rahsia tersebut. Jadi, adakah rahsia Maya dan Liyana akan terbongkar? Mampukah Bob menerima cinta Maya apabila mengetahui bahawa Maya sebenarnya ialah pontianak? Apakah yang akan terjadi kepada Maya dan Liyana? Saksikan filem yang begitu menarik ini untuk mendapatkan jawapannya.


Ulasan Hans:

Aku dengan gembiranya ingin mengucapkan tahniah kepada pelakon - pelakon dan semua krew produksi yang terlibat di dalam pembikinan filem Tolong Awek Aku Pontianak ini yang boleh aku sifatkan sangat menarik dari segi jalan cerita dan isinya. Percintaan antara manusia dan pontianak yang berjaya digarap dengan baik dan membuatkan aku teruja. Aku tidak pasti adakah jalan cerita filem ini mempunyai persamaan dengan filem - filem dari luar tetapi apa yang aku boleh katakan aku sangat berpuas hati dengan pengolahan jalan cerita filem ini yang bagi walaupun santai tetapi sedikit berbeza berbanding filem - filem yang melibatkan kisah percintaan antara manusia dan pontianak ini.


Lakonan Zahiril Adzim Sebagai Lelaki Lurus Bendul Sangat Menarik


Kekuatan filem ini datangnya daripada lakonan yang mantap oleh para pelakonnya dan disini aku sangat menyukai karakter Bob yang dibawakan oleh Zahiril Adzim dengan sempurna sekali sebagai seorang yang lurus bendul. Karakter Bob yang kelihatannya begitu kudus hatinya itu berjaya diterjemahkan di dalam setiap sisi lakonan Zahiril dan sememangnya aku sangat berbangga dengan watak yang dibawakannya ini. Tahniah Zahiril!


 Kemunculan Harun Salim Bachik Pasti Menggamatkan Suasana


Aku juga sangat suka dengan kemunculan watak - watak pembantu terutama yang dibawa oleh Harun Salim Bachik yang melakonkan karakter Aaron Slam Bach dimana ayat "Kau Sebut Betul - Betul! Aaron Slam Bach!" yang diungkapkan oleh beliau masih lagi terngiang - ngiang di telinga aku yang membuatkan aku ketawa geli hati. Aku juga tidak akan lupa bagaimana watak Don yang dilakonkan oleh Afdlin Shauki ditunjukkan termengah - mengah menaiki tangga yang secara tidak langsung mewujudkan elemen komedi yang sangat melucukan. Aku sangat terhibur menonton situasi - situasi yang bersifat humor di dalam filem ini yang pastinya akan membuatkan anda tidak senang duduk kerana ketawa menontonnya.


 3 Orang Manusia Yang Sentiasa Dibuli


Bagi aku elemen seram itu sebenarnya berjaya ditimbulkan melalui suasana, kesan bunyi dan juga lakonan mantap yang ditunjukkan oleh Sazzy Falak yang bijak bermain dengan nada suara serta riak wajah namun apa yang sedikit mengecewakan aku di dalam filem ini ialah kesan solekan pontianak yang langsung tidak menyeramkan. Adalah lebih menggembirakan jika solekan muka pontianak - pontianak ini diambil berat dan pasti ia mampu untuk menepati genre filem ini yang dikatakan sebagai filem komedi seram.


 Solekan Dan Kesan Khas Yang Lemah


Apa - apapun, sangat berbaloi menonton filem yang bagi aku cukup komedinya dan filem ini sebenarnya berjaya diselamatkan kerana jalan ceritanya yang lucu serta lakonan pelakon - pelakonnya yang mantap dan secara tidak langsung berjaya menutup kelemahan besar filem ini iaitu dari segi kesan khas dan solekan yang boleh dikatakan sangat teruk. Walaupun mungkin ada yang tidak menyukai filem ini tetapi citarasa aku berbeza dengan kalian. Jadi, selamat menonton filem ini dan nikmatilah kisah percintaan antara manusia bernama Bob serta pontianak bernama Maya.



P/S : Sayang Kutipan Filem Ini Tidak Memberangsangkan Sedangkan Jalan Ceritanya Menarik! (^_^)Y




27/07/11

Filem Libas



Filem:
Libas


Pengarah:
Jurey Latiff Rosli


Genre:
Aksi Komedi


Pelakon:
Rosyam Nor, Scha Al-Yahya, Johan Raja Lawak, Beego, Mohd Fadzly,
Mohd Razib, Z.Zamrie, Taiyuddin Bakar, Adam Corrie, Yank Kassim,
Sabri Yunus, Sathiya, Johan Abdullah & Etc.


Tarikh Tayangan:
29 September 2011


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Adnan Saladin iaitu seorang pakar libasan dalam permainan sepak takraw. Dia digelar sebagai raja libas Malaysia dan kehebatan libasan beliau sangat digeruni oleh pasukan lawan terutamanya dari pasukan Thailand. Kecederaan yang berlaku mengakibatkan tekong Malaysia iaitu Dali parah apabila Libas gagal menampan libasan kuat AK Nangkhon lalu terkena dadanya. Akibatnya Malaysia telah tumpas kepada Thailand untuk kali kedua berturut-turut. Jurulatih dan rakan sepasukan, Megat turut menyalahkan Adnan Saladin kerana kekalahan itu sehingga jurulatih sanggup memutuskan pertunangan Adnan Saladin dengan anaknya, Ratna. Raja Libas resah apabila mengetahui Mr. Wilson menawarkan perlawanan Libas lebih awal dari selalunya untuk mendapatkan bola warisan yang mempunyai nilai sejarah dan kuasa mistikal. Tawaran lumayan diberikan kepada pasukan Thailand demi mendapatkan bola warisan tersebut yang berada pada Raja Libas. Raja Libas berfikir siapa yang harus dia ambil sebagai pemain bagi mengekang kehebatan pemain Thailand. Akhirnya Raja Libas dapat menemui pemain baru dan mengumpulkan regu pasukan yang terdiri daripada Megat, Hamadi dan Kumok yang merupakan taruhan Libas untuk menentang Thailand nanti. Pada perlawanan akhir nanti, pasukan Malaysia teruk dibelasah oleh pasukan Thailand. Mampukah Raja Libas mempertahankan maruah negara?


Trailer:

video



Pandangan Hans:

Apabila menonton trailer filem Libas ini terus ingatan aku teringat pada filem - filem dari Thailand yang gemar menjadikan sukan sebagai salah satu subjek utama di dalam filem mereka dan bagaimana mereka menonjolkan sesuatu sukan itu di dalam bentuk yang luar biasa atau tidak masuk akal yang menjadikan filem mereka punya aura yang cukup kuat untuk mengundang ketawa daripada penonton. Mungkin filem Libas cuba mengambil pendekatan seperti itu jika dilihat pada trailer filem ini.

Kemudian, apabila melihat aksi - aksi dan kesan khas di dalam trailer filem ini terus fikiran aku terarah kepada filem - filem Stephen Chow yang gemar menggunakan formula yang sama. Walaupun kelihatan terdapat beberapa babak yang melibatkan CGI yang kelihatannya terlalu animasi di dalam filem ini tetapi aku belum pasti bagaimana dengan kekuatan jalan ceritanya. Mungkin jalan ceritanya berkualiti. Siapa tahu kan?

Senarai pelakon sangat hebat dan berbakat! Jika kena gayanya mungkin filem ini akan berjaya menarik perhatian penonton atau pun sebaliknya. Bagi aku jika filem ini kuat dari segi jalan cerita dan komedinya mampu membuatkan penonton Malaysia pecah perut insyaallah pasti filem ini akan tersenarai di kalangan filem - filem yan berjaya mencapai kutipan tiket yang bernilai jutaan ringgit. Apa - apapun, nantikan filem ini di pawagam berhampiran anda.

P/S : Tak Sabar Nak Tengok Dan Buat Review Filem Libas Nih! (^_^)Y




Review Filem Suck Seed



Filem:
Suck Seed


Pengarah:
Chayanop Boonprakob


Genre:
 Komedi & Muzikal


Pelakon:
 Jirayu La-Ongmanee, Natcha Nuanjam,
Pashorn Jiratiwat, Thawat Pornrattanaprasert & Etc.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang 3 orang pelajar lelaki sekolah tinggi iaitu Ped, Khung dan X yang mahu membentuk sebuah band muzik walaupun hakikatnya mereka langsung tidak berbakat dalam bidang muzik. Niat utama mereka sebenarnya adalah untuk menarik perhatian pelajar perempuan di sekolah mereka. Tetapi, segala - segalanya berubah apabila Earn iaitu seorang pelajar perempuan yang cantik yang baru bertukar ke sekolah terbabit dijumpai oleh mereka bertiga. Sebenarnya, sewaktu zaman kanak - kanak dahulu Ped dan Khung mempunyai sejarah silam dengan Earn sebelum Earn berpindah ke Bangkok. Khung menggajak Earn menyertai kumpulan mereka sebagai gitaris dan menaruh hati terhadap Earn. Dalam masa yang sama Ped yang sejak dari kanak - kanak lagi mencintai Earn dalam diam terpaksa memendam rasa demi persahabatannya dengan Khung. Namun, suatu perkara telah berlaku yang menyebabkan hubungan mereka bertiga berantakan.


Ulasan Hans:

Filem remaja Thailand ini berjaya mencuit hati aku untuk menonton sehingga ke akhir walaupun durasi filem ini sangat panjang iaitu lebih kurang 2 jam 10 minit. Apa yang menarik tentang filem ini ialah bagaimana tema cinta dan persahabatan diangkat, digabung dan disatukan melalui muzik yang membuatkan aku cukup terhibur menonton filem ini kerana bagi aku filem ini mempunyai makna yang mendalam tentang erti persahabatan. Jalan cerita filem ini berkembang dengan baik dan mudah difahami.


Kisah Remaja Yang Mencari Identiti Sendiri


Filem ini sememangnya sarat dengan elemen komedi yang membuatkan aku tidak kering gusi menontonnya. Dalam masa yang sama filem ini bijak bermain dengan emosi penonton di mana walaupun ada adegan yang memang melucukan namun ia mampu menyentuh hati apabila melihat beberapa watak yang bijak memainkan karakter mereka dengan berkesan. Aku sangat menyukai watak Ped yang dilakonkan oleh Jirayu La-Ongmanee yang bagi aku sangat berjaya menghidupkan watak yang seolah - olah berperang dengan jiwa sendiri dan terlalu takut untuk meluahkan rasa.


 Watak Ped Dilakonkan Oleh Jirayu La-Ongmanee


Aku sangat menyukai pemilihan pelakon di dalam filem ini dimana mereka bijak memilih pelakon kanak - kanak yang menyamai ciri - ciri pelakon untuk watak dewasa. Tidak seperti sesetengah filem tempatan yang kadang - kadang langsung tidak menitik beratkan tentang persamaan ciri watak kanak - kanak dan watak dewasa. Sebagai contoh, jika pelakon kanak - kanak itu memiliki tahi lalat di pipi maka pelakon dewasa yang meneruskan watak pelakon kanak - kanak itu harus lah juga mempunyai tahi lalat di pipi. Namun, banyak pengarah tempatan yang kurang mengambil berat tentang soal ini.


Mana Lebih Penting Antara Cinta Dan Persahabatan?


Apa - apapun, aku sangat berpuas hati dan gembira kerana berjaya menonton filem Suck Seed ini dan kepada yang meminati filem Thailand maka aku sarankan agar kalian menonton filem ini. Selamat menonton!


P/S : Aku Suka Filem Remaja Thailand Kerana Walaupun Filem Itu Komedi Tetapi Masih Ada Mesej Hebat Yang Mahu Disampaikan! (^_^)Y




26/07/11

Filem Bini - Biniku Gangster



Filem:
Bini - Biniku Gangster


Pengarah:
Ismail Bob Hashim


Genre:
Aksi Komedi


Tarikh Tayangan:
22 September 2011


Pelakon:
 Shaheizy Sam, Yana Samsudin, Intan Ladyana, Zul Handyblack & Etc.


Sinopsis:

Manja dan Herry adalah sepasang suami isteri yang sangat romantik dan saling sayang menyayangi. Bagi Herry, Manja adalah seorang isteri dan suri rumah yang baik. Sedaya upaya Manja cuba menyembunyikan identitinya sebagai seorang ketua kumpulan gangster. Dipejabat, Herry kerap dibuli oleh Mat Saja, tetapi setiap kali Herry dibuli pasti Mat Saja akan menerima balasannya. Perkahwinan mereka yang sudah berusia 2 tahun itu masih belum dianugerahkan anak disebabkan Manja yang pernah mengalami kecederaan perut akibat kisah silam, membuatkan Manja berasa serba salah lalu cuba mencarikan seorang isteri yang boleh memberikan anak untuk suaminya yang tersayang. Ia juga adalah untuk mengalih perhatian Herry dari mengetahui aktiviti luarnya yang semakin sibuk setelah bergelar ketua kawasan, tambahan pula kawasannya kerap diganggu oleh musuhnya Min Siam. Manja melamar Reanna, rakan sepejabat Herry yang baru untuk menjadi madunya. Walaupun redha dengan perkahwinan suaminya yang baru, jauh disudut hatinya perasaan cemburu melihat kemesraan Reanna dan Herry. Maka berlakulah perang dingin antara Manja dan Reanna dirumah. Sedang mereka asyik bergaduh, tiba – tiba Herry menghilangkan diri. Kedua dua madu itu berusaha mencari Herry di merata tempat, Manja bergegas ke tempat musuhnya iaitu Min Siam, kerana khuatir Herry diculik ahli kumpulan Min Siam


Trailer:

video



Pandangan Hans:

Tajuk filem ini mengingatkan aku pada filem My Wife Is Gangster dan aku tidak pasti adakah filem Bini - Biniku Gangster ini mempunyai persamaan sama ada sedikit atau langsung tidak ada dengan filem tersebut. Apa - apapun, sekali lagi David Teo 'mengambil kesempatan' dengan mempertaruhkan populariti yang ada pada Shaheizy Sam untuk menarik perhatian penonton tempatan untuk menonton filem ini di pawagam berhampiran mereka.

3 cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh produksi filem ini ialah :-

 
1) Untuk memastikan jalan cerita filem ini dapat memuaskan hati penonton dan secara tidak langsung mengelakkan penonton daripada merungut bahawa jalan cerita filem ini kucar - kacir atau kurang menarik seperti mana mereka menonton filem Kongsi.

2) Aksi pelakon wanita yang diharapkan kelihatan betul - betul gagah dan ganas tidak seperti filem - filem sebelum ini dimana pelakon wanitanya kelihatan sangat kekok ketika berlawan. Susah untuk berjumpa pelakon wanita yang hebat beraksi seperti Angelina Jolie di Malaysia.

3) Pergerakan kamera yang lancar dan tidak memeningkan mata dan semestinya mampu membuat penonton teruja apabila dihidangkan dengan adegan - adegan aksi.


Jadi, nantikan filem Bini - Biniku Gangster pada 22 September 2011 ini dan nilai sendiri adakah ia mampu memberi kepuasan kepada anda atau sebaliknya. Selamat menonton!


P/S : Kuantiti Filem Tempatan Semakin Bertambah! Tetapi, Bagaimana Pula Dengan Kualiti? (^_^)Y




Filem Raya Tak Jadi

(Bukan Poster Sebenar)


Filem:
Raya Tak Jadi


Pengarah:
Prof. Madya A. Razak Mohaideen


Genre:
Komedi


Tarikh Tayangan:
15 September 2011


Pelakon:
Saiful Apek, Johan Raja Lawak, Mak Jah, Jalaluddin Hassan, Wan Sharmila & Etc.


Sinopsis:

Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman pada penghujung Ramadhan, dua adik beradik telah menemui seorang lelaki misteri di dalam bonet teksi mereka. Selepas menyedari yang lelaki itu adalah Penyimpan Mohor Besar Raja Raja yang telah diculik oleh seorang usahawan kurma, kedua-dua adik beradik ini perlu memberanikan diri dan mengatasi penculik tersebut sebelum keluarga mereka dianiaya.


Trailer:

video



Pandangan Hans:

Filem ini sebenarnya menyasarkan kekuatan dan pengaruh besar daripada dua tunjang utama filem ini iaitu Saiful Apek serta Johan yang sememangnya diketahui mempunyai jumlah peminat yang ramai. Selalunya, filem - filem arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen ini bermain pada plot yang sama dan kebanyakkan pengkritik atau pengulas pasti akan mengatakan komedi yang cuba disampaikan oleh beliau sudah lapuk atau terlalu stereotype.

Pada pandangan aku pula, aku agak bersetuju dengan kenyataan tersebut kerana filem - filem beliau sebelum ini walaupun lucu tetapi hanya sekadar lucu dan tidak lebih dari itu. Namun, adakah filem ini akan lari daripada bayangan filem - filem Prof. Madya A. Razak Mohaideen sebelum ini atau masih mengikut acuan yang sama? Nantikan kemunculan filem ini di pawagam berhampiran anda.

P/S : 2 Buah Filem Sebelum Ini Iaitu Filem 4 Madu dan Ratu Sangat Mengecewakan! Bagaimana Dengan Buah Tangan Terbaru Ini? (^_^)Y




25/07/11

Filem Karipap - Karipap Cinta



Filem:
Karipap - Karipap Cinta


Pengarah:
Othman Hafsham


Genre:
Komedi Romantik


Pelakon:
Gambit Saifullah, Melia Aimellia, Shawal AF, Eman Manan, Elyas Iskandar,
P.Jagen, Shamira Azmil, Afizudin Fazil, Rosnah Johari, Patrick Teoh, Chef Wan.


Tarikh Tayangan:
31 Ogos 2011


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Ali yang bekerja di syarikat penerbitan majalah jatuh hati pada Sarah iaitu rakan sekerja teman serumahnya. Cuba untuk memikat Sarah, niat Ali sedikit terbantut apabila rakan serumahnya memberitahu Sarah merupakan pelajar terbaik lepasan Universiti Al-Azhar dan keluarganya juga bercadang untuk menjodohkan Sarah dengan seorang ustaz. Ali kemudiannya terpaksa menipu Sarah dan keluarganya dengan mengaku dirinya juga bekas graduan Al-Azhar demi cintanya pada Sarah. Ali juga sanggup berkorban dengan memecah masuk rumah dan pejabat bosnya sendiri dibantu oleh tiga orang rakan karibnya untuk merampas kembali dokumen yang diambil oleh bosnya dalam misi menjatuhkan maruah ayah Sarah. Namun, keadaan menjadi semakin tegang apabila tembelang Ali menipu Sarah akhirnya terbongkar. Hanya kuih karipap menjadi harapan terakhir Ali untuk kembali memenangi hati Sarah.


Trailer:

video



Pandangan Hans:

Filem ini yang diadaptasi daripada novel Karipap - Karipap Cinta karya Nazri M. Annuar pasti mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana novel Karipap - Karipap Cinta amat dikenali oleh remaja khususnya yang gemar membaca novel. Secara tidak langsung pembaca novel ini pasti teringin mahu menyaksikan bagaimana imaginasi mereka yang selama ini hanya bermain di dalam pembacaan masing - masing diterjemahkan ke ruang nyata melalui filem ini.

Cuma gara - gara kontroversi yang melanda pelakon utamanya sebelum ini iaitu Gambit serta nama filem ini yang mungkin terlalu ringan atau kelihatan seperti tidak kuat untuk menarik penonton menonton memberi satu cabaran kepada pengarah dan semua krew - krew untuk menjalankan promosi lebih hebat untuk menarik perhatian khalayak khususnya generasi muda.

Aku tidak pasti bagaimana intipati filem ini kerana aku tidak membaca novel Karipap - Karipap Cinta tetapi apa yang aku pasti novel itu sedikit santai dan punya mesej serta gaya penceritaan yang menarik cuma adakah filem ini yang bakal ditayangkan bersama dengan filem Hantu Bonceng pada Hari Raya Aidilfitri kelak bakal berjaya dari segi kutipan tiket atau pun sebaliknya. Sama - sama kita nantikan hasilnya nanti.


P/S : Tak Sabar Menanti Reaksi Penonton Untuk Filem Ini (^_^)Y




24/07/11

Filem Hantu Bonceng



Filem:
Hantu Bonceng


Pengarah:
Ahmad Idham


Genre:
Komedi Seram


Pelakon:
Zizan Raja Lawak, Julianna Evans, Taiyuddin Bakar, Jue Aziz & Etc.


Tarikh Tayangan:
31 Ogos 2011


Sinopsis:

Filem Hantu Bonceng mengisahkan tentang Amran iaitu seorang mat despatch yang sering terlibat dalam perlumbaan haram. Suatu hari, Amran memenangi satu perlumbaan dan beliau diberikan seorang gadis yang cantik sebagai hadiahnya. Namun Amran terlibat dengan sebuah kemalangan bersama gadis itu gara - gara dilanggar dengan sebuah lori. Kejadian itu menyebabkan gadis itu mati di tempat kejadian manakala Amran telah dibawa ke hospital. Gara - gara insiden itu kehidupan Amran terus berubah secara drastik kerana gadis yang mati itu telah menjelma sebagai hantu dan menggangu hidupnya setiap malam. Disebabkan sudah tidak tahan lagi diganggu maka Amran meminta bantuan rakannya iaitu Kunyit untuk membantu beliau menyelesaikan masalah ini.


Trailer:

video



Pandangan Hans:

Pengarah filem di Malaysia selalunya akan berebut - rebut untuk mendapatkan tayangan filem mereka pada waktu Hari Raya Aidilfitri dan selalunya genre filem yang ditawarkan adalah berbentuk komedi. Walaupun hakikatnya filem - filem yang ditayangkan pada waktu Hari Raya susah untuk mencapai box office namun entah kenapa tarikh itu begitu istimewa dpada pandangan mata pengarah - pengarah Malaysia.


Salah Satu Adegan Di Dalam Filem Hantu Bonceng


Aku tidak pasti tentang jalan cerita filem ini sama ada mempunyai kelainan atau pun sekadar menawarkan komedi yang cuma berniat untuk membuatkan penonton ketawa semata - mata. Namun apa yang membuatkan aku rasa tertarik untuk menonton filem ini kerana aku menyukai lakonan yang dilakonkan oleh Taiyuddin Bakar yang aku rasa sangat bagus lakonannya di dalam teater selain daripada lakonan Zizan sendiri yang kelakar.


 Zizan Dan Taiyuddin


Apa - apapun, sepanjang Ramadhan nanti tidak ada langsung filem Melayu yang akan ditayangkan sebelum Hantu Bonceng menjenguk pawagam pada Hari Raya Aidilfitri nanti. Jadi, selamat menanti dan menonton filem ini!


P/S : Filem Karipap - Karipap Cinta Juga Akan Menjenguk Pawagam Pada Tarikh Yang Sama Dengan Filem Hantu Bonceng! (^_^)Y




Filem Geng Pisang



Filem:
Geng Pisang


Pengarah:
Wan Azli Wan Jusoh


Penulis Skrip:
Wanji Asmadi


Genre:
Aksi Dan Drama


Kemungkinan Barisan Pelakon:
 Khairil Ridzuan, Amerul Affendi, Pekin Ibrahim, Linda Hashim,
Bront Palarae, Khir Rahman, Wanji Aswandi, Ronasina & Etc.


Tarikh Tayangan:
Belum Dipastikan Lagi


Sinopsis:

Perjalanan hidup Madi sebagai seorang pembunuh sulit bagi sebuah kumpulan bergelar 'GENG PISANG', sangat menagih sebuah pengorbanan dan pertaruhan nyawa. Bermula dari mempertahankan kawasan jagaan mereka, Madi telah melakukan beberapa pembunuhan yang mengakibatkan pertembungan di antara kumpulan kongsi gelap di Kuala Lumpur. Kesetiaan, pengorbanan, pembelotan dan pertumpahan darah pun terjadi. Apakah kesudahan mereka yang hidup digelanggang pertaruhan nyawa ini?




22/07/11

Review Drama Bersiri Juvana



Drama:
Juvana


Pengarah:
Faisal Ishak


Penulis Skrip:
Alfie Palermo


Pelakon:
Zahiril Adzim, Bront Palarae, Izreen Azminda,
Irfan Roslan, Beto Kushairy, Kuswadinata & Etc.


Jumlah Episod:
13


Siaran:
TV3


Penilaian:
5 / 5


Sinopsis:

Drama ini mengisahkan tentang Daim, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak kerana dituduh membunuh ibu serta teman lelaki ibunya walaupun beliau mengaku tidak bersalah. Disana, Daim telah ditempatkan dengan beberapa pelajar yang sememangnya bermasalah dan suka mencari masalah. Ditambah pula dengan beberapa orang guru serta warden yang langsung tidak peduli tentang apapun yang terjadi terhadap Daim dan beberapa orang rakannya yang selalu dibelasah oleh kumpulan Botak yang boleh dikategorikan sebagai otai tempat tersebut. Daim terpaksa menjalani kehidupan di pusat tersebut yang rata - rata penghuninya memang berkelakuan ganas dan samseng sedangkan Daim sebaliknya namun nasib menyebelahinya apabila salah seorang pelajar disitu iaitu Apek menjadi rakan baik Daim dan sentiasa membantu beliau dalam apa jua situasi. Kedatangan Cikgu Zakiah pula memang membawa impak yang cuku besar dalam membantu Daim berhadapan dengan semua dugaan ini dan secara tidak langsung berjaya mengubah pemikiran pelajar - pelajar sekolah Wira Bakti seorang demi seorang. Konflik mula timbul apabila pelajar cilik iaitu Kedah mengetahui bahawa Daim bukanlah pembunuh ibu beliau dan rahsia besar mula terbongkar apabila Warden Raja dan beberapa kakitangan sekolah itu bersubahat di dalam mencuri duit peruntukkan yang diberi oleh Dato Wira kepada sekolah dan pelajar terbabit. Jadi, Cikgu Zakiah cuba berbuat sesuatu untuk menyelamatkan Daim dan rakan - rakannya. Daim pula cuba merangka strategi untuk membebaskan dirinya dan memberi hak dan keadilan kepada rakan - rakan yang lain walaupun Botak menentang beliau habis - habisan dan cuba menggagalkan rancangan Daim.


Ulasan Hans:

Drama bersiri Juvana akhirnya melabuhkan tirainya semalam(18 Julai 2011) selepas bersiaran di stesen TV3 sebanyak 13 episod dan berjaya membawa sebuah fenomena baru kepada penonton - penonton Malaysia dimana rating untuk setiap episod mencatat lebih daripada 1 juta penonton. Aku juga salah seorang penonton yang tidak terlepas daripada mengikuti drama bersiri ini sejak episod pertama lagi mengakui drama ini ada aura yang tersendiri kerana keunikan dan keistimewaan yang terdapat di dalam drama ini yang bagi aku belum pernah lagi dilihat di dalam mana - mana drama bersiri, telemovie mahu pun filem keluaran anak tempatan sebelum ini.


 Kisah Tentang Seorang Remaja Yang Tidak Berdosa


Jalan cerita yang unik hasil karya Alfie Palermo ini sememangnya bagi aku menongkah arus dan walaupun terdapat sedikit tentangan daripada penonton - penonton Malaysia terutama ibu bapa yang mempertikaikan kenapa drama ini ditayangkan kerana mereka lebih menilai terhadap nilai keganasan yang terdapat di dalam drama ini berbanding mesej nya yang jauh lebih besar dan bermanfaat. Aku tak nafikan ada sesetengah babak memang boleh diklasifikasikan agak ganas namun sampai bila penonton - penonton harus disogokkan dengan kisah - kisah fantasi percintaan atau pun komedi slapstik yang kadang - kadang bagi aku begitu stereotaip dan langsung tidak membina minda khalayak yang menonton.


Nama Panggilan Yang Unik


Aku suka bagaimana setiap karakter di dalam drama ini dibentuk, diangkat dan dilakonkan oleh setiap daripada mereka. Walaupun boleh dikatakan 70% daripada senarai pelakon ini ialah pelakon muda atau pun pelakon baru yang tidak dikenali oleh kebanyakkan penonton namun mereka berjaya meninggalkan impak yang cukup besar dalam setiap babak kemunculan watak mereka di kaca televisyen. Watak - watak kecil seperti watak pengawal Tony, Nadia dan ibunya serta keluarga cikgu Zakiah walaupun kemunculan mereka hanya seketika namun masih mampu meninggalkan kesan terhadap emosi penonton.


 Barisan Pelakon Untuk Watak Pelajar - Pelajar Sekolah Wira Bakti


Pelakon - pelakon yang sebelum ini pernah berlakon atau baru berlakon seperti Johan Aarif Asri, Adam Shah(Akademi Polis,TV9), Syazwan Zulkifly, Talha Harith, Syukri Yahaya, Idzham Ismail, dan lain - lain juga berjaya menghidupkan watak mereka dengan cukup berkesan dan menyakinkan. Pelakon - pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae, Izreen Azminda,  Beto Kusyairy, Irfan Roslan dan Fimie Don secara tidak langsung membantu menguatkan lagi keseluruhan cerita drama ini.


Lakonan Mantap Daripada Pelakon - Pelakon Ini


Apa yang sangat menggembirakan aku disini ialah apabila watak Daim yang dilakonkan dengan jayanya oleh Zahiril Adzim tidak dibentuk untuk menjadi jaguh persis hero - hero filem Bollywood mahu pun superhero Hollywood dimana sama ada mereka terlalu lemah atau kelihatan begitu nazak namun tiba - tiba menjadi kuat dan mampu menewaskan musuh dengan sekelip mata. Watak Daim tetap ditunjukkan sebagai seorang lelaki yang lemah dari segi fizikal namun kuat dari segi akal dan ini dibuktikan di dalam episod akhir dimana Daim masih tidak mampu menewaskan Botak dari segi fizikal. Itu memang sesuatu yang menggembirakan aku kerana keseluruhan cerita ini sukar untuk dijangka pengakhirannya.


 Watak Kedah Lakonan Fimie Don Begitu Mencuit Hati


Apa - apapun, secara keseluruhan drama bersiri Juvana sememangnya menarik, menghiburkan dan penuh dengan mesej yang boleh dijadikan tauladan dan pengajaran dalam kehidupan seharian kita. Kata - kata nasihat yang diungkap dengan indah di dalam drama ini juga begitu menarik untuk dihayati. Aku masih mengingati babak di antara Cikgu Zakiah dan ayah beliau tentang kerjaya yang dipilih oleh beliau sebagai seorang guru yang ditentang keras oleh ayahnya kerana tidak menjamin kekayaan. Aku juga masih mengingati adegan Cikgu Zakiah yang menasihati Botak tentang kezaliman manusia tidak akan membuatkan manusia lain menghormati melainkan membenci serta takut sahaja. Banyak lagi sebenarnya mesej yang tidak perlu untuk aku letakkan di sini kesemuanya.


 Watak Cikgu Azmee Lakonan Irfan Roslan Berjaya 'Menipu' Penonton


Jadi, aku dengan ini mengucapkan tahniah kepada semua krew dan pelakon drama bersiri Juvana yang membawa fenomena dan harapan baru kepada industri dan juga penonton - penonton tempatan. Harapan aku moga drama Juvana ini akan ada sambungannya dan moga jika ada sambungannya nanti aku mengharapkan agar jalan ceritanya lebih hebat atau paling tidak sehebat drama Juvana ini. Tahniah sekali lagi untuk semua!

P/S : Mana Satu Pilihan Anda? Juvana 2 Atau Juvana The Movie? Aku Memilih Juvana 2! (^_^)Y




18/07/11

Review Filem Harry Potter and The Deathly Hallows Part 2



Filem:
Harry Potter and The Deathly Hallows Part 2


Pengarah:
David Yates


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fantasi


Pelakon:
Daniel Radcliffe, Emma Watson, Rupert Grint, Ralph Fiennes,
Tom Felton, Helena Bonham Carter, Alan Rickman & Etc.


Penilaian:
5 / 5


Sinopsis:

Filem Harry Potter and The Deathly Hallows Part 2 ini akan menunjukkan bagaimana Harry, Ron dan Hermione kembali ke Hogwarts untuk mencari dan memusnahkan saki baki artifak horcruxes bagi mengurangkan kuasa Voldemort daripada bertambah kuat. Namun apabila Voldemort menyedari tentang hal ini maka beliau telah mengumpulkan bala tenteranya untuk memerangi dan memusnahkan Hogwarts lalu berlakulah sebuah peperangan besar yang mana mereka sedar kehidupan mereka tidak akan sama seperti dahulu lagi. Kebanyakan rahsia telah terbongkar iaitu rahsia yang melibatkan Profesor Snape dengan Dumbledore yang memang mengejutkan ramai pihak. Jadi, mampukan pihak Hogwarts bertahan daripada serangan bala tentera Voldermort atau sebaliknya? Adakah Harry Potter akan tewas dan terkorban di dalam pertarungannya dengan Voldermort? Apakah horcrux yang masih tertinggal yang perlu dimusnahkan? Siapakah yang akan terkorban di dalam peperangan ini? Saksikan filem hebat ini di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans:



Aku bukanlah pembaca novel Harry Potter jadi aku hanya menilai filem ini melalui filemnya sahaja bermula daripada filem pertama hingga yang terakhir ini. Jadi pandangan aku mungkin tidak seiring dengan pembaca novel filem yang lebih mengetahui tentang inti pati keseluruhan ceritanya. Namun filem terakhir ini bagi aku betul - betul hebat dan menarik pada pandangan aku sebagai penonton setia siri filem ini.


 Sebuah Rahsia Besar Akan Terbongkar


Filem yang berdurasi sekitar 2 jam 15 minit ini membuatkan aku betul - betul teruja. Walaupun filem ini tidak menampilkan banyak pengembaraan seperti filem - filem sebelum ini kerana sudah pasti filem terakhir ini lebih tertumpu pada kawasan Hogwarts sebagai latar peperangan namun visual, CGI, karakter serta kesan bunyinya bagi aku sangat menarik dan agak sempurna dan pada pendapat aku jika anda menonton di dalam 3D pasti akan membuatkan rasa teruja itu berganda barangkali.


 Babak Awal Filem Ini Yang Begitu Melucukan


Plot dan susunan cerita di dalam filem ini juga bakal memberi pelbagai kejutan kepada penonton kerana filem ini akan mendedahkan siapakah sebenarnya Profesor Snape yang pastinya membuatkan korang simpati apabila mengetahui kebenarannya. Elemen komedi sangat membantu perjalanan filem ini yang panjang dan walaupun kita sedang dipertontonkan dengan adegan - adegan yang mencemaskan namun sesekali apabila unsur humor itu dikeluarkan ia akan membuat anda ketawa secara automatik. Babak antara Ron dan Hermione sering kali mencuit hati aku untuk ketawa.


 Draco Malfoy Sekali Lagi Akan Menghalang Harry Potter


Semestinya ada beberapa karakter yang terkorban di dalam filem ini dan sesekali emosi sedih itu pasti akan menyerang hati kalian namun jangan risau kerana aku pasti filem ini pasti tidak akan mengecewakan kalian. Insyaallah! Unsur kejutan di dalam filem kali ini juga tidak kurang hebatnya kerana kadang - kadang ia boleh membuatkan anda sedikit terkejut dan gemuruh. Cuma aku kecewa apabila watak antagonis yang aku sangat minati di dalam filem ini iaitu watak Bellatrix Lestrange mati dengan begitu mudah. Hahahaha!


Bellatrix Lestrange Watak Antagonis Kesukaan Aku


Apa - apapun, secara keseluruhannya aku sangat terhibur menonton filem terakhir Harry Potter ini dari segala sudut iaitu sama ada dari segi jalan ceritanya, karakternya, kesan khas, skor muzik, latar tempat, visual dan macam - macam lagi. Jadi, kepada peminat filem Harry Potter dan kepada yang bercadang mahu menonton filem ini maka aku sarankan agar anda semua pergi menonton dan pasti anda semua akan gembira dan berpuas hati kerana jawapan untuk setiap persoalan yang belum terjawab sebelum ini akan dipertontonkan kepada kalian di dalam filem ini. Selamat menonton!


 Kenapa Hermoine Menangis? Adakah....Adakah....Tengok Sendiri! Hehehehe!


P/S : Tak Terasa Menonton Filem Harry Potter and The Deathly Hallows Part 2 Walaupun Durasinya Panjang. Avada Kedavra, Expecto Patronum, Expelliarmus, Impedimenta, Lumos, Rictusempra, Sectumsempra, Stupefy, Wingardium Leviosa, Accio, Crucio........(^_^)Y