31/12/11

Seefood Filem Animasi Bahasa Inggeris Tempatan Pertama



Filem:
Seefood


Genre:
Pengembaraan


Tarikh Tayangan:
8 Mac 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang pengembaraan warna - warni dua watak utamanya iaitu Pup dan Julius dimana Pup cuba untuk menyelamatkan berdozen telur(iaitu abang - abang dan kakak - kakaknya) yang telah dicuri oleh pemburu haram dari terumbu Pup tanpa mengambil kira tentang bahaya yang bakal dihadapinya sepanjang misi tersebut. Julius yang merupakan seekor jerung berinsang putih berhasrat untuk membantu Pup untuk menjayakan misi kawan baiknya itu dengan sut istimewanya.




Jadi, sepanjang perjalanan mereka tersebut mereka telah bertemu dengan pelbagai makhluk laut yang lain seperti si penyu bernama Mertle, si sotong kurita bernama Octo dan banyak lagi di dalam pelbagai suasana sama ada suka, duka mahu pun bahaya yang selama ini tidak pernah mereka bayangkan! Saksikan filem pengembaraan penuh warna - warni ini di pawagam berhampiran anda pada bulan Mac 2012 ini.


Trailer:





P/S : Ada Aku Kisah Kalau Ada Sesiapa Nak Kata Filem Seefood Nih Macam Finding Nemo Atau Shark Tale! Janji Ini Hasil Anak Tempatan Dan Tak Sabar Aku Nak Tengok Filem Animasi Bahasa Inggeris 3D Pertama Terbitan Anak Malaysia Nih! (^_^)Y




21/12/11

Review Filem Songlap



Filem:
Songlap


Pengarah:
Effendee & Fariza Azlina


Genre:
Aksi & Drama


Pelakon:
Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Omar Abdullah,
Rozie Rashid, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi,
Rashidi Ishak, Lisdawati, Eizlan Yusof, Nasir Jani & Etc,


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang dua orang adik beradik iaitu Am dan Ad yang melibatkan diri dalam satu sindiket penjualan bayi yang diuruskan oleh seorang wanita bergelar Mama. Kehidupan dua adik-beradik ini memang jauh berbeza. Am mengambil kesempatan dengan menggunakan perniagaan Mama ini sebagai jalan pintas baginya untuk mendapatkan wang bagi memenuhi kegiatan judinya manakala Ad pula mengimpikan kehidupan yang lebih baik dengan menyertai pertandingan tarian B-Boy. Ad mula menyedari impiannya mungkin tidak akan tercapai akibat kehilangan kawan karibnya iaitu Razak akibat masalah dadah dan melihat sendiri nasib gadis-gadis muda yang dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia. Apabila adik Razak iaitu Hawa yang sedang hamil terjebak pula dengan sindiket tersebut maka ia membuatkan Ad tidak boleh menutup mata dan terpaksa berlumba dengan masa untuk menyelamatkan Hawa tanpa menyedari bapa Hawa iaitu Pak Din juga sedang mencari anaknya yang telah hilang itu. Akan tetapi, niat baik Ad untuk menolong Hawa telah menggoyahkan hubungannya dengan Am lalu terjadilah sebuah pergelutan antara mereka yang akhirnya mencecah tebing maut. Berdepan dengan godaan dan pengkhianatan serta dihambat oleh samseng ganas di jalan raya maka siapakah yang akan menang dalam pertaruhan nyawa antara dua saudara ini? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku berkesempatan menonton filem arahan daripada Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak yang juga pernah mengarah filem Kami The Movie yang ditayangkan pada tahun 2008 yang lalu. Kedua - dua filem ini bergenre drama yang agak berat namun mesej dan permainan watak yang mereka utamakan adalah satu faktor yang membuatkan aku suka menonton kedua - dua filem ini. Menariknya tentang filem yang berlatar belakangkan Kuala Lumpur ini ialah apabila ia memaparkan pelbagai perkara hitam terutamanya yang melibatkan jiwa remaja yang berkecamuk gara - gara keruntuhan sistem rumah tangga yang terjadi di dalam salah silah keluarga mereka, desakan hidup yang menarik mereka untuk terjerumus kepada pekerjaan haram iaitu pemerdagangan bayi dan gadis, berjudi, masalah moral dan pelbagai lagi lalu apabila ia disatukan di dalam sebuah kisah menjadikan filem ini sebagai sebuah filem yang cukup berani berdiri untuk memaparkan kisah kebenaran tentang 'kegelapan nilai hidup manusia' yang wujud di negara ini. Tetapi, setiap yang berlaku mesti ada penyebab dan puncanya dan filem ini juga tidak meletakkan seluruh kesalahan tersebut kepada masalah moral itu kerana filem ini juga membuktikan bahawa jika manusia bijak menggunakan akal untuk mengubah dari yang buruk kepada yang baik maka ia pasti berlaku.


Antara Kasih Sayang, Maruah, Wang Dan Penghormatan


Dua perkara yang cukup menyentuh hati disini ialah pertama apabila filem ini memaparkan hubungan seorang anak iaitu Ad yang masih menyayangi ibunya, Rita sedangkan si ibu sebenarnya langsung tidak mengenali dan tidak pernah untuk cuba mengambil tahu tentang kehidupan anaknya itu dan pekerjaannya sebagai seorang pelacur sangat dibenci oleh abang Ad iaitu Am. Melihat Ad yang sanggup berkorban wang ringgit semata - mata untuk berborak dengan ibunya agak meruntun hati sebenarnya dan melihat pula kepada abang Ad iaitu Am yang amat membenci ibunya adalah satu perkara yang menarik untuk dikupas kerana apa sebenarnya yang membuatkan Am terlalu membenci Rita. Adakah Am beranggapan kehidupannya kini kucar - kacir gara - gara kerana pekerjaan ibunya yang tidak senonoh itu lalu menyebabkan Am turut terheret sama menjadi seorang belia yang tiada masa depan? Atau adakah Am malu dengan pekerjaan ibunya? Namun akhirnya anda akan melihat Am sebenarnya tersepit diantara mahu menyanyangi, fobia atau takut kepada kisah silamnya. Kedua pula ialah tentang nilai persahabatan yang ditonjolkan diantara Ad dan rakannya yang merupakan abang kepada Hawa(lakonan Izzue Islam jika tidak silap aku) yang bagi aku cukup berkesan dan penuh makna. Filem ini ibarat serampang dua mata dimana ia menunjukkan remaja yang bermasalah sebenarnya bukan semuanya berpunca daripada diri sendiri tetapi ia juga bermula daripada keluarga mereka dan inilah apa yang filem ini cuba sampaikan kepada penontonnya.


Watak Rita Lakonan Normah Damanhuri Yang Cukup Berani


Mengambil isu - isu terkini terutamanya tentang kisah penjualan dan pembuangan bayi juga merupakan sesuatu yang agak menarik dan menambah warna di dalam perjalanan filem ini. Pada babak awal filem ini sahaja sudah membuatkan aku tertarik kerana permulaan adegan yang menunjukkan Ad menghantar bayi yang dibeli oleh keluarga yang tidak punya zuriat melalui urusan sindiket penjualan bayi. Penonton akan diajak untuk menilai sendiri apakah yang mereka rasakan tentang kewujudan sindiket penjualan bayi ini. Membiarkan gadis - gadis terlanjur membuang bayi sememangnya satu perbuatan yang keji tetapi bagaimana pula dengan mengambil bayi tersebut daripada gadis - gadis yang pada mulanya tidak mahukan bayi mereka dan sememangnya mereka berhasrat untuk menjual anak mereka tersebut tetapi kemudian apabila mula jatuh sayang kerana 9 bulan bayi itu dikandung mereka tetapi mereka tidak mampu berbuat apa - apa pun untuk menyelamatkan bayi tersebut kerana tidak berdaya. Manakala pihak sindiket pula mengambil kesempatan untuk membantu gadis - gadis terlanjur ini buat seketika dengan memberi tempat tinggal, makanan dan ubat - ubatan kepada gadis ini sehingga mereka bersalin dan kemudian anak tersebut akan dijual dan ibu kepada anak tersebut pula akan dijual. Kemudian, apabila watak Hawa ini muncul pula ia sekali lagi membuktikan apabila sistem keluarga yang diamalkan kucar - kacir dimana apabila si ayah sudah tidak bermoral dan sudah tidak kenal yang mana halal dan yang mana haram menyebabkan Hawa sendiri keliru apa yang perlu dia lakukan kerana dia bukannya gadis liar jika dilihat melalui gayanya itu. Inilah salah satu subjek yang cukup menarik bagi aku kerana sebagai seorang gadis yang dirosakkan oleh darah daging sendiri maka bukannya mudah untuk dia menjaga kandungan tersebut dan sememangnya Hawa tidak rela diperlakukan sedemikian rupa. Bagaimana susahnya Hawa dalam mengawal emosinya kerana untuk menggugurkan tidak sanggup dan untuk melahirkan pun terasa cukup berat di hati. Emosi ini berjaya diterjemahkan oleh Sara Ali dengan agak baik bagi aku. Tanpa dialog yang berjela dan banyak bermain dengan ekpresi wajah dalam menunjukkan emosi dalam menzahirkan watak Hawa ini merupakan satu kejayaan buat pelakon Sara Ali bagi aku.


Emosi Hawa Berjaya Diterjemah Dengan Baik Oleh Sara Ali


Jadi, bagi aku filem ini memang berjaya menggabungkan tentang masalah - masalah tersebut di dalam satu cerita melalui 3 watak utama yang menarik iaitu Ad, Am dan Hawa serta momentum perjalanan ceritanya juga bergerak lancar tanpa perlu adegan atau babak imbas kembali untuk membuatkan penonton faham atau lebih mengenali watak kerana sususan cerita dan dialognya sudah cukup tersusun dan sangat membantu penonton mengenali setiap sisi watak - watak di dalam filem ini. Bagi aku jika anda meminati filem Kami The Movie maka tidak mustahil anda akan lebih meminati filem Songlap ini kerana daya tarikannya bagi aku cukup menjadi dan memang berbaloi.


Shaheizy Sam Akhirnya Tampil Dengan Kekuatan Watak Yang Aku Nantikan


Jika anda ingin melihat sisi lain Shaheizy Sam di dalam lakonannya maka ini lah filemnya kerana ia sememangnya menguji Sam dalam membawakan watak Am tersebut. Unsur humor nya tetap ada tetapi ia lebih bermaruah berbanding filem - filemnya sebelum ini. Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak kerana memberi Sam peluang untuk menonjolkan bakatnya kerana aku tahu Sam sangat berbakat cuma beliau tidak berpeluang untuk menunjukkan kehebatannya tersebut gara - gara filem - filemnya yang lain tidak terlalu membantu perkembangan lakonannya. Tahniah Shaheizy Sam kerana anda sememangnya pelakon yang bagus! Syafie Naswip pula pastinya akan membuatkan Allahyarham Yasmin Ahmad bangga jika beliau masih hidup kerana filem Songlap ini memang adalah jiwa Syafie atau lebih dikenali sebagai Mukhsin ini dalam menghidupan watak Ad tersebut. Emosi, roh, gerak tubuh, jiwa dan nada yang diberi cukup untuk menjadikan watak Ad itu hidup dan berkembang dengan baik. Watak - watak lain juga tidak kurang hebatnya dan tahniah kepada pelakon - pelakon seperti Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi, Hasnul Rahmat, Khairil Ridzuan dan lain - lain yang cukup bijak di dalam menghidupkan karakter masing - masing.


Aku Cukup Sukakan Babak Ini! Sangat Bermakna!


Skor muzik filem ini juga menarik dan membantu dalam meningkatkan minat menonton filem ini. Sinematografi yang juga kemas dan cukup cantik. Mungkin ada beberapa babak yang akan dipertikaikan penonton seperti satu adegan dimana Ad menjerit - jerit bertanyakan kepada Rita dengan dialog,"Ini saya! Saya nih! Saya nih!" yang sebenarnya bertujuan untuk memberitahu Rita bahawa dia adalah ibu kepada Ad namun sampai kesudah itu lah sahaja dialog nya. Ada juga satu babak dimana Hawa terus sahaja mengikut Kak Jah iaitu salah seorang wanita yang terlibat dengan pihak sindiket walaupun baru sahaja berkenalan di sebuah tempat menunggu. Tetapi, adegan ini aku rasa masih boleh diterima kerana bagi aku gadis ini di dalam keadaan cukup bercelaru dan cukup rungsing melalui emosi yang dipaparkannya jadi mungkin itu adalah penyebab dia mengikut sahaja apa yang Kak Jah telah aturkan. Ada satu adegan dimana babak seorang lelaki memijak kepala ikan keli untuk menunjukkan rasa marahnya yang bagi aku agak kejam sebenarnya tetapi bila melihat kembali kepada watak lelaki itu sebagai seorang penjahat berhati kering maka inilah buktinya yang menunjukkan lelaki itu tidak ada perasaan simpati atau kasih sayang kepada manusia apatah lagi haiwan. Ada satu dialog yang sangat lucu bagi aku dan sampai sekarang masih segar di dalam ingatan sewaktu Am bercakap dengan Ad berkenaan pertandingan B-Boy iaitu,"Kalau menari boleh dapat 50 ribu dah lama Dr. Rozmey belajar lah!"


Misteri Watak Bapa Hawa Ini Terjawab Di Dalam Adegan Ini


Apa - apapun, filem ini cukup menarik melalui jalan cerita yang disampaikan dan sesuailah dengan klasifikasi filem ini hanya untuk tontonan 18 tahun keatas kerana adegan - adegan di lorong gelap memang tidak sesuai untuk tontonan kanak - kanak. Jadi, selamat menonton filem yang mempunyai kelas dan wajah tersendiri ini dan diharapkan agar anda bukan sekadar menonton tetapi cuba mencari apa yang filem ini cuba sampaikan dan sama - sama lah berfikir untuk bersetuju atau tidak dengan mesej yang filem ini cuba sampaikan. Sekian!




P/S : Dialog "Nak Tengok Jer Pun Boleh!" Membuatkan Pawagam Riuh Seketika! (^_^)Y

P/S Lagi : Jangan Samakan Atau Rendahkan Kualiti Filem Ini Dengan Filem Bini - Biniku Gangster Atau Pun Filem Kongsi Kerana Filem Songlap Sepuluh Kali Lebih Bermakna Dan Bernilai Daripada Filem - Filem Tersebut! (^_^)Y




11/12/11

Filem Adnan Sempit 2



Filem:
Adnan Sempit 2


Pengarah:
Ismail Bob Hashim


Genre:
Aksi & Komedi


Pelakon:
 Shaheizy Sam, Along Raja Lawak, Intan Ladyana,
Yana Samsudin, Angah Raja Lawak, Syuk & Etc.


Tarikh Tayangan:
23 Februari 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan mengenai Adnan yang telah berjaya memikat hati Nadia namun perlu berusaha untuk memikat hati bapa Nadia pula iaitu Datuk Insin kerana hubungan mereka masih lagi belum mendapat restu daripada keluarga Nadia. Adnan perlu menerima cabaran yang diberikan oleh ibu bapa Nadia seperti perlu pandai bermain golf, belajar bahasa Inggeris dan sebagainya mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ibu bapa Nadia untuk beliau. Adakah Adnan akan berjaya menambat hati ibu bapa Nadia dan seterusnya mendapat restu mereka untuk memiliki Nadia? Saksikan filem ini pada bulan Februari tahun 2012 untuk mengetahui kesudahan kisah cinta mereka.


Trailer:



P/S : Adakah Sekuel Filem Ini Akan Mengikut Jejak Langkah Yang Sama Memperoleh Kutipan Berjuta - Juta? Nantikan! (^_^)Y



10/12/11

Filem Chantek



Filem:
Chantek


Pengarah:
Pierre Andre


Genre:
Romantik & Komedi


Pelakon:
 Pierre Andre, Nurul Ekasari, Kim Watt, Abon,
Yu Hang, Maimon Mutalib, Man Kidal & Etc.


Tarikh Tayangan:
16 Februari 2012


Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang AD iaitu seorang bintang filem yang hidup dalam kemewahan dan ceria tetapi kemudiannya menjadi buta setelah dilanggar oleh sebuah kereta sejurus terserempak dengan tunangnya yang berlaku curang di hadapan mata. Gara - gara terlampau kecewa maka AD mengambil keputusan untuk memencilkan dirinya di rumah penginapan dengan dijaga oleh Chantek yang merupakan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang terpaksa menyamar sebagai lelaki untuk menenangkan AD yang masih fobia dengan perempuan. Lama-kelamaan kerana kebaikan AD dan kemesraan mereka berdua maka Chantek terpaksa mendedahkan rahsianya. Walaupun marah namun AD sedia memaafkan Chantek kerana kejujurannya membantu memulihkan AD dan kini mereka berdua telah jatuh cinta. Tetapi apabila Chantek terjumpa skrip yang mengisahkan tentang percintaan seorang lelaki dengan pembantu rumahnya lalu dia terasa seperti diperbodohkan oleh AD yang mempergunakannya sebagai bahan latihan filemnya. Chantek benar-benar terasa dirinya ditipu dan hatinya dipermainkan dan lantas telah melarikan diri. Selama sebulan AD tidak tentu arah dan tidak dapat berlakon semula kerana terkenangkan Chantek. Akhirnya AD terjumpa dengan Chantek namun adakah Chantek masih sudi menerima semula cinta AD atau pun sebaliknya? Saksikan Chantek iaitu sebuah filem romantik komedi arahan Pierre Andre di pawagam bermula 16 Februari 2012 ini untuk mengetahui kesudahannya kisah cinta antara AD dan Chantek.

Trailer:





Pandangan Hans:

Nampaknya Pierre Andre kembali lagi dengan naskhah terbarunya yang bergenre Romantik Komedi selepas filem bergenre sama arahannya iaitu filem 9 September yang kurang berjaya meraih perhatian penonton seperti filem - filem bergenre seram arahannya yang lain. Jika filem 9 September dilihat seolah - olah seperti cuba mengambil gaya dan inspirasi jalan cerita daripada filem - filem Korea maka untuk filem Chantek ini pula tidak dapat dipastikan lagi sejauh mana tahap keaslian, originaliti atau pun imaginasi Pierre buat kali ini. Mengambil pelakon luar sebagai pemegang watak utama juga sebenarnya merupakan satu risiko yang besar dalam menarik perhatian penonton tempatan. Apa - apapun, segala - galanya bakal terjawab apabila filem ini sudah ditonton dan harap - harap filem Pierre kali ini adalah filem romantik komedi yang lebih segar dari segi idea serta jalan ceritanya dan diharapkan ia berjaya menambat hati penonton tempatan.


P/S : Tak Sabar Nak Menonton Filem Songlap Pada 15 Disember Ini! (^_^)Y




9/12/11

Filem Hantu Dalam Botol Kicap



Filem:
Hantu Dalam Botol Kicap


Pengarah:
Azhari Mohd Zain


Genre:
Seram & Komedi


Pelakon:
Angah Raja Lawak, Mon Ryanti, Zalif Sidek, Mikail Andre,
Maimon Mutalib, Wawa Zainal, Ruzaidi Abdul Rahman, Zila Bakarin & Etc.


Tarikh Tayangan:
09 Februari 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Aminah dan suaminya iaitu Hussin yang pulang ke kampung bersama tiga orang anak mereka iaitu Azri, Epul dan Rina. Aminah ingin meminta ibunya iaitu Nek Temah yang merupakan seorang dukun dikampungnya untuk menjaga ketiga-tiga orang anaknya itu. Pada hari pertama tiga beradik itu berada di rumah Nek Temah, mereka telah diberitahu tentang pantang larang sewaktu tinggal di rumah tersebut. Pertama ialah mereka tidak boleh keluar rumah selepas maghrib dan kedua pula mereka tidak boleh masuk bilik misteri yang diikat selempang merah. Ketika Nek Temah keluar mengubat, Epul terpandang bilik yang diikat selempang merah dan kedengaran bunyi botol berlaga dari dalamnya dan hendak cuba membuka pintu tersebut tetapi terhalang kerana Nek Temah berdiri di belakangnya.

Pada suatu hari, Nek Temah menyuruh cucu-cucunya menangkap, mencabut bulu dan menyembelih ayam. Nek Temah ingin mengajar mereka agar bekerjasama dan akhirnya mereka berjaya menyempurnakan tugasan tersebut. Semasa makan, Rina teringin untuk makan nasi bersama kicap. Epul mencadangkan agar mereka membuka pintu misteri tersebut. Ketika pintu terbuka, tangan Rina luka dan Epul menggunakan kain pengikat botol untuk membalut tangan kakaknya.Seekor hantu terlepas dan hampir mencekik Rina tetapi disergah oleh Nek Temah.


Trailer:




P/S : Sebuah Lagi Filem Bergenre Seram Komedi Akan Ditayangkan Kepada Pawagam Pada Tahun 2012! Adakah Tahun Hadapan Merupakan Tahun Akhir Filem - Filem Bergenre Sebegini Atau Adakah Filem Bergenre Sebegini Akan Berterusan Kerana Sambutan Dan Sokongan Penonton Tempatan? Sama - Sama Kita Tunggu Dan Lihat Suasananya Pada Tahun Hadapan! (^_^)Y




Filem Sumpahan Kum Kum




Filem:
Sumpahan Kum Kum


Pengarah:
Ismail Bob Hashim


Genre:
Seram & Ngeri


Pelakon:
Fezrul Khan, Wawa Zainal, Shima Anuar,
Putri Mardiana, Lydiawati, Farisha Fatin & Etc.


Tarikh Tayangan:
26 Januari 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Mila yang memiliki wajah berjerawat dan malu dengan keadaan rupanya itu lalu berjumpa dengan seorang dukun bagi mendapatkan rawatan susuk. Pantang laranganya adalah Mila tidak boleh melihat cermin selama 44 hari. Di tempat kerjanya, Mila yang dahulunya langsung tidak dipandang oleh lelaki mula menjadi siulan ramai. Mila tidak sabar untuk melihat wajah barunya dan dia melihat cermin. Wajah Mila bertukar menjadi hodoh dan Mila pergi berjumpa dukun yang sama untuk memulihkan wajahnya.

Setelah dipujuk dan dirayu maka akhirnya dukun tersebut iaitu Mak Tom memberitahu Mila bahawa satu-satunya cara untuk memulihkan wajahnya adalah dengan meminum darah 9 gadis sunti. Mila mengekori Shima ke tandas dan membunuhnya serta meminum darahnya. Shima adalah anak kepada Mak Tom. Mak Tom bertekad untuk membalas dendam terhadap kematian anaknya dan memanggil Mila dengan mengatakan kononnya ada cara lain untuk mencantikkan kembali wajahnya. Mak Tom melibas Mila dengan cangkul dan memasukkan tubuh Mila yang nyawa-nyawa ikan ke dalam lubang yang telah digalinya. Sebelum ditimbus, Mila sempat menyumpah yang dia akan membunuh anak-anak sunti keturunan Mak Tom. Mak Tom mempunyai seorang cucu iaitu Tini dan Mak Tom bimbang jika Tini akan menjadi mangsa dendam Mila maka Mak Tom sentiasa bersikap dingin terhadap Tini. Hantu Mila iaitu hantu kum-kum sering merayau dan menggangu orang kampung.

Pada suatu hari Mak Tom meninggal dan wajahnya berulat dan dipenuhi lipas dan serangga. Rahsia Mak Tom terbongkar apabila Adi iaitu anak lelaki Mak Tom pergi berjumpa Mak Leh iaitu ibu saudaranya untuk mendapatkan penjelasan tentang hantu Mak Tom dan hantu Shima yang menganggunya. Adi menyuruh isterinya iaitu Nurul membawa anak mereka pulang ke Kuala Lumpur. Di sana hantu Mila mula mengekori Tini dan Nurul sehingga lah dirumah. Nurul mendapat panggilan dari Adi menyuruhnya mengunci semua pintu dan tingkap. Malangnya Mila sudah berada di dalam rumah dan sedang bermain dengan Tini. Nurul mengunci dirinya dan Tini di dalam bilik.

Di kampung pula orang kampung sedang mengadakan upacara pengebumian mayat Mila. Adi bergegas pulang ke rumahnya di KL dan ketika tiba disana Adi mendapati Tini berada di dalam bilik bersama hantu Mila dan sedang menjerit ketakutan. Adi berjaya membuka pintu dan mendapati hantu Mila sedang mengendong anaknya yang pengsan. Sebelum sempat hantu Mila menggigit leher Tini, hantu Mila menggelupur kerana pada ketika itu di kampung orang ramai sudah selesai mengebumikan mayat Mila dan sedang membaca Yassin. Di kubur Mila pula kelihatan sorang wanita berjubah dan berhijab sedang berdiri tunduk melihat batu nisan.





Trailer:



P/S : Filem Seram Lagi! Adoi! (^_^)Y




Filem Bujang Terlajak



Filem:
Bujang Terlajak


Pengarah:
Prof Madya A. Razak Mohaideen


Genre:
Komedi


Pelakon:
Saiful Apek, Johan Raja Lawak, Nabil, Fazura,
Mustapha Kamal, Ebby Yus & Etc.


Tarikh Tayangan:
19 Januari 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang perihal 3 orang rakan karib iaitu Saiful, Nabil dan Johan yang bekerja sebagai ahli silap mata profesional. Ditakdirkan mereka bertiga jatuh cinta pada seorang gadis yang sama dan bersaing antara satu sama lain untuk merebut perhatian gadis bernama Puteri tersebut yang ditemui mereka ketika gadis tersebut sedang menjalani rakaman penggambaran untuk sebuah iklan sebagai model. Tiga sekawan ini mengekori Puteri sehingga mereka mengetahui yang Puteri adalah seorang guru tadika dan juga model sambilan.

Bagi mengenali Puteri dengan lebih rapat, Saiful mula mencungkil rahsia untuk menambat hati Puteri daripada ayah Puteri yang buta iaitu Haji Hashim. Dia diberitahu bahawa Puteri ingin berkahwin dengan seorang yang kurang upaya kerana Puteri percaya bahawa dia akan mendapat cinta sejati seperti yang dialami oleh ibunya. Oleh itu ketiga-tiga mereka mula menyamar dengan niat untuk memenangi hati Puteri. Pelbagai helah mereka gunakan untuk meraih kasih Puteri termasuk menggagalkan rancangan antara satu sama lain.


Trailer:




Pandangan Hans:

Jika dilihat pada filem - filem terdahulu arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen maka sememangnya aku tidak tahu filem apa yang mampu dibanggakan dari segi keunikan jalan ceritanya. Dari segi lucu pula tidak dinafikan ada filem - filemnya yang berjaya membuat aku ketawa terutama filem Anak Mami dan Mami Jarum. Kebetulan aku berasal dari Utara dan sememangnya aku mampu memahami dan menerima lawak yang timbul dari loghat utara. Jadi, adakah filem kali semata - mata sekadar hiburan atau lebih dari itu?
 




Aku ada terbaca ulasan seseorang tentang filem ini sempena tayangan perdana filem ini di suatu majlis dan melalui ulasan tersebut dikhabarkannya filem ini lucunya lain dan tidak seperti filem - filem beliau sebelum ini. Jadi, adakah betul atau tidak aku tidak pasti kerana untuk mengetahuinya harus menonton sendiri. Tetapi, mungkin lawak kali ini berlainan kerana adanya Johan dan Nabil barangkali. Apa - apapun, sama - sama lah nantikan bulan Januari tahun 2012 ini untuk mengetahui adakah filem ini ada kelainan atau sekadar hiburan semata - mata.


P/S : Minggu Depan Filem Songlap! Tak Sabar Nak Menonton Dan Menulis Ulasannya Di Blog Ini! (^_^)Y




7/12/11

Filem Azura



Filem:
Azura


Pengarah:
Aziz M. Osman


Genre:
Drama & Cinta


Pelakon:
Neelofa, Shahz Jazle, Afdlin Shauki, Erma Fatimah,
Nini Marlini, Geofrey Perrin Williams, Afida Es & Etc.


Tarikh Tayangan:
2 Februari 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Azura yang gigih menghadapi cabaran dalam hidup demi untuk mencapai cita-citanya. Dia tinggal bersama ibu saudaranya iaitu Yusni setelah kedua ibu bapanya terkorban ketika tragedi terowong Min di Mekah pada tahun 1990. Dia menjadi mahasiswa universiti swasta. Di samping itu dia juga turut mempelajari bahasa Perancis kerana meminati keindahan bahasa dan seni Perancis. Azura dan Zek lari ke London dan berkahwin di sana. Cinta mereka dihalang oleh bapa Zek dengan pelbagai cara. Saksikan filem ini di pawagam pada awal Februari 2012 ini untuk mengetahui kesudahan kisah cinta mereka berdua.


Trailer:




Pandangan Hans:


Filem terbaru arahan Aziz M.Osman ini merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah filem pecah panggung yang sama judulnya iaitu filem Azura lakonan pelakon hebat Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud yang diterbitkan pada tahun 1984 yang lalu. Mungkin mengambil tema yang lebih kurang sama namun jalan ceritanya pasti akan disesuaikan dengan kisah masa kini dan yang pastinya mungkin ramai yang akan cuba untuk membandingkan filem manakah yang lebih hebat iaitu sama ada filem Azura yang bakal ditayangkan pada awal Februari 2012 ini atau pun filem Azura yang ditayangkan pada tahun 80-an yang lampau.

Apa - apapun, jika jalan ceritanya kreatif dan lain daripada filem sebelum ini maka harapan untuk menarik perhatian penonton untuk menonton filem ini di pawagam adalah cerah. Apa - apapun, sama - sama nantikan filem ini pada awal Februari tahun 2012 di pagawam - pawagam berhampiran anda.


P/S : Aku Suka Lagu Azura Kalau Jamal Abdillah Yang Nyanyi! (^_^)Y



6/12/11

Review Filem Ombak Rindu



Filem:
Ombak Rindu


Pengarah:
Osman Ali


Genre:
Drama & Romantik


Pelakon:
Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani, Bront Palarae,
Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Normah Damanhuri & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang perjalanan cinta dua insan iaitu Izzah dan Hariz dari dua dunia yang berbeza dan mereka terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum menemui kebahagiaan. Izzah adalah gadis kampung yang telah dijual oleh bapa saudaranya kepada sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur untuk dijadikan pelacur. Seorang pemuda bernama Hariz yang merupakan anak kepada Datuk Sufiah iaitu seorang pemilik empayar perniagaan telah mermbeli Izzah dari pemilik kelab tersebut untuk dijadikan perempuan simpanannya namun Izzah telah merayu Hariz supaya menikahinya untuk menghalalkan hubungan mereka.


Aaron Aziz Dan Maya Karin


Hariz setuju dengan syarat Izzah tidak menuntut sebarang hak sebagai isteri. Namun selepas itu, Hariz yang bersifat kasar dan panas baran orangnya telah jatuh cinta dengan Izzah yang penuh dengan kelembutan. Hariz kemudian terpaksa menikahi Mila yang merupakan kawan di zaman persekolahannya setelah didesak oleh Datuk Sufiah. Tambahan pula Mila pun amat mencintai Hariz. Semasa Hariz koma di hospital akibat kemalangan jalan raya, Datuk Sufiah telah menghalau Izzah keluar dari rumah Hariz dan merampas telefon bimbit Izzah.


Lisa Surihani Sebagai Mila


Setelah keluar dari hospital, Datuk Sufiah memberitahu Hariz yang Izzah telah menjalin hubungan dengan lelaki lain. Hariz yang marah telah memberitahu Izzah bahawa dia akan digantung tidak bertali semasa terserempak dengan Izzah di rumah pak Dollah iaitu pemandu keluarga Datuk Sufiah. Izzah kemudian kembali ke kampungnya. Pak Dollah yang marah dengan Datuk Sufiah telah memecahkan rahsia bahawa Hariz adalah anaknya yang telah diserahkan kepada suami Datuk Sufiah untuk dijadikan anak angkat serta memberitahu Hariz bahawa Izzah tidak bersalah. Hariz yang menyesal dan amat rindukan Izzah telah pergi ke kampung Izzah untuk memujuknya supaya kembali kepangkuan beliau.Adakah Hariz akan berjaya? Apakah yang akan terjadi seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans:

Filem Ombak Rindu ini merupakan adaptasi daripada sebuah novel yang sangat popular di kalangan pembaca novel di Malaysia yang judulnya juga bertajuk Ombak Rindu. Mungkin kerana keistimewaan, kelainan atau kebijaksanaan kisah cinta yang terdapat di dalam novel tersebut membuatkan pihak produksi berani mengangkat judul ini untuk dipindahkan ke dalam bentuk filem. Aku tidak pernah membaca novel ini jadi segala ulasan, pandangan, komen atau kritikan aku berdasarkan seorang penonton yang langsung tidak tahu menahu tentang struktur kisah di dalam novel tersebut.


Aaron Aziz Pelakon Yang Hebat!


Pertama sekali aku amat menyukai jalan cerita filem ini kerana bagi aku ia lari daripada adegan - adegan stereotaip yang selalunya ditonjolkan di dalam filem - filem yang membawa tema yang lebih kurang sama seperti filem ini dan ia membuatkan aku sangat berpuas hati dan cukup terhibur menonton setiap adegan di dalam filem Ombak Rindu ini. Mungkin agak klise pada permulaannya jika dilihat pada kisah seorang gadis kampung yang dipaksa oleh pakciknya untuk menjadi seorang pelayan atau pelacur tanpa kerelaan diri namun apa yang menariknya disini ialah bagaimana pembinaan watak Hariz yang digambarkan sebagai seorang anak orang kenamaan yang kaki perempuan, panas baran dan angkuh berubah menjadi seorang yang baik dan mula kenal erti cinta selepas bertemu dengan watak Izzah yang berpegang teguh kepada agama. Apa yang membuatkan aku cukup suka dengan filem ini ialah apabila watak 'hitam' yang selalunya jika dilihat pada filem - filem yang lain akan sentiasa kelihatan hitam hatinya sehingga ke akhir filem dan kemungkinan akan diberi hukuman yang cukup berat pada pengakhirnya namun ia sangat berlawanan dengan karakter Hariz di dalam filem Ombak Rindu ini. Bagaimana bijaknya penulis kisah ini mengubah watak Hariz tersebut daripada 'hina' dimata penonton pada awalnya kerana setiap penonton sudah diberitahu bahawa Hariz ini sebenarnya sudah pun merosakkan ramai wanita namun bijaknya yang aku katakan itu apabila watak ini menjadi begitu 'suci' dan betapa hebatnya kuasa agama dapat memutihkan hati Hariz yang sebelum itu begitu hitam. Aku sukakan kisah ini kerana kisah gadis dirogol yang dipaparkan lain daripada yang lain dimana sememangnya tidak ada gadis pun yang mahu kejadian itu berlaku pada diri mereka namun bagaimana watak Izzah ini cuba menangani masalah tersebut di dalam filem sememangnya sebuah idea segar yang memang menarik untuk dipertontonkan.


Salah Satu Babak Yang Agak Comel Bagi Aku


Apa aku boleh katakan jalan cerita filem ini walaupun penuh dengan linangan air mata namun rasa manisnya tetap ada. Aku sukakan air mata yang dipertontonkan kepada penonton di dalam filem ini kerana bagi aku air mata mereka bukannya air mata di dalam kategori sampah yang tidak membawa erti apa - apa. Setiap air mata mereka sangat bernilai kerana ia menunjukkan emosi setiap watak yang membantu mereka menyampaikan apa yang tersirat kepada penonton dan menguatkan jalan cerita filem ini. Jadi, bagi aku memang pihak produksi bertuah kerana memilih jalan cerita Ombak Rindu untuk difilemkan. Anda sangat beruntung wahai penerbit filem Ombak Rindu!


Pemilihan Lokasi Pengambaran Yang Bijak Bagi Aku


Dari segi pelakon, aku sangat mengagumi pelakon Aaron Aziz dan Bront Palarae yang bagi aku sentiasa bijak dalam menghidupkan watak dan tidak pernah mengecewakan aku yang sentiasa menonton lakonan mereka. Aaron Aziz bagi aku sememangnya seorang pelakon yang bagus kerana di dalam satu masa anda dapat melihat karakter watak yang ditunjukkan beliau berubah daripada baran, emosi, baik serta kelakar dan jika permohonan anda untuk menjadi warganegara Malaysia diterima maka aku sudah nampak anda berpeluang besar menggenggam trofi pada FFM tahun hadapan. Bront pula sememangnya seorang yang bijak apabila mengungkap kata dan watak beliau berjaya menghiburkan penonton. Maya Karin pula bagi aku agak bagus walaupun kelihatan masih seperti gadis bandar namun kehebatannya dalam memberi emosi kesedihan yang berpanjangan di dalam filem ini wajar dipuji. Aku merasakan hampir 90% watak yang melibatkan Maya Karin memerlukan beliau memberi emosi sedih dan bukan mudah untuk sentiasa berada di dalam keadaan sebegitu. Jadi, usaha Maya Karin amat aku hargai. Lisa Surihani pula sekali lagi tampil dengan watak yang pada awalnya kelihatan sedikit antagonis namun aku menyukai watak ini. Bagi aku Lisa memberi kejutan yang agak menarik di dalam filem ini kerana dia bijak memanfaatkan watak Mila yang diberikan. Jika sebelum ini aku selalu menonton beliau di dalam watak yang lembut dan feminin namun di dalam filem ini Lisa berubah 100%. Kasar, garang, pentingkan diri dan pelbagai lagi menghiasi karakter Mila yang dibawakannya. Apa aku boleh katakan senarai pelakon utamanya berjaya menjadikan filem Ombak Rindu ini bergerak dengan lancar dan kelihatan begitu hidup. Tahniah kepada mereka berempat! Pelakon - pelakon lain juga tidak terkecuali kerana anda juga berjaya menghidupkan watak masing - masing terutamanya Zaidi Omar serta Normah Damanhuri, Julia Ziegler dan Azizah Mahzan walaupun watak yang dibawakan Azizah Mahzan agak membuatkan aku menyampah dengan pakaian dan intonasi suaranya yang mengada - ngada. Hahaha! Tetapi, yang paling membuatkan aku menyampah ialah suara wartawan hiburan yang menemuramah Mila yang bagi aku langsung tidak kelakar tetapi sangat menjengkelkan!


Salah Sebuah Babak Yang Menarik Bagi Aku


Filem ini juga berjaya membuatkan mata aku terpesona dengan keindahan sinematografi serta pencahayaan yang bagi aku sangat menarik dan cantik. Mungkin kerana penerbit filem ini iaitu Sharad Sharan cuba mengaplikasi sinematografi ala - ala filem Bollywood ke dalam filem ini dan ia sememangnya satu percubaan yang bagus dan berjaya. Pemilihan lokasi yang tepat seperti di sawah padi serta di Cameron Highland menjadikan suasana filem ini betul - betul mendamaikan. Cuma dari segi skor muziknya adakalanya aku tidak dapat menerimanya seratus peratus. Entah! Aku rasakan seperti sesuai untuk sesetengah adegan sahaja. Kemudian beberapa pertukaran daripada satu babak kepada satu babak yang kelihatan seperti terlalu tergesa - gesa agak mengganggu sedikit fokus aku sebenarnya cuma aku masih boleh memaafkannya.


Salah Sebuah Adegan Yang Menarik


Terdapat beberapa adegan yang menarik perhatian aku yang juga menunjukkan ini adalah filem Osman Ali seperti adegan Izzah memandikan makciknya yang sakit, adegan di sawah padi yang menunjukkan bagaimana Ismail cuba meluahkan perasaannya pada Izzah, adegan bagaimana perhubungan Hariz dan Izzah 'kantoi' sewaktu kedua - dua orang gaji Hariz iaitu Pak Dollah dan isterinya mengadakan kenduri sempena mereka mahu menunaikan haji di Mekah serta yang amat menarik dan cukup aku suka sewaktu adegan Mila dan Izzah terlihat aksi Hariz memeluk Wafiah untuk menenangkannya yang sememangnya sangat menarik perhatian aku. Aku suka dengan kebijaksanaan Osman Ali memanfaatkan kelebihan - kelebihan tersebut di dalam mencantikkan lagi perjalanan cerita filem ini. Cuma sedikit mengecewakan berkenaan babak Pak Dollah memberitahu Hariz bahawa beliau ialah anak kandungnya yang bagi aku babak itu seperti terlalu tergesa - gesa kerana sebenarnya babak itu mempunyai kekuatan yang kuat jika betul - betul pandai diolah dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Apa - apapun, babak tersebut masih boleh diterima!


Antara Rasa Cinta, Kasih Ibu Dan Pilihan Hati!


Apa yang aku boleh katakan filem ini ada kekuatan jalan ceritanya tersendiri yang unik dimana mungkin secara tersuratnya orang lain akan menilai ia hanya sebuah jalan cerita yang berakhir dengan kegembiraan namun bagi aku ia lebih daripada itu kerana aku suka bagaimana watak - watak hitam yang selalunya dipandang negatif berjaya dineutralkan menjadi suci. Pelakon - pelakon filem ini juga telah memberi lakonan yang mantap dan cukup hidup! Pencahayaan dan sinematografi yang cukup menarik dan indah! Jadi, apa lagi yang anda mahukan? Filem ini walaupun boleh dikatakan bersifat melankolik atau senang cakap dilatari babak - babak yang beremosi namun ia sememangnya menarik dan menghiburkan. Jadi, selamat menonton dan nikmatilah filem Ombak Rindu ini sebaik - baiknya. Tahniah kepada semua pelakon dan krew produksi yang terlibat di dalam menjayakan filem ini.


Senarai Pelakon Filem Ombak Rindu


P/S : Aku Pelik Asal Ramai Penonton Ketawa Di Dalam Beberapa Adegan? Aku Tak Rasa Adegan Tu Lucu Tetapi Lebih Kepada Beremosi Namun Mungkin Mereka Yang Ketawa Tiada Sensitiviti! Barangkali! (^_^)Y

P/S Lagi : Pengarah Malaysia Bila Nak Filemkan Novel Karya Hlovate Dengan Ramlee Awang Murshid Pula?