15/12/12

Review Filem The Hobbit: An Unexpected Journey



Filem:
The Hobbit: An Unexpected Journey


Pengarah:
Peter Jackson


Genre:
Pengembaraan & Fantasi


Pelakon:
Martin Freeman, Ian McKellen, Richard Armitage, Ken Stott,
Graham McTavish, William Kircher, James Nesbitt, Stephen Hunter,
Dean O'Gorman, Aidan Turner, John Callen, Peter Hambleton & Etc.


Penilaian:
7 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang latar masa 60 tahun sebelum The Lord of the Rings dimana Bilbo Baggins berkongsi tentang pengalamannya keluar daripada kawasan penempatan kaum Hobbits dan menyertai misi 13 orang kerdil dalam usaha mereka mendapatkan semula kawasan kerajaan orang kerdil, Dwarf Kingdom of Erebor yang ditawan oleh seekor naga ganas yang digelar Smaug. Penyertaan Bilbo Baggins di dalam kumpulan tersebut sebenarnya adalah hasil idea Gandalf yang turut jua menyertai misi orang kerdil tersebut yang dipimpin oleh Thorin Oakenshield. Pelbagai halangan yang perlu mereka atasi seperti serangan daripada Goblin, Orc, Warg, Nercomancer dan pelbagai lagi. Disebabkan perkara tersebut Bilbo Baggins terpisah dengan kumpulan orang kerdil tersebut sehingga menemukannya dengan Gollum yang secara tidak langsung telah mengubah hidup Bilbo sepenuhnya.


Ulasan Hans:

Aku memang sukakan filem-filem sebegini yang punya aksi, imaginasi, fantasi serta pengembaraan yang penuh dengan perkara-perkara yang pelik atau unik. Filem ini sebenarnya adalah imbas kembali kepada watak Bilbo Baggins pada 60 tahun yang lampau iaitu sebelum pengembaraan Frodo Baggins dan rakan-rakannya bermula di dalam trilogi filem The Lord of the Rings. Permulaan ceritanya sebenarnya agak menarik sebelum kemudian sedikit mendatar kerana filem ini perlu memperkenalkan sedikit sebanyak kesemua watak-watak di filem kali ini yang rata-ratanya adalah muka baru. Kumpulan orang kerdil sahaja sudah melebihi 10 orang tidak ditambah lagi dengan watak-watak antagonisnya yang lain. Tetapi, apabila sudah satu jam filem ini ditayangkan maka perjalanan ceritanya kembali menarik perhatian aku untuk lebih memberi fokus.



Punca Bilbo Baggins Mengembara


Aku sukakan watak-watak jahat di dalam filem ini kerana hampir kesemuanya mempunyai suara termasuk troll. Babak-babak yang melibatkan Bilbo, kumpulan orang kerdil serta 3 ekor troll sememangnya agak menarik dan melucukan. Namun babak pertemuan dan permainan teka-teki antara Bilbo dan Gollum lah sebenarnya yang paling aku suka di dalam filem ini. Selain unsur humor yang tinggi, apa yang menarik adalah sentuhan animasi Gollum itu sendiri yang kelihatan cukup hidup dan penuh dengan karakternya. Memang terbaik!


Babak Ini Sangat Kelakar! Hehehe!


Filem sebegini seperti biasa selain mempertontonkan aksi-aksi berlawan atau peperangan serta wajah-wajah pelik makhluk-makhluk mitos lagenda barat, filem ini juga tidak melupakan mesej-mesej tentang keamanan, perpaduan, kepercayaan, hormat-menghormati sesama insan serta sifat cintakan alam sekitar. Kesemua itu berjaya disampaikan dengan cukup baik dibantu oleh sinematografi serta skor muzik filem ini yang wajar dipuji kerana menyajikan banyak pemandangan atau rekaan latar yang indah-indah pada mata ini.



Seronok Pula Rasanya Bila Dapat
Dengar Suara Trolls Yang Tengah Tu!


Memandangkan filem ini bakal mengikut jejak filem trilogi The Lord of the Rings maka tidak hairan lah jika siri pertama filem The Hobbit ini meninggalkan banyak persoalan yang menarik dan membuatkan penonton tidak sabar untuk menanti sekuel terbarunya. Banyak perkara menarik yang membuatkan aku tertunggu-tunggu untuk menonton filem selepas ini iaitu bagaimana Saruman boleh berubah menjadi jahat, apa yang terjadi kepada Greenwood yang diduduki oleh Radagast, adakah Thorin Oakenshield akan mendapat kembali kawasan Dwarf Kingdom di Erebor yang kini ditakluki oleh naga ganas bernama Smaug dan bagaimanakah hubungan Bilbo Baggins dengan cincin yang diambilnya daripada Gollum yang secara tidak langsung memberi kesan yang cukup dasyat pada filem The Lord of the Rings.



Barisan Puak Dwarf Yang Penuh Dengan Pelbagai Karakter


Aku memang sukakan filem sebegini jadi tak ada banyak benda yang aku mahu ulas. Senang cerita, pergilah menonton sendiri dan semoga kalian semua berpuas hati dengan filem ini. Aku memang dah tak sabar-sabar lagi dan nak tonton sambungan filem ini. Sekian!


P/S : Masih Teringatkan Babak Teka-Teki Antara Bilbo Baggins Dan Gollum! (^_^)Y




3/12/12

Review Filem Lagenda Budak Setan 2



Filem:
Lagenda Budak Setan 2


Pengarah:
Sharad Sharan


Genre:
Cinta & Drama


Pelakon:
Farid Kamil, Maya Karin, Bront Palarae, Lisa Surihani,
Azri Iskandar, Sheila Mambo, Lana Nordin,  & Etc.


Penilaian:
5 / 10


Sinopsis:

Filem Lagenda Budak Setan 2 : Katerina adalah sekuel dari filem Lagenda Budak Setan sebelum ini. Selepas 6 bulan kematian Ayu maka Kasyah mencurahkan sepenuh kasih sayangnya kepada anaknya Athirah. Katerina yang sebelum ini kecewa dengan keputusan Kasyah pula kembali pulih dan mula meneruskan kehidupannya seperti biasa. Pada suatu hari Katerina terjumpa Kasyah bersama anaknya dan kemesraan mereka kembali timbul. Kasyah akhirnya menerima Katerina sebagai kekasih barunya namun kemunculan bekas kekasih Katerina iaitu Hisyam mulai mengganggu hubungan mereka. Keluarga Katerina juga kurang bersetuju dengan keputusan Katerina untuk berkahwin dengan Kasyah. Akibat satu insiden yang didalangi oleh bapa Katerina maka hubungan percintaan antara Kasyah dan Katerina kembali terlerai dan Katerina terpaksa berkahwin dengan Hisyam. Namun, Katerina tidak mencinta Hisyam dan gara-gara ingin membalas dendam akibat kecurangan Hisyam pada masa lampau maka Katerina mendera Hisyam dari segi batin. Akhirnya Katerina mengetahui bahawa Kasyah tidak bersalah dan segala yang terjadi didalangi oleh bapanya sendiri lalu akhirnya dia meminta maaf kepada Kasyah. Hisyam yang mengetahui tentang hal tersebut cuba bertindak ganas untuk menyerang Kasyah. Anak Kasyah pula disahkan menghidap demam denggi dan keadaan anaknya agak kritikal. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Saksikan filem Lagenda Budak Setan 2 untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Permulaan filem agak menarik namun bagaimana setiap plot cerita itu dihubungkan agak lemah dan adakalanya terlampau cepat sehingga tidak puas untuk menikmati perjalanan filem ini yang jika anda pernah membaca novelnya pasti anda akan sedar tentang keistimewaan kisah dan bagaimana perjalanan setiap karakter yang wujud di dalam imaginasi penulis novelnya iaitu Ahadiat Akashah dikembangkan dengan cukup menarik sekali.




Memang susah untuk divisualkan segala yang terkandung di dalam sebuah naskhah dan lebih sayang apabila filem Lagenda Budak Setan lebh baik berbanding filem Lagenda Budak Setan 2 ini jika dilihat daripada susunan plot ceritanya. Sayang kerana lakonan daripada 3 pelakon utamanya iaitu Farid Kamil, Maya Karin dan Bront Palarae terutamanya memang sudah bagus dan cukup hidup namun apakan daya apabila dibawah arahan Sharad Sharan maka sememangnya ini sahajalah hasil yang selalu aku tonton pun daripada pengarahannya. 'Sharad Sharan oh Sharad Sharan...Tolonglah bagi pada pengarah lain untuk mengarah! SEDIHHHHH'!


Lakonan Bront Palarae Dalam Filem Nih Memang Terbaik!!


Salah satu perkara yang aku suka di dalam filem ini ialah sinematografi dan hasil kerja kameranya yang rajin dalam mengambil babak-babak menggunakan ruang atau sudut yang agak sukar juga sebenarnya. Lagu-lagu tema filem kali ini juga kurang 'umph' jika dibandingkan dengan filem terdahulu. Mungkin itu sahaja yang aku mahu komen dan mungkin juga akan menonton sambungan filem Lagenda Budak Setan 2 ini yang berjudul Kasyah hanya disebabkan aku pembaca novel saudara Ahadiat. Apa-apapun, kemungkinan besar aku akan kecewa lagi! Haihhh!!


P/S : Betul Ker Filem Pontianak Vs Orang Minyak Merepek Dan Tidak Menarik? Ada Sesiapa Yang Sudah Menonton? (^_^)Y 




17/11/12

Review Filem Istanbul Aku Datang



Filem:
Istanbul Aku Datang


Pengarah:
Bernard Chauly


Genre:
Komedi & Cinta


Pelakon:
Lisa Surihani, Beto Kusyairi, Tomok, Mert Yavuzcan,
Aizat Amdan, Farid Ramlee, Berke Sanli & Etc.


Penilaian:
10 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang gadis yang periang dan manja bernama Dian yang pergi ke Istanbul dan merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya iaitu Azad. Masalah yang perlu dihadapinya ialah Azad sedang mengikuti kursus perubatan di sana dan dia perlu menunggu 6 tahun iaitu tempoh Azad habis belajar. Namun, ketibaan Dian tidak disambut gembira oleh Azad dengan alasan Dian menganggunya fokus dalam pelajaran. Azad juga tidak selesa kerana Dian tinggal di rumah sewanya yang turut dihuni oleh dua orang kawan Azad. Jadi, Dian terpaksa mencari rumah sewa namun tanpa sedar dia ditipu oleh Cihan yang menyamar sebagai tuan rumah tersebut. Rupa-rupanya rumah tersebut telah pun disewa oleh seorang lelaki bernama Harris. Harris yang tidak berpuas hati dengan alasan Dian yang memberitahu dia ditipu oleh Cihan cuba berjumpa dengan tuan rumah tetapi malangnya tuan rumah tersebut pergi bercuti. Perang dingin mula berlaku antara Dian dan Harris. Dian juga perlu merahsiakan kepada Azad tentang jantina teman serumahnya. Pada suatu hari, Azad pergi ke rumah sewa Dian secara tiba-tiba dan Dian yang mendapat tahu tentang hal ini mula gelabah. Dian cuba meminta tolong kepada Harris namun mahukah Harris membantu Dian dalam hal ini? Adakah Dian akan kembali ke Kuala Lumpur dengan cincin perkahwinan daripada Azad? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans:

Sebenarnya aku ingatkan filem ini akan ditayangkan pada 15 November ini tetapi apabila aku secara tidak sengaja menonton Melodi pada Ahad lepas dan baru aku dapat tahu bahawa filem ini telah pun ditayangkan bermula 8 November yang lepas. Kesibukan bekerja membuatkan aku lupa segalanya tentang tarikh tayangan filem. Hahaha! Baiklah! Sebelum aku memulakan ulasan amatur aku untuk filem ini, aku dengan sukacitanya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelakon dan krew produksi kerana memberikan sebuah nashkah yang cukup menghiburkan dan aku amat nantikan daripada produksi tempatan sendiri. Tetapi, aku merasakan Rafidah Abdullah sebagai penulis skrip filem ini yang sebenarnya menjadi kekuatan dalam mencorakan perjalanan filem ini menjadi cukup segar, indah dan ada jiwa. Tahniah!





Jika sesiapa yang selalu mengikuti blog ini dari awal pasti akan menyedari jika filem yang bergenre komedi romantik pastinya aku selalu menyebut tentang kehebatan filem-filem Thailand dan langsung tidak mengagumi filem-filem tempatan bergenre sama. Contohnya seperti filem Cuti-Cuti Cinta dan banyak lagi yang bagi aku cuma biasa sahaja. Namun filem Istanbul Aku Datang memberikan sesuatu yang cukup menarik dengan plot kisahnya yang kadang-kadang sukar diduga.




Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Dian pergi ke Istanbul semata-mata untuk menemui kekasih hatinya Azad(lakonan Tomok) dan niat sebenarnya pergi kesana adalah untuk memastikan Azad melamarnya sewaktu 3 bulan dia kesana. Watak Dian tampak berdikari, periang, nakal dan walaupun watak ini takutkan kucing namun Lisa Surihani tampil hebat dengan watak Dian berbanding filem-filem lakonannya sebelum ini. Filem ini menjadikan Lisa Surihani nampak lebih matang sebagai anak seni. Walaupun pelat R Lisa menjadi bahan ketawa atau sindiran penonton tetapi aku rasa itulah keistimewaan Lisa. Menjadikan blog sebagai salah satu intipati di dalam filem ini sememangnya menarik, lucu dan menggambarkan dunia blog yang sebenar. Betapa terujanya si Dian mengemas kini laman blognya setiap masa dan bagaimana komen-komen dari pembaca blognya diberi nyawa melalui nada-nada suara yang setiap satu ada maksudnya tersendiri : sama ada menyokong, menyindir, sarkastik dan sebagainya. Satu yang menarik dan menghiburkan.




Beto Kusyairi sememangnya tidak pernah mengecewakan dan kali ini muncul dengan satu dimensi yang berbeza. Lakonannya cukup cemerlang dengan pelbagai gerak-gerinya yang adakala menunjukkan seperti watak Harris itu merupakan seorang lelaki yang bendul dan adakalanya sangat memahami dan kadang-kadang nampak terlalu pasif. Sangat menarik kerana Beto berjaya menghidupkan watak Harris dengan cukup cemerlang dan apabila watak Harris ini bertemu dengan watak Dian sememangnya aku sentiasa tersenyum melihat keletah mereka berdua.


Watak Dian Lakonan Lisa Surihani Melambangkan
Wanita Malaysia Yang Bijak, Berdikari Dan Berani


Aku sukakan bagaimana wanita Malaysia di dalam filem ini digambarkan dan bagaimana keputusan akhirnya yang diambilnya sangat mencabar. Sedikit spoiler, tujuan asal Dian pergi ke Istanbul adalah bertujuan untuk membuatkan Azad melamarnya sebagai isteri dan permulaan babak menunjukkan mimpi Dian tentang keindahan masjid Aya Sofea dimana dia bermimpi itulah tempat dia akan berkahwin dengan Azad. Mimpi yang terlalu gembira selalunya berlawanan maksudnya dengan apa yang bakal terjadi dan inilah menariknya apabila Dian sebenarnya tertipu dengan Azad dan pada waktu yang sama mengenali Harris secara tak sengaja akibat ditipu oleh seorang lelaki Turki bernama Cihan. Plot ceritanya memang disusun sempurna.



Babak Antara Beto Dan Lisa Pasti Melucukan


Azad lelaki yang telah dikenali Dian berbelas tahun manakala Harris hanyalah lelaki yang baru dikenali Dian tidak sampai dua minggu. Azad telah mengkhianati cinta Dian walaupun pada permulaannya Azad digambarkan seperti seorang lelaki yang setia dan menghamburkan kata-kata kesat kepada Dian seperti 'Rewang' dan 'Jalang' tetapi akhirnya kata-kata itu berbalik sendiri kepada Azad. Harris pula walaupun pada permulaannya digambarkan langsung tidak sefahaman dengan Dian, kerap bergaduh dan tidak bertolak ansur namun sebenarnya dia ialah seorang lelaki yang amat menghormati wanita. Dian kecewa dengan kecurangan Azad manakala Harris pula mula menyukai Dian. Layanan dan kata-kata semangatnya membuatkan Dian terubat dan perasaan cinta mulai tumbuh walaupun tidak jelas. Tetapi, apa yang menariknya disini apabila babak Azad cuba memujuk Dian dengan meminta maaf, mengaku kesalahannya, bercerita tentang apa sebenarnya yang berlaku dan klimaksnya apabila Azad melamar Dian. Aku sangat sukakan babak ini kerana memang tujuan asal Dian ialah mahu Azad melamarnya. Setiap hari mengemas kini laman blog bercerita tentang rancangannya untuk menawan hati Azad. Akhirnya peluang yang ditunggu ada di depan mata dan Azad juga telah memberikan alasan dan permintaan yang mungkin boleh diterima akal.


Walaupun Lisa Kelihatan Tembam Dalam
Filem Nih Tapi Lisa Memang Terbaik Lah!!


Harris pun walaupun baru mengenali Dian baru beberapa hari dan mula menjadi kawan dalam masa cuma sehari tetapi sebenarnya dapat juga memahami siapa gadis bernama Dian dan juga ada hak untuk memperoleh cinta Dian. Babak Harris menahan kereta seorang pemandu tempatan Turki sewaktu Dian mahu berangkat pulang ke Kuala Lumpur bersama Azad sebenarnya adalah babak spontan tetapi sangat menarik dan menghiburkan aku. Pilihan yang bakal dibuat oleh Dian inilah sebenarnya yang sangat menarik untuk diketahui kerana Dian mewakili wanita Malaysia yang bijak, berdikari dan berani tetapi adakah sifat-sifatnya itu ada di dalam dunia percintaannya? Adakah dia akan memilih Azad yang dikenali dan dicintainya bertahun-tahun? Walaupun Azad curang dengannya namun Azad mengakui kesilapannya, meminta maaf, meminta peluang kedua dan juga cuba menunaikan impian Dian sendiri yang ingin Azad melamarnya. Atau adakah Dian akan memilih Harris? Walaupun Harris kelihatan baik tetapi Dian baru sahaja mengenalinya. Risiko memilih Harris ialah Dian masih belum mengenali secara mendalam siapa sebenarnya Harris dan mungkin Dian akan kecewa kali kedua jika memilih Harris sebagai teman hidupnya. Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.



Barisan Pelakon Filem Istanbul Aku Datang


Nilai komedinya sangat tinggi dan Maggi Asam Laksa sememangnya satu objek yang menggeletek jiwa penonton filem Istanbul Aku Datang ini. Suara latar Rafidah Aziz, Fazura dan seorang lagi yang aku lupa namanya mewakili pengomen blog Dian membangkitkan suasana filem. Warna-warni filem ini juga membuatkan filem ini ceria. Sinematografi dan latar tempatnya cukup menarik ditambah budaya serta nilai-nilai masyarakat Turki yang digambarkan disini membuatkan aku ingin sangat ke Istanbul sekarang walaupun wang macam tak cukup(memang tak cukup!). Susunan plot, konflik yang dicipta dan klimaksnya juga berkembang dengan baik dan menarik. Lakonan yang cukup hebat daripada pelakonnya walaupun ada sesetengah pelakon pembantu yang sedikit kaku dalam menyampaikan dialog(mungkin ini lakonan pertama mereka!). Sebuah filem komedi romantik tempatan yang bagi aku cukup rencah rasanya dan berjaya membuatkan aku memberi tabik kepada Bernard Chauly dan Rafidah Abdullah atas kejayaan filem ini. Teruskan kombinasi kalian dalam filem-filem seterusnya. Aku menanti! Tahniah :)




P/S : Akan Cuba Menonton Lagenda Budak Setan 2 : Katerina Minggu Ini (^_^)Y 




11/11/12

Review Filem Ted



Filem:
Ted


Pengarah:
Seth MacFarlane


Genre:
Komedi & Fantasi


Pelakon:
Mark Wahlberg, Mila Kunis, Seth MacFarlane(Ted Voice), Joel McHale,
Giovanni Ribisi, Matt Walsh, Jessica Barth, Aedin Mincks & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini dimulakan dengan kehidupan kanak-kanak bernama John Bennett. John kesunyian kerana dia langsung tidak mempunyai sebarang sahabat. Pada hari Krismas, keluarganya telah menghadiahkan John sebuah teddy bear dan setiap malam John berkongsi segala suka dukanya dengan Ted(nama yang diberi oleh John kepada Teddy Bear tersebut). Pada suatu malam John membuat permintaan agar Ted boleh hidup dan menjadi rakan baiknya sampai bila-bila dan permintaan John itu menjadi kenyataan. Kini, John telah pun berumur lebih dari 30 tahun dan mempunyai seorang teman wanita yang cantik bernama Lori. Namun, sifat John yang masih keanak-anakan gara-gara masih setia bersama Ted menyebabkan Lori mula rimas dan kecewa kerana perhubungan mereka sudah lebih 4 tahun namun John tidak memberi komitmen seperti yang diharapkannya. Konflik mula terjadi apabila Lori memberi dua pilihan kepada John sama ada membuang Ted dalam hidupnya atau Lori sendiri yang akan meninggalkan John. John kini tersepit kerana dia sudah berjanji akan sentiasa menjadi sahabat baik dan bersama dengan Ted. Namun, pada waktu yang sama juga John amat menyayangi Lori. Apakah keputusan John? Adakah keputusannya itu akan memusnahkan hidupnya? Saksikan filem menarik ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Aku berpeluang menonton filem ini semalam selepas ramai yang berkata filem ini cukup lucu dan menghiburkan. Ya, filem ini memang lucu! Tetapi, aku lebih suka pada intipati kisahnya yang bagi aku seronok untuk dipelajari dan dihayati. John Bennett walaupun berusia 35 tahun tetapi jiwa, perilaku atau sesetengah keputusan yang dilakunya masih bersifat keanak-anakan kerana John bersama Ted sejak dia berusia 8 tahun lagi. Jadi, adalah sukar untuk seseorang insan seperti John untuk cuba menjadi dewasa jika sahabatnya sendiri pun masih berjiwa keanak-anakan.





Satu persoalan yang menarik disini apabila Lori cuba menyedarkan John tentang betapa perlu dia berubah menjadi lebih dewasa memandangkan hubungan mereka sudah berusia 4 tahun. Kemudian, Ted pula memberitahu John bahawa dia lebih mengenali John kerana sudah lebih 20 tahun dia bersama John dan apabila dia mengingatkan John tentang janji John terhadapnya maka inilah satu konflik yang menarik yang dicipta di dalam filem ini.





John seorang lelaki dan memerlukan seorang wanita di dalam hidupnya. Mahu tidak mahu dia tidak boleh melepaskan Lori pergi kerana itulah cinta pertama dan terakhirnya. Pada waktu yang sama John masih mengenang janji serta kebaikan Ted terhadapnya sejak zaman kanak-kanak lagi memandangkan dia tidak mempunyai sahabat langsung pada ketika itu. John mahukan kedua-duanya tetapi Lori tidak mahu Ted ada di dalam hidup mereka. Ted pula merasakan dia perlu sentiasa bersama John kerana itulah janji dia terhadap John. Jadi, pilihan yang John lakukan ini sebenarnya yang mencorakkan perjalanan filem ini dan sememangnya aku menyukai filem arahan Seth MacFarlane yang juga merangkap sebagai penulis skrip filem ini serta menyumbang suara untuk watak Ted.





Selain jalan ceritanya yang agak unik, perkembangan watak-watak utamanya juga wajar dipuji. Selain watak John dan Ted yang bagi aku berjaya mencuit hati dan ada falsafah tersendiri, watak Lori juga sebenarnya amat menarik untuk dilihat. Lori menyukai John bukan kerana John kacak, dikenali atau kaya tetapi kerana kelucuan serta sifat misteri yang ada pada John. Disebabkan itu Lori langsung tidak berminat dengan bosnya iaitu Rex, seorang yang kaya, kacak dan berpengaruh walaupun Rex tidak henti-henti cuba menggodanya.




Aku sukakan filem sebegini sebab ia merujuk kepada nilai kehidupan kita sehari-hari. Pilihan hidup yang memang sentiasa wujud dan setiap daripada kita perlu memilih antara satu pilihan dan pilihan itu mungkin akan merubah hidup kita kepada lebih baik atau sebaliknya. Filem ini juga sebenarnya mengajar kita bertolak ansur dan belajar untuk menerima kekurangan dan kelebihan pasangan kita sendiri. Selain unsur humor yang boleh diterima, filem Ted memang menarik untuk ditonton. Selamat menonton dan semoga terhibur. Sekian!


P/S : Filem Apa Sekarang Yang Menarik Dekat Pawagam Yer? (^_^)Y




7/11/12

Review Filem Skyfall



Filem:
Skyfall


Pengarah:
Sam Mendes


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Jenayah


Pelakon:
 Daniel Craig, Javier Bardem, Judi Dench, Naomie Harris,
Ralph Fiennes, Ben Whishaw, Albert Finnie, Rory Kinnear & Etc.


Penilaian:
9 / 10


Sinopsis:

Filem ini dimulakan dengan babak operasi di Istanbul dimana James Bond dikhabarkan telah mati akibat ditembak oleh rakan operasinya tanpa sengaja sewaktu sedang cuba memberkas salah seorang penjenayah yang dikehendaki. Susulan kematian James Bond tersebut maka identiti ejen perisik terkenal lain yang bekerja di M16 mula dibocorkan oleh pihak pengganas di internet. Akibat kejadian tersebut, maka ramai pihak terutamanya kerajaan yang mula mempersoalkan kewibawaan ketua agensi  perisik rahsia, M yang kerap kali gagal dalam mengendalikan misi rahsia. Kejutan berlaku apabila buat pertama kalinya bangunan M16 terlibat dalam serangan pengganas dan Bond yang sebenarnya masih hidup akhirnya muncul untuk membantu M mencari dan cuba memberkas Roul Silva iaitu salah seorang bekas ejen perisik M16 sendiri yang kini dikenali sebagai penjahat paling berbahaya dan amat dikehendaki oleh pihak berkuasa. Persoalannya, mampukah James Bond memberkas Silva yang amat arif mengenai taktik serta strategi yang selalu diguna pakai oleh pihak perisik M16 itu? Saksikan filem hebat ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Rantaian filem ejen perisik bernama James Bond sebelum ini selalunya sudah boleh dijangka. Gadis Bond yang cantik, senjata-senjata atau kenderaan yang canggih dan kejayaan dalam setiap misi yang diberi adalah tiga perkara yang wajib ada di dalam filem-filem ejen 007 sebelum ini. Namun, Skyfall adalah satu-satunya filem Bond yang bagi aku amat lari daripada faktor-faktor yang aku sebutkan di atas dan aku amat menyukai filem ini kerana ia penuh dengan drama.




Dimulakan dengan babak pertarungan yang amat menarik iaitu kejar-mengejar daripada atap hingga membawa kepada pertarungan di atas keretapi yang sedang bergerak. Kemudian, filem ini mula menunjukkan unsur kemanusiaan yang terdapat di dalam diri Bond serta sifat terlalu mementingkan diri yang wujud sejak sekian lama di dalam diri ketua M16 iaitu M yang sebelum ini tidak diberi perhatian. Aku sukakan filem kali ini kerana watak James Bond itu sendiri dicipta dengan gaya serta karisma yang cukup menarik dan watak M pula diangkat serta dikembangkan dan secara tidak langsung menjadikan filem ini lebih bernyawa. Tidak perlu senjata yang canggih! Tidak perlu kenderaan yang terlampau gah! Tidak juga dihidangkan dengan kejelitaan gadis-gadis Bond yang bagi aku kadang-kadang tidak perlu. Tetapi, filem kali ini memaksa James Bond untuk menggunakan kekuatan fizikalnya sendiri untuk berhadapan dengan sebarang situasi sama ada bahaya mahu pun tidak. Inilah yang aku nantikan daripada watak James Bond sejak sekian lama dan Daniel Craig berjaya melakonkan karakter Bond kali ini dengan cukup versatil.




Dan apa yang menariknya kali ini ialah apabila watak antagonis yang perlu dihadapi oleh James Bond itu juga sebenarnya adalah bekas perisik M16 sendiri yang amat memahami serta mengenali selok belok percaturan ketua M16 iaitu M sendiri. Jadi, inilah yang membuatkan filem kali ini cukup berjaya membuatkan aku terhibur dengan plot ceritanya yang menarik. Javier Bardem yang membawakan watak Silva, seorang bekas perisik yang ingin membalas dendam kepada M akibat sikap M sendiri yang terlalu mementingkan diri sememangnya berjaya mewarnai watak Silva itu dengan jayanya. Kelihatan lembut tetapi kejahatan watak Silva ini berjaya diterjemahkan dalam emosi karakter yang dibangunkan dengan cukup baik oleh Javier Bardem.




Watak Q yang dilakonkan oleh Ben Whishaw pula berjaya menggeletek hati penonton. Jika watak Q sebelum ini dipegang oleh pelakon yang lebih berumur namun watak Q dalam filem kali ini ditonjolkan sebagai seorang pemuda yang adakalanya menunjukkan sedikit keangkuhan kerana kebijaksanaannya. Kemudian ditunjukkan bagaimana watak Q sebagai seorang yang muda berurusan dengan Bond yang tergolong dalam kategori veteran. Amat menarik babak yang melibatkan mereka berdua.





Judi Dench amat beruntung kerana filem Skyfall menjadikan kisah hidup watak M sebagai salah satu plot utama filem Bond kali ini. Sangat menarik kerana segala yang berlaku memang ada kena mengena dengan M. Filem ini pasti membuatkan anda tertarik kerana anda dapat melihat bagaimana James Bond yang sedikit keliru sama ada untuk masih mengikuti arahan M yang merupakan orang yang hampir-hampir meragut nyawanya atau pun bekerjasama dengan watak Silva yang sebenarnya menjadi mangsa keangkuhan M sebelum ini.





Dengan soundtrack filem Skyfall yang dinyanyikan oleh Adele yang cukup merdu ditambah dengan montage pengenalan filem yang sangat kreatif disusuli dengan drama-drama serta aksi-aksi pertarungan yang mendebarkan maka boleh dikatakan pelaburan untuk menonton filem Skyfall sangat berbaloi. Jadi, selamat menonton!




P/S : Tak Sabar Nak Menonton Filem The Hobbit : An Expected Journey (^_^)Y  




15/10/12

Review Filem Aku Terima Nikahnya



Filem:
Aku Terima Nikahnya


Pengarah:
Eyra Rahman


Genre:
Cinta


Pelakon:
Adi Putra, Nora Danish, Mon Ryanti, Alex Yanz, Dian P.Ramlee,
Azizah Mahzan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Zalif Sidek & Etc.


Penilaian:
5.5 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan sebuah kisah cinta yang agak tragis tentang sepasang suami isteri yang cukup bahagia dimana mereka baru mendirikan rumah tangga iaitu Johan dan Arlisa. Dugaan terbesar yang mereka berdua hadapi ialah apabila Johan hilang ingatan akibat kemalangan dan disahkan mengalami Selective Amnesia dimana Johan hanya mengingati semua perkara tentang dirinya tetapi hanya sehingga di umur 31 tahun sahaja. Jadi, selepas umur 31 tahun Johan tidak mengingati apa-apa dan pada waktu itu sebenarnya adalah waktu perkenalan dia dan juga Arlisa. Akibatnya, Johan menjauhi Arlisa kerana berasa tidak selesa dengan isterinya itu. Arlisa pula terlalu berusaha keras untuk cuba mengingatkan Johan tentang siapa dirinya yang sebenar. Pertemuan antara Johan dengan kawan baik Arlisa iaitu Suriya pula menyebabkan Arlisa cemburu gara-gara Johan lebih mesra dengan Suriya berbanding dirinya. Akhirnya Arlisa mengalah apabila dia terlihat kemesraan antara Johan dan Arlisa di rumahnya pada suatu malam. Arlisa memohon supaya dirinya dilepaskan oleh Johan. Persoalannya adakah Johan akan melepaskan Arlisa walaupun pada waktu yang sama dia gembira dengan permohonan Arlisa tersebut? Adakah Johan akan mengingati kembali siapa sebenarnya Arlisa? Saksikan filem ini di pawagam untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Filem ini adalah sebuah filem cinta dan ia memang betul-betul memberi fokus tentang cinta sepasang suami isteri. Mungkin aku kurang mampu untuk menjiwai filem sebegini sepenuh hati jadi pandangan aku mungkin amat berbeza dengan pandangan-pandangan kalian semua yang membaca  atau pun yang telah menonton lebih-lebih lagi jika kalian memang meminati filem bergenre sebegini. Aku tak tahu kenapa aku ingin sangat menonton filem ini sebab aku tidak membaca sebarang ulasan atau pun menonton trailer filem ini. Apa yang membuatkan aku terasa mahu menonton hanyalah kerana tajuk filemnya yang membuatkan aku ingin sangat mengetahui apa cerita sebenar di sebalik tajuk filem ini.




Filem ini sebenarnya tidak banyak dialog yang berjela. Setiap karakter utama banyak bermain dengan riak wajah, emosi serta pergerakan tubuh dan bagi aku Adi Putra dan Nora Danish telah pun berjaya di dalam hal ini. Filem ini memang berani bereksperimen dari aspek hubungan dan  kemesraan suami isteri dan agak banyak adegan romantik yang agak 'berani' dipertontonkan kepada aku. Memang tidak sesuai ditonton oleh remaja di bawah umur! Hahaha!




Cuma kadang-kadang momentum ceritanya sedikit perlahan terutama pada permulaan cerita dan satu perkara yang masih bermain-main di fikiran aku sekarang ialah tentang sikap Johan(lakonan Adi Putra) terhadap Arlisa(lakonan Nora Danish) selepas dia hilang ingatan. Babak pertemuan antara Johan dan rakan lamanya(lakonan Alex Yanz) sebenarnya sedikit mengelirukan aku. Rakan lamanya ada berkata sesuatu yang membayangkan bahawa sikap Johan sebelum bertemu Arlisa lebih kepada berfoya-foya atau pun seorang lelaki yang layak digelar playboy. Jadi, apabila ada babak yang menunjukkan Arlisa cuba menarik perhatian Johan yang masih hilang ingatan(seperti memeluk, bercakap manja dan sebagainya) dan Johan pada ketika itu mengungkapkan ayat,"Saya belum bersedia!" dan ini sememangnya cukup pelik pada pandangan aku. Seorang kaki perempuan atau playboy menolak ajakan seorang wanita yang dipertontonkan sebagai cantik atau ayu? Serius kau menolak? Kau serius bro? Hahaha!




Babak akhir filem ini yang memaparkan bait-bait kata yang indah juga sedikit melucukan pada aku.  Boleh print screen buat wallpaper laptop ohhh! Hehehe! Secara keseluruhan tidak ada banyak yang ingin aku katakan disini. Filem ini sebenarnya sebuah filem yang aku percaya ramai akan kategorikan sebagai sebuah filem yang 'Sweet' terutama kaum wanita tetapi setiap orang ada citarasa yang tersendiri. Jadi, pergilah menonton filem Aku Terima Nikahnya dan anda nilaikan sendiri kerana lain orang lain pandangannya. Sekian!


P/S : Banyak Filem Gua Terlepas Lah Sekarang! Tak Sempat Nak Menonton! :-)




24/09/12

Review Filem Dredd



Filem:
Dredd


Pengarah:
Pete Travis


Genre:
Aksi & Sains Fiksyen


Pelakon:
 Karl Urban, Olivia Thirlby, Lena Headey, Rakie Ayola & Etc.


Penilaian:
6 / 10


Sinopsis:

Filem adaptasi dari komik ini mengisahkan tentang keadaan sebuah kota pada masa hadapan dimana manusia hidup dikelilingi dengan penjenayah serta pengganas yang amat merbahaya. Joseph Dredd merupakan salah seorang polis yang mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai hakim ditugaskan untuk melatih dan menilai seorang pelatih wanita iaitu Cassandra Anderson yang mempunyai kuasa psikik yang diperolehnya akibat kesan radiasi. Tugas pertama mereka adalah untuk menyiasat kematian tiga orang lelaki di sebuah kawasan bernama Peach Tree yang dikuasai oleh kumpulan penyeludup dadah yang diketuai oleh Ma-Ma. Kay yang merupakan salah seorang ahli kanan kumpulan Ma-Ma telah ditangkap oleh Dredd serta Anderson dan ini merisaukan Ma-Ma. Jadi, Ma-Ma cuba menghalang dengan mengerahkan pengikut - pengikutnya untuk membunuh Dredd serta Anderson. Kini Dredd serta Anderson telah terperangkap di dalam bangunan yang dikuasi oleh Ma-Ma dan terpaksa berhadapan dengan beratus - ratus pengikut setia Ma-Ma. Dalam masa yang sama mereka juga perlu berhati - hati agar orang awam yang tinggal di dalam bangunan itu terselamat daripada sebarang serangan kumpulan Ma-Ma. Berjayakah mereka melepaskan diri daripada kumpulan Ma-Ma yang cukup berbahaya itu? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Filem ini sebenarnya agak menarik pada 20 minit pertama kerana penonton ditunjukkan tentang siapakah Dredd yang dimaksudkan dan apa yang membuatkan penjenayah - penjenayah ini sangat takut apabila mendengar nama tersebut. Kemudian Dredd ditugaskan untuk melatih dan menilai Anderson yang merupakan seorang gadis mutan akibat kesan radiasi yang berlaku di bumi sebelum ini. Bertambah menarik lagi apabila kedua - dua mereka tiba di sebuah kawasan bernama Peach Tree untuk menyiasat kematian beberapa orang lelaki kerana disitu kita boleh melihat betapa tegasnya karakter Dredd dan juga kebolehan luar biasa Anderson. Plot semakin menarik apabila mereka berdua terperangkap di sebuah bangunan 200 tingkat yang dikuasai oleh Ma-Ma. Namun, selepas itu ia sebenarnya agak bosan dari segi kekuatan jalan cerita namun dapat diselamatkan melalui babak - babak aksi serta kesan khas atau visual yang agak menarik.


Anda Tidak Akan Dapat Melihat Wajah Karl Urban Di Dalam Filem Ini!


Tidak keberatan jika dikatakan filem Dredd sebenarnya lebih terbelakang daripada filem Indonesia iaitu The Raid : Redemption dari segi susunan plot yang kemas dan untuk membuatkan penonton lebih teruja menanti babak seterusnya. Bagaimana babak yang menonjolkan Dredd dan Anderson cuba untuk bertahan dari tingkat bawah hingga teratas sekali sebenarnya bukanlah suatu benda baru dan ia berlaku terlalu cepat. Tidak ada adegan yang terlalu mencemaskan atau mampu membuat aku 'risau' sama ada bolehkan Dredd ini bertahan, mungkin terkorban atau sebagainya kerana walaupun beratus orang samseng mahupun senjata canggih digunakan namun seperti langsung tidak dapat menghalang kemaraan Dredd atau pun melambatkan perjalanannya.


Lena Headey Sebagai Ma-Ma!


Kumpulan Ma-Ma adalah satu nama yang sangat lucu dan begitu feminin bunyinya. Namun Lena Headey yang memegang watak sebagai Ma-Ma sebenarnya berjaya menyerlahkan sisi seorang wanita yang kuat dan kelihatan layak untuk ditakuti oleh pengikutnya namun cara wataknya dimatikan kurang menarik pada pandangan peribadi aku sebab mengikut pemahaman aku sepatutnya Ma-Ma yang ditonjolkan sebagai satu watak antagonis yang amat ditakuti oleh ramai samseng yang 100% di dalam filem ini adalah lelaki sehingga membuatkan mereka terkencing sepatutnya mempunyai sesuatu kebolehan atau kelebihan yang membuatkan dia digeruni oleh mereka. Tetapi, apa yang aku dapat lihat watak ini hanya sekadar mengugut dengan sebuah alat yang mampu meletupkan 50 tingkat bangunan dan betulkan hanya ini sahaja yang mampu menggerunkan beratus mahu pun beribu orang pengikut - pengikutnya? Kelayakannya sebagai seorang ketua kumpulan penyeludup dadah terkenal yang berjaya melenyapkan pengaruh 4 kumpulan samseng sebelum ini telah pun diragui oleh aku.


Olivia Thirlby Sebagai Anderson Iaitu Seorang Gadis Berkuasa Psikik!


Karl Urban yang memegang watak sebagai Dredd pula bagi aku agak menarik namun watak itu sebenarnya seperti membataskan potensi sebenar beliau. Olivia Thirlby pula yang memainkan watak Anderson juga sebenarnya agak bagus tetapi keunikan wataknya juga seperti kurang dimanfaatkan. Namun ketiga - tiga pemain watak ini(Karl Urban, Olivia Thirlby serta Lena Headey) telah pun melakonkan watak mereka yang cukup baik cuma sayangnya karakter mereka seperti mendatar dan kurang berkembang mungkin disebabkan kelemahan skrip filem ini sendiri.



Siapakah Keempat - Empat Orang Ini Sebenarnya?
Saksikan Sendiri Untuk Mengetahui Jawapannya!


Terdapat beberapa adegan atau perkara yang agak menarik yang mahu disampaikan di dalam filem ini. Salah satu adegan yang menarik apabila Anderson menggunakan kuasa psikiknya untuk memasuki minda Kay yang merupakan ahli kanan Ma-Ma yang ditahan oleh mereka. Agak kelakar sebenarnya babak itu! Filem ini cuba memaparkan kekuatan dan penguasaan wanita pada masa hadapan tidak kira di dalam perkara yang positif mahu pun negatif. Bagi aku hero sebenar filem ini adalah Anderson dan bukannya Dredd jika dilihatkan kepada bantuan yang diberikan oleh Anderson kepada Dredd. Selain itu juga filem ini cuba memaparkan bagaimana apabila amanah yang diberikan kepada penguatkuasa untuk dijalankan namun diingkari gara - gara tamak akan wang menyebabkan kejahatan tidak dapat dibanteras walaupun sebenarnya ia mampu diatasi. Agak menarik sebenarnya mesej ini bagi aku!



Aku Suka Babak Nih! Memang Dasyat!


Apa - apapun, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton dan mungkin lebih menghiburkan jika anda menontonnya di dalam format 3D. Jadi, selamat menonton dan bergembira dengan filem Dredd terbaru ini. Sekian!


P/S : Banyak Filem Yang Telah Ditonton Seperti Premium Rush Serta Resident Evil : Retribution Tetapi Masa Yang Terhad Menghalang Aku Dari Menulis Ulasan Mengenai Kedua - Dua Filem Tersebut!




31/08/12

Review Filem 29 Februari



Filem:
29 Februari


Pengarah:
Edry Abdul Halim


Genre:
Muzik, Fantasi & Drama


Pelakon:
 Remy Ishak, Jojo Goh, Izzue Islam, Fizz Fairuz, Muniff Isa, Namron,
Dian P.Ramlee, Riz Amin, Wan Hanafi Su, Ramli Hassan & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan kehidupan Budi yang dilahirkan pada tahun lompat iaitu 29 Februari 1896 dan hanya dimakan usia 4 tahun sekali. Keadaan fizikalnya yang kelihatan terbantut menyebabkan masyarakat menganggap 'kecacatan' itu sebagai suatu sumpahan sedangkan ianya satu anugerah kepada Budi untuk melalui era transformasi Tanah Melayu, Malaya dan akhirnya Malaysia yang bebas merdeka. Masa seolah - olah tidak berganjak buat Budi dan akibatnya dia sentiasa kehilangan orang yang tersayang. Beliau diasuh di sebuah rumah anak yatim yang bernama Rumah Bakti bersama sahabat baiknya iaitu Razak, seorang yang cacat penglihatannya. Budi melalui perjalanan hidup berlatar belakangkan detik - detik bersejarah negara dan mula mengenali erti kebahagiaan apabila berkenalan dengan Lily. Walaubagaimanapun kisah percintaan antara Budi dan Lily melalui pelbagai caraban dan hubungan mereka dihalang keluarga. Apakah satu - satunya cinta Budi ini akan kekal abadi seiring dengan hayatnya yang tidak dimakan usia? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam - pawagam berhampiran anda untuk mengetahui kesudahan kisah percintaan antara mereka berdua.


Ulasan Hans:
(Terdapat Banyak Spoiler)

Sudah lama aku tidak membuat ulasan filem pada blog ini gara - gara kesibukan kerja serta beraya dan kali ini filem yang bertuah untuk diulas oleh aku ialah karya terbaru daripada pengarah Edry Abdul Halim iaitu filem 29 Februari yang bagi aku cukup tinggi nilai Melayu mahu pun sentimen kemerdekaan negara. Aku merasakan karya terbaru Edry ini adalah seratus kali lebih baik berbanding filem Magika.





Sebelum itu aku dengan dukacitanya ingin memberitahu aku teramat kecewa dengan sikap segelintir penonton di dalam panggung sebentar tadi yang rata - ratanya ialah gadis - gadis muda yang jika dilihat secara zahir kelihatan cukup ayu dan sopan tetapi kebenarannya hanya Allah sahaja yang tahu. Mungkin ini cuma filem tetapi jika ia berlaku kepada keluarga anda sendiri seperti watak Lily yang menghidap kanser atau pun watak Razak yang cacat penglihatannya maka adakah kalian tergamak untuk ketawa terkekek - kekek apabila melihat mereka seperti itu? Paling melucukan apabila keluar panggung anda boleh berkata yang anda tidak faham filem apa yang anda tonton? Rasa seperti mahu menyimbah asid sahaja ke muka kalian kerana menganggu fokus aku pada filem ini buat seketika waktu!!



Salah Satu Babak Di Dalam Filem 29 Februari


Baiklah!! Kembali semula kepada filem 29 Februari ini!! Aku sebenarnya sukakan penggunaan jam serta kelip - kelip yang melatari filem ini kerana bagi aku ia adalah simbolik kepada umur watak utama lakonan Remy Ishak iaitu Budi sendiri. Mengenang kembali kata - kata gadis - gadis di dalam panggung yang kehairanan kenapa si Budi nih tidak tua - tua dan secara tidak langsung membuatkan aku pening kepala memikirkan kenapa begitu malas sekali penonton kita ini mahu berfikir atau sememangnya tidak tahu berfikir? Permulaan filem ini kita ditunjukkan tentang bapa Budi dan ibunya yang sedang mengandungkan Budi terlihat tahi bintang melintasi langit dan bapanya ada berdoa supaya anak mereka panjang umur dan sihat selalu. Memandangkan Budi pula dilahirkan pada 29 Februari dimana tarikh tersebut hanya mampu kita lihat cuma sekali di dalam empat tahun maka boleh lah dibuat kesimpulan bahawa doa ayah Budi itu telah termakbul dan perkiraan matematik boleh dikatakan 4 tahun usia manusia lain adalah sama dengan 1 tahun usia Budi. Jadi, tidak lah memeningkan pun apabila melihat adegan ibu ayah Budi yang sudah tua sedang Budi kelihatan seperti budak 10 tahun walaupun usia sebenarnya ketika itu lebih kurang 40 tahun atau lebih. Mudah bukan? Adakah gadis - gadis sebentar tadi gagal dalam peperiksaan matematik? Mungkin!!



Jepun Datang Menyerang Tanah Melayu


Aku suka bagaimana latar masa dan latar tempat dihubungkan dengan watak Budi dan secara tidak langsung ia menunjukkan juga sedikit susur galur sejarah negara walaupun cuma sekadar asas sahaja. Beberapa babak awal ditunjukkan dimana orang Melayu menjadi orang suruhan kepada orang putih(penjajah British) dimana mereka berkhidmat dengan jawatan yang cukup rendah dan kemunculan Jepun yang menggunakan dasar Asia Untuk Asia sahaja itu dan menjajah Tanah Melayu sebenarnya cukup menarik dari segi dialog - dialognya. Aku cukup suka dengan babak ayah Budi(lakonan Ramli Hassan untuk era kedatangan Jepun) yang ditangkap oleh pihak Jepun dan ketika itu ayah Budi memarahi Khalid(lakonan Wan Hanafi Su)  serta mereka bertekak tentang siapanya pengkhianat negara. Babak ini sebenarnya menarik kerana ia cuba membuatkan kita berfikir siapakah sebenarnya yang berjuang kerana masing - masing ada ideologi atau pandangan masing - masing. Aku sukakan babak ini!



Adegan Di Panggung Coliseum Yang Mencuit Hati


Kemudian aku juga suka dengan bagaimana watak Budi dipertemukan dengan watak Lily. Aku cukup suka dengan babak di panggung Coliseum itu. Sangat manis dan sedikit lucu sebenarnya! Jojo Goh adalah permata baru pelakon negara yang bukannya dari kalangan orang Melayu dan aku cukup menyukai permainan emosi serta lakonannya yang memang baik pada pandangan aku. Tahniah Jojo Goh dan semoga karier anda semakin berkembang selepas ini. Watak Budi yang dilakonkan oleh Remy Ishak juga cukup cemerlang kerana bagi aku Remy berjaya menyesuaikan dirinya dengan karakter Budi itu dalam setiap era yang dilaluinya daripada belum merdeka sehingga tahun 2012. Watak Razak lakonan Izzue Islam juga agak menarik dan menghiburkan sebenarnya.



Cinta Budi Dan Lily Dihalang Keluarga


Filem ini selain menampilkan tentang kisah kenegaraan dimana kita boleh lihat bagaimana Malaysia membangun juga sebenarnya bertunjangkan kisah cinta di antara Budi dan Lily. Cinta mereka bagaimanapun dihalang oleh keluarga namun babak untuk bahagian ini tidak lah terlalu cliche kerana aku masih boleh menerima hubung kaitnya dengan perjalanan filem ini. Walaupun ada beberapa visual yang ditayangkan adalah visual asal serta dapat ditonton dalam versi berwarna namun kualitinya kurang memuaskan namun ia masih relevan tidak lah menganggu sangat fokus tontonan aku. Budi walaupun pada fizikalnya tampak muda dan gagah namun hatinya sudah tua kerana usia sebenarnya sudah pun 120 tahun. Memandangkan cinta Budi pada Lily adalah sangat tinggi maka tidak hairan lah Budi tetap setiap kepada Lily sehingga akhir hayatnya.



Sweet Juga Babak Nih!


Satu babak yang menarik perhatian aku adalah sewaktu Encik Salam(lakonan Namron) yang berjumpa dengan Budi untuk memaklumkan tentang pemergian Razak dimana sebelum itu Budi meletakkan botol - botol air yang  berada di atas meja ke bawah meja. Aku tidak pasti tentang botol air apa yang cuba disembunyikan. Adakah itu arak? Jika arak mungkin apa yang cuba disampaikan disini ialah kadang - kadang kita ini terlampau cuba berasimilasi dengan keadaan sekeliling sehingga kita melupakan ajaran agama kita sendiri gara - gara kemodenan hidup. Babak ini bertambah menarik apabila kemudian Budi terjumpa seorang lelaki tua yang kelihatan seperti Razak yang juga buta serta menjual bakul rotan bersama anaknya di Pulau Pinang. Jadi, disini mula menimbulkan sedikit keraguan kepada aku iaitu adakah pemergian Razak itu bermaksud Razak sudah meninggal dunia atau pun Razak meninggalkan rumah anak yatim itu gara - gara kata - kata akhir Budi kepadanya sebelum itu iaitu Razak kena lebih berdikari kerana tidak mungkin dia mampu menyara Razak selama - lamanya. Aku sukakan kedua - dua babak ini kerana mungkin ia ada hubung kait atau telah berjaya membuatkan aku berfikir tentang relevannya apa yang aku perkatakan tadi.



Boleh Tahan Sedap Lagu - Lagu Dalam Filem 29 Februari Nih!


Memandangkan filem ini adalah filem muzikal maka sudah pastinya ada lagu. Tak salah aku terdapat lebih kurang 3 lagu di dalam filem 29 Februari ini. Lagu pertama seakan - akan mengingatkan aku kepada filem Jimi Asmara disebabkan muzik dan suara penyanyinya yang sedikit sama. Namun aku cukup sukakan satu lagu yang boleh aku katakan merupakan lagu tema percintaan antara Budi dan Lily berkenaan kelip - kelip itu. Boleh tahan juga suara Remy Ishak. Tetapi, aku terasa sedikit janggal apabila watak Budi menyanyi dalam babak sedih selepas menjawab telefon daripada Ariff yang bagi aku seperti agak mengganggu fokus aku untuk menjiwai emosi kesedihan babak tersebut. Aku juga setuju dengan pengulas filem iaitu saudara Fadli bahawa Edry perlu lebih menjaga shot - shot di dalam filem ini kerana terdapat beberapa kelemahan seperti mana yang dikatakan saudara Fadli itu. Aku juga bersetuju dengan komentar beliau tentang apakah motifnya cahaya biru di rumah lama kolonial sewaktu Budi pergi ke sana selepas kecewa dihalau keluar dari rumah anak yatim oleh Encik Salam. Tidak ada kekuatan atau kepentingan babak itu yang aku nampak sebenarnya.



Kisah Percintaan Antara Budi Dan Lily


Apa - apapun, aku cukup sukakan karya terbaru Edry Abdul Halim ini dan aku amat menikmati kisah percintaan diantara watak Budi dan Lily yang cukup mengasyikkan. Betul kata saudara Fadli iaitu filem 29 Februari ini ialah sebuah filem patriotisme yang bersalutkan cinta. Jadi, selamat menonton kepada yang masih belum menonton dan harapan aku agar kalian yang menonton tidak menjadi seperti sang gadis  - sang gadis yang aku katakan pada perenggan kedua di dalam ulasan ini. Sekian!


Sumber Gambar : DISINI 


P/S : Panjang Pula Ulasan Aku Kali Nih!! Lepas Dendam Sebab Dah Sebulan Lebih Tak Menaip Dekat Blog Nih Kut! Hehehe!! (^_^)Y