3/03/12

Review Filem Chantek



Filem:
Chantek


Pengarah:
Pierre Andre


Genre:
Romantik & Komedi


Pelakon:
 Pierre Andre, Nurul Ekasari, Kim Watt, Abon,
Yu Hang, Maimon Mutalib, Man Kidal & Etc.


Penilaian:
4 / 10


Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang AD iaitu seorang bintang filem yang hidup dalam kemewahan dan ceria tetapi kemudiannya menjadi buta setelah dilanggar oleh sebuah kereta sejurus terserempak dengan tunangnya yang berlaku curang di hadapan mata. Gara - gara terlampau kecewa maka AD mengambil keputusan untuk memencilkan dirinya di rumah penginapan dengan dijaga oleh Chantek yang merupakan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang terpaksa menyamar sebagai lelaki untuk menenangkan AD yang masih fobia dengan perempuan. Lama-kelamaan kerana kebaikan AD dan kemesraan mereka berdua maka Chantek terpaksa mendedahkan rahsianya. Walaupun marah namun AD sedia memaafkan Chantek kerana kejujurannya membantu memulihkan AD dan kini mereka berdua telah jatuh cinta. Tetapi apabila Chantek terjumpa skrip yang mengisahkan tentang percintaan seorang lelaki dengan pembantu rumahnya lalu dia terasa seperti diperbodohkan oleh AD yang mempergunakannya sebagai bahan latihan filemnya. Chantek benar-benar terasa dirinya ditipu dan hatinya dipermainkan dan lantas telah melarikan diri. Selama sebulan AD tidak tentu arah dan tidak dapat berlakon semula kerana terkenangkan Chantek. Akhirnya AD terjumpa dengan Chantek namun adakah Chantek masih sudi menerima semula cinta AD atau pun sebaliknya? Saksikan Chantek iaitu sebuah filem romantik komedi arahan Pierre Andre ini untuk mengetahui kesudahannya kisah cinta antara AD dan Chantek.

Trailer:




Ulasan Hans:

Nampaknya Pierre Andre kembali lagi dengan naskhah terbarunya yang bergenre Romantik Komedi selepas filem bergenre sama arahannya iaitu filem 9 September yang kurang berjaya meraih perhatian penonton seperti filem - filem bergenre seram arahannya yang lain. Jika filem 9 September dilihat seolah - olah seperti cuba mengambil gaya dan inspirasi jalan cerita daripada filem - filem Korea maka untuk filem Chantek ini pula kelihatannya seperti ada juga sedikit unsur tersebut namun tidak lah keterlaluan.




Filem ini lebih kepada romantik yang ringan. Ada jenaka dan ada gaya penceritaan. Aku tidak peduli sangat berkenaan loket atau rantai Chantek yang dicuri dan dibeli oleh AD walaupun akhirnya tiada apa - apa signifikan pun adegan tersebut dengan adegan seterusnya. Aku menyukai lakonan Pierre Andre di dalam filem ini yang bijak dalam melakonkan aksi butanya namun aku tidak menyukai tentang bagaimana plot cerita ini digambarkan dan ditunjukkan kepada penonton. Jika betul Pierre Andre berlagak seolah - olah buta hanya sebagai latihan beliau untuk filem yang bakal dilakonnya memang tak ada masalah! Menjadikan Chantek sebagai subjek latihan berlakonnya tanpa disedari si gadis itu juga tiada masalah! Namun apa motifnya ditonjolkan sejak awal lagi si Hero seolah - olah benar - benar telah buta selepas kemalangan sedangkan tawaran berlakon masih belum diterima! Untuk menutup kelemahan ini maka watak pengurus AD(lakonan Kim Watt) ditunjukkan mengetahui bahawa AD cuma berlakon buta namun ia masih tidak cukup untuk menutup kelemahan besar ini atau mengaburi mata aku yang menonton kerana ia telah pun terserlah pada awal - awal cerita lagi. Gara - gara gangguan babak ini maka aku merasakan filem Chantek ini sudah pun mengikut jejak filem 9 September.




Filem ini memang santai dan ada elemen kelakar serta romantis namun filem ini masih belum mampu memberi kejutan atau sesuatu yang cukup bernilai yang aku harap dan nantikan daripada Pierre Andre. Semuanya sudah boleh dijangka dan tidak ada apa - apa kelainan berdasarkan apa yang aku tonton. Apa - apapun kepada yang masih belum menonton aku ucapkan selamat menonton dan semoga terhibur dengan filem Chantek ini. Sekian!


P/S : Menanti Filem Bunohan Minggu Depan! (^_^)Y 




1 ulasan:

  1. Nasihat aku..aku takkan sesekali buang masa menonton filem arahan atau lakonan Pierre Andre (selaku watak utama)..kecuali jika filem itu menjadi sebutan orang...

    from = alif UUM (mohd_alifullah@yahoo.com)

    BalasPadam