31/03/12

Review Filem Malena



Filem:
Malena


Pengarah:
Giuseppe Tornatore


Genre:
Komedi, Drama & Romantik


Pelakon:
Monica Belluci, Giuseppe Sulfaro, Luciano Federico, Matilde Piana,
Pietro Notarianni, Gaetano Aronica, Marcello Catalano & Etc.


Tahun Tayangan:
2000


Klasifikasi:
18 Tahun Ke Atas


Penilaian:
9 / 10


Sinopsis:

Filem yang berlatar belakang negara Itali pada era 1940-an(sewaktu Itali bersama - sama negara yang bersahabat dengannya menyertai perang menentang Jerman) ini mengisahkan seorang kanak - kanak bernama Renato yang baru berusia 12 tahun yang dihadiahkan basikal pertama oleh bapanya dan ini menyebabkan dia diterima untuk menganggotai sebuah kumpulan kanak - kanak  lain kerana telah memiliki basikal. Pada hari pertama Renato menyertai kumpulan ini dia telah dibawa oleh mereka untuk melihat seorang wanita yang paling disukai oleh semua lelaki di bandar Sicily tersebut namun dia paling dibenci dan dicemburui oleh semua wanita di kawasan tersebut gara - gara kecantikannya. Suami Malena bernama Nico ialah seorang askar dan dia turut menyertai askar Itali lain berperang dan beberapa lama kemudian dikhabarkan bahawa Nico telah terkorban di dalam peperangan tersebut. Jadi, semua penduduk Sicily sudah mengetahui bahawa Malena kini merupakan seorang janda dan ini amat menakutkan kaum wanita di sana dan ini menjadi satu berita yang cukup menggembirakan kaum lelaki disitu. Renato yang kali pertama memandang Malena telah jatuh cinta dengan wanita tersebut dan memandangkan dia sedang menuju ke alam dewasa maka dirinya mula mengalami perubahan secara mendadak. Setiap masa dia cuba mengintip apa yang dilakukan oleh Malena dan amat marah jika dia mendengar sesiapa yang memfitnah atau memburuk - burukkan Malena. Gara - gara suami Malena dilaporkan mati jadi Malena tiada tempat untuk bergantung. Dia tidak diterima untuk bekerja dimana - mana tempat sekali pun kerana kesemua bos atau lebih tepat lelaki disitu tidak dapat mengambil dia bekerja gara - gara larangan isteri masing - masing. Begitu juga untuk membeli barang - barang dapur kerana wanita - wanita disitu juga tidak mahu menjual kepadanya atas dasar cemburu dan mendengar fitnah - fitnah daripada wanita - wanita yang lain. Jadi, Malena kini terhimpit dan terperangkap di dalam situasi yang buruk ini. Kebanyakkan lelaki yang cuba membantunya pula hanya mahu mengambil kesempatan. Akhirnya, Malena difitnah serta dimalukan oleh kaum wanita disana sehingga dia dihalau dari tempat tersebut. Hanya Renato sahaja yang mengetahui kebenaran tentang kebaikan wanita tersebut. Apakah yang akan Renato lakukan untuk membantu Malena? Saksikan filem yang cukup menarik dari segi penceritaannya ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Salah satu cara untuk mengetahui sesebuah filem itu menarik atau tidak adalah dengan melihat kepada tahap penilaian(Rating) yang diberikan oleh sebilangan penonton dan salah satu tempat untuk melihatnya adalah di laman IMDB bagi filem - filem luar. Melihat kepada poster filem ini yang tertera nama filem Cinema Paradiso pastinya akan membuatkan sesiapa yang cukup meminati karya pengarah Giuseppe Tornatore akan tercelik luas dan membuatkan peminat filem - filemnya tidak sabar untuk menonton hasil karya beliau ini.



Giuseppe Sulfaro Sebagai Renato


Filem yang telah ditayangkan pada tahun 2000 ini walaupun mempunyai beberapa adegan seksual dan sangat tidak sesuai untuk tontonan kanak - kanak serta remaja namun jalan ceritanya sangat menarik dan cukup mengajar tentang dunia realiti kehidupan manusia sebenar tidak kira pada zaman lampau mahu pun pada era kini terutamanya berkaitan sifat menyampai - nyampai atau lebih tepat dikatakan mengumpat dan memfitnah tanpa mengetahui kebenaran berita yang dikhabarkan tersebut. Dimulakan dengan watak Renato(lakonan mantap Giuseppe Sulfaro) yang merupakan seorang kanak - kanak berumur 12 tahun yang telah ditunjukkan mula berevolusi daripada seorang kanak - kanak yang naif ke arah seorang remaja dewasa yang baru mengenali apa itu dunia lelaki dan sikap ingin tahunya yang memuncak serta imaginasi yang terlalu tinggi sememangnya akan dilalui oleh semua kanak - kanak lelaki dan setiap babak ini ditunjukkan di dalam suasana yang cukup kelakar namun ia pasti akan dipersetujui oleh kebanyakkan lelaki tidak kira dari benua mana sekali pun mereka berada. Renato kemudiannya telah jatuh cinta pada seorang wanita dewasa bernama Malena dan ini mungkin boleh diklasifikasikan sebagai cinta monyet disebabkan usia Renato yang masih lagi di dalam lingkungan kanak - kanak yang baru sahaja baligh serta cuba untuk berlagak seperti seorang dewasa namun apabila dihalusi sehingga akhir filem ini apa yang aku boleh katakan cinta Renato kepada Malena ini sebenarnya bukannya sekadar cinta monyet namun ia lebih kepada cinta yang hampir sejati cuma Renato tidak ada keberanian yang cukup untuk meluahkannya kepada Malena serta beberapa situasi yang menyebabkan Renato terpaksa menerima hakikat bahawa Malena bukan untuk dirinya dan gara - gara cinta ini menyebabkan akhirnya ia berubah kepada sifat kasihan dan sangat menghormati gadis tersebut atas keberaniannya dan bukan sekadar wajahnya.


Salah Satu Babak Di Dalam Filem Ini Yang Cukup Menyedihkan


Malena(lakonan hebat Monica Belluci) merupakan subjek yang paling menarik yang terdapat di dalam filem ini. Dengan dialog yang boleh dikira yang keluar dari mulutnya itu dan kecantikkan yang dimilikinya di dalam filem ini digambarkan sebagai satu 'dosa besar' atau 'malapetaka paling binasa' kepada wanita yang memilikinya dan gelaran janda sememangnya cukup menakutkan sesiapa sahaja bernama wanita tidak kira pada zaman dahulu atau kini. Cuma kerana filem ini berlatar belakangkan era peperangan jadi aku telah memahami dengan lebih jelas bagaimana nasib malang wanita yang bergelar janda ditambah apabila memiliki raut wajah yang sangat menawan maka kehidupan dijalani dengan begitu sukar sekali. Fitnah adalah lebih dasyat dari membunuh dan filem ini membuktikannya apabila maruah Malena musnah gara - gara fitnah manusia dan terperangkap di dalam ideologi kolot pemikiran manusia terutamanya kaum hawa pada ketika itu yang kebanyakkannya suka membuat andaian atau spekulasi sendiri dan juga terlalu mudah mempercayai berita tersebut jika merasakan ia mampu mengancam kehidupan mereka serta atas dasar cemburu melampau. Terdapat satu adegan yang cukup tentang perkara ini dimana wanita - wanita yang sedap mengumpat ini atau lebih tepat boleh digelar ahli mesyuarat tingkap sejati yang menyampai - nyampai berita dalam suasana yang cukup melucukan iaitu dari jalanan ke bangunan atas dan kemudian ke bangunan lain hanya melalui tingkap. Lucu namun penuh bermakna kerana itu merupakan salah satu langkah permulaan yang telah menghancurkan hidup manusia lain.


Kejatuhan Malena Bermula Pada Babak Ini


Menariknya di dalam filem ini ialah lelaki - lelaki miang, berhidung belang atau pun talam dua muka di dalam filem ini tidak pernah disalahkan walaupun hakikat sebenarnya terbukti bahawa mereka yang bersalah kerana wanita - wanita di sisi mereka(terutama isteri) takut untuk menjadi janda dan kemarahan mereka hanya diluahkan kepada Malena. Sifat jahiliah di dalam diri mereka ini dapat dilihat dengan jelas di dalam banyak babak filem ini. Buktinya walaupun Malena dibicarakan di dalam mahkamah gara - gara fitnah yang tidak berasas namun mereka masih tidak dapat menerimanya dan bagaimana kesemua lelaki yang kononnya cuba membantu Malena namun sebenarnya hanya mahu mengambil kesempatan atas kelemahan gadis malang tersebut yang terperangkap di dalam persekitaran yang negatif. Adalah satu perkara yang menarik pada babak akhir filem ini yang menunjukkan bahawa Malena merupakan seorang wanita yang sangat berani dan ini berlawanan pula dengan sifat Renato yang walaupun telah menginjak dewasa namun tidak mempunyai keberanian seperti yang dimiliki wanita tersebut.


Keberanian Malena


Menjadi satu tanda tanya atau persoalan disini apabila kebanyakkan wanita di bandar tersebut pada akhirnya berani untuk menegur dan beramah mesra dengan Malena serta memberi barang - barang secara percuma kepada beliau. Mungkin ini menunjukkan mereka menyedari dosa atau kesalahan - kesalahan yang telah mereka lakukan selama ini kepada Malena atau barangkali disebabkan mereka merasakan Malena bukan lagi ancaman kepada mereka disebabkan Malena masih mempunyai suami yang sebenarnya tidak terkorban di dalam peperangan. Apa - apapun, filem ini cukup menghiburkan aku dari gaya penceritaanya yang cukup luar biasa serta keindahan sinematografinya yang cukup memukau. Jadi, kepada peminat filem - filem sebegini dan jika anda masih belum pernah menonton filem Malena ini maka aku menyarankan agar kalian menonton dan menikmati makna - makna yang terdapat di dalam filem ini. Sekian!


P/S : Selepas 12 Tahun Baru Tahu Dan Dapat Menonton Filem Malena! (^_^)Y




Tiada ulasan:

Catat Ulasan