7/11/12

Review Filem Skyfall



Filem:
Skyfall


Pengarah:
Sam Mendes


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Jenayah


Pelakon:
 Daniel Craig, Javier Bardem, Judi Dench, Naomie Harris,
Ralph Fiennes, Ben Whishaw, Albert Finnie, Rory Kinnear & Etc.


Penilaian:
9 / 10


Sinopsis:

Filem ini dimulakan dengan babak operasi di Istanbul dimana James Bond dikhabarkan telah mati akibat ditembak oleh rakan operasinya tanpa sengaja sewaktu sedang cuba memberkas salah seorang penjenayah yang dikehendaki. Susulan kematian James Bond tersebut maka identiti ejen perisik terkenal lain yang bekerja di M16 mula dibocorkan oleh pihak pengganas di internet. Akibat kejadian tersebut, maka ramai pihak terutamanya kerajaan yang mula mempersoalkan kewibawaan ketua agensi  perisik rahsia, M yang kerap kali gagal dalam mengendalikan misi rahsia. Kejutan berlaku apabila buat pertama kalinya bangunan M16 terlibat dalam serangan pengganas dan Bond yang sebenarnya masih hidup akhirnya muncul untuk membantu M mencari dan cuba memberkas Roul Silva iaitu salah seorang bekas ejen perisik M16 sendiri yang kini dikenali sebagai penjahat paling berbahaya dan amat dikehendaki oleh pihak berkuasa. Persoalannya, mampukah James Bond memberkas Silva yang amat arif mengenai taktik serta strategi yang selalu diguna pakai oleh pihak perisik M16 itu? Saksikan filem hebat ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Rantaian filem ejen perisik bernama James Bond sebelum ini selalunya sudah boleh dijangka. Gadis Bond yang cantik, senjata-senjata atau kenderaan yang canggih dan kejayaan dalam setiap misi yang diberi adalah tiga perkara yang wajib ada di dalam filem-filem ejen 007 sebelum ini. Namun, Skyfall adalah satu-satunya filem Bond yang bagi aku amat lari daripada faktor-faktor yang aku sebutkan di atas dan aku amat menyukai filem ini kerana ia penuh dengan drama.




Dimulakan dengan babak pertarungan yang amat menarik iaitu kejar-mengejar daripada atap hingga membawa kepada pertarungan di atas keretapi yang sedang bergerak. Kemudian, filem ini mula menunjukkan unsur kemanusiaan yang terdapat di dalam diri Bond serta sifat terlalu mementingkan diri yang wujud sejak sekian lama di dalam diri ketua M16 iaitu M yang sebelum ini tidak diberi perhatian. Aku sukakan filem kali ini kerana watak James Bond itu sendiri dicipta dengan gaya serta karisma yang cukup menarik dan watak M pula diangkat serta dikembangkan dan secara tidak langsung menjadikan filem ini lebih bernyawa. Tidak perlu senjata yang canggih! Tidak perlu kenderaan yang terlampau gah! Tidak juga dihidangkan dengan kejelitaan gadis-gadis Bond yang bagi aku kadang-kadang tidak perlu. Tetapi, filem kali ini memaksa James Bond untuk menggunakan kekuatan fizikalnya sendiri untuk berhadapan dengan sebarang situasi sama ada bahaya mahu pun tidak. Inilah yang aku nantikan daripada watak James Bond sejak sekian lama dan Daniel Craig berjaya melakonkan karakter Bond kali ini dengan cukup versatil.




Dan apa yang menariknya kali ini ialah apabila watak antagonis yang perlu dihadapi oleh James Bond itu juga sebenarnya adalah bekas perisik M16 sendiri yang amat memahami serta mengenali selok belok percaturan ketua M16 iaitu M sendiri. Jadi, inilah yang membuatkan filem kali ini cukup berjaya membuatkan aku terhibur dengan plot ceritanya yang menarik. Javier Bardem yang membawakan watak Silva, seorang bekas perisik yang ingin membalas dendam kepada M akibat sikap M sendiri yang terlalu mementingkan diri sememangnya berjaya mewarnai watak Silva itu dengan jayanya. Kelihatan lembut tetapi kejahatan watak Silva ini berjaya diterjemahkan dalam emosi karakter yang dibangunkan dengan cukup baik oleh Javier Bardem.




Watak Q yang dilakonkan oleh Ben Whishaw pula berjaya menggeletek hati penonton. Jika watak Q sebelum ini dipegang oleh pelakon yang lebih berumur namun watak Q dalam filem kali ini ditonjolkan sebagai seorang pemuda yang adakalanya menunjukkan sedikit keangkuhan kerana kebijaksanaannya. Kemudian ditunjukkan bagaimana watak Q sebagai seorang yang muda berurusan dengan Bond yang tergolong dalam kategori veteran. Amat menarik babak yang melibatkan mereka berdua.





Judi Dench amat beruntung kerana filem Skyfall menjadikan kisah hidup watak M sebagai salah satu plot utama filem Bond kali ini. Sangat menarik kerana segala yang berlaku memang ada kena mengena dengan M. Filem ini pasti membuatkan anda tertarik kerana anda dapat melihat bagaimana James Bond yang sedikit keliru sama ada untuk masih mengikuti arahan M yang merupakan orang yang hampir-hampir meragut nyawanya atau pun bekerjasama dengan watak Silva yang sebenarnya menjadi mangsa keangkuhan M sebelum ini.





Dengan soundtrack filem Skyfall yang dinyanyikan oleh Adele yang cukup merdu ditambah dengan montage pengenalan filem yang sangat kreatif disusuli dengan drama-drama serta aksi-aksi pertarungan yang mendebarkan maka boleh dikatakan pelaburan untuk menonton filem Skyfall sangat berbaloi. Jadi, selamat menonton!




P/S : Tak Sabar Nak Menonton Filem The Hobbit : An Expected Journey (^_^)Y  




3 ulasan:

  1. akak kurang minat ngan Bond tapi baca banyak review kata yang ni best..so nak kena tgk gak la...

    BalasPadam
  2. Walaupon menjanjikan sesuatu yang kononnya baru – tiada lagi kete sukan, tiada lagi gadget canggih, tiada lagi weapon of mass destruction, tiada lagi penjahat dengan world domination plan tapi penjahat yang lembut-lembut gitu, namun Skyfall still nampak biase je bagi aku.

    -Movie Review: Skyfall Penuh Dengan Plot Yang Buduh. Baca di www.sinema.my

    BalasPadam
  3. Daniel Craig sendiri akui filem Bond kali ni yg paling best dan mencabar...

    susah akk nak gambarkan dgn kata-kata... Semuanya digarap dgn cukup baik ;)

    Watak Q itu mg agak mnjadi. tergelak2 penonton dlm panggung tu

    BalasPadam