31/03/12

Review Filem Malena



Filem:
Malena


Pengarah:
Giuseppe Tornatore


Genre:
Komedi, Drama & Romantik


Pelakon:
Monica Belluci, Giuseppe Sulfaro, Luciano Federico, Matilde Piana,
Pietro Notarianni, Gaetano Aronica, Marcello Catalano & Etc.


Tahun Tayangan:
2000


Klasifikasi:
18 Tahun Ke Atas


Penilaian:
9 / 10


Sinopsis:

Filem yang berlatar belakang negara Itali pada era 1940-an(sewaktu Itali bersama - sama negara yang bersahabat dengannya menyertai perang menentang Jerman) ini mengisahkan seorang kanak - kanak bernama Renato yang baru berusia 12 tahun yang dihadiahkan basikal pertama oleh bapanya dan ini menyebabkan dia diterima untuk menganggotai sebuah kumpulan kanak - kanak  lain kerana telah memiliki basikal. Pada hari pertama Renato menyertai kumpulan ini dia telah dibawa oleh mereka untuk melihat seorang wanita yang paling disukai oleh semua lelaki di bandar Sicily tersebut namun dia paling dibenci dan dicemburui oleh semua wanita di kawasan tersebut gara - gara kecantikannya. Suami Malena bernama Nico ialah seorang askar dan dia turut menyertai askar Itali lain berperang dan beberapa lama kemudian dikhabarkan bahawa Nico telah terkorban di dalam peperangan tersebut. Jadi, semua penduduk Sicily sudah mengetahui bahawa Malena kini merupakan seorang janda dan ini amat menakutkan kaum wanita di sana dan ini menjadi satu berita yang cukup menggembirakan kaum lelaki disitu. Renato yang kali pertama memandang Malena telah jatuh cinta dengan wanita tersebut dan memandangkan dia sedang menuju ke alam dewasa maka dirinya mula mengalami perubahan secara mendadak. Setiap masa dia cuba mengintip apa yang dilakukan oleh Malena dan amat marah jika dia mendengar sesiapa yang memfitnah atau memburuk - burukkan Malena. Gara - gara suami Malena dilaporkan mati jadi Malena tiada tempat untuk bergantung. Dia tidak diterima untuk bekerja dimana - mana tempat sekali pun kerana kesemua bos atau lebih tepat lelaki disitu tidak dapat mengambil dia bekerja gara - gara larangan isteri masing - masing. Begitu juga untuk membeli barang - barang dapur kerana wanita - wanita disitu juga tidak mahu menjual kepadanya atas dasar cemburu dan mendengar fitnah - fitnah daripada wanita - wanita yang lain. Jadi, Malena kini terhimpit dan terperangkap di dalam situasi yang buruk ini. Kebanyakkan lelaki yang cuba membantunya pula hanya mahu mengambil kesempatan. Akhirnya, Malena difitnah serta dimalukan oleh kaum wanita disana sehingga dia dihalau dari tempat tersebut. Hanya Renato sahaja yang mengetahui kebenaran tentang kebaikan wanita tersebut. Apakah yang akan Renato lakukan untuk membantu Malena? Saksikan filem yang cukup menarik dari segi penceritaannya ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Salah satu cara untuk mengetahui sesebuah filem itu menarik atau tidak adalah dengan melihat kepada tahap penilaian(Rating) yang diberikan oleh sebilangan penonton dan salah satu tempat untuk melihatnya adalah di laman IMDB bagi filem - filem luar. Melihat kepada poster filem ini yang tertera nama filem Cinema Paradiso pastinya akan membuatkan sesiapa yang cukup meminati karya pengarah Giuseppe Tornatore akan tercelik luas dan membuatkan peminat filem - filemnya tidak sabar untuk menonton hasil karya beliau ini.



Giuseppe Sulfaro Sebagai Renato


Filem yang telah ditayangkan pada tahun 2000 ini walaupun mempunyai beberapa adegan seksual dan sangat tidak sesuai untuk tontonan kanak - kanak serta remaja namun jalan ceritanya sangat menarik dan cukup mengajar tentang dunia realiti kehidupan manusia sebenar tidak kira pada zaman lampau mahu pun pada era kini terutamanya berkaitan sifat menyampai - nyampai atau lebih tepat dikatakan mengumpat dan memfitnah tanpa mengetahui kebenaran berita yang dikhabarkan tersebut. Dimulakan dengan watak Renato(lakonan mantap Giuseppe Sulfaro) yang merupakan seorang kanak - kanak berumur 12 tahun yang telah ditunjukkan mula berevolusi daripada seorang kanak - kanak yang naif ke arah seorang remaja dewasa yang baru mengenali apa itu dunia lelaki dan sikap ingin tahunya yang memuncak serta imaginasi yang terlalu tinggi sememangnya akan dilalui oleh semua kanak - kanak lelaki dan setiap babak ini ditunjukkan di dalam suasana yang cukup kelakar namun ia pasti akan dipersetujui oleh kebanyakkan lelaki tidak kira dari benua mana sekali pun mereka berada. Renato kemudiannya telah jatuh cinta pada seorang wanita dewasa bernama Malena dan ini mungkin boleh diklasifikasikan sebagai cinta monyet disebabkan usia Renato yang masih lagi di dalam lingkungan kanak - kanak yang baru sahaja baligh serta cuba untuk berlagak seperti seorang dewasa namun apabila dihalusi sehingga akhir filem ini apa yang aku boleh katakan cinta Renato kepada Malena ini sebenarnya bukannya sekadar cinta monyet namun ia lebih kepada cinta yang hampir sejati cuma Renato tidak ada keberanian yang cukup untuk meluahkannya kepada Malena serta beberapa situasi yang menyebabkan Renato terpaksa menerima hakikat bahawa Malena bukan untuk dirinya dan gara - gara cinta ini menyebabkan akhirnya ia berubah kepada sifat kasihan dan sangat menghormati gadis tersebut atas keberaniannya dan bukan sekadar wajahnya.


Salah Satu Babak Di Dalam Filem Ini Yang Cukup Menyedihkan


Malena(lakonan hebat Monica Belluci) merupakan subjek yang paling menarik yang terdapat di dalam filem ini. Dengan dialog yang boleh dikira yang keluar dari mulutnya itu dan kecantikkan yang dimilikinya di dalam filem ini digambarkan sebagai satu 'dosa besar' atau 'malapetaka paling binasa' kepada wanita yang memilikinya dan gelaran janda sememangnya cukup menakutkan sesiapa sahaja bernama wanita tidak kira pada zaman dahulu atau kini. Cuma kerana filem ini berlatar belakangkan era peperangan jadi aku telah memahami dengan lebih jelas bagaimana nasib malang wanita yang bergelar janda ditambah apabila memiliki raut wajah yang sangat menawan maka kehidupan dijalani dengan begitu sukar sekali. Fitnah adalah lebih dasyat dari membunuh dan filem ini membuktikannya apabila maruah Malena musnah gara - gara fitnah manusia dan terperangkap di dalam ideologi kolot pemikiran manusia terutamanya kaum hawa pada ketika itu yang kebanyakkannya suka membuat andaian atau spekulasi sendiri dan juga terlalu mudah mempercayai berita tersebut jika merasakan ia mampu mengancam kehidupan mereka serta atas dasar cemburu melampau. Terdapat satu adegan yang cukup tentang perkara ini dimana wanita - wanita yang sedap mengumpat ini atau lebih tepat boleh digelar ahli mesyuarat tingkap sejati yang menyampai - nyampai berita dalam suasana yang cukup melucukan iaitu dari jalanan ke bangunan atas dan kemudian ke bangunan lain hanya melalui tingkap. Lucu namun penuh bermakna kerana itu merupakan salah satu langkah permulaan yang telah menghancurkan hidup manusia lain.


Kejatuhan Malena Bermula Pada Babak Ini


Menariknya di dalam filem ini ialah lelaki - lelaki miang, berhidung belang atau pun talam dua muka di dalam filem ini tidak pernah disalahkan walaupun hakikat sebenarnya terbukti bahawa mereka yang bersalah kerana wanita - wanita di sisi mereka(terutama isteri) takut untuk menjadi janda dan kemarahan mereka hanya diluahkan kepada Malena. Sifat jahiliah di dalam diri mereka ini dapat dilihat dengan jelas di dalam banyak babak filem ini. Buktinya walaupun Malena dibicarakan di dalam mahkamah gara - gara fitnah yang tidak berasas namun mereka masih tidak dapat menerimanya dan bagaimana kesemua lelaki yang kononnya cuba membantu Malena namun sebenarnya hanya mahu mengambil kesempatan atas kelemahan gadis malang tersebut yang terperangkap di dalam persekitaran yang negatif. Adalah satu perkara yang menarik pada babak akhir filem ini yang menunjukkan bahawa Malena merupakan seorang wanita yang sangat berani dan ini berlawanan pula dengan sifat Renato yang walaupun telah menginjak dewasa namun tidak mempunyai keberanian seperti yang dimiliki wanita tersebut.


Keberanian Malena


Menjadi satu tanda tanya atau persoalan disini apabila kebanyakkan wanita di bandar tersebut pada akhirnya berani untuk menegur dan beramah mesra dengan Malena serta memberi barang - barang secara percuma kepada beliau. Mungkin ini menunjukkan mereka menyedari dosa atau kesalahan - kesalahan yang telah mereka lakukan selama ini kepada Malena atau barangkali disebabkan mereka merasakan Malena bukan lagi ancaman kepada mereka disebabkan Malena masih mempunyai suami yang sebenarnya tidak terkorban di dalam peperangan. Apa - apapun, filem ini cukup menghiburkan aku dari gaya penceritaanya yang cukup luar biasa serta keindahan sinematografinya yang cukup memukau. Jadi, kepada peminat filem - filem sebegini dan jika anda masih belum pernah menonton filem Malena ini maka aku menyarankan agar kalian menonton dan menikmati makna - makna yang terdapat di dalam filem ini. Sekian!


P/S : Selepas 12 Tahun Baru Tahu Dan Dapat Menonton Filem Malena! (^_^)Y




26/03/12

Filem 3 Temujanji



Filem:
3 Temujanji


Pengarah:
Hashim Rejab


Genre:
Komedi & Cinta


Pelakon:
Yana Samsudin, Pierre Andre, Diana Amir, Kamal Adli,
Wawa Zainal, Farid Kamil, Zul Handyblack, Esma Daniel & Etc.


Tarikh Tayangan:
5 April 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Reanna yang tidak mempercayai lelaki dan cinta dalam hidupnya. Prinsip Reanna mudah iaitu cinta hanya membawa sengsara dan semua lelaki sama saja atau dalam erti kata lain tidak berguna. Hal ini menyebabkan Reanna menetapkan setiap hubungannya dengan lelaki tidak akan lebih dari tiga temujanji sahaja. Selepas tiga temujanji maka dia akan pastikan mereka berpisah dan tidak akan berhubungan lagi. Dengan cara ini Reanna percaya yang dia akan dapat menikmati keseronokan bercinta tanpa perlu sengsara. Segala-galanya berubah apabila muncul seorang lelaki bernama Mikhail yang sangat teruja dengan perkahwinan di dalam hidup Reanna. Mikhail yang kecewa ditinggalkan kekasihnya bernama Adira itu memilih untuk bersama Reanna untuk tiga temujanji. Sikap Mikhail yang jauh berbeza dari lelaki lain, temujanji-temujanji yang lain dari yang lain serta hadiah istimewa yang diterimanya setiap kali bertemujanji menyebabkan Reanna gagal menahan hatinya lalu jatuh cinta. Sayangnya selepas temujanji mereka yang terakhir, Reanna gagal merendahkan egonya lalu mereka berpisah membawa haluan masing-masing seperti yang dijanjikan semasa awal perkenalan. Reanna mula belajar merasa perit berpisah selepas jatuh cinta. Akhirnya Reanna sedar kebodohannya lalu mengejar Mikhail. Malangnya semuanya telah terlambat. Adira telah kembali kepada Mikhail dan mereka telah pun mengikat tali pertunangan.


Trailer:



P/S : Masih Kecewa Kerana Tidak Berkesempatan Menonton Filem Bunohan!




7/03/12

Review Filem Memento



Filem:
Memento


Pengarah:
Christopher Nolan


Genre:
Drama, Misteri & Thriller


Pelakon:
Guy Pearce, Carrie-Anne Moss, Joe Pantoliano, Mark Boone Junior,
Jorja Fox, Stephen Tobolowsky, Harriet Samsom Harris & Etc.


Penilaian:
9.5 / 10


Tahun:
2000


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Leonard Shelby yang merupakan seorang bekas penyiasat insurans dan mengalami masalah memori jangka pendek(short term memory loss) dimana perkara terakhir yang diingatinya ialah kejadian isterinya mati dibunuh oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali. Kini dia cuba untuk mencari siapakah pembunuh isterinya yang kedua selepas pembunuh pertama telah berjaya dibunuhnya pada hari kejadian. Disebabkan masalah memori jangka pendek yang dihadapinya menyebabkan dia terpaksa menggunakan maklumat dari gambar, nota serta tatu yang dimiliki di seluruh tubuhnya untuk memburu pembunuh isterinya. Dalam mencari siapakah pembunuh isterinya itu maka dia telah bertemu dengan Teddy yang merupakan seorang anggota polis, Natalie seorang gadis bar dan Leonard juga sentiasa mengingati tentang sebuah kes sepasang suami isteri yang bernama Sammy Jankis dan Mrs. Jankis sewaktu dia bertugas sebagai penyiasat insurans dahulu. Namun apa yang menghairankan Leonard ialah dia tidak tahu dan tidak ingat siapakah yang memberikan gambar dan nota tersebut kepada Leonard? Bagaimanakah seluruh badannya mempunyai tatu tentang pembayang pembunuh isterinya? Adakah betul Teddy ialah seorang anggota polis? Apa hubungan Natalie dengan Leonard? Siapa sebenarnya Sammy Jankis dan Mrs. Jankis? Adakah Leonard akan bertemu dengan pembunuh isterinya dan berjaya membalas dendam? Saksikan filem yang cukup menarik ini untuk mengetahui jawapannya. Selamat menonton!


Trailer:




Ulasan Hans:

Aku kurang pasti apa maksud sebenar Memento. Mungkin maksudnya kenangan atau ingatan atau pun memori namun apa yang pasti filem ini sememangnya cukup menarik dan penuh teka - teki bermula daripada pengenalan awal filem ini hinggalah kepada penamatnya. Disebabkan aku baru sahaja berjinak - jinak menonton filem - filem sebegini maka semestinya ini adalah antara filem terawal aku tonton yang berkonsepkan penceritaan yang bermula daripada hadapan dan dipenuhi dengan kisah imbas kembali yang disusun dengan begitu baik dan cukup sempurna. Tetapi, konsep yang digunakan untuk filem ini sememangnya menarik dan setiap adegan imbas ke belakang itu pasti akan membuatkan sifat ingin tahu anda mencanak naik dan memuncak sentiasa.


Inilah Karakter Leonard Sherby


Apa yang membuatkan aku menyukai filem ini ialah tentang jalan ceritanya yang unik. Seorang lelaki yang mengalami masalah memori jangka pendek ini harus menyelesaikan misi mencari pembunuh isterinya tetapi dalam masa yang cukup singkat dia akan kembali lupa dan terpaksa bergantung kepada gambar yang dibelakangnya mempunyai tulisan tentang perihal individu tersebut, tatu di seluruh badannya yang semuanya memberi fokus kepada pembayang pembunuh isterinya serta kepingan nota yang semuanya seolah - olah permainan puzzle namun yang anehnya dari mana dia memperoleh semua benda tersebut membuatkan sifat ingin tahu aku bertambah kuat. Kemudian, aku dikelirukan pula tentang siapa sebenarnya pembunuh isteri Leonard ini dimana kebanyakkan karakter yang ditunjukkan mempunyai motif untuk dikaitkan sebagai pembunuh isteri Leonard. Melihat karakter Teddy dan Natalie yang pada mulanya baik namun adakalanya berubah menjadi sebaliknya juga membuatkan aku mula keliru dan semakin ingin tahu adakah mereka suspek utama. Adakah Teddy pembunuh sebenar atau pembunuh yang bertopeng itu bukannya lelaki tetapi wanita? Jika wanita adakah Natalie orangnya?


Siapa Sebenarnya Teddy?


Kemudian, aku dipertontonkan tentang babak imbas kembali berkenaan sepasang suami isteri dimana si suami bernama Sammy Jankis juga mengalami masalah yang sama dengan Leonard iaitu masalah memori jangka pendek dan bagaimana deritanya isteri Sammy Jankis yang begitu sayangkan suaminya dan tidak dapat menahan sedih melihat keadaan suaminya yang langsung tidak ingat tentang apa yang dilakukan walaupun perkara tersebut baru berlaku cuma dalam tempoh berapa puluh saat sahaja. Kemudian, isteri Sammy Jankis berjumpa dengan Leonard dan meluahkan perasaan sedihnya. Namun, aku tertanya - tanya apakah hubung kaitnya Leonard dengan mereka berdua ini? Adakah keadaan Leonard sekarang berpunya daripada sikapnya terhadap pasangan suami isteri itu? Adakah itu balasan kepada dosanya terhadap mereka?


Apakah Dosa Leonard Kepada Sammy Jankis?


Namun, semakin lama filem ini bergerak di dalam plotnya secara ke belakang maka semakin lama anda terpesona dengan segala maklumat yang merujuk tentang kisah lampau Leonard ini dan anda pasti akan menggelengkan kepala usai tamat sahaja menonton filem ini kerana tidak percaya dengan apa yang anda lihat. Suatu perkara yang cukup menarik dan membuatkan anda pasti kagum dengan karya Christopher Nolan ini. Aku mengesyorkan kepada peminat filem yang tidak pernah menonton filem Memento ini agar menontonnya dan tinggalkan komen anda di entri ini selepas menonton karya yang penuh dengan teka - teki yang disudahi dengan pengakhiran yang cukup gila tetapi menarik. Jadi, selamat menonton dan semoga anda semua terhibur. Sekian!


P/S : Esok Filem Bunohan Ditayangkan! (^_^)Y




6/03/12

Filem KIL



Filem:
KIL


Pengarah:
Nik Amir Mustapha


Genre:
Drama, Romantik & Misteri


Pelakon:
Redza Minhat, Christina Suzanne Stockstill, Harun Salim Bachik,
Juliana Evans, Hasnul Rahmat, Anne James, Dira Abu Zahar & Etc.


Tarikh Tayangan:
2012 (Tarikh Belum Dapat Dipastikan)


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Akil(KIL) yang mengalami tekanan dan cenderung untuk membunuh diri tetapi dia tidak mampu untuk melakukan perkara tersebut. Pelbagai perkara yang dilakukannya untuk membunuh diri namun semuanya menemui kegagalan sehinggalah dia menemui sebuah agensi aneh yang membantu pelanggannya untuk membunuh diri.  KIL bersetuju dengan segala syarat yang dikenakan syarikat terbabit dimana dia tidak akan tahu siapa pembunuh upahan yang diupah untuk membunuh beliau dan dimana lokasi dia akan mati dibunuh. Bagi KIL ini adalah jalan terbaik untuk dia namun segalanya berubah apabila dia bertemu dengan seorang gadis bernama Zara. Gara - gara pertemuan tersebut tujuan asalnya untuk membunuh diri mula berubah.


Trailer:




Sepatutnya filem ini ditayangkan pada tahun lepas namun dengar katanya pula pada bulan Mac ini namun aku masih tidak tahu bila dan panggung wayang mana yang akan menayangkan filem KIL nih. Adakah filem ini sudah ditayangkan dan aku tidak tahu? Bagi aku menonton trailer dan membaca sinopsis filem ini membuatkan aku cukup teruja dengan keindahan sinematografi serta gaya cerita yang kelihatan segar dan menarik hati untuk menonton. Jika ada sesiapa yang tahu tentang info tarikh tayangan filem ini jangan lupa untuk berkongsi di ruangan komen entri ini yer. Terima kasih!


P/S : Baru Habis Menonton Filem Lama Berjudul Memento Dan Filem Itu Sangat Menarik! (^_^)Y




5/03/12

Projek Pop 8TV



Drama Bersiri:
Projek Pop


Pengarah:
Khairul Azri Mad Noor(Kroll Azry) & Akmal Danial Mohamed Jaafar(Atomsk)


Jumlah Episod:
10 Episod


Siaran:
8TV


Waktu:
Ahad - 10.30 Malam


Pelakon:
Iedil Putra, Cristina Suzanne, Josiah Hogan,
Syafie Naswip, Kimy Najib, Nas-T, Nadia Aqilah & Etc.  


Penampilan Istimewa:
Hujan, Radhi OAG, Adibah Noor, Sharifah Amani, Bront Palarae,
Hasnul Rahmat, Tania Hudson, Joe Flizzow, Altimet, Sona One, Monoloque,
Reza Salleh, Liyana Fizi, Bittersweet, Kyoto Protocol & Pesawat.


Sinopsis:

Projek Pop ini mengisahkan tentang cerita dan kejadian - kejadian yang berlaku di sebalik tabir pembikinan sebuah konsert terbesar di negara ini dan memfokuskan kepada enam individu yang berbeza karakter yang terlibat di dalam menjayakan konsert tersebut. Dibantu oleh ramai artis tempatan yang bertindak sebagai cameo untuk menjadikan drama ini kelihatan realistik dan segala suka duka serta konflik bakal mewarnai lagi drama bersiri ini yang memberikan satu kisah yang cukup segar dengan idea yang baru dan unik kepada penonton - penonton Malaysia yang mahukan sebuah kisah yang lain dari sedia ada yang pernah mereka tonton. Selamat menonton Projek Pop yang sememangnya menarik, menghiburkan dan penuh dengan pelbagai konflik yang cukup mengujakan pada setiap episod.



P/S : Terbaik! (^_^)Y




4/03/12

Review Filem The Devil Inside



Filem:
The Devil Inside


Pengarah:
William Brent Bell


Genre:
Horror & Thriller


Pelakon:
 Fernanda Andrade, Simon Quaterman, Evan Helmuth, Suzan Crowley & Etc.


Penilaian:
2 / 10


Klasifikasi:
18 Tahun Ke Atas


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Maria Rossi yang ditangkap dan ditahan di hospital sakit jiwa di Itali selepas membunuh tiga orang manusia iaitu dua orang paderi dan seorang rahib selepas ritual mengusir hantu dilakukan ke atas Maria. Selepas 10 tahun maka anak Maria iaitu Isabella telah pergi ke Itali bersama seorang rakannya dan dia merancang untuk membuat filem dokumentari tentang pengambaran dan pengalaman pihak - pihak terlibat tentang cara - cara mengusir hantu. Pada waktu yang sama Isabella juga merancang untuk bertemu dengan ibunya. Di dalam misinya ini dia telah mendapatkan bantuan dua orang paderi iaitu David dan Michael untuk membantunya.


Trailer:



Ulasan Hans:

Ini bukanlah filem seram yang menampilkan wajah hantu atau pun makhluk asing yang kelihatan ngeri pada pandangan mata anda tetapi ia cuma sekadar sebuah filem bercorak dokumentari yang agak membosankan kerana aku tidak merasaikan dimana kekuatan filem ini kerana aku tidak menjumpainya sama ada melalui jalan ceritanya atau pun watak - wataknya sehinggalah kepada ritual menghalau hantu. Semuanya berlalu dengan begitu pantas dan ia semestinya amat membosankan aku.


Comel Tak Mata Dia?


Apa yang menarik di dalam filem ini bagi aku hanyalah babak wanita - wanita yang dirasuk sehingga badan melentur di dalam pelbagai gaya diserta bunyi tulang yang patah yang memang cukup mendebarkan dan membuat aku teruja seketika. Cuma seketika dan kemudian aku kembali kebosanan kerana filem ini banyak memberikan aku soalan namun langsung tidak bersangkut paut dengan apa yang mereka cuba sampaikan. Ketiga - tiga watak utama(Isabella dan 2 orang paderi) yang cuba membantu untuk menyelamatkan ibu Isabella namun sebenarnya masing - masing ada melakukan kejahatan seperti pengguguran bayi, penipuan dan sebagainya dan ini menyebabkan mereka pula yang dirasuk oleh syaitan tersebut dan berakhir dengan semuanya terkorban seperti yang telah dijangka sejak awal. Pengakhiran cerita dengan cara yang mudah dan begitu memalukan.


Aku Cukup Suka Dengan Babak Ini!


Kelihatannya filem ini seperti cuba mencedok beberapa idea atau gaya daripada filem - filem jenis begini seperti filem The Exorcist, Rec, The Blair Witch Project atau rangkaian filem Paranormal Activity namun aku merasakan filem ini terlampau murah kerana semuanya tampak tidak nyata dan ini sememangnya mengecewakan. Filem sememangnya cuma lakonan semata - mata tetapi paling kurang jika ia berjaya membawa penonton untuk masuk ke dalam dunia tersebut dan percaya buat seketika itu sudah dikira memadai namun filem ini gagal dari segi itu. Penggunaan kamera yang terlampau banyak juga tidak membantu filem ini. Apa yang aku boleh katakan filem ini tidak lah sehebat mana. Jadi, kepada yang ingin menonton aku ucapkan selamat menonton dan menikmati kejutan yang ada di dalam filem ini. Sekian!




P/S : Terima Kasih Kepada Rakan Bernama Nazrul Kerana Belanja Tiket Dan Memaksa Aku Menonton Filem Ini Bersama Beliau! Hehehe! (^_^)Y




3/03/12

Review Filem Chantek



Filem:
Chantek


Pengarah:
Pierre Andre


Genre:
Romantik & Komedi


Pelakon:
 Pierre Andre, Nurul Ekasari, Kim Watt, Abon,
Yu Hang, Maimon Mutalib, Man Kidal & Etc.


Penilaian:
4 / 10


Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang AD iaitu seorang bintang filem yang hidup dalam kemewahan dan ceria tetapi kemudiannya menjadi buta setelah dilanggar oleh sebuah kereta sejurus terserempak dengan tunangnya yang berlaku curang di hadapan mata. Gara - gara terlampau kecewa maka AD mengambil keputusan untuk memencilkan dirinya di rumah penginapan dengan dijaga oleh Chantek yang merupakan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang terpaksa menyamar sebagai lelaki untuk menenangkan AD yang masih fobia dengan perempuan. Lama-kelamaan kerana kebaikan AD dan kemesraan mereka berdua maka Chantek terpaksa mendedahkan rahsianya. Walaupun marah namun AD sedia memaafkan Chantek kerana kejujurannya membantu memulihkan AD dan kini mereka berdua telah jatuh cinta. Tetapi apabila Chantek terjumpa skrip yang mengisahkan tentang percintaan seorang lelaki dengan pembantu rumahnya lalu dia terasa seperti diperbodohkan oleh AD yang mempergunakannya sebagai bahan latihan filemnya. Chantek benar-benar terasa dirinya ditipu dan hatinya dipermainkan dan lantas telah melarikan diri. Selama sebulan AD tidak tentu arah dan tidak dapat berlakon semula kerana terkenangkan Chantek. Akhirnya AD terjumpa dengan Chantek namun adakah Chantek masih sudi menerima semula cinta AD atau pun sebaliknya? Saksikan Chantek iaitu sebuah filem romantik komedi arahan Pierre Andre ini untuk mengetahui kesudahannya kisah cinta antara AD dan Chantek.

Trailer:




Ulasan Hans:

Nampaknya Pierre Andre kembali lagi dengan naskhah terbarunya yang bergenre Romantik Komedi selepas filem bergenre sama arahannya iaitu filem 9 September yang kurang berjaya meraih perhatian penonton seperti filem - filem bergenre seram arahannya yang lain. Jika filem 9 September dilihat seolah - olah seperti cuba mengambil gaya dan inspirasi jalan cerita daripada filem - filem Korea maka untuk filem Chantek ini pula kelihatannya seperti ada juga sedikit unsur tersebut namun tidak lah keterlaluan.




Filem ini lebih kepada romantik yang ringan. Ada jenaka dan ada gaya penceritaan. Aku tidak peduli sangat berkenaan loket atau rantai Chantek yang dicuri dan dibeli oleh AD walaupun akhirnya tiada apa - apa signifikan pun adegan tersebut dengan adegan seterusnya. Aku menyukai lakonan Pierre Andre di dalam filem ini yang bijak dalam melakonkan aksi butanya namun aku tidak menyukai tentang bagaimana plot cerita ini digambarkan dan ditunjukkan kepada penonton. Jika betul Pierre Andre berlagak seolah - olah buta hanya sebagai latihan beliau untuk filem yang bakal dilakonnya memang tak ada masalah! Menjadikan Chantek sebagai subjek latihan berlakonnya tanpa disedari si gadis itu juga tiada masalah! Namun apa motifnya ditonjolkan sejak awal lagi si Hero seolah - olah benar - benar telah buta selepas kemalangan sedangkan tawaran berlakon masih belum diterima! Untuk menutup kelemahan ini maka watak pengurus AD(lakonan Kim Watt) ditunjukkan mengetahui bahawa AD cuma berlakon buta namun ia masih tidak cukup untuk menutup kelemahan besar ini atau mengaburi mata aku yang menonton kerana ia telah pun terserlah pada awal - awal cerita lagi. Gara - gara gangguan babak ini maka aku merasakan filem Chantek ini sudah pun mengikut jejak filem 9 September.




Filem ini memang santai dan ada elemen kelakar serta romantis namun filem ini masih belum mampu memberi kejutan atau sesuatu yang cukup bernilai yang aku harap dan nantikan daripada Pierre Andre. Semuanya sudah boleh dijangka dan tidak ada apa - apa kelainan berdasarkan apa yang aku tonton. Apa - apapun kepada yang masih belum menonton aku ucapkan selamat menonton dan semoga terhibur dengan filem Chantek ini. Sekian!


P/S : Menanti Filem Bunohan Minggu Depan! (^_^)Y 




Review Filem Cinta Kura-Kura



Filem:
Cinta Kura-Kura


Pengarah:
Nizam Zakaria


Genre:
Komedi & Romantik


Pelakon:
Aeril Zafrel, Tiz Zaqyah, Zizan Raja Lawak, Usop Wilcha(Shy8), Fara Fauzana,
Bob AF2, Norhayati Taib, Fizz Fairuz, Munir, Harun Salim Bachik & Etc.


Penilaian:
7.5  / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Nani yang berpewatakan ceria dan baru berusia 21 tahun bersama binatang peliharaannya iaitu seekor kura - kura yang diberi nama Nico. Nico adalah seekor kura-kura spesis terancam dan ia mempunyai kelebihan luar biasa iaitu boleh bercakap dengan manusia tetapi hanya jika dia mahu melakukannya. Nani berpindah ke rumah abangnya iaitu Amin dan jiran mereka iaitu Adam telah jatuh hati kepada Nani sejak kali pertama dia memandang wajah Nani. Tetapi, Nico tidak suka dengan Adam gara - gara Adam memanggilnya dengan nama penyu lalu berusaha mensabotaj segala langkah Adam untuk mendekati Nani. Pada masa yang sama, Nico mempunyai calon kegemarannya sendiri iaitu Fadzly yang merupakan seorang pengurus kedai haiwan dan Nico merasakan Fadzly lebih sesuai untuk menjadi kekasih Nani. Walaubagaimanapun, Fadzly sebenarnya mempunyai motif yang jahat dimana tujuannya mendekati Nani hanyalah sekadar untuk menculik Nico dan menjualnya ke sebuah restoran sebagai makanan eksotik dengan harga puluhan ribu ringgit. Jadi, apakah yang bakal terjadi kepada Nico dan adakah Adam berjaya menawan hati Nani? Saksikan filem yang menampilkan teknik CGI yang ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui kesudahan kisah ini.


 Trailer:




Ulasan Hans:

Nampaknya filem Cinta Kura - Kura ini merupakan filem kedua terakhir yang aku tonton di panggung wayang sebelum menonton filem Bunohan gara - gara wang saku yang sudah kekeringan akibat menganggur. Haha! Apa - apapun, filem Cinta Kura - Kura ini memang langsung tidak mengecewakan aku kerana sepanjang masa filem ini berjaya menggeletek hati aku untuk sentiasa ketawa menonton keletah kura - kura bernama Nico(menggunakan suara Zizan Raja Lawak) yang sangat kelakar dan nakal.


Kura - Kura Bernama Nico Yang Cukup Kelakar Dan Nakal


Walaupun CGI yang terdapat di dalam filem ini bukannya di tahap terbaik namun sudah nampak peningkatan yang agak membanggakan dan apa aku boleh katakan kekuatan filem ini sebenarnya adalah terletak pada kura - kura bernama Nico dan pemilihan suara Zizan Raja Lawak untuk watak Nico ini adalah sangat membantu dalam menjelmakan sisi kelakar filem Cinta Kura - Kura ini. Aku sukakan komedi filem ini kerana bagi aku ia bukannya komedi yang hina kerana tidak memaksa penonton untuk ketawa melihat kekurangan individu seperti sengau, pekak atau cacat anggota tetapi melalui kekuatan dialognya yang bersahaja dan semestinya intonasi suara Zizan yang memang cukup membantu menjadikan filem ini sebuah filem komedi cinta yang cukup mengujakan.


Teraju Utama - Aeril Zafrel & Tiz Zaqyah


Pemilihan pelakon juga adalah tepat dan bersesuaian dengan karakter masing - masing cuma lakonan Aeril Zafrel di dalam filem ini bagi aku sedikit lemah. Aku mengakui aku menyukai gerak tubuh dan pesona karakter beliau di dalam filem Aku Tak Bodoh serta drama - drama lakonannya sebelum ini namun tidak di dalam filem Cinta Kura - Kura. Aku merasakan Aeril yang memegang watak sebagai Adam tidak berjaya menjelmakan karakter Adam tersebut dengan lebih baik dan kadang kala intonasi suara atau emosinya ibarat tidak sampai kepada aku. Tiz Zaqyah pula memang berada di dalam kelasnya yang tersendiri kerana berjaya menghidupkan watak Nani dengan gayanya yang bersahaja dan berjaya membuatkan aku menerimanya sebagai seorang remaja di dalam filem ini. Tahniah Tiq Zaqyah! Norhayati Taib pula yang memegang peranan sebagai ibu Adam juga sememangnya sudah dikenali dengan lakonan humor beliau dan ini cukup menghiburkan. Ditambah lagi melihat gelagat tiga ekor kura - kura menggunakan suara Zizan, Fara Fauzana dan Usop Wilcha sudah cukup untuk melengkapkan filem ini sebagai sebuah filem berbentuk komedi.


Antara Babak Lucu Di Dalam Filem Ini


Filem ini sudah berjaya dari segi komedi namun mungkin kurang berjaya dari segi romantik. Babak - babak romantik yang melibatkan Adam dan Nani sebenarnya kurang kuat dari segi perhubungan, bahasa tubuh dan juga dalam cabaran cinta mereka. Itu apa yang aku lihat dan rasa selepas menonton filem ini dan romantiknya masih belum setanding dengan filem bergenre sama daripada Thailand yang aku cukup suka tonton. Memandangkan watak utama filem ini yang sebenar ialah kura - kura bernama Nico maka apa yang cukup menarik disini dan boleh dikaitkan dengan kehidupan kita yang sebenar ialah apabila kita terlalu mempercayai pandangan pertama 100% dan ini amat merbahaya pada masa hadapan. Lihat sahaja gara - gara Nico terlalu memandang negatif pada Adam dan terlalu terpesona dengan 'kebaikan' awal yang ditunjukkan oleh Fadzly yang akhirnya hampir mendatangkan mudarat pada dirinya sendiri.


Watak Fadzly Dilakonkan Oleh Fizz Fairuz


Watak kura - kura ini juga amat menarik untuk dilihat kerana walaupun dia menyayangi Nani tetapi sebenarnya Nico sangat mementingkan dirinya sendiri melalui keinginannya yang ingin memiliki rumah baru iaitu sebuah akuarium yang lebih besar daripada sedia ada. Walaupun Nico adalah seekor kura - kura namun banyak elemen kemanusiaan telah diterapkan kepadanya dan menjadikan ia sebagai salah satu satira mudah di dalam menyampai nasihat kepada penonton. Watak Nico sememangnya amat menarik perhatian aku.


Bob AF Sebagai Abang Nani


Walaupun memang terdapat beberapa babak yang tidak masuk akal terutamanya babak akhir di restoran makanan eksotik(namun kehadiran lembu dan gajah berjaya membuat aku ketawa), bagaimana hanya Nico sahaja kura - kura yang boleh berjalan hanya menggunakan dua kaki serta kenapa Nico hanya berani bercakap dengan Adam dan tidak untuk situasi lain yang lebih cemas(contohnya dibahagian dapur restoran) tetapi masih ada beberapa babak yang menarik seperti Nico membaca buku cerita kisah kura - kura dan ketawa seorang diri, kedatangan Fadzly ke rumah Nani dengan kereta yang bertemankan muzik dangdut serta abang Nani iaitu Bob yang asalnya penyanyi nasyid namun berjaya menyertai kumpulan indie band yang diketuai Adam. Kesimpulannya, filem karya Nizam Zakaria ini memang cukup menghiburkan dan kekuatan utama filem ini datangnya daripada tiga ekor kura - kura yang diketuai oleh Nico(harus berterima kasih kepada Zizan Raja Lawak) dan dibantu oleh pelakon - pelakon lain yang cukup berbakat. Semoga filem Nizam yang akan datang nanti lebih hebat atau paling tidak setanding dengan filem Cinta Kura - Kura ini. Tahniah kepada semua pelakon dan krew produksi yang terlibat dan aku mendoakan agar filem ini berjaya mencapai kutipan yang cukup hebat sesuai dengan filemnya yang juga menarik untuk ditonton seisi keluarga. Sekian!


P/S : Filem Ini Mampu Membuatkan Anda Menontonnya Berkali - Kali Di Pawagam Tanpa Rasa Jemu! (^_^)Y