9/06/12

Review Filem Aku Ada, Kau Ada???



Filem:
Aku Ada, Kau Ada???


Pengarah:
Rahila Ali


Genre:
Komedi, Romantik & Muzikal


Pelakon:
Yana Samsudin, Shaheizy Sam, Kamal Adli, Angah Raja Lawak & Etc.


Penilaian:
2 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Tina dan Nordin yang merupakan musuh ketat sejak kanak - kanak lagi. Tina telah bertemu Nordin selepas dia berpindah ke tempat Nordin belajar. Nordin ialah pelajar tahun ke-2 yang sentiasa menjadi perhatian pelajar wanita lain namun dia menjadi seorang yang cepat gemuruh apabila berhadapan dengan Tina. Tina pula seorang yang agak panas baran dan amat tidak menyukai Nordin kerana peristiwa lampau. Walaupun mereka berdua sering bergaduh namun akhirnya mereka berdua telah jatuh cinta tanpa dirancang. Manakala Aziz yang tidak sukakan Nordin juga mencintai Tina dan dalam diam cuba menggagalkan perhubungan mereka. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Tidak mahu mengulas panjang(dah tertaip panjang aku rasa) jadi akan menaip dalam fitrah seringkas mungkin. Filem ini menjalani penggambaran di sebuah pusat pengajian tinggi di Korea Selatan namun pensyarah dan sebahagian pelajar di dalam kelas yang ditonjolkan adalah orang Malaysia dan mereka berbahasa Melayu sambil diselangi bahasa Inggeris sekali sekala. Mungkin mengambil semangat atau gaya filem Bollywood iaitu jika dilihat ada sedikit persamaan namun kelemahannya lebih ketara berbanding gaya yang diguna dan diolah di dalam filem Bollywood.

Perjalanan cerita ini terlalu lemah! Tina dan Nordin sudah berbelas tahun tidak berjumpa tetapi apabila kali pertama bertemu sahaja sudah tahu itu adalah mereka. Babak imbas kembali pula hanya menunjukkan zaman mereka masih kanak - kanak yang belum kenal apa itu akil baligh atau apa maksudnya mimpi basah. Jadi, sangatlah tidak logik apabila kali terakhir berjumpa sewaktu di zaman kanak-kanak yang belum masuk tadika tetapi terus mengenali apabila masing - masing sudah dewasa. Itulah yang digambar oleh filem ini pada plot ceritanya dan ia sememangnya lemah dan langsung gagal dari segi itu.

Jika ia mengambil inspirasi daripada filem Bollywood dan ini dapat dilihat pada gaya Angah sebagai seorang pensyarah yang sering dengan biolanya(seperti watak Shah Rukh Khan di dalam filem Mohabbatein) maka sememangnya banyak yang tidak kena. Sebagai contoh gadis - gadis Korea yang 'diperalatkan' untuk menunjukkan rasa suka atau begitu taksub kepada watak Nordin tersebut dengan hanya menyebut satu atau dua ayat sahaja di dalam bahasa Inggeris dan diulang - ulang sehingga menimbulkan rasa jelik dan cukup menyampah di mata aku. Ia berbeza di dalam filem Bollywood di mana pelajar - pelajar atau lebih tepat pelakon tambahannya lebih bijak berbicara dan ia mampu menipu penonton dengan lebih baik dan dapat diterima walaupun kita tahu penggambaran filem itu bukan dilakukan di India.

Satu babak yang paling mengejutkan apabila pensyarah, kaunselor atau lebih tinggi dari itu(aku pun tak pasti apa wataknya) yang ditugaskan untuk mendenda Tina dan Nordin kerana bergaduh dan akibat tidak tahan dengan kerenah mereka berdua maka mereka berdua dibiar berkurung di dalam bilik gara - gara tombol pintu tercabut. Mengejutkan disini ialah kedua - dua mereka itu berlainan jantina dan bagaimana mudahnya pensyarah atau kaunselor tersebut(sebagai orang yang terpelajar dan mengajar sepatutnya ditunjukkan bahawa mereka itu lebih berakal daripada pelajar-pelajarnya) yang sanggup membiarkan sahaja mereka berdua terkurung disitu sepertinya si Tina dan Nordin itu tidak ada nafsu langsung. Sungguh merepek babak itu jika betul pun niatnya cuma mahu menunjukkan bagaimana mereka berdua mula lembut hati sedikit dan kemudian jatuh cinta. Selepas itu ditunjukkan pula Tina dan Nordin akhirnya jatuh cinta namun babak tersebut langsung tidak kuat untuk menyokong keputusan tersebut. Benci berbelas tahun tetapi terus jatuh cinta hanya dalam beberapa jam? Apakah ini semua? Hahahaha!

Memandangkan ini filem muzikal maka semestinya ada lagu. Terdapat 4 buah lagu jika tidak silap aku dan aku merasakan tiga daripada lagu - lagu tersebut agak merdu dan sedap di dengar. Kesimpulannya, jalan cerita filem ini lemah dan tidak menarik bagi aku. Sekian!


P/S : Memang Nan Hado! (^_^)Y



5/06/12

Filem Prometheus



Filem:
Prometheus


Pengarah:
Ridley Scott


Genre:
Aksi, Sains Fiksyen & Seram


Pelakon:
Noomi Rapace, Michael Fassbender, Idris Elba,
Charlize Theron, Logan Marshall-Green, Guy Pearce  & Etc.


Tarikh Tayangan:
7 Jun 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan mengenai sekumpulan penyelidik yang menjumpai sebuah klu mengenai asal usul kehidupan manusia di planet Bumi. Penemuan itu mendorong mereka melalui perjalanan penuh kegelapan di suatu sudut galaksi. Di sana mereka perlu bertarung untuk menyelamatkan manusia pada masa akan datang.


Trailer:




P/S : Kemungkinan Besar Akan Menonton Filem Ini Pada Hari Khamis Nanti! (^_^)Y





Filem Jalan Kembali



Filem:
Jalan Kembali


Pengarah:
Syamsul Yusof


Genre:
Drama & Jenayah


Pelakon:
Salina Saibi, Syamsul Yusof, Soffi Jikan, Nabila Huda, Zizan Raja Lawak,
Hetty Sarlene, Harun Salim Bachik, Mak Jah, Ifa Raziah & Etc.


Tarikh Tayangan:
7 Jun 2012


Sinopsis:

Filem sekuel kepada filem sebelum ini iaitu Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini mengisahkan tentang Amy iaitu seorang bekas bohsia yang sudah bertaubat dan tidak mahu mengulangi sejarah hitamnya dengan menjejakkan kaki ke sebuah pusat pemulihan. Tasya yang merupakan bekas rakan karib Amy pula semakin hanyut dengan dunia hitam tersebut dan segala gerak - gerinya dikawal ketat oleh teman lelakinya. Muz juga telah bertaubat dan tidak mahu lagi bergelumang dengan kehidupan yang penuh sia - sia itu namun Muz dan Ijan sentiasa cuba untuk meraih kemenangan dalam setiap perlumbaan motosikal yang diadakan. Mampukah Muz dan Amy mengatasi segala cabaran yang mendatang sewaktu penghijrahan hidup mereka ini? Bagaimanakah kesudahan hidup Tasya? Saksikan filem ini untuk mengetahui kesudahan kisahnya.


Trailer:




Filem ini kemungkinan besar bakal berjaya dari segi kutipan tiket kerana:-

1) Karya Syamsul Yusof kini memang menjadi perhatian dan penantian kebanyakkan penonton tempatan.

2) Pemilihan pelakon yang hebat seperti Soffi Jikan, Salina Saibi, Zizan Razak, dan lain - lain.

3) Populariti Zizan pada masa kini yang memang tidak dapat dinafikan lagi.



P/S : Aku Beranggapan Kanak - Kanak Memang Tidak Sesuai Untuk Menonton Filem Sebegini Walaupun Klasifikasi Filem Ini Ialah Umum Atau PG13! (^_^)Y




1/06/12

Review Filem Snow White and The Huntsman



Filem:
Snow White and The Huntsman


Pengarah:
Rupert Sanders


Genre:
Aksi & Pengembaraan


Pelakon:
Kristen Stewart, Charlize Theron, Chris Hemsworth, Sam Claflin,
Sam Spruell, Ian McShane, Bob Hoskins, Ray Winstone & Etc.


Penilaian:
7 / 10


Sinopsis:

Filem berdasarkan lagenda Snow White ini mengisahkan Snow White yang dikurung di sebuah bilik di atas menara istana oleh ibu tirinya iaitu Ravenna yang merupakan seorang permaisuri yang sangat kejam selepas ayahnya iaitu Raja Magnus dibunuh oleh Ravenna pada malam pertama perkahwinan mereka. Raveena telah merampas takhta kerajaan Raja Magnus menggunakan sihirnya yang telah diamalkan secara tidak sengaja pada zaman kanak-kanaknya dan untuk sentiasa kekal jelita maka dia perlu mendapatkan seberapa banyak wanita muda untuk mencapai impiannya itu. Pada suatu hari Ravenna mendapati bahawa Snow White ialah ancaman kepada kecantikannya selepas bertanya kepada cermin saktinya. Snow White berjaya melarikan diri gara - gara kecuaian adik Ravenna iaitu Finn. Lalu Ravenna telah mengupah seorang pemburu(The Huntsman) yang ditugaskan untuk membunuh Snow White namun pemburu tersebut menyedari bahawa dia sebenarnya diperdaya lalu membantu Snow White melepaskan diri. Dalam perjalanan mereka melarikan diri melalui rimba kegelapan itu mereka telah berjumpa dengan pelbagai jenis kehidupan seperti dunia pari - pari, orang kerdil serta berjumpa dengan kumpulan Duke Hammond yang merupakan ketua tentera ayahnya yang sangat setia. Snow White kembali berjumpa dengan kawan zaman kecilnya iaitu William yang merupakan anak lelaki kepada Duke Hammond. Namun, Ravenna telah mengambil kesempatan itu untuk memusnahkan Snow White. Apakah yang akan dilakukan oleh Ravenna? Berjayakah Snow White merampas kembali kuasa daripada Raveena? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

"Mirror Mirror On The Wall! Who's The Fairest Of Them All?" adalah ungkapan yang paling sinonim dan amat dinanti - nanti oleh penggemar filem - filem Snow White yang telah diterbitkan di dalam pelbagai versi tidak kira yang lama mahu pun yang baru. Ungkapan ini seperti mempunyai satu aura yang cukup kuat dan cukup disukai walaupun ia diucapkan oleh watak yang paling antagonis yang wujud di dalam filem dongeng ini. Ditangan pemenang Oscar yang cukup dikenali ramai iaitu Charlize Theron maka boleh aku simpulkan beliau telah berjaya memberi lebihan warna kepada watak permaisuri kali ini kerana ia bukanya sekadar seorang permaisuri yang kejam namun juga punya sedikit sifat kasih sayang. Karakter permaisuri kali ini nampaknya telah dibaluti oleh sedikit sifat kasih sayang itu dan ada ketikanya watak ini berjaya meraih simpati penonton untuk sama - sama merasai derita akibat kisah silamnya. Aku merasakan watak permaisuri kali ini amat istimewa kerana disokong oleh kekuatan plot serta lakonan hebat daripada Charlize Theron sendiri.


Charlize Theron Sebagai Permaisuri Ravenna


Filem ini bukan sekadar bercerita tentang kecantikan abadi atau pun cinta sejati namun ia sebenarnya meliputi banyak perkara seperti sumpahan, kepercayaan, keamanan serta kejujuran. Kisah cinta di dalam filem ini walaupun tidak diberi fokus yang mendalam namun ia menimbulkan satu persoalan yang cukup menarik dan membiarkan penonton untuk membuat telahan atau kesimpulan sendiri mengenai siapa sebenarnya manusia yang dicintai dan betul - betul mencintai Snow White iaitu sama ada Huntsman yang baru dikenalinya namun berjaya membangunkannya daripada tidur yang panjang atau pun William yang merupakan cinta di zaman kecilnya yang masih mencintainya sepenuh hati. Salah satu adegan yang menarik di dalam filem ini yang membuatkan aku ketawa dan dalam masa yang sama terasa cukup geli apabila terdapat satu adegan dimana Snow White dan William sedang bercium walaupun tidak panjang namun penghujung adegan itu apabila difikirkan kembali sememangnya menjijikkan. Nak tahu kenapa aku berasa begitu maka pergi lah menonton sendiri dan anda akan faham kenapa aku berperasaan sedemikian.


Salah Satu Adegan Di Dalam Filem Ini


Aku beranggapan bahawa aku tidak dapat melihat babak - babak yang melibatkan tujuh orang kerdil seperti mana yang terdapat di dalam filem - filem Snow White yang lain namun nampaknya karakter wajib itu masih wujud dan unsur humor daripada watak - watak itu juga masih tidak hilang. Cuma sedikit kekeliruan disini apabila terdapat unsur kematian namun di penghujung cerita bilangan mereka masih sama. Mungkin aku tersalah melihat atau mungkin aku yang betul. Itu aku tidak pasti namun kemunculan Troll serta dunia pari - pari yang agak indah memang mengujakan buat seketika waktu. Lakonan yang ditunjukkan oleh pelakon - pelakon utamanya terutamanya Charlize Theron yang memegang peranan sebagai Permaisuri Ravenna memang wajar dipuji. Watak Snow White di tangan Kristen Stewart pula pada pandangan aku tidak lah terlampau mengujakan namun masih menghiburkan. Chris Hemsworth berjaya menarik perhatian penonton untuk membuatkan watak Huntsman itu disukai atas sifat kelakar dan dalam masa yang sama juga tidak menghilangkan sifat maskulinnya sebagai salah seorang pahlawan yang hebat.


Snow White Dan Epal Merah Tidak Dapat Dipisahkan


Aku amat menyukai kesan khas atau CGI filem ini seperti kemunculan cermin sakti(Magic Mirror) yang cukup mendebarkan dan sedikit mencemaskan, dunia pari - pari yang cukup indah, transformasi Permaisuri Ravenna yang berubah kepada burung gagak dan sebaliknya serta keadaan rimba kegelapan yang cukup menyeramkan. Walaupun filem Snow White ini sudah dibikin di dalam berbagai - bagai versi namun aku pasti filem Snow White and The Huntsman ini tidak akan mengecewakan kalian kerana masih ada pelbagai perkara baru yang menarik di dalam filem ini untuk ditonton dan dihayati. Selamat menonton dan semoga anda semua terhibur dengan filem ini. Sekian!  


 P/S : Teringat Adegan Pari-Pari Senyum! Kelakar Betul! Hehehe!! (^_^)Y