25/07/12

Filem Juvana



Filem:
Juvana


Pengarah:
Faisal Ishak


Lakon Layar:
Alfie Palermo


Genre:
Drama


Pelakon:
Zahiril Adzim, Johan As'ari, Syazwan Zulkifly, Sharnaaz Ahmad,
Adlin Aman Ramli, Shafie Naswip, Adam Shah, Idzham Ismail,
Khairul Mohamed, Shera Aiyob, Megat Farzeril, Sara Ali & Etc.


Tarikh Tayangan:
Disember 2012


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Daim yang telah dibebaskan dari sekolah juvana selepas didapati beliau tidak bersalah dalam kes kematian ibunya. Namun, dia menghadapi masalah di luar sana apabila pelajar lain mengetahui bahawa dia adalah bekas penghuni sekolah juvana. Lalu dia dibuli oleh beberapa orang pelajar disitu dan Daim cuma rapat dengan seorang gadis bernama Sara. Manakala Botak, Apek, Ayam dan lain - lain pula dihantar ke sebuah sekolah juvana yang lain selepas Sekolah Wirabakti ditutup. Di sekolah baru mereka menjadi sasaran Lan Todak yang merupakan ketua pelajar di sekolah tersebut. Akibat peristiwa tersebut, Apek telah berubah menggunakan cara kekerasan. Botak pula telah membelasah orang suruhan Lan Todak. Konflik mulai timbul antara mereka dengan Lan Todak. Pada suatu hari Daim telah melawat rakan - rakannya di sekolah tersebut dan pada hari yang sama Lan Todak telah membuat rusuhan bersama rakan - rakannya yang lain untuk membalas dendam terhadap Botak dan Apek. Daim berada dalam situasi bahaya ketika itu. Apa yang akan berlaku kepada mereka? Saksikan filem hebat ini untuk mengetahui jawapannya.

Trailer:



P/S : Tak Sabar Menanti Karya Terbaru Alfie Palermo! Rugi Beb Kalau Tak Tengok! (^_^)Y




24/07/12

Review Filem The Dark Knight Rises



Filem:
The Dark Knight Rises


Pengarah:
Christopher Nolan


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Jenayah


Pelakon:
 Christian Bale, Michael Caine, Joseph Gordon-Levitt, Gary Oldman,
Tom Hardy, Anne Hathaway, Marion Cotillard & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Bruce Wayne yang kembali hidup seperti orang biasa selama lapan tahun selepas dipersalahkan atas kematian D.A Harvey Dent. Akibatnya, bandar Gotham kembali dilanda dengan pelbagai aktiviti jenayah dan untuk mengatasi masalah ini maka Akta Dent diperkenalkan untuk menangkap mereka. Namun, segalahnya berubah dengan kemunculan Selina yang mempunyai agenda tersendiri. Lebih menakutkan apabila kemunculan seorang pengganas bertopeng iaitu Bane yang membuat satu rancangan untuk memusnahkan bandar Gotham dengan meletupkannya menggunakan bom atom serta untuk menghapuskan Bruce Wayne. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Bagi aku ini adalah sebuah filem superhero yang menampilkan sisi yang cukup gelap, bermain dengan falsafah tersendiri dan bercerita mengenai dunia politik menggunakan kelebihan kisah yang diwujudkan pada kehidupan seorang adiwira bernama Batman. Sebuah kerajaan, struktur perundangan, pihak keselamatan dan kehidupan rakyatnya memang berkait rapat antara satu sama lain dan apabila filem ini cuba menyampaikan hal tersebut melalui watak Batman dan Bane maka ini adalah satu percubaan yang bagi aku cukup unik dan amat mengujakan aku. Aku sukakan plot ceritanya yang sukar dijangka dan memberi kesan yang cukup mendalam walaupun dalam diam. Korupsi, keadilan, revolusi, perjuangan dan segala macam perkara yang diwujudkan dalam diri penduduk bandar Gotham sebenarnya merupakan satu cerminan kepada wajah sesebuah masyarakat tentang kebenaran apa sebenarnya yang mereka impikan dalam sistem kepimpinan sesebuah negara walaupun sebenarnya mereka pun tidak pasti atau mengenali apakah sebenarnya wajah keadilan itu sendiri.


Aku Cukup Suka Suara Dan Gerak - Geri Watak Bane Nih! Terbaik!


Aku cukup sukakan watak Bane(lakonan Tom Hardy) kerana watak antagonis ini walaupun kelihatannya begitu ganas dan kering hati tetapi masih mengenali nilai kasih sayang dan tahu mencintai seseorang. Watak Selina(lakonan Anne Hathaway) pula ada unsur seksualnya tersendiri yang menjadikan dia lebih misteri dan menawan. Paling menarik sebenarnya adalah watak Alfred(lakonan Michael Caine) yang tampak lebih berguna dan agak penting pada kisah kali ini. Watak Blake atau Robin(lakonan Joseph Gordon-Levitt) walaupun sekadar pembantu namun sebenarnya telah menyerlahkan potensi yang cukup besar dalam pembinaan setiap watak di dalam filem ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan watak Bruce Wayne atau Batman(lakonan Christian Bale) sebenarnya agak ditenggelami oleh watak lain pada permulaan kisah filem ini namun kekuatan plot cerita berjaya menyokong watak ini hingga ke akhirnya.


Anne Hathaway Memang Posing Maut Lah Dalam Filem Nih!


Namun, aku merasakan filem ini gagal dalam memberikan unsur kejutan atau emosi ketakutan kepada penonton terutama untuk babak - babak klimaks seperti keadaan huru - hara di bandar Gotham atau pun ketakutan penduduknya kepada kebarangkalian letusan bom atom yang mampu menghancurkan mereka. Ini tidak ditekankan dengan jelas dan sedikit mengecewakan aku. Pengakhiran filem ini sebenarnya memang menarik namun secara peribadi aku tidaklah menyukai keseluruhannya. Mungkin ada yang bersetuju dengan aku dan mungkin juga tidak. Terpulang!




Salah Sebuah Babak Yang Mendebarkan Di Dalam Filem Ini


Runut bunyi filem ini yang diserahkan kepada Hans Zimmer sememangnya satu hadiah yang cukup menakjubkan kerana muziknya berjaya membantu kita untuk lebih memahami dan membangkitkan semangat bukan sahaja kepada karakter pelakon di dalamnya tetapi juga untuk kita yang sedang menonton. Memang betul seperti kata beberapa pengulas dimana runut bunyi ini sebenarnya berjaya menyelinap dan membenarkan hati penonton untuk turut sama - sama bangkit memberi sokongan kepada Bruce Wayne walaupun kita tahu ini sebenarnya cumalah lakonan semata - mata dan bukannya di alam realiti.


Christian Bale sebagai Bruce Wayne @ Batman


Apa - apapun, filem ini adalah salah sebuah filem adiwira yang boleh aku katakan adalah filem terhebat pada tahun ini. Dimulakan dengan situasi rampasan kapal terbang yang cukup menarik, kisah lampau antara Bane dan Miranda yang penuh kejutan serta jatuh bangunnya semangat hidup seorang adiwira bernama Batman maka ini adalah salah sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton cuma aku lebih suka jika pengakhiran filem ini diakhiri dengan latar kesedihan berbanding kegembiraan. Sekian!


P/S : Filem Apa Pula Yang Menarik Untuk Ditonton Selepas Ini? Ada Cadangan? (^_^)Y




23/07/12

Review Filem Ice Age 4 : Continental Drift



Filem:
Ice Age 4 : Continental Drift


Pengarah:
Steve Martino & Mike Thurmeier


Genre:
Animasi, Pengembaraan & Komedi


Suara Watak:
 Ray Romano : Manny
Denis Leary : Diego
John Leguizamo : Sid
Keke Palmer : Peaches
Queen Latifah : Ellie
Peter Dinklage : Captain Gutt
Jennifer Lopez : Shira
Wanda Sykes : Granny


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini bermula dengan seekor tupai bernama Scrat yang terlalu obses dengan kacang/buah oak dan cuba menanamnya di atas sebuah puncak yang dilitupi ais namun perbuatannya itu telah menyebabkan bahagian daratan bumi berpecah menjadi beberapa buah benua yang berasingan. Seperti siri - siri sebelum ini, tiga sahabat baik iaitu Manny, Sid dan Diego masih lagi berkawan baik. Perkahwinan di antara Manny dan Ellie memberikan mereka cahaya mata yang comel bernama Peaches. Namun, Peaches tidak sehaluan dengan Manny kerana Manny terlalu mengawal gerak - geri Peaches dalam segala sudut. Sid pula menghadapi masalah apabila keluarganya meninggalkan nenek mereka yang sudah tua dan pelupa kepada Sid untuk dijaga. Disebabkan masalah yang ditimbulkan oleh tupai Scrat menyebabkan Peaches dan Ellie terpisah dengan Manny. Manny, Diego dan Sid dihanyutkan ke lautan dan mereka cuba mencari jalan untuk bertemu semula dengan Peaches dan Ellie. Pada waktu yang sama juga mereka bertiga telah ditawan oleh sekumpulan lanun yang diketuai oleh seekor beruk yang ganas bernama Kapten Gutt. Shira yang merupakan salah seorang pengikut setia Kapten Gutt telah berjaya menawan hati Diego tanpa disedarinya. Mampukah Manny, Sid dan Diego melepaskan diri daripada tawanan Kapten Gutt? Adakah Peaches dan Ellie akan bertemu semula dengan Manny? Saksikan filem animasi terbaik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui kesudahan kisahnya.


Ulasan Hans:

Filem animasi yang memang aku nanti - nantikan namun sayangnya disebabkan terlalu sibuk dengan kerja jadi baru semalam berpeluang menonton filem ini. Sayangnya lagi aku hanya menonton dalam format 2D dan aku rasakan format 3D pasti akan memberi lebih kepuasan dalam durasi tontonan di panggung. Baiklah! Filem Ice Age 4 ini lebih bertemakan kepada sifat kekeluargaan dimana ia menonjolkan hubungan antara anak dan ayah(Peaches dan Manny), hubungan antara keluarga(Sid, Nenek dan keluarganya) serta Diego dan Shira(hubungan spesies yang sama). Mungkin temanya lebih kurang sama dengan kisah - kisah filem mahu pun animasi lain yang memfokuskan kepada kekeluargaan namun filem Ice Age 4 : Continental Drift ini ada keistimewaannya yang tersendiri.


Hubungan Kekeluargaan Merupakan Teras Utama Filem Ini


Setiap ibu bapa sentiasa akan menganggap anak mereka masih seperti mana seorang anak kecil yang perlu sentiasa diberi tunjuk ajar mahu pun diberi perhatian walaupun hakikatnya anak mereka sudah pun dewasa dan masalah ini telah berjaya dipertontonkan dengan begitu baik melalui babak antara Manny dan anaknya iaitu Peaches. Masalah mengenai pembuangan keluarga atau istilah yang lebih tepat lagi iaitu tidak mahu menjaga ibu atau ayah yang sudah tua atau pun jika ibu atau ayah tersebut mempunyai masalah kesihatan seperti menghidap penyakit Alzheimer atau nyanyuk kerana mereka menganggap itu adalah satu beban kepada kehidupan mereka juga sebenarnya berlaku di seluruh dunia terutama di kalangan negara maju serta membangun dan hal ini sebenarnya cuba dipertontonkan kepada penonton supaya ia menjadi tauladan. Mungkin dari satu sudut ia mampu memberi kesan negatif kepada anak - anak kecil yang menonton kisah pembuangan keluarga ini namun itulah tanggungjawab ibu bapa untuk menerangkan kembali apa sebenarnya mesej yang filem ini cuba sampaikan kepada mereka. Dari segi nilai kekeluargaan, filem ini masih berjaya memberikan yang terbaik kepada penonton pada pandangan peribadi aku.


Watak Granny Nih Memang Terbaik! Hahaha!

Dari segi sinematografi serta pembinaan karakter setiap watak juga sememangnya menarik dan berjaya memberi kesan kepada penonton. Aku masih teringatkan sekumpulan tupai yang cukup comel sewaktu cuba menentang Kapten Gutt yang ganas. Aku juga masih teringat akan suara seksi Jennifer Lopez yang menyumbang suara kepada watak Shira. Aku juga cukup terhibur dengan watak Granny yang memang cukup menggelikan hati dan yang paling penting watak tupai bernama Scrat yang tidak habis - habis dengan obsesinya terhadap kacang/buah oak yang menyebabkan panggung gamat seketika dengan tawa penontonnya. Watak Scrat ini sebenarnya hebat bagi aku sebab ia berjaya berdiri dengan sendiri walaupun sebenarnya dia tak pernah bersangkut paut pun dengan watak - watak utama yang lain. Walaupun terdapat sedikit unsur filem Pirates of the Caribbean di dalam filem ini melalui watak Kapten Gutt dan habitat anak - anak kapalnya yang boleh dipersoalkan(terutamanya anjing/singa laut.....HAHAHA!!) kerana datang daripada pelbagai latar tempat seperti air, hutan dan sebagainya namun itu juga adalah salah satu unsur humor yang berjaya menceriakan aku.


Kumpulan Lanun Diketuai Captain Gutt Yang Memang Kelakar


Sebenarnya banyak benda yang kita boleh belajar daripada filem ini selain daripada kekeluarga kerana elemen lain seperti persahabatan, keyakinan diri dan keberanian melakukan sesuatu yang positif juga banyak melatari kisah filem ini. Memang sebuah filem yang sesuai dengan kanak - kanak dan juga untuk orang dewasa yang mahukan sebuah filem yang santai namun dalam yang sama juga mendidik dan menghiburkan. Jadi, selamat menonton filem ini kepada yang belum menonton dan disarankan agar menonton di dalam format 3D untuk kepuasan yang lebih maksimum. Jangan lupa masuk awal ke panggung untuk menonton terlebih dahulu filem animasi pendek bertajuk The Longest Daycare yang dibintangi oleh watak kartun Maggie Simpson sebab memang kelakar habis. Jumpa lagi pada ulasan akan datang!


Si Scrat Nih Memang Tamak Kan? Hahaha!


P/S : Lama Tak Buat Ulasan Filem Jadi Rasa Sedikit Kekok! Hehehe! (^_^)Y




Review Filem The Amazing Spider-Man



Filem:
The Amazing Spider-Man


Pengarah:
Marc Webb


Genre:
Aksi, Fantasi & Thriller


Pelakon:
 Andrew Garfield, Emma Stone, Rhys Ifans,
Denis Leary, Martin Sheen,Sally Field & Etc.


Penilaian:
6 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang anak yatim piatu bernama Peter Parker yang dibesarkan oleh ibu dan bapa saudaranya. Ibu bapanya telah meninggal dunia dalam satu tragedi misteri selepas menyerahkan Peter Parker kepada ibu dan bapa saudaranya. Atas dasar ingin tahu, Parker yang telah menemui sebuah dokumen rahsia di dalam sebuah beg lama milik ayahnya telah menyiasat dan atas bantuan bapa saudaranya dia telah menemui sahabat baik bapanya iaitu saintis ternama, Dr Curt Connor. Penyiasatan Parker telah membawanya ke makmal ujikaji milik Dr Connor dan di situ dia digigit oleh seekor labah - labah yang merupakan haiwan uji kaji Dr Connor. Masalah mula timbul apabila Dr Connor menggunakan penyelesaian sains bantuan Parker untuk menyelesaikan teka - teki uji kajinya. Akhirnya Dr Connor telah berubah menjadi mahluk cicak mutasi. Mampukah Parker menghalang Dr Connor dari terus melakukan keganasan? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Pemilihan Andrew Garfield untuk watak Spider Man mungkin pernah dipertikaikan oleh ramai pihak sebelum ini namun aku merasakan Andrew sudah berjaya memberikan satu dimensi baru kepada watak lelaki labah - labah ini dalam sisi yang lebih gelap dan mengharukan. Aku cukup suka dengan plot cerita untuk filem kali ini mengenai bagaimana Peter Parker boleh berubah menjadi seorang lelaki yang mempunyai kuasa yang sama seperti labah - labah. Walaupun terdapat sedikit persamaan dengan filem - filem sebelum ini namun bagi aku kisahnya jauh meninggalkan jalan cerita yang begitu stereotaip dan sememangnya aku sukakan perubahan cerita yang lebih menyegarkan. Masih meneruskan legasi watak Peter Parker yang dibuli dan kurang keyakinan diri namun ianya tidak ketara dan masih boleh diterima kerana bagi aku Peter Parker yang baru ini tidak lah kelihatan skema dan bagi aku Andrew Garfield berjaya merubah gaya Peter Parker menjadi lebih maskulin dan ada gaya tersendiri. Peter Parker kali ini lebih berani menyuarakan rasa cintanya keoada Gwen dan tidak seperti watak - watak Spiderman sebelum ini dan aku sukakan babak ini.


Peter Parker Kali Ini Lebih Sempoi! Hehe!


Elemen kekeluargaan kali ini jelas berjaya diterapkan dengan baik sehingga berjaya menenggelamkan elemen percintaan(mungkin hampir melupakan) antara Peter Parker dan Gwen Stacy buat seketika dimana hubungan antara Peter dengan bapa dan ibu saudaranya jelas menguasai hampir setengah perjalanan cerita filem ini. Satu yang menarik untuk diperjelaskan disini ialah mengenai kehebatan superhero kali ini. Jika diperhatikan secara mendalam sebenarnya watak Peter Parker kali ini adalah yang paling menyedihkan pada pandangan aku. Bukannya disebabkan lakonan Andrew Garfield kerana bagi aku dia berjaya memberi emosi dan karakter tersendiri kepada watak lelaki labah - labah ini. Tetapi, punca sebenar yang menyedihkan ialah segala kejadian yang berlaku adalah disebabkan ego Peter Parker sendiri.


Salah Satu Babak Aksi Yang Menarik


Lihat sendiri segala punca masalah sebenarnya berpunca dari Parker sendiri. Bapa saudaranya mati dibunuh kerana cuba mencari dia yang melarikan diri selepas insiden pertengkaran antara mereka berdua. Dr Connor berubah menjadi lelaki cicak juga disebabkan kegopohan Parker yang membantu Dr Connor menyelesaikan satu penyelesaian sains untuk eksperimennya. Bapa Gwen juga mati gara - gara untuk menyelamatkan Parker. Kesimpulannya, segala masalah ini sebenarnya berpunca daripada Peter Parker sendiri dan tugasnya ialah untuk memperbetulkan kembali segala kesalahan yang telah dilakukannya tanpa sengaja. Memang berlainan daripada filem - filem Spiderman yang lain namun ini membuatkan aku agak menyukai filem ini sebenarnya kerana kemegahan menjadi superhero itu telah pun berjaya dihilangkan di dalam filem kali ini. Hahaha!


Filem Hollywood Kalau Tak Ada Babak Macam Nih Memang Tak Sah!


Beberapa kelemahan yang dapat dikesan disini ialah mengenai Dr Connor yang bermutasi menjadi lelaki cicak dan apa yang cuma difokuskan hanyalah kepada ekornya yang boleh diputuskan dan tumbuh semula seperti mana cicak - cicak lain yang kita lihat dekat dinding. Sayangnya kelebihan cicak yang lain seperti lidah misalnya yang langsung tidak dimanfaatkan di dalam aksi pertarungan antaranya dan spiderman. Selain itu bagaimana tiba - tiba sebuah makmal yang cukup lengkap dengan segala jenis peralatan yang wujud lengkap dengan segala punca elektrik dibawah terowong air bawah tanah juga boleh dipersoalkan memandangkan Dr Connor sendiri sememangnya tidak mampu mengawal diri apabila berubah menjadi manusia cicak. Hahaha!


Seronok Tengok Babak Tangan Tumbuh Kembali Nih


Namun, satu babak yang paling aku suka ialah babak akhir dimana Peter Parker bertemu ibu saudaranya dan menyerahkan telur yang dibelinya. Aku cukup sukakan babak itu dan bagi aku babak itu cukup manis. Menonton di dalam format 3D juga agak memberi kepuasan walaupun tidak banyak babak - babak yang menarik untuk ditonton di dalam format ini. Apa - apapun, filem The Amazing Spider-Man kali ini ada kelainan yang memang agak menarik dan aku juga terhibur dengan unsur komedi yang terdapat dalam naskhah kali ini. Jadi, selamat menonton kepada yang belum menonton!


P/S : Sekarang Susah Betul Nak Menonton Filem Dekat Wayang! (^_^)Y