24/09/12

Review Filem Dredd



Filem:
Dredd


Pengarah:
Pete Travis


Genre:
Aksi & Sains Fiksyen


Pelakon:
 Karl Urban, Olivia Thirlby, Lena Headey, Rakie Ayola & Etc.


Penilaian:
6 / 10


Sinopsis:

Filem adaptasi dari komik ini mengisahkan tentang keadaan sebuah kota pada masa hadapan dimana manusia hidup dikelilingi dengan penjenayah serta pengganas yang amat merbahaya. Joseph Dredd merupakan salah seorang polis yang mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai hakim ditugaskan untuk melatih dan menilai seorang pelatih wanita iaitu Cassandra Anderson yang mempunyai kuasa psikik yang diperolehnya akibat kesan radiasi. Tugas pertama mereka adalah untuk menyiasat kematian tiga orang lelaki di sebuah kawasan bernama Peach Tree yang dikuasai oleh kumpulan penyeludup dadah yang diketuai oleh Ma-Ma. Kay yang merupakan salah seorang ahli kanan kumpulan Ma-Ma telah ditangkap oleh Dredd serta Anderson dan ini merisaukan Ma-Ma. Jadi, Ma-Ma cuba menghalang dengan mengerahkan pengikut - pengikutnya untuk membunuh Dredd serta Anderson. Kini Dredd serta Anderson telah terperangkap di dalam bangunan yang dikuasi oleh Ma-Ma dan terpaksa berhadapan dengan beratus - ratus pengikut setia Ma-Ma. Dalam masa yang sama mereka juga perlu berhati - hati agar orang awam yang tinggal di dalam bangunan itu terselamat daripada sebarang serangan kumpulan Ma-Ma. Berjayakah mereka melepaskan diri daripada kumpulan Ma-Ma yang cukup berbahaya itu? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Filem ini sebenarnya agak menarik pada 20 minit pertama kerana penonton ditunjukkan tentang siapakah Dredd yang dimaksudkan dan apa yang membuatkan penjenayah - penjenayah ini sangat takut apabila mendengar nama tersebut. Kemudian Dredd ditugaskan untuk melatih dan menilai Anderson yang merupakan seorang gadis mutan akibat kesan radiasi yang berlaku di bumi sebelum ini. Bertambah menarik lagi apabila kedua - dua mereka tiba di sebuah kawasan bernama Peach Tree untuk menyiasat kematian beberapa orang lelaki kerana disitu kita boleh melihat betapa tegasnya karakter Dredd dan juga kebolehan luar biasa Anderson. Plot semakin menarik apabila mereka berdua terperangkap di sebuah bangunan 200 tingkat yang dikuasai oleh Ma-Ma. Namun, selepas itu ia sebenarnya agak bosan dari segi kekuatan jalan cerita namun dapat diselamatkan melalui babak - babak aksi serta kesan khas atau visual yang agak menarik.


Anda Tidak Akan Dapat Melihat Wajah Karl Urban Di Dalam Filem Ini!


Tidak keberatan jika dikatakan filem Dredd sebenarnya lebih terbelakang daripada filem Indonesia iaitu The Raid : Redemption dari segi susunan plot yang kemas dan untuk membuatkan penonton lebih teruja menanti babak seterusnya. Bagaimana babak yang menonjolkan Dredd dan Anderson cuba untuk bertahan dari tingkat bawah hingga teratas sekali sebenarnya bukanlah suatu benda baru dan ia berlaku terlalu cepat. Tidak ada adegan yang terlalu mencemaskan atau mampu membuat aku 'risau' sama ada bolehkan Dredd ini bertahan, mungkin terkorban atau sebagainya kerana walaupun beratus orang samseng mahupun senjata canggih digunakan namun seperti langsung tidak dapat menghalang kemaraan Dredd atau pun melambatkan perjalanannya.


Lena Headey Sebagai Ma-Ma!


Kumpulan Ma-Ma adalah satu nama yang sangat lucu dan begitu feminin bunyinya. Namun Lena Headey yang memegang watak sebagai Ma-Ma sebenarnya berjaya menyerlahkan sisi seorang wanita yang kuat dan kelihatan layak untuk ditakuti oleh pengikutnya namun cara wataknya dimatikan kurang menarik pada pandangan peribadi aku sebab mengikut pemahaman aku sepatutnya Ma-Ma yang ditonjolkan sebagai satu watak antagonis yang amat ditakuti oleh ramai samseng yang 100% di dalam filem ini adalah lelaki sehingga membuatkan mereka terkencing sepatutnya mempunyai sesuatu kebolehan atau kelebihan yang membuatkan dia digeruni oleh mereka. Tetapi, apa yang aku dapat lihat watak ini hanya sekadar mengugut dengan sebuah alat yang mampu meletupkan 50 tingkat bangunan dan betulkan hanya ini sahaja yang mampu menggerunkan beratus mahu pun beribu orang pengikut - pengikutnya? Kelayakannya sebagai seorang ketua kumpulan penyeludup dadah terkenal yang berjaya melenyapkan pengaruh 4 kumpulan samseng sebelum ini telah pun diragui oleh aku.


Olivia Thirlby Sebagai Anderson Iaitu Seorang Gadis Berkuasa Psikik!


Karl Urban yang memegang watak sebagai Dredd pula bagi aku agak menarik namun watak itu sebenarnya seperti membataskan potensi sebenar beliau. Olivia Thirlby pula yang memainkan watak Anderson juga sebenarnya agak bagus tetapi keunikan wataknya juga seperti kurang dimanfaatkan. Namun ketiga - tiga pemain watak ini(Karl Urban, Olivia Thirlby serta Lena Headey) telah pun melakonkan watak mereka yang cukup baik cuma sayangnya karakter mereka seperti mendatar dan kurang berkembang mungkin disebabkan kelemahan skrip filem ini sendiri.



Siapakah Keempat - Empat Orang Ini Sebenarnya?
Saksikan Sendiri Untuk Mengetahui Jawapannya!


Terdapat beberapa adegan atau perkara yang agak menarik yang mahu disampaikan di dalam filem ini. Salah satu adegan yang menarik apabila Anderson menggunakan kuasa psikiknya untuk memasuki minda Kay yang merupakan ahli kanan Ma-Ma yang ditahan oleh mereka. Agak kelakar sebenarnya babak itu! Filem ini cuba memaparkan kekuatan dan penguasaan wanita pada masa hadapan tidak kira di dalam perkara yang positif mahu pun negatif. Bagi aku hero sebenar filem ini adalah Anderson dan bukannya Dredd jika dilihatkan kepada bantuan yang diberikan oleh Anderson kepada Dredd. Selain itu juga filem ini cuba memaparkan bagaimana apabila amanah yang diberikan kepada penguatkuasa untuk dijalankan namun diingkari gara - gara tamak akan wang menyebabkan kejahatan tidak dapat dibanteras walaupun sebenarnya ia mampu diatasi. Agak menarik sebenarnya mesej ini bagi aku!



Aku Suka Babak Nih! Memang Dasyat!


Apa - apapun, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton dan mungkin lebih menghiburkan jika anda menontonnya di dalam format 3D. Jadi, selamat menonton dan bergembira dengan filem Dredd terbaru ini. Sekian!


P/S : Banyak Filem Yang Telah Ditonton Seperti Premium Rush Serta Resident Evil : Retribution Tetapi Masa Yang Terhad Menghalang Aku Dari Menulis Ulasan Mengenai Kedua - Dua Filem Tersebut!