17/11/12

Review Filem Istanbul Aku Datang



Filem:
Istanbul Aku Datang


Pengarah:
Bernard Chauly


Genre:
Komedi & Cinta


Pelakon:
Lisa Surihani, Beto Kusyairi, Tomok, Mert Yavuzcan,
Aizat Amdan, Farid Ramlee, Berke Sanli & Etc.


Penilaian:
10 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang gadis yang periang dan manja bernama Dian yang pergi ke Istanbul dan merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya iaitu Azad. Masalah yang perlu dihadapinya ialah Azad sedang mengikuti kursus perubatan di sana dan dia perlu menunggu 6 tahun iaitu tempoh Azad habis belajar. Namun, ketibaan Dian tidak disambut gembira oleh Azad dengan alasan Dian menganggunya fokus dalam pelajaran. Azad juga tidak selesa kerana Dian tinggal di rumah sewanya yang turut dihuni oleh dua orang kawan Azad. Jadi, Dian terpaksa mencari rumah sewa namun tanpa sedar dia ditipu oleh Cihan yang menyamar sebagai tuan rumah tersebut. Rupa-rupanya rumah tersebut telah pun disewa oleh seorang lelaki bernama Harris. Harris yang tidak berpuas hati dengan alasan Dian yang memberitahu dia ditipu oleh Cihan cuba berjumpa dengan tuan rumah tetapi malangnya tuan rumah tersebut pergi bercuti. Perang dingin mula berlaku antara Dian dan Harris. Dian juga perlu merahsiakan kepada Azad tentang jantina teman serumahnya. Pada suatu hari, Azad pergi ke rumah sewa Dian secara tiba-tiba dan Dian yang mendapat tahu tentang hal ini mula gelabah. Dian cuba meminta tolong kepada Harris namun mahukah Harris membantu Dian dalam hal ini? Adakah Dian akan kembali ke Kuala Lumpur dengan cincin perkahwinan daripada Azad? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda.


Ulasan Hans:

Sebenarnya aku ingatkan filem ini akan ditayangkan pada 15 November ini tetapi apabila aku secara tidak sengaja menonton Melodi pada Ahad lepas dan baru aku dapat tahu bahawa filem ini telah pun ditayangkan bermula 8 November yang lepas. Kesibukan bekerja membuatkan aku lupa segalanya tentang tarikh tayangan filem. Hahaha! Baiklah! Sebelum aku memulakan ulasan amatur aku untuk filem ini, aku dengan sukacitanya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelakon dan krew produksi kerana memberikan sebuah nashkah yang cukup menghiburkan dan aku amat nantikan daripada produksi tempatan sendiri. Tetapi, aku merasakan Rafidah Abdullah sebagai penulis skrip filem ini yang sebenarnya menjadi kekuatan dalam mencorakan perjalanan filem ini menjadi cukup segar, indah dan ada jiwa. Tahniah!





Jika sesiapa yang selalu mengikuti blog ini dari awal pasti akan menyedari jika filem yang bergenre komedi romantik pastinya aku selalu menyebut tentang kehebatan filem-filem Thailand dan langsung tidak mengagumi filem-filem tempatan bergenre sama. Contohnya seperti filem Cuti-Cuti Cinta dan banyak lagi yang bagi aku cuma biasa sahaja. Namun filem Istanbul Aku Datang memberikan sesuatu yang cukup menarik dengan plot kisahnya yang kadang-kadang sukar diduga.




Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Dian pergi ke Istanbul semata-mata untuk menemui kekasih hatinya Azad(lakonan Tomok) dan niat sebenarnya pergi kesana adalah untuk memastikan Azad melamarnya sewaktu 3 bulan dia kesana. Watak Dian tampak berdikari, periang, nakal dan walaupun watak ini takutkan kucing namun Lisa Surihani tampil hebat dengan watak Dian berbanding filem-filem lakonannya sebelum ini. Filem ini menjadikan Lisa Surihani nampak lebih matang sebagai anak seni. Walaupun pelat R Lisa menjadi bahan ketawa atau sindiran penonton tetapi aku rasa itulah keistimewaan Lisa. Menjadikan blog sebagai salah satu intipati di dalam filem ini sememangnya menarik, lucu dan menggambarkan dunia blog yang sebenar. Betapa terujanya si Dian mengemas kini laman blognya setiap masa dan bagaimana komen-komen dari pembaca blognya diberi nyawa melalui nada-nada suara yang setiap satu ada maksudnya tersendiri : sama ada menyokong, menyindir, sarkastik dan sebagainya. Satu yang menarik dan menghiburkan.




Beto Kusyairi sememangnya tidak pernah mengecewakan dan kali ini muncul dengan satu dimensi yang berbeza. Lakonannya cukup cemerlang dengan pelbagai gerak-gerinya yang adakala menunjukkan seperti watak Harris itu merupakan seorang lelaki yang bendul dan adakalanya sangat memahami dan kadang-kadang nampak terlalu pasif. Sangat menarik kerana Beto berjaya menghidupkan watak Harris dengan cukup cemerlang dan apabila watak Harris ini bertemu dengan watak Dian sememangnya aku sentiasa tersenyum melihat keletah mereka berdua.


Watak Dian Lakonan Lisa Surihani Melambangkan
Wanita Malaysia Yang Bijak, Berdikari Dan Berani


Aku sukakan bagaimana wanita Malaysia di dalam filem ini digambarkan dan bagaimana keputusan akhirnya yang diambilnya sangat mencabar. Sedikit spoiler, tujuan asal Dian pergi ke Istanbul adalah bertujuan untuk membuatkan Azad melamarnya sebagai isteri dan permulaan babak menunjukkan mimpi Dian tentang keindahan masjid Aya Sofea dimana dia bermimpi itulah tempat dia akan berkahwin dengan Azad. Mimpi yang terlalu gembira selalunya berlawanan maksudnya dengan apa yang bakal terjadi dan inilah menariknya apabila Dian sebenarnya tertipu dengan Azad dan pada waktu yang sama mengenali Harris secara tak sengaja akibat ditipu oleh seorang lelaki Turki bernama Cihan. Plot ceritanya memang disusun sempurna.



Babak Antara Beto Dan Lisa Pasti Melucukan


Azad lelaki yang telah dikenali Dian berbelas tahun manakala Harris hanyalah lelaki yang baru dikenali Dian tidak sampai dua minggu. Azad telah mengkhianati cinta Dian walaupun pada permulaannya Azad digambarkan seperti seorang lelaki yang setia dan menghamburkan kata-kata kesat kepada Dian seperti 'Rewang' dan 'Jalang' tetapi akhirnya kata-kata itu berbalik sendiri kepada Azad. Harris pula walaupun pada permulaannya digambarkan langsung tidak sefahaman dengan Dian, kerap bergaduh dan tidak bertolak ansur namun sebenarnya dia ialah seorang lelaki yang amat menghormati wanita. Dian kecewa dengan kecurangan Azad manakala Harris pula mula menyukai Dian. Layanan dan kata-kata semangatnya membuatkan Dian terubat dan perasaan cinta mulai tumbuh walaupun tidak jelas. Tetapi, apa yang menariknya disini apabila babak Azad cuba memujuk Dian dengan meminta maaf, mengaku kesalahannya, bercerita tentang apa sebenarnya yang berlaku dan klimaksnya apabila Azad melamar Dian. Aku sangat sukakan babak ini kerana memang tujuan asal Dian ialah mahu Azad melamarnya. Setiap hari mengemas kini laman blog bercerita tentang rancangannya untuk menawan hati Azad. Akhirnya peluang yang ditunggu ada di depan mata dan Azad juga telah memberikan alasan dan permintaan yang mungkin boleh diterima akal.


Walaupun Lisa Kelihatan Tembam Dalam
Filem Nih Tapi Lisa Memang Terbaik Lah!!


Harris pun walaupun baru mengenali Dian baru beberapa hari dan mula menjadi kawan dalam masa cuma sehari tetapi sebenarnya dapat juga memahami siapa gadis bernama Dian dan juga ada hak untuk memperoleh cinta Dian. Babak Harris menahan kereta seorang pemandu tempatan Turki sewaktu Dian mahu berangkat pulang ke Kuala Lumpur bersama Azad sebenarnya adalah babak spontan tetapi sangat menarik dan menghiburkan aku. Pilihan yang bakal dibuat oleh Dian inilah sebenarnya yang sangat menarik untuk diketahui kerana Dian mewakili wanita Malaysia yang bijak, berdikari dan berani tetapi adakah sifat-sifatnya itu ada di dalam dunia percintaannya? Adakah dia akan memilih Azad yang dikenali dan dicintainya bertahun-tahun? Walaupun Azad curang dengannya namun Azad mengakui kesilapannya, meminta maaf, meminta peluang kedua dan juga cuba menunaikan impian Dian sendiri yang ingin Azad melamarnya. Atau adakah Dian akan memilih Harris? Walaupun Harris kelihatan baik tetapi Dian baru sahaja mengenalinya. Risiko memilih Harris ialah Dian masih belum mengenali secara mendalam siapa sebenarnya Harris dan mungkin Dian akan kecewa kali kedua jika memilih Harris sebagai teman hidupnya. Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.



Barisan Pelakon Filem Istanbul Aku Datang


Nilai komedinya sangat tinggi dan Maggi Asam Laksa sememangnya satu objek yang menggeletek jiwa penonton filem Istanbul Aku Datang ini. Suara latar Rafidah Aziz, Fazura dan seorang lagi yang aku lupa namanya mewakili pengomen blog Dian membangkitkan suasana filem. Warna-warni filem ini juga membuatkan filem ini ceria. Sinematografi dan latar tempatnya cukup menarik ditambah budaya serta nilai-nilai masyarakat Turki yang digambarkan disini membuatkan aku ingin sangat ke Istanbul sekarang walaupun wang macam tak cukup(memang tak cukup!). Susunan plot, konflik yang dicipta dan klimaksnya juga berkembang dengan baik dan menarik. Lakonan yang cukup hebat daripada pelakonnya walaupun ada sesetengah pelakon pembantu yang sedikit kaku dalam menyampaikan dialog(mungkin ini lakonan pertama mereka!). Sebuah filem komedi romantik tempatan yang bagi aku cukup rencah rasanya dan berjaya membuatkan aku memberi tabik kepada Bernard Chauly dan Rafidah Abdullah atas kejayaan filem ini. Teruskan kombinasi kalian dalam filem-filem seterusnya. Aku menanti! Tahniah :)




P/S : Akan Cuba Menonton Lagenda Budak Setan 2 : Katerina Minggu Ini (^_^)Y 




11/11/12

Review Filem Ted



Filem:
Ted


Pengarah:
Seth MacFarlane


Genre:
Komedi & Fantasi


Pelakon:
Mark Wahlberg, Mila Kunis, Seth MacFarlane(Ted Voice), Joel McHale,
Giovanni Ribisi, Matt Walsh, Jessica Barth, Aedin Mincks & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini dimulakan dengan kehidupan kanak-kanak bernama John Bennett. John kesunyian kerana dia langsung tidak mempunyai sebarang sahabat. Pada hari Krismas, keluarganya telah menghadiahkan John sebuah teddy bear dan setiap malam John berkongsi segala suka dukanya dengan Ted(nama yang diberi oleh John kepada Teddy Bear tersebut). Pada suatu malam John membuat permintaan agar Ted boleh hidup dan menjadi rakan baiknya sampai bila-bila dan permintaan John itu menjadi kenyataan. Kini, John telah pun berumur lebih dari 30 tahun dan mempunyai seorang teman wanita yang cantik bernama Lori. Namun, sifat John yang masih keanak-anakan gara-gara masih setia bersama Ted menyebabkan Lori mula rimas dan kecewa kerana perhubungan mereka sudah lebih 4 tahun namun John tidak memberi komitmen seperti yang diharapkannya. Konflik mula terjadi apabila Lori memberi dua pilihan kepada John sama ada membuang Ted dalam hidupnya atau Lori sendiri yang akan meninggalkan John. John kini tersepit kerana dia sudah berjanji akan sentiasa menjadi sahabat baik dan bersama dengan Ted. Namun, pada waktu yang sama juga John amat menyayangi Lori. Apakah keputusan John? Adakah keputusannya itu akan memusnahkan hidupnya? Saksikan filem menarik ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Aku berpeluang menonton filem ini semalam selepas ramai yang berkata filem ini cukup lucu dan menghiburkan. Ya, filem ini memang lucu! Tetapi, aku lebih suka pada intipati kisahnya yang bagi aku seronok untuk dipelajari dan dihayati. John Bennett walaupun berusia 35 tahun tetapi jiwa, perilaku atau sesetengah keputusan yang dilakunya masih bersifat keanak-anakan kerana John bersama Ted sejak dia berusia 8 tahun lagi. Jadi, adalah sukar untuk seseorang insan seperti John untuk cuba menjadi dewasa jika sahabatnya sendiri pun masih berjiwa keanak-anakan.





Satu persoalan yang menarik disini apabila Lori cuba menyedarkan John tentang betapa perlu dia berubah menjadi lebih dewasa memandangkan hubungan mereka sudah berusia 4 tahun. Kemudian, Ted pula memberitahu John bahawa dia lebih mengenali John kerana sudah lebih 20 tahun dia bersama John dan apabila dia mengingatkan John tentang janji John terhadapnya maka inilah satu konflik yang menarik yang dicipta di dalam filem ini.





John seorang lelaki dan memerlukan seorang wanita di dalam hidupnya. Mahu tidak mahu dia tidak boleh melepaskan Lori pergi kerana itulah cinta pertama dan terakhirnya. Pada waktu yang sama John masih mengenang janji serta kebaikan Ted terhadapnya sejak zaman kanak-kanak lagi memandangkan dia tidak mempunyai sahabat langsung pada ketika itu. John mahukan kedua-duanya tetapi Lori tidak mahu Ted ada di dalam hidup mereka. Ted pula merasakan dia perlu sentiasa bersama John kerana itulah janji dia terhadap John. Jadi, pilihan yang John lakukan ini sebenarnya yang mencorakkan perjalanan filem ini dan sememangnya aku menyukai filem arahan Seth MacFarlane yang juga merangkap sebagai penulis skrip filem ini serta menyumbang suara untuk watak Ted.





Selain jalan ceritanya yang agak unik, perkembangan watak-watak utamanya juga wajar dipuji. Selain watak John dan Ted yang bagi aku berjaya mencuit hati dan ada falsafah tersendiri, watak Lori juga sebenarnya amat menarik untuk dilihat. Lori menyukai John bukan kerana John kacak, dikenali atau kaya tetapi kerana kelucuan serta sifat misteri yang ada pada John. Disebabkan itu Lori langsung tidak berminat dengan bosnya iaitu Rex, seorang yang kaya, kacak dan berpengaruh walaupun Rex tidak henti-henti cuba menggodanya.




Aku sukakan filem sebegini sebab ia merujuk kepada nilai kehidupan kita sehari-hari. Pilihan hidup yang memang sentiasa wujud dan setiap daripada kita perlu memilih antara satu pilihan dan pilihan itu mungkin akan merubah hidup kita kepada lebih baik atau sebaliknya. Filem ini juga sebenarnya mengajar kita bertolak ansur dan belajar untuk menerima kekurangan dan kelebihan pasangan kita sendiri. Selain unsur humor yang boleh diterima, filem Ted memang menarik untuk ditonton. Selamat menonton dan semoga terhibur. Sekian!


P/S : Filem Apa Sekarang Yang Menarik Dekat Pawagam Yer? (^_^)Y




7/11/12

Review Filem Skyfall



Filem:
Skyfall


Pengarah:
Sam Mendes


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Jenayah


Pelakon:
 Daniel Craig, Javier Bardem, Judi Dench, Naomie Harris,
Ralph Fiennes, Ben Whishaw, Albert Finnie, Rory Kinnear & Etc.


Penilaian:
9 / 10


Sinopsis:

Filem ini dimulakan dengan babak operasi di Istanbul dimana James Bond dikhabarkan telah mati akibat ditembak oleh rakan operasinya tanpa sengaja sewaktu sedang cuba memberkas salah seorang penjenayah yang dikehendaki. Susulan kematian James Bond tersebut maka identiti ejen perisik terkenal lain yang bekerja di M16 mula dibocorkan oleh pihak pengganas di internet. Akibat kejadian tersebut, maka ramai pihak terutamanya kerajaan yang mula mempersoalkan kewibawaan ketua agensi  perisik rahsia, M yang kerap kali gagal dalam mengendalikan misi rahsia. Kejutan berlaku apabila buat pertama kalinya bangunan M16 terlibat dalam serangan pengganas dan Bond yang sebenarnya masih hidup akhirnya muncul untuk membantu M mencari dan cuba memberkas Roul Silva iaitu salah seorang bekas ejen perisik M16 sendiri yang kini dikenali sebagai penjahat paling berbahaya dan amat dikehendaki oleh pihak berkuasa. Persoalannya, mampukah James Bond memberkas Silva yang amat arif mengenai taktik serta strategi yang selalu diguna pakai oleh pihak perisik M16 itu? Saksikan filem hebat ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Rantaian filem ejen perisik bernama James Bond sebelum ini selalunya sudah boleh dijangka. Gadis Bond yang cantik, senjata-senjata atau kenderaan yang canggih dan kejayaan dalam setiap misi yang diberi adalah tiga perkara yang wajib ada di dalam filem-filem ejen 007 sebelum ini. Namun, Skyfall adalah satu-satunya filem Bond yang bagi aku amat lari daripada faktor-faktor yang aku sebutkan di atas dan aku amat menyukai filem ini kerana ia penuh dengan drama.




Dimulakan dengan babak pertarungan yang amat menarik iaitu kejar-mengejar daripada atap hingga membawa kepada pertarungan di atas keretapi yang sedang bergerak. Kemudian, filem ini mula menunjukkan unsur kemanusiaan yang terdapat di dalam diri Bond serta sifat terlalu mementingkan diri yang wujud sejak sekian lama di dalam diri ketua M16 iaitu M yang sebelum ini tidak diberi perhatian. Aku sukakan filem kali ini kerana watak James Bond itu sendiri dicipta dengan gaya serta karisma yang cukup menarik dan watak M pula diangkat serta dikembangkan dan secara tidak langsung menjadikan filem ini lebih bernyawa. Tidak perlu senjata yang canggih! Tidak perlu kenderaan yang terlampau gah! Tidak juga dihidangkan dengan kejelitaan gadis-gadis Bond yang bagi aku kadang-kadang tidak perlu. Tetapi, filem kali ini memaksa James Bond untuk menggunakan kekuatan fizikalnya sendiri untuk berhadapan dengan sebarang situasi sama ada bahaya mahu pun tidak. Inilah yang aku nantikan daripada watak James Bond sejak sekian lama dan Daniel Craig berjaya melakonkan karakter Bond kali ini dengan cukup versatil.




Dan apa yang menariknya kali ini ialah apabila watak antagonis yang perlu dihadapi oleh James Bond itu juga sebenarnya adalah bekas perisik M16 sendiri yang amat memahami serta mengenali selok belok percaturan ketua M16 iaitu M sendiri. Jadi, inilah yang membuatkan filem kali ini cukup berjaya membuatkan aku terhibur dengan plot ceritanya yang menarik. Javier Bardem yang membawakan watak Silva, seorang bekas perisik yang ingin membalas dendam kepada M akibat sikap M sendiri yang terlalu mementingkan diri sememangnya berjaya mewarnai watak Silva itu dengan jayanya. Kelihatan lembut tetapi kejahatan watak Silva ini berjaya diterjemahkan dalam emosi karakter yang dibangunkan dengan cukup baik oleh Javier Bardem.




Watak Q yang dilakonkan oleh Ben Whishaw pula berjaya menggeletek hati penonton. Jika watak Q sebelum ini dipegang oleh pelakon yang lebih berumur namun watak Q dalam filem kali ini ditonjolkan sebagai seorang pemuda yang adakalanya menunjukkan sedikit keangkuhan kerana kebijaksanaannya. Kemudian ditunjukkan bagaimana watak Q sebagai seorang yang muda berurusan dengan Bond yang tergolong dalam kategori veteran. Amat menarik babak yang melibatkan mereka berdua.





Judi Dench amat beruntung kerana filem Skyfall menjadikan kisah hidup watak M sebagai salah satu plot utama filem Bond kali ini. Sangat menarik kerana segala yang berlaku memang ada kena mengena dengan M. Filem ini pasti membuatkan anda tertarik kerana anda dapat melihat bagaimana James Bond yang sedikit keliru sama ada untuk masih mengikuti arahan M yang merupakan orang yang hampir-hampir meragut nyawanya atau pun bekerjasama dengan watak Silva yang sebenarnya menjadi mangsa keangkuhan M sebelum ini.





Dengan soundtrack filem Skyfall yang dinyanyikan oleh Adele yang cukup merdu ditambah dengan montage pengenalan filem yang sangat kreatif disusuli dengan drama-drama serta aksi-aksi pertarungan yang mendebarkan maka boleh dikatakan pelaburan untuk menonton filem Skyfall sangat berbaloi. Jadi, selamat menonton!




P/S : Tak Sabar Nak Menonton Filem The Hobbit : An Expected Journey (^_^)Y