24/06/13

Review Filem World War Z


Filem:
World War Z

Pengarah:
Marc Forster

Genre:
Aksi, Drama & Seram

Pelakon:
Brad Pitt, Mireille Enos, Daniella Kertesz, James Badge Dale & Etc.

Penilaian:
7 / 10

Sinopsis:

Filem ini diangkat dari sebuah novel yang judulnya juga sama dengan nama filem ini iaitu World War Z karya Max Brook yang mengisahkan tentang sebuah wabak yang merebak ke seluruh dunia hingga menyebabkan populasi manusia berubah menjadi zombie dan membunuh serta memusnahkan manusia serta bandar-bandar di seluruh dunia. Penggunaan tentera juga tidak berjaya sehingga Presiden US juga turut terkorban. Jadi, Gerry Lane yang merupakan bekas perisik PBB dipanggil bertugas semula untuk mencari apakah punca dan dari manakah bermulanya wabak tersebut. Demi keluarganya, Gerry terpaksa kembali bertugas dan terpaksa berhadapan dengan serangan zombie yang cukup ganas untuk mencari penawar yang mampu menyelamatkan mereka.


Ulasan Hans:

Apa yang aku suka tentang filem ini ialah nilai kemanusiaan yang cuba dipaparkan. Manusia sanggup menyabung nyawa semata-mata untuk menyiasat punca wabak dan mencari penawar agar keluarga dan manusia lain yang masih bergelar manusia dapat diselamatkan daripada serangan zombie yang sangat ganas dan menggila di dalam filem ini. Aku juga tertarik dengan satu babak di kapal laut tentera apabila keluarga Gerry Lane(lakonan Brad Pitt) terus dipindahkan apabila mereka mendapat berita bahawa Gerry telah terkorban sewaktu bertugas. Di dalam babak ini kita dapat lihat bahawa wujud sistem kasta atau pun lebih tepat lagi mereka masih mementingkan orang-orang yang mereka rasa berkepentingan sahaja untuk duduk bersama berbanding golongan yang mereka anggap membebankan sahaja. Isu kemanusiaan yang memang menarik untuk diperhalusi apabila melihatkan seorang perisik yang telah lama berhenti namun diugut supaya kembali bertugas jika mahu keluarga berada di dalam keadaan yang selamat namun hasilnya indah khabar dari rupa. Sisi kejam golongan elit terserlah di dalam filem ini.


Babak Kegemaran Aku :)

Setiap filem Amerika pasti akan cuba memaparkan propaganda mereka. Walau apa sekali pun yang terjadi pastinya punca bencana bukan berasal daripada mereka dan penyelamat semestinya berasal daripada keturunan mereka. Itu sudah pasti! Namanya pun filem Hollywood. Tidak sah jika tidak mengangkat bakul sendiri. Namun, satu perkara yang menarik di dalam filem ini apabila negara Israel mula ditonjolkan di dalam pertengahan filem ini. Aku mulai skeptikal pada mulanya kerana Israel digambarkan sebagai satu-satunya negara yang masih terselamat daripada serangan wabak zombie itu disebabkan persediaan mereka yang lebih awal daripada mana-mana negara lain di dunia serta pembinaan benteng yang tinggi melindungi seluruh negara Israel. Aku mula terasa sedikit mual apabila memikirkan adakah Israel akan diangkat sebagai negara penyelamat di dalam filem kali ini? Namun, sangkaan aku meleset kerana negara Israel turut sama hancur di dalam filem ini akibat serangan zombie yang menggila. Ada tiga perkara yang aku sedar wujud di dalam filem ini mengenai Israel dimana filem ini cuba memberi tanggapan bahawa Israel merupakan sebuah negara yang degil apabila digambarkan sebagai sebuah negara yang selalunya tidak akan bersetuju dengan keputusan majoriti. Israel juga digambarkan sebagai sebuah negara yang mementingkan diri sendiri. Namun, satu perkara yang aku kurang bersetuju apabila Israel ditunjukkan sebagai sebuah negara yang baik kerana sanggup menerima kedatangan rakyat dari negara lain untuk berlindung di dalam negaranya. Mungkin untuk cuba menghilangkan imej kekejaman Israel selama ini di pandangan mata umat Islam namun itulah propaganda filem ini yang aku sangat tidak bersetuju. Apapun, melihat negara Israel juga hancur seperti mana lain-lain maka aku mula menyukai salah satu falsafah di dalam filem ini "Mother nature is a serial killer. No one's better!"


Brad Pitt Teraju Utama!

Brad Pitt merupakan teraju utama dan pelakon lain cumalah sekadar watak sampingan. Seperti biasa apabila dikatakan watak utama dan semestinya watak penting maka mulalah akan berlaku babak-babak yang tidak munasabah seperti masih terselamat walaupun kapal terbang terhempas dan musnah teruk di kawasan hutan. Watak Gerry juga tiba-tiba mempunyai daya imun badan yang sangat tinggi sehingga sel-sel badannya mampu bersatu dengan patogen sars walaupun hakikatnya Gerry masih dalam keadaan lemah. Itu memang sesuatu yang lucu pada pandangan aku. Walau bagaimanapun, aku amat menyukai gerakan zombie-zombie kali ini yang bagi aku cukup agresif dan adakalanya mampu meningkatkan tahap adrenalin tetapi aku sebenarnya sedikit kecewa dengan tahap grafik yang ditonjolkan melalui zombie-zombie tersebut yang bagi aku kurang menyerlah. Aku juga kurang berkenan dengan pengakhiran filem ini. Mungkin ada yang suka dan mungkin ada yang tidak tetapi bagi aku pengakhirannya yang lebih kurang sama seperti filem The Darkers Hour dan semestinya aku tidak suka filem ditamatkan dengan cara sebegitu. Apa-apapun, filem ini mengenai manusia dan kemanusiaan. Jika anda ada kegunaan maka anda ada kelebihan. Jika anda hanyalah manusia yang cuma dianggap sebagai liabiliti maka anda akan disingkirkan secepat mungkin. Masih sebuah filem yang menarik. Jadi, selamat menonton! (^_^)Y




5/06/13

Review Filem KIL



Filem:
KIL

Pengarah:
Nik Amir Mustapha

Genre:
Drama, Romantik & Misteri

Pelakon:
Redza Minhat, Christina Suzanne Stockstill, Harun Salim Bachik,
Juliana Evans, Hasnul Rahmat, Anne James, Dira Abu Zahar, Ella & Etc.

Penilaian:
8/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Akil(KIL) yang mengalami tekanan dan cenderung untuk membunuh diri tetapi dia tidak mampu untuk melakukan perkara tersebut. Pelbagai perkara yang dilakukannya untuk membunuh diri namun semuanya menemui kegagalan sehinggalah dia menemui sebuah agensi aneh yang membantu pelanggannya untuk membunuh diri.  KIL bersetuju dengan segala syarat yang dikenakan syarikat terbabit dimana dia tidak akan tahu siapa pembunuh upahan yang diupah untuk membunuh beliau dan dimana lokasi dia akan mati dibunuh. Bagi KIL ini adalah jalan terbaik untuk dia namun segalanya berubah apabila dia bertemu dengan seorang gadis bernama Zara. Gara - gara pertemuan tersebut maka tujuan asalnya untuk membunuh diri mula berubah namun segala-galanya tidak boleh ditarik balik. KIL terpaksa menanti hari-hari kematiannya dan siapakah pembunuhnya serta bagaimana kematiannya berlaku? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Filem yang dikatakan menjalani pengambaran hanya selama 11 hari namun hampir 2 tahun aku terpaksa menunggu filem KIL ini ditayangkan di pawagam dan akhirnya penantian ini berakhir dengan suatu perasaan yang agak menggembirakan usai menontonnya pada petang tadi. Alhamdulillah sebuah filem yang menarik dan memang filem sebegini menjadi kegemaran aku. Walaupun mungkin penceritaannya agak perlahan tetapi aku suka dengan plot ceritanya yang dikembangkan dengan agak menarik dan sesekali dihiburkan dengan sedikit humor yang berjaya menarik perhatian aku untuk kekal menonton sehingga akhir walaupun adakalanya fikiran aku sedikit terawang-awangan dek kerana beberapa babak 'kesunyian' yang wujud dalam filem ini.

Babak Permulaan Filem KIL

Filem KIL berkisar tentang cubaan Akil untuk membunuh diri bagi menghilangkan segala perasaan negatif atau sedih di dalam diri namun dia tidak mampu untuk melakukannya keseorangan. Pelbagai cara dilakukan seperti pada babak awal filem ini dimana Akil cuba membunuh diri di dalam kereta dengan menyambungkan salur asar kenderaan masuk ke dalam kereta namun akhirnya dia berputus asa dan keluar daripada kenderaan dengan keadaan yang lemah. Akil juga cuba membunuh diri dengan cuba untuk terjun dari atas bangunan yang tinggi namun kakinya kaku untuk turut sama mengikut fikirannya yang terpesong itu.

Salah Satu Babak Yang Menarik Perhatian Aku

Namun satu babak menarik dimana Akil cuba menyelamatkan seorang remaja perempuan yang memakai baju sekolah lakonan Juliana Evans yang juga cuba membunuh diri dengan terjun dari atas bangunan kerana kecewa akibat putus cinta amat menarik perhatian untuk dikupas. Akil menyelamat dan menasihatkan gadis tersebut bahawa membunuh diri untuk seorang lelaki berwajah jongos adalah sia-sia kerana si gadis masih muda, cantik dan banyak lagi jejaka di luar sana yang lebih kacak boleh dicari. Aku setuju dengan kata-kata Akil yang juga sebenarnya merupakan sindiran kepada ramai remaja di luar sana yang mengambil jalan bodoh iaitu membunuh diri kerana putus cinta. Ironinya disini ialah Akil juga cuba membunuh diri tetapi atas sebab apa? Adakah membunuh diri untuk masalah-masalah yang dialami oleh Akil ini sebenarnya tidak sia-sia seperti masalah yang dihadapi oleh gadis tadi? Itu yang membuatkan aku terasa filem ini menarik untuk dihayati.

Akil Seorang Manusia Yang Terlampau Sunyi Kehidupannya...

Akil juga sebenarnya tidak gemar bersosial jika dilihat kepada hidup dan juga pengakuannya sendiri yang tidak mempunyai kawan. Akibatnya, Akil tiada sesiapa untuk dia berkongsi segala suka,duka, masalah atau pun untuk bermanja menyebabkan kadang-kadang Akil mengalami halunisasi. Melalui beberapa babak di pejabat tempat Akil bekerja, maka kita boleh lihat Akil lebih suka memencilkan diri dan kebanyakkan rakan-rakan sekerja jarang atau kekok untuk berkomunikasi dengan Akil dan ini dibantu oleh satu babak melibatkan Akil dan bos tempat kerjanya dimana bos Akil cuba menasihati dia agar bergaul dengan rakan-rakan sekerja.

Salah Satu Adegan Di Dalam Filem KIL

Aku tidak mahu memberita apa punca sebenar Akil mahu membunuh diri di dalam ulasan ini namun satu masalah Akil yang aku lihat ialah dia tiada sesiapa di sekitarnya untuk dia berkongsi masalah dan akibat rasa bersalahnya terhadap kejadian masa lampau maka dia mengambil keputusan untuk mengupah syarikat Life Action Bureau(LAB) untuk menamatkan riwayatnya. Namun, kemunculan Zara selepas itu sememangnya merubah pemikiran Akil dan kedatangan Zara di dalam hidupnya menyebabkan Akil merasakan jiwanya tidak lagi kosong. Dia sudah ada tempat untuk dia mencurahkan segala suka duka kehidupannya. Dia boleh menonton wayang mahu pun makan malam dengan ditemani Zara. Senang cakap Akil sudah merasakan yang dia sudah ada seseorang yang mampu untuk menggantikan segala-gala yang dia pernah hilang sebelum ini. Namun, akibat tindakan bodoh Akil yang mengupah syarikat LAB untuk membunuhnya gara-gara terlalu mengikut perasaan dan sememangnya ia sudah terlambat untuk Akil berpatah balik. Itulah satu perkara yang menarik di dalam filem ini mengenai berharganya sebuah kehidupan yang dimiliki oleh semua orang namun tidak semua yang menyedari perihal tersebut.

Adakah Karakter Zara Ialah Seorang Wanita Psiko?

Ada beberapa watak serta adegan yang pasti akan berjaya mengelirukan anda sewaktu anda cuba untuk meneka apakah yang akan terjadi dan apakah kesudahan kisah filem ini. Mungkin tema filem ini yang mengupas mengenai kisah membunuh diri agak berat dan baru bagi kebanyakkan penonton tempatan namun di akhir penceritaan maka anda akan lihat apa sebenarnya mesej yang cuba disampaikan dan mungkin juga anda akan bersetuju dengan pendapat aku bahawa kehidupan serta nyawa yang diberi kepada kita ini adalah sesuatu yang perlu disyukuri serta dihargai sepanjang masa. Penyelesaian kepada setiap masalah terutama masalah yang sukar atau serius bukannya hanya dengan jalan pintas iaitu membunuh diri kerana membunuh diri langsung tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menambah masalah kepada orang-orang yang rapat dan ada hubung kait dengan diri sesiapa yang membunuh diri tersebut.

Ella Muncul Sebagai Cameo Di Dalam Filem Kil

Sinematografi filem ini amat menarik dan jika dilihat kepada pengambaran filem ini yang hanya berlangsung selama 11 hari maka mungkin anda seperti tidak percaya melihat hasilnya boleh menjadi sebaik itu. Lakonan Redza Minhat juga semakin matang jika dilihat pada penampilan awalnya di dalam filem Pisau Cukur manakala lakonan pendatang baru Christina Suzanne yang bakatnya dicungkil melalui program Pilih Kasih juga bolehlah dianggap membanggakan. Walaupun masih ada beberapa kelemahan terutama daripada lakonan pelakon-pelakon tambahan yang sedikit lemah serta mungkin filem ini adakalanya sedikit 'draggy' namun bagi aku filem KIL masih sebuah filem yang menarik untuk anda tonton dan semoga anda gembira dengan filem ini. Cuma ia mungkin lebih baik jika versi asalnya dikekalkan. Tahniah kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan filem KIL. Disebabkan sudah sekian lama tidak mencoretkan sebarang ulasan di sini maka aku terasa sedikit kekok! Hahaha. Sekian!

P/S : Teringat Satu Babak Di Dalam Filem KIL Dimana Akil Dan Zara Sedang Menonton Filem Di Pawagam Coliseum Dan Zara Mengatakan Ramai Betul Orang Yang Menonton! Aku Memandang Sekeliling Dan Memang Jumlah Penonton Di Dalam Panggung Lebih Kurang Sama Sahaja Dengan Jumlah Penonton Di Dalam Filem. Hahaha! 
   


23/03/13

Review Filem The Croods


Filem:
The Croods

Pengarah:
Kirk De Micco & Chris Sanders

Genre:
Animasi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Nicolas Cage, Ryan Reynolds, Emma Stone, Catherine Keener,
Cloris Leachman, Clark Duke, Chris Sanders, Randy Thom & Etc.

Penilaian:
9 / 10

Sinopsis:

Filem yang berlatar belakang zaman prasejarah ini mengisahkan Grug, seorang lelaki yang menjadi ketua kepada keluarganya dan mereka hidup di kawasan gunung berapi yang cukup bahaya. Kedudukan Grug sebagai ketua pemburu di dalam keluarganya tercabar dengan kehadiran seorang pemuda bernama Guy yang genius dan mampu mencipta api. Masalah menjadi lebih sukar apabila anak perempuan Grug iaitu Eep jatuh cinta dengan Guy. Disebabkan gempa bumi telah melanda dan mengakibatkan kawasan gua yang menjadi tempat tinggal keluarga Grug musnah maka mereka terpaksa mengikut Guy mencari kawasan penempatan baru. Grug semakin cemburu apabila kesemua ahli keluarganya mula menyukai dan mengagumi kehebatan Guy dan ini menyebabkan Grug mula melakukan sesuatu untuk menambat kembali hati keluarganya tetapi dalam masa yang sama menyebabkan misi perjalanan mereka semua dilanda kesusahan.

Ulasan Hans:

Filem yang memaparkan tentang perjuangan seorang ayah yang cuba melindungi keluarganya dengan cara tradisional dan menolak segala bentuk pemodenan yang dianggap kesemuanya sebagai bahaya amat menarik perhatian aku. Kedatangan Guy sebenarnya langsung tidak berniat untuk mengubah sesiapa tetapi disebabkan kebijaksanaan dan kebaikan yang ada padanya berjaya menarik perhatian kesemua ahli keluarga Grug untuk lebih yakin dengannya walaupun baru beberapa hari bertemu sedangkan Grug telah pun bersama mereka dalam tempoh yang memang cukup lama. Eep seorang gadis remaja yang memang sifatnya ingin tahu dan tahu tetapi oleh kerana pemahaman ayahnya yang menganggap apa sahaja perkara yang baru itu adalah membahayakan nyawa mereka jadi keinginan Eep tersekat disitu. Eep sentiasa berselisih pendapat dengan ayahnya kerana baginya tak akan semua perkara di dalam dunia ini membahayakan mereka manakala ayahnya pula sebenarnya hanyalah berniat untuk melindungi keluarganya cuma caranya sahaja salah.


Kisah Kasih Sayang Antara Bapa Dan Anaknya :)

Masalah seperti ini sebenarnya melanda banyak keluarga di dunia ini tidak terkecuali di Amerika mahu pun di Malaysia sendiri. Kerisauan terlampau ibu bapa membuatkan mereka terlalu mengongkong si anak sehinggakan si anak berasa rimas dan mula memberontak. Aku tertarik dengan ayat-ayat yang keluar daripada karakter Guy dimana ibu bapanya meminta si anak menikmati dan mencari cahaya matahari. Sangat menarik untuk direnungkan. Bagi aku kongkongan ibu itu masih perlu tetapi bagaimana cara dan batas-batas kongkongan itu perlu dikenal pasti. Kebanyakan ibu bapa sukar atau tidak mahu untuk menerima atau cuba untuk mempelajari perkara baru atau pun mengambil tahu tentang dunia moden yang dilalui anak-anak kini dan filem ini cuba untuk menyampaikannya melalui penyampaian yang cukup santai dan bersahaja.


Semua Karakter Memang Mencuit Hati

Susunan jalan ceritanya ringkas dan mudah untuk difahami. Penuh dengan unsur komedi dan nilai-nilai kekeluargaan serta kasih sayang. Setiap karakter memainkan peranan yang sama-sama penting dalam membantu menguatkan jalan cerita filem ini. Watak Guy seorang lelaki yang bijak tetapi tidak kuat dari segi fizikal. Eep merupakan anak gadis yang kekuatannya sama seperti ayahnya iaitu Grug. Adik beradik Eep juga mempunyai pelbagai karakter ditambah dengan keletah nenek mereka yang cukup mencuit hati. Imaginasi penulis dan juga pengarah filem ini memang cukup mengagumkan terutama apabila misi mereka untuk mencari penempatan baru memasuki dunia hutan rimba yang cukup warna-warni dan penuh dengan kejutan. Makhluk yang kelihatan ganas atau garang sebenarnya makhluk yang cukup manja manakala makhluk yang kelihatan cantik dan comel pula bertindak ganas. Hahaha!


Mencari 'Cahaya' Kehidupan 

Banyak babak-babak yang sebenarnya walaupun dipaparkan secara komedi namun dalam masa yang sama mampu menyentuh hati anda yang menontonnya terutama babak Grug yang cuba membuktikan kepada semua terutama anaknya Eep bahawa dia sebenarnya merupakan seorang lelaki yang lebih hebat berbanding Guy dan bagaimana babak Grug melontarkan semua anaknya ke gunung berdekatan agar mereka terselamat dalam kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi. Memang menyentuh hati dan cukup kuat nilai-nilai keluargaan yang cuba disampaikan di dalam filem ini. Diakhiri dengan lagu Shine Your Way yang merupakan nyanyian Yuna dan Owl City. Memang terbaik!! Filem ini sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Bawalah anak-anak untuk menonton filem ini dan pasti hari anda bersama anak-anak akan dipenuhi dengan penuh keceriaan. Selamat menonton! :-)




10/03/13

Review Filem Rock Oo - Rimba Bara Kembali



Filem:
Rock Oo - Rimba Bara Kembali


Pengarah:
Mamat Khalid


Genre:
Komedi & Muzikal


Pelakon:
Que Haidar, Khir Rahman, Pekin,
Saiful Apek, Azmi Black, Shoffi Jikan & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem Rock Oo - Rimba Bara Kembali merupakan kesinambungan filem Rock yang mengisahkan tentang perjuangan rockers kampung iaitu Rimba Bara yang bersemangat teguh untuk kembali menempa nama di arena muzik tempatan selepas gagal diterima sebagai kumpulan muzik rock pada filem terdahulu. Amy Mat Piah merupakan seorang yang berpegang kepada prinsip pantang anak petani moden mengaku kalah berhajat untuk menyatukan kembali kumpulan Rimba Bara dengan memujuk Jijo, Slash Haji Tapah dan Mi Black kembali dalam kumpulan rock mereka. Walaupun Amy sedar dia tidak mampu untuk menjadi vokalis kumpulan Rimba Bara namun disebabkan jiwanya memang dekat dengan muzik rock maka dia cuba melakukan yang terbaik. Pelbagai dugaan yang terpaksa ditempuhi mereka sebelum akhirnya kumpulan Rimba Bara berjaya menempa nama di arena muzik tempatan.


Ulasan Hans:

Tidak perlu menonton filem Rock yang terdahulu untuk memahami jalan cerita filem Rock Oo - Rimba Bara Kembali yang penuh dengan gaya komedi yang cukup bersahaja gaya Mamat Khalid. Seperti biasa jika anda gemar menonton filem-filem arahan Mamat Khalid pasti anda mengenali parodi yang cuba diketengahkan di dalam setiap filemnya dan apa yang menarik ialah kebanyakan parodi yang ditunjukkan pastinya menjadi dan berjaya menggeletek hati penonton untuk turut sama terhibur dengan jenaka tersebut. Tetapi, aku bukannya mahu membuat ulasan tentang tahap lucu filem ini tetapi sebenarnya aku sukakan intipati dan apa yang Mamat Khalid cuba sampaikan melalui filem ini mengenai dunia rockers. Rock merosakkan manusia atau manusia itu sebenarnya yang merosakkan aliran rock tersebut? Satu perkara menarik untuk dilihat dan diselami disini.




Mungkin pada mata kasar kita yang menonton persembahan rockers yang berambut panjang dan serabai di atas pentas akan merasakan bahawa mereka ini seseorang yang tidak terurus jika dilihat pada penampilan fizikal mereka atau mungkin juga seseorang yang ganas dan kelihatan seperti bukannya manusia yang sopan dan berbudi bahasa. Namun, hakikatnya rockers juga adalah manusia dan bagaimana menariknya Mamat Khalid menunjukkan setiap karakter ahli kumpulan Rimba Bara yang walaupun berjiwa rockers namun tidak lupa tentang kesopanan, agama, penyabar dan juga kuat berusaha untuk mencapai cita-cita mereka.




Bagi ramai orang pasti akan membayangkan Kuala Lumpur merupakan bandar impian yang sentiasa menunaikan cita-cita manusia yang berhijrah ke sana namun di dalam filem ini kumpulan Rimba Bara pula menganggap Kuala Lumpur sebagai bandar penuh penderitaan aku aku cukup tertarik dengan babak mereka terlalu lapar sehingga menanti sebiji ubi kentang yang direbus cukup empuk untuk dimakan serta babak Shoffi Jikan mengigau sehinggakan bersilat akibat terlalu lapar. Mungkin kelihatan lucu tetapi jika diselami secara serius sebenarnya babak itu cukup memberi kesan emosi yang mendalam kepada sesiapa yang pernah mengalami pengalaman seperti itu.




Watak Amy Mat Piah lakonan Que Haidar juga merupakan satu karakter yang cukup menarik bagi aku. Ramai orang berkata gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Ada juga yang berkata 'Practice Makes Perfect' tetapi sememangnya Amy tidak mampu untuk menjadi vokalis yang baik kerana bakatnya bukan kesitu. Tetapi, bakatnya lebih kepada mengurus dan aku cukup suka dengan sikap setiakawan yang ditunjukkan di dalam filem ini. Cukup menarik untuk diteladani dan dipraktikkan!




Satu yang aku suka dengan filem Mamat Khalid ini ialah bagaimana dia meletakkan unsur-unsur kritakan dan patriotik kepada negara melalui beberapa dialog sinis yang ada di dalam filem ini seperti "Gout boleh jatuhkan negara tau!" , "Macam kapal selam. Kalau tak boleh selam, naik ke darat. Jadi reban!" serta "Tiga perkara yang boleh meruntuhkan negara. Pertama ialah rasuah. Kedua tidak menepati masa. Dan ketiga ialah cinggay!" Walaupun disampaikan di dalam suasana lucu namun kata-kata ini sebenarnya sangat kuat dan cukup patriotisme bagi aku. Tahniah kepada yang terlibat di dalam memasukkan kata-kata sebegini! Terbaik!




Satu lagi perkara yang menarik perhatian aku di dalam filem ini adalah bagaimana era rock ini ditunjukkan berkubur apabila kerajaan mengawal aliran muzik ini dan ini semua ditunjukkan melalui keratan akhbar serta babak rambut rockers digunting pendek. Rockers jika rambutnya digunting maka apa yang tinggal? Punah lah maruah seorang rockers. Begitu simboliknya bagaimana jatuh bangun sehingga berkuburnya aliran rock yang cukup rancak di Malaysia pada ketika itu ditunjukkan dengan jayanya melalui filem ini. "Kemampuanmu Terlalu Besar" - salah satu ayat yang keluar daripada mulut watak utama filem ini iaitu Amy Mat Piah memang cukup besar maknanya pada aku. Selamat menonton dan semoga kalian semua terhibur dengan filem ini. Jumpa lagi pada ulasan filem yang lain pada masa akan datang. Assalammualaikum! 


P/S : Filem Apa Pula Nak Tonton Lepas Nih Yer? Cadangan? (^_^)Y




1/03/13

Review Filem Jack The Giant Slayer



Filem:
Jack The Giant Slayer


Pengarah:
Bryan Singer


Genre:
Pengembaraan, Drama & Fantasi


Pelakon:
Nicholas Hoult, Eleanor Tomlinson, Ewan McGregor, Stanley Tucci,
Eddie Marsan, Ewen Bremner, Ian McShane, Christopher Fairbank & Etc.


Penilaian:
6 / 10


Sinopsis:


Filem ini mengisahkan tentang seorang petani muda bernama Jack yang tidak sengaja telah menghubungkan dunia manusia dengan dunia gergasi melalui sebuah kacang ajaib yang terjatuh di atas tanah. Disebabkan hal tersebut, Puteri Isabelle telah terperangkap di dalam tempat gergasi dan Jack serta pengawal istana lain bertanggungjawab untuk menyelamatkannya kembali. Tetapi, Roderick yang bakal berkahwin dengan Puteri Isabelle telah belot dan berjaya mengawal serta menundukkan semua gergasi tersebut sebagai tenteranya untuk menyerang seluruh kerajaan manusia dengan bantuan mahkota lama. Gergasi-gergasi tersebut yang sudah lama berdendam dengan manusia mula turun ke darat dan menyerang kerajaan Puteri Isabelle. Mampukah manusia menewaskan gergasi-gergasi ini? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Lama betul aku tidak mengemaskini blog filem yang satu ini. Sebelum ini aku sudah menonton filem Beautiful Creatures dan filem itu agak menarik bagi aku tetapi mungkin jika ada masa baru aku akan membuat ulasan mengenai filem tersebut. Baiklah! Jack The Giant Slayer adalah sebuah kisah dongeng dan kini ia difilemkan dari versi yang lain sedikit daripada yang biasa kita lihat. Kisah cinta antara dua darjat yang dianggap satu perkara mustahil ialah golongan diraja bercinta dengan rakyat biasa serta sifat tamak manusia yang mahu menguasai dunia dengan cara yang salah merupakan intipati biasa filem-filem yang bercorak sebegini. Sebuah filem yang dapat ditonton dengan gembira  dan santai daripada permulaan hingga akhir dan tiba-tiba aku terfikir bilakah dan akan adakah karya-karya sebegini dihasilkan oleh rakyat Malaysia sendiri menggunakan kisah-kisah rakyat versi tempatan sendiri seperti Badang misalnya. Tidak mustahil tetapi faktor utama pasti adalah kos pembikinan. Kan penerbit-penerbit filem Malaysia?




Aku memang menyukai filem ini dari segi olahan cerita asalnya dan juga kesan khas yang memang menarik dan ada unsur-unsur humor yang membuatkan aku terhibur sepanjang menonton. Cuma jika dicari apa kesalahan terbesar filem ini dan apa yang aku dapat lihat adalah dari segi logiknya. Memanglah jika dilihat keseluruhan filem ini semua sudah tahu mana ada gergasi tinggal jauh di atas awan sana tetapi apa yang aku mahu kongsikan adalah mengenai beberapa perkara yang sedikit mencacatkan filem ini :-




1) Babak gergasi memakai mahkota ajaib milik manusia dengan dua buah jarinya. Amboiiii!!!! Besar pula mahkota tu sampai gergasi tu kena guna dua jari untuk muatkan mahkota tu. Masalahnya mahkota tu dipakai di kepala manusia dan saiz manusia dengan gergasi tu ibarat semut dengan lembu. Nampak tak apa yang cacatnya disini? Hahaha!




2) Sewaktu Jack mengangkat pisau untuk membunuh seekor gergasi di dapur dunia gergasi. Kuat betul Jack untuk mengangkat pisau gergasi dan menikam gergasi tersebut. Adoii!!




3) Paling aku tak dapat terima apabila pengawal-pengawal di istana lawan tarik tali dengan gergasi. Kalau seekor jer gergasi boleh juga lah aku nak terima tetapi ini manusia dengan gergasi sama banyak tapi punya lah susah gergasi tu nak menang lawan tarik tali. Dusta betul! Hahahaha!





Itu antara kecacatan yang aku dapat kesan dari sudut logik sebegitu lah. Tetapi, secara keseluruhannya filem ini memang menarik dan aku rasa terhibur. Pada pendapat aku, menonton filem ini dalam format 3D mungkin lebih memberi nikmat dan kejutan kepada sesiapa yang ingin menonton filem ini. Jadi, selamat menonton! :)


P/S : Ada Sesiapa Sudah Menonton Filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali? Jika Ada Sila Kongsikan Pendapat Anda Disini Juga Yer! (^_^)Y




28/01/13

Review Filem Juvana



Filem:
Juvana


Pengarah:
Faisal Ishak


Genre:
Aksi


Pelakon:
Johan Asari, Zahiril Adzim, Syazwan Zulkifli, Sharnaaz, Shafie Naswip,
Adlin Aman Ramlie, Idzham Ismail, Adam Shah, Khairul Mohamed,
Megat Farzeril Faiz, Shera Aiyob, Sara Ali, Rahhim Omar & Etc.


Penilaian:
6 / 10


Sinopsis:

Filem Juvana merupakan kesinambungan daripada drama televisyen popular, Juvana yang telah disiarkan di TV3 dan memenangi Anugerah Drama Rantaian TV Terbaik Anugerah Skrin 2011. Filem Juvana memaparkan kisah Botak, Apek, Ayam, Kicap, Komeng, Panjang dan Daim setelah Wira Bakti ditutup. Daim yang telah dibebaskan cuba memulakan kehidupan baru dan menyambung persekolahannya. Namun, sejarah hitam hidup tidak memberi laluan mudah untuk Daim membina hidup baru. Botak, Apek, Ayam, Kicap, Komeng dan Panjang telah dipindahkan ke sebuah sekolah juvana lain iaitu Sekolah Indera Sakti untuk meneruskan tempoh hukuman mereka. Di sekolah baru itu Botak mula akrab dengan Apek serta yang lain. Namun, mereka menjadi sasaran Lan Todak, ketua samseng sekolah itu hingga mencabar semangat setia kawan di antara mereka.


Ulasan Hans:

Aku tak tahu kenapa tetapi aku kurang berpuas hati dengan kualiti suara dan visual beberapa babak yang terdapat di dalam filem ini. Kadang-kadang aku masih merasakan seperti aku sedang menonton drama bersiri Juvana di televisyen dan bukannya sedang menonton filem Juvana di pawagam disebabkan faktor tersebut. Aku tidak mendapat kepuasan yang sama seperti mana yang aku peroleh sewaktu menonton drama bersiri Juvana di televisyen. Banyak perkara yang bagi aku berlaku secara tiba-tiba, tidak jelas dan tanpa kekuatan yang kukuh. Mungkin sebab ini adalah filem Juvana dan bukannya drama bersiri Juvana jadi banyak perkara yang terpaksa diringkas atau dipercepatkan sehingga kadang-kadang aku sendiri tidak merasa nikmat yang aku cari sewaktu menonton filem ini.





Permulaan filem ini menunjukkan pelajar-pelajar sekolah Wira Bakti berpeluk dan bersalaman sebelum ditukarkan ke sekolah lain sebenarnya agak menarik tetapi mungkin kerana terlampau panjang dan tidak ditonjol dengan jelas emosi mereka menyebabkan babak itu terasa sedikit lama. Kemudian, sewaktu kenderaan mereka menghadapi masalah dengan secara tiba-tiba sahaja berhenti yang rupa-rupanya disebabkan tayarnya pancit tetapi babak itu tidak kuat dan aku rasa seperti ada yang tidak kena. Entah!





Aku cukup suka dengan babak yang melibatkan Daim dengan ketua kilang bata tempat Daim bekerja dan tumpang berteduh yang jika tidak silap aku dilakonkan oleh Kenji Sawahi. Aku suka dengan dialog-dialog yang melibatkan mereka berdua kerana secara asasnya itulah teori atau pemikiran kebanyakkan daripada masyarakat kita yang suka melihat kepada luaran dan dengan senang hati menjatuhkan hukum tanpa mahu mendengar penjelasan atau alasan daripada manusia yang dituduh atau tertuduh itu. Menarik! Namun, kemunculan pelajar-pelajar nakal di sekolah baru tempat Daim belajar yang ditunjukkan sebagai seorang yang kacak tetapi sebenarnya bebal yang aku lupa apa namanya memang potong stim betul. Sebabnya? Sebab aku dah boleh mengagak apa yang akan berlaku dan mungkin disebabkan kejahatannya tidak sehebat watak Botak sewaktu di sekolah Wira Bakti dahulu menyebabkan aku merasakan emosi watak Daim langsung tidak terusik sebenarnya.





Pertukaran karakter antara dua watak di dalam filem ini menerusi watak Botak dan Apek sebenarnya sangat berjaya bagi aku. Yang jahat berubah menjadi baik dan yang baik berubah menjadi jahat disebabkan satu masalah yang sama sebenarnya memang cukup menggembirakan aku. Babak Botak menangis kerana tidak tahu membaca Al-Quran dan apabila dia menyatakan adakah Tuhan akan menerima orang sepertinya sememangnya agak memberi kesan kepada aku yang menonton. Karakter Apek yang berubah ke arah  negatif juga agak menarik disebabkan rasa bersalah yang dirasainya terhadap pemergian ibunya itu bukan sahaja diletakkan kepada orang lain tetapi juga dirinya sendiri. Syazwan yang membawakan watak Apek telah berjaya menjadikan watak tersebut lebih kuat berbanding semasa di dalam drama Juvana. Satu peningkatan yang menarik.





Lan Todak yang dibawakan oleh Shaarnaz pula bagi aku terlampau melebih-lebih dan agak keterlaluan. Adakalanya aku merasai kejahatannya! Adakala aku merasaikan sifat psiko yang ada dalam jiwanya! Adakalanya aku rasa mamat ini seperti baru lepas menghisap dadah! Dan apa yang paling aku terasa adalah watak Lan Todak ini sudah bertukar menjadi seperti kartun yang ganas. Shaarnaz sudah berjaya menjelmakan jiwa Lan Todak tetapi akibat terlampau cuba menjiwai barangkali menyebabkan hilangnya sifat antagonis Lan Todak yang aku harapkan. Ada beberapa perkara yang aku kurang faham atau mungkin aku terlebih faham. Salah satunya aku kurang mengerti kenapa dan apa puncanya Lan Todak membunuh Jamal sedangkan Jamal boleh dikatakan orang yang paling rapat dengannya. Kenapa pengetua Sekolah Indera Sakti begitu membenci budak-budak Wira Bakti? Bagaimana secara tiba-tiba budak-budak Sekolah Indera Sakti boleh merusuh dan memperoleh berbagai-bagai senjata? Mungkin aku telah 'lost' di tengah jalan sewaktu menonton atau sebaliknya. Aku pun tidak pasti.





Tetapi, babak yang melibatkan Nabila Huda sebagai jururawat yang memandang Jamal yang telah pun mati di atas katil tanpa ada sebarang rasa kesedihan di raut wajah sebenarnya agak menarik bagi aku. Apa yang aku andaikan ialah jururawat tersebut kemungkinan berfikir,"Memang layak pun kau mati disini sebab kau tu budak jahat! Kau budak bermasalah! Hidup pun tak berguna sebab menyusahkan sahaja! Baik kau mati! Kerja aku pun jadi senang!" Dan satu watak ini sebenarnya adalah cerminan kepada ramai orang di luar sana yang aku sebutkan dari awal tadi iaitu lebih suka menghukum, tiada siapa memaafkan, tiada sifat untuk memberi peluang dan prejudis kepada insan-insan yang mungkin terlanjur atau terjebak ke arah perkara negatif sebegini. Itu andaian aku sendiri tetapi aku sukakan babak itu sebenarnya walaupun mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan aku.





Apa-apapun, satu percubaan yang baik daripada semua pihak yang terlibat di dalam pembikinan filem ini. Bagi aku memang sukar untuk drama bersiri diangkat dan disambung pula kisahnya kepada filem kerana banyak watak yang perlu dikembang dan dikuatkan sedangkan masa yang ada sangat terhad tetapi secara keseluruhan idea dan jalan ceritanya masih baik walaupun sebenarnya masih banyak kelemahan yang perlu di atasi terutamanya dari segi bunyi, warna, lagu serta sinematografinya. Mungkin Juvana lebih menarik jika dijadikan drama bersiri sahaja kerana kepuasan menontonnya adalah lebih tinggi berbanding menonton filem. Apa-apapun, terima kasih kerana filem ini secara tidak langsung berjaya mengubati rindu aku terhadap watak-watak di dalam drama bersiri Juvana. Sekian!



P/S : Aku Berharap Akan Ada Drama Bersiri Juvana Musim Ke-2 Dan Yang Pasti Aku Mahukan Alfie Palermo Dikekalkan Sebagai Penulisnya Kerana Idea Yang Beliau Cetuskan Memang Menarik! Tahniah Alfie! (^_^)Y