24/06/13

Review Filem World War Z


Filem:
World War Z

Pengarah:
Marc Forster

Genre:
Aksi, Drama & Seram

Pelakon:
Brad Pitt, Mireille Enos, Daniella Kertesz, James Badge Dale & Etc.

Penilaian:
7 / 10

Sinopsis:

Filem ini diangkat dari sebuah novel yang judulnya juga sama dengan nama filem ini iaitu World War Z karya Max Brook yang mengisahkan tentang sebuah wabak yang merebak ke seluruh dunia hingga menyebabkan populasi manusia berubah menjadi zombie dan membunuh serta memusnahkan manusia serta bandar-bandar di seluruh dunia. Penggunaan tentera juga tidak berjaya sehingga Presiden US juga turut terkorban. Jadi, Gerry Lane yang merupakan bekas perisik PBB dipanggil bertugas semula untuk mencari apakah punca dan dari manakah bermulanya wabak tersebut. Demi keluarganya, Gerry terpaksa kembali bertugas dan terpaksa berhadapan dengan serangan zombie yang cukup ganas untuk mencari penawar yang mampu menyelamatkan mereka.


Ulasan Hans:

Apa yang aku suka tentang filem ini ialah nilai kemanusiaan yang cuba dipaparkan. Manusia sanggup menyabung nyawa semata-mata untuk menyiasat punca wabak dan mencari penawar agar keluarga dan manusia lain yang masih bergelar manusia dapat diselamatkan daripada serangan zombie yang sangat ganas dan menggila di dalam filem ini. Aku juga tertarik dengan satu babak di kapal laut tentera apabila keluarga Gerry Lane(lakonan Brad Pitt) terus dipindahkan apabila mereka mendapat berita bahawa Gerry telah terkorban sewaktu bertugas. Di dalam babak ini kita dapat lihat bahawa wujud sistem kasta atau pun lebih tepat lagi mereka masih mementingkan orang-orang yang mereka rasa berkepentingan sahaja untuk duduk bersama berbanding golongan yang mereka anggap membebankan sahaja. Isu kemanusiaan yang memang menarik untuk diperhalusi apabila melihatkan seorang perisik yang telah lama berhenti namun diugut supaya kembali bertugas jika mahu keluarga berada di dalam keadaan yang selamat namun hasilnya indah khabar dari rupa. Sisi kejam golongan elit terserlah di dalam filem ini.


Babak Kegemaran Aku :)

Setiap filem Amerika pasti akan cuba memaparkan propaganda mereka. Walau apa sekali pun yang terjadi pastinya punca bencana bukan berasal daripada mereka dan penyelamat semestinya berasal daripada keturunan mereka. Itu sudah pasti! Namanya pun filem Hollywood. Tidak sah jika tidak mengangkat bakul sendiri. Namun, satu perkara yang menarik di dalam filem ini apabila negara Israel mula ditonjolkan di dalam pertengahan filem ini. Aku mulai skeptikal pada mulanya kerana Israel digambarkan sebagai satu-satunya negara yang masih terselamat daripada serangan wabak zombie itu disebabkan persediaan mereka yang lebih awal daripada mana-mana negara lain di dunia serta pembinaan benteng yang tinggi melindungi seluruh negara Israel. Aku mula terasa sedikit mual apabila memikirkan adakah Israel akan diangkat sebagai negara penyelamat di dalam filem kali ini? Namun, sangkaan aku meleset kerana negara Israel turut sama hancur di dalam filem ini akibat serangan zombie yang menggila. Ada tiga perkara yang aku sedar wujud di dalam filem ini mengenai Israel dimana filem ini cuba memberi tanggapan bahawa Israel merupakan sebuah negara yang degil apabila digambarkan sebagai sebuah negara yang selalunya tidak akan bersetuju dengan keputusan majoriti. Israel juga digambarkan sebagai sebuah negara yang mementingkan diri sendiri. Namun, satu perkara yang aku kurang bersetuju apabila Israel ditunjukkan sebagai sebuah negara yang baik kerana sanggup menerima kedatangan rakyat dari negara lain untuk berlindung di dalam negaranya. Mungkin untuk cuba menghilangkan imej kekejaman Israel selama ini di pandangan mata umat Islam namun itulah propaganda filem ini yang aku sangat tidak bersetuju. Apapun, melihat negara Israel juga hancur seperti mana lain-lain maka aku mula menyukai salah satu falsafah di dalam filem ini "Mother nature is a serial killer. No one's better!"


Brad Pitt Teraju Utama!

Brad Pitt merupakan teraju utama dan pelakon lain cumalah sekadar watak sampingan. Seperti biasa apabila dikatakan watak utama dan semestinya watak penting maka mulalah akan berlaku babak-babak yang tidak munasabah seperti masih terselamat walaupun kapal terbang terhempas dan musnah teruk di kawasan hutan. Watak Gerry juga tiba-tiba mempunyai daya imun badan yang sangat tinggi sehingga sel-sel badannya mampu bersatu dengan patogen sars walaupun hakikatnya Gerry masih dalam keadaan lemah. Itu memang sesuatu yang lucu pada pandangan aku. Walau bagaimanapun, aku amat menyukai gerakan zombie-zombie kali ini yang bagi aku cukup agresif dan adakalanya mampu meningkatkan tahap adrenalin tetapi aku sebenarnya sedikit kecewa dengan tahap grafik yang ditonjolkan melalui zombie-zombie tersebut yang bagi aku kurang menyerlah. Aku juga kurang berkenan dengan pengakhiran filem ini. Mungkin ada yang suka dan mungkin ada yang tidak tetapi bagi aku pengakhirannya yang lebih kurang sama seperti filem The Darkers Hour dan semestinya aku tidak suka filem ditamatkan dengan cara sebegitu. Apa-apapun, filem ini mengenai manusia dan kemanusiaan. Jika anda ada kegunaan maka anda ada kelebihan. Jika anda hanyalah manusia yang cuma dianggap sebagai liabiliti maka anda akan disingkirkan secepat mungkin. Masih sebuah filem yang menarik. Jadi, selamat menonton! (^_^)Y




6 ulasan:

  1. filem ni memang 5 star la.. aku tengok memang thrill citer ni.. huhu...

    BalasPadam
  2. filem ni saya bagi 4 bintang. boleh jenguk sini ^^
    http://sinarcintaku.blogspot.com/2013/06/review-filem-world-war-z.html

    BalasPadam
  3. tak tau kenapa tapi i am a bit judgmental when reading a film title. that's why i always make quick assumption that this film is boring la apa la padahal belum lagi watch hehe.

    BalasPadam
  4. tadi nak p tgk, ramai pulak tgk, last2x tgk monster university. memang best!. siapa yang dah tgk monster inc, kena tgk monster universiti..tak sabar nk tggu despicable me 2.

    BalasPadam
  5. filem yg memaparkan nilai kemanusiaan yg tinggi tapi hakikat sebenarnya sebaliknya kot...

    BalasPadam
  6. Salam..telah add anda sebagai follower

    BalasPadam