23/03/13

Review Filem The Croods


Filem:
The Croods

Pengarah:
Kirk De Micco & Chris Sanders

Genre:
Animasi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Nicolas Cage, Ryan Reynolds, Emma Stone, Catherine Keener,
Cloris Leachman, Clark Duke, Chris Sanders, Randy Thom & Etc.

Penilaian:
9 / 10

Sinopsis:

Filem yang berlatar belakang zaman prasejarah ini mengisahkan Grug, seorang lelaki yang menjadi ketua kepada keluarganya dan mereka hidup di kawasan gunung berapi yang cukup bahaya. Kedudukan Grug sebagai ketua pemburu di dalam keluarganya tercabar dengan kehadiran seorang pemuda bernama Guy yang genius dan mampu mencipta api. Masalah menjadi lebih sukar apabila anak perempuan Grug iaitu Eep jatuh cinta dengan Guy. Disebabkan gempa bumi telah melanda dan mengakibatkan kawasan gua yang menjadi tempat tinggal keluarga Grug musnah maka mereka terpaksa mengikut Guy mencari kawasan penempatan baru. Grug semakin cemburu apabila kesemua ahli keluarganya mula menyukai dan mengagumi kehebatan Guy dan ini menyebabkan Grug mula melakukan sesuatu untuk menambat kembali hati keluarganya tetapi dalam masa yang sama menyebabkan misi perjalanan mereka semua dilanda kesusahan.

Ulasan Hans:

Filem yang memaparkan tentang perjuangan seorang ayah yang cuba melindungi keluarganya dengan cara tradisional dan menolak segala bentuk pemodenan yang dianggap kesemuanya sebagai bahaya amat menarik perhatian aku. Kedatangan Guy sebenarnya langsung tidak berniat untuk mengubah sesiapa tetapi disebabkan kebijaksanaan dan kebaikan yang ada padanya berjaya menarik perhatian kesemua ahli keluarga Grug untuk lebih yakin dengannya walaupun baru beberapa hari bertemu sedangkan Grug telah pun bersama mereka dalam tempoh yang memang cukup lama. Eep seorang gadis remaja yang memang sifatnya ingin tahu dan tahu tetapi oleh kerana pemahaman ayahnya yang menganggap apa sahaja perkara yang baru itu adalah membahayakan nyawa mereka jadi keinginan Eep tersekat disitu. Eep sentiasa berselisih pendapat dengan ayahnya kerana baginya tak akan semua perkara di dalam dunia ini membahayakan mereka manakala ayahnya pula sebenarnya hanyalah berniat untuk melindungi keluarganya cuma caranya sahaja salah.


Kisah Kasih Sayang Antara Bapa Dan Anaknya :)

Masalah seperti ini sebenarnya melanda banyak keluarga di dunia ini tidak terkecuali di Amerika mahu pun di Malaysia sendiri. Kerisauan terlampau ibu bapa membuatkan mereka terlalu mengongkong si anak sehinggakan si anak berasa rimas dan mula memberontak. Aku tertarik dengan ayat-ayat yang keluar daripada karakter Guy dimana ibu bapanya meminta si anak menikmati dan mencari cahaya matahari. Sangat menarik untuk direnungkan. Bagi aku kongkongan ibu itu masih perlu tetapi bagaimana cara dan batas-batas kongkongan itu perlu dikenal pasti. Kebanyakan ibu bapa sukar atau tidak mahu untuk menerima atau cuba untuk mempelajari perkara baru atau pun mengambil tahu tentang dunia moden yang dilalui anak-anak kini dan filem ini cuba untuk menyampaikannya melalui penyampaian yang cukup santai dan bersahaja.


Semua Karakter Memang Mencuit Hati

Susunan jalan ceritanya ringkas dan mudah untuk difahami. Penuh dengan unsur komedi dan nilai-nilai kekeluargaan serta kasih sayang. Setiap karakter memainkan peranan yang sama-sama penting dalam membantu menguatkan jalan cerita filem ini. Watak Guy seorang lelaki yang bijak tetapi tidak kuat dari segi fizikal. Eep merupakan anak gadis yang kekuatannya sama seperti ayahnya iaitu Grug. Adik beradik Eep juga mempunyai pelbagai karakter ditambah dengan keletah nenek mereka yang cukup mencuit hati. Imaginasi penulis dan juga pengarah filem ini memang cukup mengagumkan terutama apabila misi mereka untuk mencari penempatan baru memasuki dunia hutan rimba yang cukup warna-warni dan penuh dengan kejutan. Makhluk yang kelihatan ganas atau garang sebenarnya makhluk yang cukup manja manakala makhluk yang kelihatan cantik dan comel pula bertindak ganas. Hahaha!


Mencari 'Cahaya' Kehidupan 

Banyak babak-babak yang sebenarnya walaupun dipaparkan secara komedi namun dalam masa yang sama mampu menyentuh hati anda yang menontonnya terutama babak Grug yang cuba membuktikan kepada semua terutama anaknya Eep bahawa dia sebenarnya merupakan seorang lelaki yang lebih hebat berbanding Guy dan bagaimana babak Grug melontarkan semua anaknya ke gunung berdekatan agar mereka terselamat dalam kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi. Memang menyentuh hati dan cukup kuat nilai-nilai keluargaan yang cuba disampaikan di dalam filem ini. Diakhiri dengan lagu Shine Your Way yang merupakan nyanyian Yuna dan Owl City. Memang terbaik!! Filem ini sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Bawalah anak-anak untuk menonton filem ini dan pasti hari anda bersama anak-anak akan dipenuhi dengan penuh keceriaan. Selamat menonton! :-)




10/03/13

Review Filem Rock Oo - Rimba Bara Kembali



Filem:
Rock Oo - Rimba Bara Kembali


Pengarah:
Mamat Khalid


Genre:
Komedi & Muzikal


Pelakon:
Que Haidar, Khir Rahman, Pekin,
Saiful Apek, Azmi Black, Shoffi Jikan & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem Rock Oo - Rimba Bara Kembali merupakan kesinambungan filem Rock yang mengisahkan tentang perjuangan rockers kampung iaitu Rimba Bara yang bersemangat teguh untuk kembali menempa nama di arena muzik tempatan selepas gagal diterima sebagai kumpulan muzik rock pada filem terdahulu. Amy Mat Piah merupakan seorang yang berpegang kepada prinsip pantang anak petani moden mengaku kalah berhajat untuk menyatukan kembali kumpulan Rimba Bara dengan memujuk Jijo, Slash Haji Tapah dan Mi Black kembali dalam kumpulan rock mereka. Walaupun Amy sedar dia tidak mampu untuk menjadi vokalis kumpulan Rimba Bara namun disebabkan jiwanya memang dekat dengan muzik rock maka dia cuba melakukan yang terbaik. Pelbagai dugaan yang terpaksa ditempuhi mereka sebelum akhirnya kumpulan Rimba Bara berjaya menempa nama di arena muzik tempatan.


Ulasan Hans:

Tidak perlu menonton filem Rock yang terdahulu untuk memahami jalan cerita filem Rock Oo - Rimba Bara Kembali yang penuh dengan gaya komedi yang cukup bersahaja gaya Mamat Khalid. Seperti biasa jika anda gemar menonton filem-filem arahan Mamat Khalid pasti anda mengenali parodi yang cuba diketengahkan di dalam setiap filemnya dan apa yang menarik ialah kebanyakan parodi yang ditunjukkan pastinya menjadi dan berjaya menggeletek hati penonton untuk turut sama terhibur dengan jenaka tersebut. Tetapi, aku bukannya mahu membuat ulasan tentang tahap lucu filem ini tetapi sebenarnya aku sukakan intipati dan apa yang Mamat Khalid cuba sampaikan melalui filem ini mengenai dunia rockers. Rock merosakkan manusia atau manusia itu sebenarnya yang merosakkan aliran rock tersebut? Satu perkara menarik untuk dilihat dan diselami disini.




Mungkin pada mata kasar kita yang menonton persembahan rockers yang berambut panjang dan serabai di atas pentas akan merasakan bahawa mereka ini seseorang yang tidak terurus jika dilihat pada penampilan fizikal mereka atau mungkin juga seseorang yang ganas dan kelihatan seperti bukannya manusia yang sopan dan berbudi bahasa. Namun, hakikatnya rockers juga adalah manusia dan bagaimana menariknya Mamat Khalid menunjukkan setiap karakter ahli kumpulan Rimba Bara yang walaupun berjiwa rockers namun tidak lupa tentang kesopanan, agama, penyabar dan juga kuat berusaha untuk mencapai cita-cita mereka.




Bagi ramai orang pasti akan membayangkan Kuala Lumpur merupakan bandar impian yang sentiasa menunaikan cita-cita manusia yang berhijrah ke sana namun di dalam filem ini kumpulan Rimba Bara pula menganggap Kuala Lumpur sebagai bandar penuh penderitaan aku aku cukup tertarik dengan babak mereka terlalu lapar sehingga menanti sebiji ubi kentang yang direbus cukup empuk untuk dimakan serta babak Shoffi Jikan mengigau sehinggakan bersilat akibat terlalu lapar. Mungkin kelihatan lucu tetapi jika diselami secara serius sebenarnya babak itu cukup memberi kesan emosi yang mendalam kepada sesiapa yang pernah mengalami pengalaman seperti itu.




Watak Amy Mat Piah lakonan Que Haidar juga merupakan satu karakter yang cukup menarik bagi aku. Ramai orang berkata gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Ada juga yang berkata 'Practice Makes Perfect' tetapi sememangnya Amy tidak mampu untuk menjadi vokalis yang baik kerana bakatnya bukan kesitu. Tetapi, bakatnya lebih kepada mengurus dan aku cukup suka dengan sikap setiakawan yang ditunjukkan di dalam filem ini. Cukup menarik untuk diteladani dan dipraktikkan!




Satu yang aku suka dengan filem Mamat Khalid ini ialah bagaimana dia meletakkan unsur-unsur kritakan dan patriotik kepada negara melalui beberapa dialog sinis yang ada di dalam filem ini seperti "Gout boleh jatuhkan negara tau!" , "Macam kapal selam. Kalau tak boleh selam, naik ke darat. Jadi reban!" serta "Tiga perkara yang boleh meruntuhkan negara. Pertama ialah rasuah. Kedua tidak menepati masa. Dan ketiga ialah cinggay!" Walaupun disampaikan di dalam suasana lucu namun kata-kata ini sebenarnya sangat kuat dan cukup patriotisme bagi aku. Tahniah kepada yang terlibat di dalam memasukkan kata-kata sebegini! Terbaik!




Satu lagi perkara yang menarik perhatian aku di dalam filem ini adalah bagaimana era rock ini ditunjukkan berkubur apabila kerajaan mengawal aliran muzik ini dan ini semua ditunjukkan melalui keratan akhbar serta babak rambut rockers digunting pendek. Rockers jika rambutnya digunting maka apa yang tinggal? Punah lah maruah seorang rockers. Begitu simboliknya bagaimana jatuh bangun sehingga berkuburnya aliran rock yang cukup rancak di Malaysia pada ketika itu ditunjukkan dengan jayanya melalui filem ini. "Kemampuanmu Terlalu Besar" - salah satu ayat yang keluar daripada mulut watak utama filem ini iaitu Amy Mat Piah memang cukup besar maknanya pada aku. Selamat menonton dan semoga kalian semua terhibur dengan filem ini. Jumpa lagi pada ulasan filem yang lain pada masa akan datang. Assalammualaikum! 


P/S : Filem Apa Pula Nak Tonton Lepas Nih Yer? Cadangan? (^_^)Y




1/03/13

Review Filem Jack The Giant Slayer



Filem:
Jack The Giant Slayer


Pengarah:
Bryan Singer


Genre:
Pengembaraan, Drama & Fantasi


Pelakon:
Nicholas Hoult, Eleanor Tomlinson, Ewan McGregor, Stanley Tucci,
Eddie Marsan, Ewen Bremner, Ian McShane, Christopher Fairbank & Etc.


Penilaian:
6 / 10


Sinopsis:


Filem ini mengisahkan tentang seorang petani muda bernama Jack yang tidak sengaja telah menghubungkan dunia manusia dengan dunia gergasi melalui sebuah kacang ajaib yang terjatuh di atas tanah. Disebabkan hal tersebut, Puteri Isabelle telah terperangkap di dalam tempat gergasi dan Jack serta pengawal istana lain bertanggungjawab untuk menyelamatkannya kembali. Tetapi, Roderick yang bakal berkahwin dengan Puteri Isabelle telah belot dan berjaya mengawal serta menundukkan semua gergasi tersebut sebagai tenteranya untuk menyerang seluruh kerajaan manusia dengan bantuan mahkota lama. Gergasi-gergasi tersebut yang sudah lama berdendam dengan manusia mula turun ke darat dan menyerang kerajaan Puteri Isabelle. Mampukah manusia menewaskan gergasi-gergasi ini? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Lama betul aku tidak mengemaskini blog filem yang satu ini. Sebelum ini aku sudah menonton filem Beautiful Creatures dan filem itu agak menarik bagi aku tetapi mungkin jika ada masa baru aku akan membuat ulasan mengenai filem tersebut. Baiklah! Jack The Giant Slayer adalah sebuah kisah dongeng dan kini ia difilemkan dari versi yang lain sedikit daripada yang biasa kita lihat. Kisah cinta antara dua darjat yang dianggap satu perkara mustahil ialah golongan diraja bercinta dengan rakyat biasa serta sifat tamak manusia yang mahu menguasai dunia dengan cara yang salah merupakan intipati biasa filem-filem yang bercorak sebegini. Sebuah filem yang dapat ditonton dengan gembira  dan santai daripada permulaan hingga akhir dan tiba-tiba aku terfikir bilakah dan akan adakah karya-karya sebegini dihasilkan oleh rakyat Malaysia sendiri menggunakan kisah-kisah rakyat versi tempatan sendiri seperti Badang misalnya. Tidak mustahil tetapi faktor utama pasti adalah kos pembikinan. Kan penerbit-penerbit filem Malaysia?




Aku memang menyukai filem ini dari segi olahan cerita asalnya dan juga kesan khas yang memang menarik dan ada unsur-unsur humor yang membuatkan aku terhibur sepanjang menonton. Cuma jika dicari apa kesalahan terbesar filem ini dan apa yang aku dapat lihat adalah dari segi logiknya. Memanglah jika dilihat keseluruhan filem ini semua sudah tahu mana ada gergasi tinggal jauh di atas awan sana tetapi apa yang aku mahu kongsikan adalah mengenai beberapa perkara yang sedikit mencacatkan filem ini :-




1) Babak gergasi memakai mahkota ajaib milik manusia dengan dua buah jarinya. Amboiiii!!!! Besar pula mahkota tu sampai gergasi tu kena guna dua jari untuk muatkan mahkota tu. Masalahnya mahkota tu dipakai di kepala manusia dan saiz manusia dengan gergasi tu ibarat semut dengan lembu. Nampak tak apa yang cacatnya disini? Hahaha!




2) Sewaktu Jack mengangkat pisau untuk membunuh seekor gergasi di dapur dunia gergasi. Kuat betul Jack untuk mengangkat pisau gergasi dan menikam gergasi tersebut. Adoii!!




3) Paling aku tak dapat terima apabila pengawal-pengawal di istana lawan tarik tali dengan gergasi. Kalau seekor jer gergasi boleh juga lah aku nak terima tetapi ini manusia dengan gergasi sama banyak tapi punya lah susah gergasi tu nak menang lawan tarik tali. Dusta betul! Hahahaha!





Itu antara kecacatan yang aku dapat kesan dari sudut logik sebegitu lah. Tetapi, secara keseluruhannya filem ini memang menarik dan aku rasa terhibur. Pada pendapat aku, menonton filem ini dalam format 3D mungkin lebih memberi nikmat dan kejutan kepada sesiapa yang ingin menonton filem ini. Jadi, selamat menonton! :)


P/S : Ada Sesiapa Sudah Menonton Filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali? Jika Ada Sila Kongsikan Pendapat Anda Disini Juga Yer! (^_^)Y