24/06/13

Review Filem World War Z


Filem:
World War Z

Pengarah:
Marc Forster

Genre:
Aksi, Drama & Seram

Pelakon:
Brad Pitt, Mireille Enos, Daniella Kertesz, James Badge Dale & Etc.

Penilaian:
7 / 10

Sinopsis:

Filem ini diangkat dari sebuah novel yang judulnya juga sama dengan nama filem ini iaitu World War Z karya Max Brook yang mengisahkan tentang sebuah wabak yang merebak ke seluruh dunia hingga menyebabkan populasi manusia berubah menjadi zombie dan membunuh serta memusnahkan manusia serta bandar-bandar di seluruh dunia. Penggunaan tentera juga tidak berjaya sehingga Presiden US juga turut terkorban. Jadi, Gerry Lane yang merupakan bekas perisik PBB dipanggil bertugas semula untuk mencari apakah punca dan dari manakah bermulanya wabak tersebut. Demi keluarganya, Gerry terpaksa kembali bertugas dan terpaksa berhadapan dengan serangan zombie yang cukup ganas untuk mencari penawar yang mampu menyelamatkan mereka.


Ulasan Hans:

Apa yang aku suka tentang filem ini ialah nilai kemanusiaan yang cuba dipaparkan. Manusia sanggup menyabung nyawa semata-mata untuk menyiasat punca wabak dan mencari penawar agar keluarga dan manusia lain yang masih bergelar manusia dapat diselamatkan daripada serangan zombie yang sangat ganas dan menggila di dalam filem ini. Aku juga tertarik dengan satu babak di kapal laut tentera apabila keluarga Gerry Lane(lakonan Brad Pitt) terus dipindahkan apabila mereka mendapat berita bahawa Gerry telah terkorban sewaktu bertugas. Di dalam babak ini kita dapat lihat bahawa wujud sistem kasta atau pun lebih tepat lagi mereka masih mementingkan orang-orang yang mereka rasa berkepentingan sahaja untuk duduk bersama berbanding golongan yang mereka anggap membebankan sahaja. Isu kemanusiaan yang memang menarik untuk diperhalusi apabila melihatkan seorang perisik yang telah lama berhenti namun diugut supaya kembali bertugas jika mahu keluarga berada di dalam keadaan yang selamat namun hasilnya indah khabar dari rupa. Sisi kejam golongan elit terserlah di dalam filem ini.


Babak Kegemaran Aku :)

Setiap filem Amerika pasti akan cuba memaparkan propaganda mereka. Walau apa sekali pun yang terjadi pastinya punca bencana bukan berasal daripada mereka dan penyelamat semestinya berasal daripada keturunan mereka. Itu sudah pasti! Namanya pun filem Hollywood. Tidak sah jika tidak mengangkat bakul sendiri. Namun, satu perkara yang menarik di dalam filem ini apabila negara Israel mula ditonjolkan di dalam pertengahan filem ini. Aku mulai skeptikal pada mulanya kerana Israel digambarkan sebagai satu-satunya negara yang masih terselamat daripada serangan wabak zombie itu disebabkan persediaan mereka yang lebih awal daripada mana-mana negara lain di dunia serta pembinaan benteng yang tinggi melindungi seluruh negara Israel. Aku mula terasa sedikit mual apabila memikirkan adakah Israel akan diangkat sebagai negara penyelamat di dalam filem kali ini? Namun, sangkaan aku meleset kerana negara Israel turut sama hancur di dalam filem ini akibat serangan zombie yang menggila. Ada tiga perkara yang aku sedar wujud di dalam filem ini mengenai Israel dimana filem ini cuba memberi tanggapan bahawa Israel merupakan sebuah negara yang degil apabila digambarkan sebagai sebuah negara yang selalunya tidak akan bersetuju dengan keputusan majoriti. Israel juga digambarkan sebagai sebuah negara yang mementingkan diri sendiri. Namun, satu perkara yang aku kurang bersetuju apabila Israel ditunjukkan sebagai sebuah negara yang baik kerana sanggup menerima kedatangan rakyat dari negara lain untuk berlindung di dalam negaranya. Mungkin untuk cuba menghilangkan imej kekejaman Israel selama ini di pandangan mata umat Islam namun itulah propaganda filem ini yang aku sangat tidak bersetuju. Apapun, melihat negara Israel juga hancur seperti mana lain-lain maka aku mula menyukai salah satu falsafah di dalam filem ini "Mother nature is a serial killer. No one's better!"


Brad Pitt Teraju Utama!

Brad Pitt merupakan teraju utama dan pelakon lain cumalah sekadar watak sampingan. Seperti biasa apabila dikatakan watak utama dan semestinya watak penting maka mulalah akan berlaku babak-babak yang tidak munasabah seperti masih terselamat walaupun kapal terbang terhempas dan musnah teruk di kawasan hutan. Watak Gerry juga tiba-tiba mempunyai daya imun badan yang sangat tinggi sehingga sel-sel badannya mampu bersatu dengan patogen sars walaupun hakikatnya Gerry masih dalam keadaan lemah. Itu memang sesuatu yang lucu pada pandangan aku. Walau bagaimanapun, aku amat menyukai gerakan zombie-zombie kali ini yang bagi aku cukup agresif dan adakalanya mampu meningkatkan tahap adrenalin tetapi aku sebenarnya sedikit kecewa dengan tahap grafik yang ditonjolkan melalui zombie-zombie tersebut yang bagi aku kurang menyerlah. Aku juga kurang berkenan dengan pengakhiran filem ini. Mungkin ada yang suka dan mungkin ada yang tidak tetapi bagi aku pengakhirannya yang lebih kurang sama seperti filem The Darkers Hour dan semestinya aku tidak suka filem ditamatkan dengan cara sebegitu. Apa-apapun, filem ini mengenai manusia dan kemanusiaan. Jika anda ada kegunaan maka anda ada kelebihan. Jika anda hanyalah manusia yang cuma dianggap sebagai liabiliti maka anda akan disingkirkan secepat mungkin. Masih sebuah filem yang menarik. Jadi, selamat menonton! (^_^)Y




5/06/13

Review Filem KIL



Filem:
KIL

Pengarah:
Nik Amir Mustapha

Genre:
Drama, Romantik & Misteri

Pelakon:
Redza Minhat, Christina Suzanne Stockstill, Harun Salim Bachik,
Juliana Evans, Hasnul Rahmat, Anne James, Dira Abu Zahar, Ella & Etc.

Penilaian:
8/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Akil(KIL) yang mengalami tekanan dan cenderung untuk membunuh diri tetapi dia tidak mampu untuk melakukan perkara tersebut. Pelbagai perkara yang dilakukannya untuk membunuh diri namun semuanya menemui kegagalan sehinggalah dia menemui sebuah agensi aneh yang membantu pelanggannya untuk membunuh diri.  KIL bersetuju dengan segala syarat yang dikenakan syarikat terbabit dimana dia tidak akan tahu siapa pembunuh upahan yang diupah untuk membunuh beliau dan dimana lokasi dia akan mati dibunuh. Bagi KIL ini adalah jalan terbaik untuk dia namun segalanya berubah apabila dia bertemu dengan seorang gadis bernama Zara. Gara - gara pertemuan tersebut maka tujuan asalnya untuk membunuh diri mula berubah namun segala-galanya tidak boleh ditarik balik. KIL terpaksa menanti hari-hari kematiannya dan siapakah pembunuhnya serta bagaimana kematiannya berlaku? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Filem yang dikatakan menjalani pengambaran hanya selama 11 hari namun hampir 2 tahun aku terpaksa menunggu filem KIL ini ditayangkan di pawagam dan akhirnya penantian ini berakhir dengan suatu perasaan yang agak menggembirakan usai menontonnya pada petang tadi. Alhamdulillah sebuah filem yang menarik dan memang filem sebegini menjadi kegemaran aku. Walaupun mungkin penceritaannya agak perlahan tetapi aku suka dengan plot ceritanya yang dikembangkan dengan agak menarik dan sesekali dihiburkan dengan sedikit humor yang berjaya menarik perhatian aku untuk kekal menonton sehingga akhir walaupun adakalanya fikiran aku sedikit terawang-awangan dek kerana beberapa babak 'kesunyian' yang wujud dalam filem ini.

Babak Permulaan Filem KIL

Filem KIL berkisar tentang cubaan Akil untuk membunuh diri bagi menghilangkan segala perasaan negatif atau sedih di dalam diri namun dia tidak mampu untuk melakukannya keseorangan. Pelbagai cara dilakukan seperti pada babak awal filem ini dimana Akil cuba membunuh diri di dalam kereta dengan menyambungkan salur asar kenderaan masuk ke dalam kereta namun akhirnya dia berputus asa dan keluar daripada kenderaan dengan keadaan yang lemah. Akil juga cuba membunuh diri dengan cuba untuk terjun dari atas bangunan yang tinggi namun kakinya kaku untuk turut sama mengikut fikirannya yang terpesong itu.

Salah Satu Babak Yang Menarik Perhatian Aku

Namun satu babak menarik dimana Akil cuba menyelamatkan seorang remaja perempuan yang memakai baju sekolah lakonan Juliana Evans yang juga cuba membunuh diri dengan terjun dari atas bangunan kerana kecewa akibat putus cinta amat menarik perhatian untuk dikupas. Akil menyelamat dan menasihatkan gadis tersebut bahawa membunuh diri untuk seorang lelaki berwajah jongos adalah sia-sia kerana si gadis masih muda, cantik dan banyak lagi jejaka di luar sana yang lebih kacak boleh dicari. Aku setuju dengan kata-kata Akil yang juga sebenarnya merupakan sindiran kepada ramai remaja di luar sana yang mengambil jalan bodoh iaitu membunuh diri kerana putus cinta. Ironinya disini ialah Akil juga cuba membunuh diri tetapi atas sebab apa? Adakah membunuh diri untuk masalah-masalah yang dialami oleh Akil ini sebenarnya tidak sia-sia seperti masalah yang dihadapi oleh gadis tadi? Itu yang membuatkan aku terasa filem ini menarik untuk dihayati.

Akil Seorang Manusia Yang Terlampau Sunyi Kehidupannya...

Akil juga sebenarnya tidak gemar bersosial jika dilihat kepada hidup dan juga pengakuannya sendiri yang tidak mempunyai kawan. Akibatnya, Akil tiada sesiapa untuk dia berkongsi segala suka,duka, masalah atau pun untuk bermanja menyebabkan kadang-kadang Akil mengalami halunisasi. Melalui beberapa babak di pejabat tempat Akil bekerja, maka kita boleh lihat Akil lebih suka memencilkan diri dan kebanyakkan rakan-rakan sekerja jarang atau kekok untuk berkomunikasi dengan Akil dan ini dibantu oleh satu babak melibatkan Akil dan bos tempat kerjanya dimana bos Akil cuba menasihati dia agar bergaul dengan rakan-rakan sekerja.

Salah Satu Adegan Di Dalam Filem KIL

Aku tidak mahu memberita apa punca sebenar Akil mahu membunuh diri di dalam ulasan ini namun satu masalah Akil yang aku lihat ialah dia tiada sesiapa di sekitarnya untuk dia berkongsi masalah dan akibat rasa bersalahnya terhadap kejadian masa lampau maka dia mengambil keputusan untuk mengupah syarikat Life Action Bureau(LAB) untuk menamatkan riwayatnya. Namun, kemunculan Zara selepas itu sememangnya merubah pemikiran Akil dan kedatangan Zara di dalam hidupnya menyebabkan Akil merasakan jiwanya tidak lagi kosong. Dia sudah ada tempat untuk dia mencurahkan segala suka duka kehidupannya. Dia boleh menonton wayang mahu pun makan malam dengan ditemani Zara. Senang cakap Akil sudah merasakan yang dia sudah ada seseorang yang mampu untuk menggantikan segala-gala yang dia pernah hilang sebelum ini. Namun, akibat tindakan bodoh Akil yang mengupah syarikat LAB untuk membunuhnya gara-gara terlalu mengikut perasaan dan sememangnya ia sudah terlambat untuk Akil berpatah balik. Itulah satu perkara yang menarik di dalam filem ini mengenai berharganya sebuah kehidupan yang dimiliki oleh semua orang namun tidak semua yang menyedari perihal tersebut.

Adakah Karakter Zara Ialah Seorang Wanita Psiko?

Ada beberapa watak serta adegan yang pasti akan berjaya mengelirukan anda sewaktu anda cuba untuk meneka apakah yang akan terjadi dan apakah kesudahan kisah filem ini. Mungkin tema filem ini yang mengupas mengenai kisah membunuh diri agak berat dan baru bagi kebanyakkan penonton tempatan namun di akhir penceritaan maka anda akan lihat apa sebenarnya mesej yang cuba disampaikan dan mungkin juga anda akan bersetuju dengan pendapat aku bahawa kehidupan serta nyawa yang diberi kepada kita ini adalah sesuatu yang perlu disyukuri serta dihargai sepanjang masa. Penyelesaian kepada setiap masalah terutama masalah yang sukar atau serius bukannya hanya dengan jalan pintas iaitu membunuh diri kerana membunuh diri langsung tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menambah masalah kepada orang-orang yang rapat dan ada hubung kait dengan diri sesiapa yang membunuh diri tersebut.

Ella Muncul Sebagai Cameo Di Dalam Filem Kil

Sinematografi filem ini amat menarik dan jika dilihat kepada pengambaran filem ini yang hanya berlangsung selama 11 hari maka mungkin anda seperti tidak percaya melihat hasilnya boleh menjadi sebaik itu. Lakonan Redza Minhat juga semakin matang jika dilihat pada penampilan awalnya di dalam filem Pisau Cukur manakala lakonan pendatang baru Christina Suzanne yang bakatnya dicungkil melalui program Pilih Kasih juga bolehlah dianggap membanggakan. Walaupun masih ada beberapa kelemahan terutama daripada lakonan pelakon-pelakon tambahan yang sedikit lemah serta mungkin filem ini adakalanya sedikit 'draggy' namun bagi aku filem KIL masih sebuah filem yang menarik untuk anda tonton dan semoga anda gembira dengan filem ini. Cuma ia mungkin lebih baik jika versi asalnya dikekalkan. Tahniah kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan filem KIL. Disebabkan sudah sekian lama tidak mencoretkan sebarang ulasan di sini maka aku terasa sedikit kekok! Hahaha. Sekian!

P/S : Teringat Satu Babak Di Dalam Filem KIL Dimana Akil Dan Zara Sedang Menonton Filem Di Pawagam Coliseum Dan Zara Mengatakan Ramai Betul Orang Yang Menonton! Aku Memandang Sekeliling Dan Memang Jumlah Penonton Di Dalam Panggung Lebih Kurang Sama Sahaja Dengan Jumlah Penonton Di Dalam Filem. Hahaha!