20/10/18

Review Filem Badhaai Ho


Filem:
Badhaai Ho

Pengarah:
Amit Sharma

Genre:
Komedi & Keluarga

Pelakon:
Ayushmann Khurrana, Sanya Malhotra, Gajraj Rao, Neena Gupta,
Sheeba Chaddha, Surekha Sikri, Rahul Tewari, Vimi Mehta & Etc.

Penilaian:
9/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Nakul yang merupakan anak sulung daripada dua adik beradik dalam keluarga Kaushik. Dia tinggal di New Delhi dengan nenek, ibu bapa dan adiknya. Apabila dia mendapat tahu daripada bapanya, Jeetender Kaushik bahawa ibunya, Priyamvada Kaushik hamil pada peringkat pertengahan umur, dia mula berasa malu tentang berita tersebut kerana risaukan pandangan jiran-jiran, rakan-rakan dan yang paling penting kekasihnya, Renee. Hubungan ahli keluarga Kaushik mula berantakan disebabkan ejekan oleh orang sekeliling. Selain Nakul, adik lelakinya Gullar juga berasa tertekan untuk menerima dan menghadapi buah mulut orang ramai serta rakan-rakannya di sekolah. Jadi, pada awalnya Jeetender Kaushik cuba memujuk Priyamvada untuk melakukan pengguguran namun Priyamvada bertegas mahu menjaga kandungannya sehingga dilahirkan dengan selamat. Ibu Renee pula tidak dapat menerima hal tersebut dan meminta Renee untuk memutuskan hubungan dengan Nakul. Apakah seterusnya yang akan terjadi? Saksikan filem komedi yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda.

Ulasan Hans:

Selepas kehebatan filem Andhadhun, Ayushmann Khurrana sekali lagi bijak dalam memilih naskah yang bagus untuk melonjakkan lagi namanya bagi dikenali peminat-peminat filem Bollywood di seluruh dunia. Kali ini, pelakon ini tampil di dalam filem Badhaai Ho yang merupakan sebuah filem yang berani membawakan persoalan serta topik berat berkaitan hak pasangan suami isteri atau ibu bapa yang telah tua untuk bercinta dan melakukan hubungan seks tetapi disampaikan dengan gaya yang santai dan komedi.



Salah satu keistimewaan yang dimiliki oleh kebanyakan masyarakat Asia ialah elemen kejiranan dan sikap mengambil tahu serta menyebarkan semua perkara sama ada positif atau negatif. Disini penonton akan ditunjukkan tentang latar kawasan perumahan keluarga Kaushiks yang tinggal di kawasan koloni Lodhi yang merupakan kawasan tempat tinggal pegawai kerajaan dari kategori kelas pertengahan yang terletak di Delhi. Jadi, setiap apa yang berlaku terhadap sesuatu keluarga sangat mudah didengar oleh rumah sebelah dan begitu pantas berita disebarkan melalui balkoni atau tingkap rumah yang bersebelahan antara satu sama lain yang secara tidak langsung membantu filem ini menyuarakan topik berat ini dengan lebih berkesan lagi.


Aku sukakan filem ini kerana hal ini sememangnya wujud dan boleh dilihat sendiri di dalam masyarakat kita. Wanita berkahwin yang melahirkan anak pada peringkat usia 20 tahun sehingga 30 tahun akan dikatakan sebagai rezeki. Pada peringkat usia 40 tahun, ada yang melabelkan kelahiran anak di usia ini agak bahaya dan sedikit memalukan tetapi masih boleh diterima. Tetapi, jika peringkat umur wanita tersebut sudah melebihi 50 tahun ke atas dimana anak-anaknya pula sudah berusia 20 tahun atau lebih dan sesuai untuk berkahwin maka pasti hal ini akan dikatakan sebagai memalukan, menyeramkan dan boleh menggugat hubungan antara ahli keluarga terutamanya anak-anak. Anak-anak ini dikatakan berasa sangat malu dengan 'usaha' ibu bapa mereka di waktu tua dan ditambah pula dengan kritikan dan sindiran daripada orang ramai. Selain itu, isu ini juga menyentuh tentang kepercayaan mitos ramai pihak yang mengaitkan kelahiran bayi di usia yang tua menyebabkan masalah kesihatan, nyawa si ibu serta juga memberi impak kepada tahap kewangan keluarga sedangkan jika kita melihat kepada Islam sendiri, setiap kelahiran memberi rezeki dan membawa hikmah kepada pasangan dan keluarga mereka. Jadi, persoalan-persoalan yang disampaikan di dalam filem ini bagi aku menarik kerana ia adalah fakta dan isi yang jelas dan bijak disampaikan secara humor serta dipersembahkan dengan cukup baik oleh pelakon-pelakonnya.



Filem Badhaai Ho ini bagi aku mempunyai sifat serampang dua mata. Teks filem ini menunjukkan bagaimana penerimaan orang muda terhadap hubungan seks ibu bapa mereka yang tua. Subteks filem ini pula sebenarnya untuk menunjukkan ibu bapa kita juga adalah manusia tidak kira berapa tua sekali pun umur mereka dan mereka punya hak untuk bercinta, melakukan seks dan berhibur. Kita dapat lihat filem ini sebenarnya bukan sahaja dekat dengan masyarakat India tetapi juga masyarakat Melayu dimana subjek seperti seks dan hal romantik jarang dibual atau dibincangkan dengan secara terbuka. Kalau ada pun ia pasti di dalam situasi yang masing-masing kurang selesa, berasa malu atau terasa janggal. Menarik melihat bagaimana babak awal yang menunjukkan situasi penerimaan awal Nakul, Gullar dan nenek mereka sewaktu mendapat berita tentang kehamilan Priyamvada. Hebat disini ialah bagaimana caranya babak ini menyampaikan cara ibu bapa ini memberitahu berita tersebut dalam keadaan yang lucu dan sangat lari daripada babak-babak klise atau stereotaip. Uniknya juga apabila ditunjukkan tentang sikap watak-wataknya yang pelbagai di dalam penerimaan hal ini. Anak-anak yang diwakili Nakul dan Gullar mewakili orang muda yang berpegang kepada amalan tradisi sukar untuk menerima kenyataan ini. Lain pula dengan Renee yang mewakili anak muda moden dan boleh bertoleransi di dalam hal ini. Lebih unik apabila melihat kepada watak generasi tua yang diwakili oleh watak Nenek yang masih boleh memahami dan lebih rasional dengan penggunaan bahan-bahan seperti kondom dan sebagainya tetapi berbeza dengan watak wanita pertengahan umur yang diwakili oleh ibu Renee yang boleh menerima anak muda minum minuman keras di usia yang sangat muda tetapi tidak mampu menerima pasangan pertengahan usia yang mengandung. Ciri-ciri kepelbagaian yang ada pada setiap karakter wataknya ini sebenarnya yang menjadikan filem ini sangat rasional dan menarik.


Skrip filem ini berjaya diterjemahkan ke layar dengan teliti dan kemas. Walaupun permasalahan utamanya hanya satu iaitu penerimaan ahli keluarga dan orang luar terhadap pasangan ibu bapa yang sudah tua bakal mempunyai cahaya tetapi filem ini berjaya menggunakan skop yang terhad ini untuk menjadikan filem ini sesuatu yang luar biasa. Filem ini juga berjaya mengangkat pelakon Gajraj Rao dan Neena Gupta sebagai bintang sebenar filem ini melalui momen-momen romantis pasangan ibu bapa pertengahan usia yang sangat indah melalui komedi yang melucukan. Filem Badhaai Ho ini juga diserikan lagi dengan lagu-lagu yang mempunyai lirik dan irama yang sangat sesuai di dalam membantu perjalanan cerita dan menjadikan filem ini sempurna. Paling menghiburkan apabila filem ini turut menjadikan lagu-lagu romantis terkenal di era 80-an dan 90-an sebagai selingan lagu latar belakang untuk babak-babak yang bersesuaian dengan jalan cerita dan berjaya menawan hati penonton untuk bergelak ketawa menyaksikan filem ini.


Aku cukup suka dengan satu babak yang melibatkan Neena dan Nakul dimana Neena mempersoalkan tindakan Nakul yang malu apabila mengetahui ibu bapanya masih melakukan seks dan paling tragis baginya apabila dia bakal menerima adik baru di usianya yang sudah 20-an. Satu dialog Neena yang sememangnya padu apabila dia berkata kepada Nakul, "Apa yang awak harapkan dalam perkahwinan kita nanti apabila usia awak dan saya sudah masuk 30 tahun? 40 tahun? 50 tahun? Jaga anak? Fikirkan hal anak? Tiada hak untuk seks? Tidak boleh bercinta seperti ini?" Aku merasakan ini antara persoalan yang sangat menarik dan bijak dibangkitkan dalam gaya penceritaan humor dimana percintaan dan keghairahan sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan had umur. Menariknya apabila ada satu babak di dalam filem ini yang sangat hebat dimana ia menyatakan kritikan dan sindiran yang pedas kepada kaum lelaki terutamanya dimana, "Anda selalu memikirkan seorang ibu sebagai seorang dewi sehinggakan anda terlupa dan berhenti memikirkan bahawa dia juga adalah seorang isteri dan juga seorang wanita!" Frasa ayat ini sangat bijak di dalam menyatakan subjek filem ini ialah mengenai keperluan dan keinginan ibu bapa yang sepatutnya tidak perlu dipersoalkan oleh sesiapa pun yang bergelar manusia.


Walaupun bermain dengan topik yang nakal dan berani, namun filem ini berjaya disampaikan dengan cara yang ringan, kreatif dan pastinya menghiburkan melalui watak-watak pelakonnya yang hebat dan versatil. Bintang di dalam filem ini semestinya pelakon Neena Gupta sebagai Priyamvada yang sememangnya bijak bermain dengan emosi, reaksi wajah dan gerak tubuh yang sangat membantu menjadikan babak-babak melibatkannya sampai tepat ke hati penonton. Kehebatan watak Neena ini disokong hebat oleh Gajraj Rao yang memegang watak sebagai suaminya yang mana mempunyai aura komedi yang melucukan walaupun pada babak-babak di mana dia langsung tidak melontarkan sebarang dialog. Filem ini diperkuatkan lagi dengan watak Nenek yang dipegang oleh Sureka Sikri yang berjaya mempersembahkan karakter Nenek itu dengan begitu nyata sekali sama ada dari segi nada suara, lontaran suara, pergerakan tubuh dan juga emosi. Serius watak Nenek ini memang superb! Seterusnya ialah pelakon Ayushmann Khurrana yang memegang watak sebagai Nakul dimana bijak menjayakan karakter ini melalui pelbagai ekspresi yang memberi warna dan menghidupkan wataknya sebagai anak, abang dan kekasih.


Banyak babak-babak yang menarik, lucu dan bakal mengusik emosi anda apabila menonton filem Badhaai Ho ini. Apa yang pasti, anda bukan sahaja akan ketawa besar tetapi juga boleh menitiskan air mata sewaktu berada di dalam panggung wayang nanti. Antaranya babak-babak menarik ialah :

1. Babak lucu yang menunjukkan sikap kedekut Jeetender Kaushik yang tidak mahu memberikan wang upah dan menggantikannya dengan mangga. Kelakarnya mangga yang diberi pula ialah mangga yang paling teruk kondisinya.

2. Babak lucu Jeetender Kaushik memberitahu ibunya yang sedang tidur tentang kehamilan isterinya.

3. Babak lucu Jeetender Kaushik memberitahu anak-anaknya tentang kehamilan ibu mereka.

4. Babak sedih ibu Jeetender Kaushik membela Priyamvada Kaushik daripada terus-terusan diperli oleh ipar duainya.

5. Babak beremosi apabila Nakul membela keluarganya daripada kutukan ibu Renee.

6. Babak sedih sewaktu pertemuan semula Priyamvada dan Nakul di dalam keadaan yang positif.

7. Babak lucu Nakul menemani Priyamvada untuk pemeriksaan kandungan di klinik.

8. Paling penting babak akhir filem ini dimana dialog terakhir yang diungkapkan oleh nenek Nakul yang merupakan ibu kepada Jeetender Kaushik sememangnya berjaya membuat panggung riuh dengan gelak ketawa besar penonton.

9. Banyak lagi babak-babak menarik dan lucu yang datangnya daripada bahasa tubuh dan reaksi wajah pelakon-pelakonnya, Serius memang filem ini terbaik!


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Badhaai Ho pada bulan Oktober ini:

1) Sebuah filem Bollywood yang bukan sahaja berani mengangkat isu berkaitan hubungan seks di kalangan pasangan suami isteri pertengahan usia atau lanjut usia tetapi berjaya menyampaikan isu tersebut dalam gaya santai, komedi dan kreatif.

2) Sebuah filem yang sebenarnya membawakan isu yang berat tetapi anda sebagai penonton dapat menerima, memahami dan menyukai gaya penceritaan filem ini yang sangat positif dan bijak. 

3) Anda pasti jatuh hati dengan lakonan pelakon-pelakon veteran di dalam filem ini yang bukan sahaja hebat sewaktu mengungkapkan dialog pecah perut tetapi mampu memberi impak yang sama walaupun di dalam babak yang hanya menampilkan wajah dan gerak tubuh sahaja. Kehebatan otai-otai ini memang mengagumkan. Mereka lah bintang sebenar di dalam filem ini.  

4) Anda akan terhibur dengan lagu-lagu baru filem ini yang mempunyai lirik menarik dan kena dengan jalan cerita. Irama setiap lagu juga sangat sedap, merdu dan kena dengan situasi setiap babak-babak yang berkaitan. Bonus untuk anda ialah selingan lagu latar belakang daripada lagu-lagu filem lama yang menjadi siulan ibu bapa kita pada zaman mereka.

5) Filem komedi Bollywood paling cemerlang dan berjaya untuk tahun 2018 pasti kepunyaan filem Badhaai Ho ini. Percayalah! 



Filem ini wajar dipuji kerana tema yang diangkatnya. Walaupun isu ini bukan terlalu asing di kalangan kita tetapi sebenarnya ia sangat rumit untuk diterjemahkan secara santai dan komedi sebagai sebuah karya filem kerana sensitiviti masyarakat yang masih tetap taboo dalam hal-hal sebegini. Namun, filem Badhaai Ho ini berjaya dipersembahkan dengan cara yang sihat, menghiburkan dan bersahaja walaupun subjek yang ditekankan adalah serius. Paling penting, filem ini berjaya membuktikan isu serius berjaya ditangani dengan cukup baik melalui cara komedi dan berjaya mengekalkan tumpuan anda tanpa menghilangkan nilai hiburannya daripada awal sehingga ke akhir cerita. Jadi, selamat menonton filem Badhaai Ho di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Namaste England Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 



4 ulasan:

  1. Aku dah bukak entry ni tgh mlm tadi.

    Tengok rating 9/10, terus tutup balik sebab awal2 lagi aku mmg dah booking tayangan utk hari Ahad (esok)..

    BalasPadam
    Balasan
    1. selamat menonton dan semoga terhibur :)

      Padam
    2. Aku bagi 7/10 kot..

      Cerita dia best, mudah hadam, pace cerita pun agak laju, ada babak2 yg kelakar wpun pd aku personally kelakar dia bukan tahap pecah panggung - kelakar byk pd reaksi, eye contact & dialog nenek dia sikit2..

      Part sedih pun ada, tentang menghargai family sndiri. Anak protect mak ayah, emak protect menantu. Kasih syg tu digambarkan dgn baik..

      Cuma, entah ler..aku rasa mcm ada missing puzzle. Ibaratnya macam makan nasik, sedap. Nak tambah lagi tapi dah habis.

      Ah, kira kau faham sudah la..hahaha

      Padam
    3. owh..biasalah tu
      masing-masing ada pendapat kan.
      apa-apapun memang best

      Padam