24/10/18

Review Filem Hunter Killer


Filem:
Hunter Killer

Pengarah:
Donovan Marsh

Genre:
Aksi & Penggembaraan

Pelakon:
Gerard Butler, Gary Oldman, Common, Linda Cardellini, Toby Stephens,
Zane Holtz, Michael Gor, Michael Nyqvist, Alexander Diachenko, & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Joe Glass yang diberi mandat untuk menjadi kapten kapal selam untuk misi mencari sebuah kapal selam milik Amerika Syarikat yang hilang daripada radar selepas berada di perairan Rusia. Mengikut siasatan, pihak AS percaya hal ini terjadi kerana kapal selam mereka diserang oleh tentera laut Rusia. Namun, penemuan Joe Glass menemui satu rahsia baru apabila serangan tersebut bukan sahaja menyerang kapal selam AS tetapi juga kapal selam Rusia sendiri. Akhirnya, Joe mendapati terdapat satu cubaan rampasan kuasa yang sedang dilakukan oleh menteri pertahanan Rusia yang cuba berpaling tadah dan dalam masa yang sama turut menculik Presiden Rusia sendiri tanpa pengetahuan kerajaan Rusia. Joe akhirnya perlu bekerjasama bukan sahaja dengan pasukan U.S. Navy Seals untuk menyelamatkan presiden Rusia yang telah diculik tetapi juga perlu bekerjasama dengan tentera laut Rusia sendiri yang diselamatkan oleh pasukannya. Adakah tentera laut Rusia sanggup bekerjasama dengan Joe Glass dan pasukannya? Mampukah pasukan U.S Navi Seals menyelamatkan presiden Rusia di kawasan kubu terkuat tentera Rusia? Saksikan filem yang sarat dengan debaran dan aksi menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah, terlebih dahulu aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak One World Alliance Film dan The Vocket kerana memilih aku sebagai pemenang tiket untuk tayangan perdana filem Hunter Killer yang berlangsung dengan kemeriahan ratusan manusia yang bersemangat datang menonton filem ini di GSC Pavillion pada malam 23 Oktober 2018. Melihat Gerard Butler sebagai pemain utama yang sebelum ini begitu dikenali di dalam beberapa filem seperti Den of Thieves, Geostorm, London Has Fallen, Gamer dan sebagainya memberi satu tarikan istimewa untuk aku menonton filem ini.


Selain itu, filem ini juga menjadi tarikan para kaki wayang yang menantikan Gerard Butler bergandingan dengan Gary Oldman yang merupakan pemenang anugerah Oscar bagi kategori pelakon terbaik pada tahun 2017 melalui filem Darkest Hour. Selain itu juga, filem ini turut diserikan lagi dengan penampilan daripada beberapa pelakon yang membintangi filem-filem kesukaan ramai seperti pelakon Common yang terlibat di dalam filem John Wick: Chapter 2, Linda Cardellini di dalam filem Avengers: Age of Ultron serta Toby Stephens di dalam filem Die Another Day. Lebih menjadikan filem ini filem yang ditunggu-tunggu kemunculannya di pawagam kerana ia diterbitkan oleh penerbit filem yang sebelum ini berjaya dengan filem-filem seperti Fast & Furious, Olympus Has Fallen dan London Has Fallen. Jadi, apakah keistimewaan yang ditawarkan oleh filem Hunter Killer ini buat para penonton di luar sana?


Filem-filem aksi ketenteraan terutama yang datang daripada bumi Hollywood ini selalunya tergolong di dalam kategori maha klise dimana plot ceritanya boleh diteka dengan mudah iaitu menunjukkan bagaimana wira-wira Amerika Syarikat akan diangkat dan dijulang kerana kejayaan menyelamatkan Presiden mereka daripada kes-kes penculikan, pembunuhan dan sebagainya oleh musuh-musuh atau pengganas yang menentang Amerika Syarikat. Namun, filem Hunter Killer nampaknya kali ini berjaya lari daripada kisah klise sebegitu. Plot ceritanya bertukar 360 darjah dimana wira Amerika bukan lagi menyelamatkan pemimpin utama negara mereka tetapi kali ini wira-wira ini menyelamatkan pemimpin sebuah negara yang merupakan musuh nombor satu Amerika Syarikat iaitu Rusia atas alasan dan objektif untuk menyelamatkan dunia daripada tercetusnya malapetaka besar iaitu perang dunia ketiga. Wah! Satu lagi propaganda baru yang bijak di dalam mengangkat imej dan maruah tentera Amerika Syarikat untuk dipandang mulia dan disayangi oleh masyarakat seluruh dunia apabila melihat kisah yang diwujudkan di dalam filem ini.


Filem ini sebenarnya membawa dua senario yang berasingan dimana penonton dipertontonkan dengan perjalanan dua misi yang berbeza untuk menyelesaikan satu masalah yang sama. Misi pertama dilakukan oleh pasukan kapal selam yang diketuai oleh Kapten Joe Glass yang pastinya dilakukan di bawah lautan manakala misi kedua pula berlangsung di darat yang dilakukan oleh pasukan US Navy Seals untuk menyelamatkan Presiden Rusia daripada kubu kuat tentera Rusia sebelum diserahkan kepada pasukan Joe Glass. Tetapi, aku melihat plot cerita untuk kedua-dua misi ini tidak bersatu dengan baik dimana babak pasukan US Navy Seals walaupun tidak sebanyak babak yang diberikan kepada Kapten Joe Glass dan anak-anak kapalnya, tetapi mereka secara tidak sengaja berjaya mencuri tumpuan penonton melalui babak aksi serta elemen setiakawan yang dipaparkan. Bahasa mudahnya ialah kemunculan dan aksi pasukan US Navy Seals ini telah menenggelamkan kehebatan babak kapal selam yang mendominasi kebanyakan naratif filem ini dan mencuri kemasyhuran yang sepatutnya menjadi milik Joe Glass.


Bukannya bermaksud babak di dalam kapal selam itu tidak menarik tetapi rasa itu datang sedikit lambat. Penonton terpaksa menunggu agak lama sebelum munculnya babak yang menemukan kapten kapal selam Rusia iaitu Kapten Sergei Andropov dengan Kapten Joe Glass dimana Kapten Sergei Andropov secara tidak sengaja terpaksa menyertai misi itu  demi keamanan sejagat. Ia kelihatan seperti satu pendidikan khas yang wajib buat penonton Amerika dan Rusia untuk belajar tentang kepentingan bekerjasama dalam mengekalkan keamanan walaupun versinya lebih ke arah gencatan senjata. Kelakarnya disini ialah ia berlaku melalui hubungan mata yang menyampaikan pelbagai emosi serta bantuan isyarat tangan yang memberi seribu persoalan tentang keikhlasan atau keterpaksaan yang membuatkan babak ini kelihatan lucu.


Babak-babak di bawah lautan tidak dinafikan berjaya dipaparkan di dalam keadaan realistik sebaik mungkin walaupun sesekali ia kelihatan seperti penonton sedang melihat satu permainan video peperangan. Namun, babak-babak klimaks filem ini sebenarnya banyak membantu penonton untuk lebih yakin dengan tema yang dipaparkan melalui poster filem ini dimana sentuhan terhadap babak-babak di dalam kapal selam yang kacau bilau saat dihentam gelombang letupan torpedo berjaya memberi visual kesan sebenar yang membuatkan suasana di dalamnya kelihatan hidup dan nyata. Di bahagian inilah filem ini nampak kembali menuju landasan cahaya kebenaran apabila setiap visual yang ditunjukkan seperti percikan air yang datang daripada paip yang pecah, barang-barang yang terjatuh di dalam air serta goncangan kapal yang membuatkan anak-anak kapal selam Amerika Syarikat lintang pukang itu betul-betul membantu anda sebagai penonton untuk menghayati filem ini dengan lebih baik.


Filem ini bukanlah sebuah filem aksi yang terbaik dan bukannya bermaksud filem ini tidak bernilai. Cuma perkembangan watak-watak, plot cerita serta dialog yang wujud di dalam filem ini lebih terarah kepada kebiasaan yang sering kita tonton. Dengan erti kata lain, filem ini kelihatan seperti sebuah rutin yang wajib bagi sebuah filem aksi ketenteraan. Lebih untuk difahami, konsepnya sama seperti anda menonton Gerak Khas dimana situasinya lebih terarah kepada "Yes Bos!", "Saya tahu Tuan!" dan yang seumpama dengannya. Jadi, dari satu sudut, hal ini seolah-olah merentap sedikit keseronokan sewaktu menonton filem ini.


Beberapa pelakon berjaya memberi impak postif kepada filem ini melalui watak yang dibawakan mereka. Antaranya ialah Toby Stephens, Michael Nyqvist dan Michael Gor. Manakala pelakon utamanya Gerard Butler pula yang memegang watak Kapten Joe Glass pula kelihatan sedikit sukar untuk mengekalkan momentum karakter yang dipegangnya seperti mana yang dilakukan oleh pelakon Michael Nyqvist sebagai Kapten Andropov. Manakala kemunculan Gary Oldman pula seperti tiada makna di dalam filem ini walaupun dia merupakan pemenang Oscar. Karakter wataknya tidak berjaya ditonjolkan secara maksimum disebabkan kemunculannya yang terhad di dalam filem ini. Sedikit merugikan disitu namun filem ini masih menarik dan berbaloi untuk ditonton.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Hunter Killer pada bulan Oktober ini:

1) Sebuah filem yang sarat dengan elemen aksi dan debaran yang pastinya membuatkan anda teruja menantikan kesudahan filem ini. Babak-babak aksinya memang menarik dan berjaya dipaparkan secara realisitik di tahap yang terbaik.

2) Kisah kejayaan wira Amerika di dalam filem ini diangkat melalui plot cerita yang berbeza daripada filem-filem yang seangkatan dengannya pada tahun-tahun terbelakang. Berjaya mengurangkan budaya 'Angkat Bakul Sendiri' dengan menggunakan taktik psikologi untuk membuatkan penonton berasa kagum dan menyukai 'kasih sayang' yang diamalkan oleh pihak Amerika Syarikat. 

3) Plot cerita yang mudah dan bergerak dengan momentum menaik yang sekata membuatkan anda mudah untuk mengikuti dan memahami kisah yang disampaikan di dalamfilem ini.


Jadi, selamat menonton filem Hunter Killer di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Alhamdulillah Para Pemenang Bertuah Yang Memenangi Tiket Filem Hunter Killer Selepas Menyertai Peraduan Mudah Anjuran Blog Rollo De Pelicula Di Facebook Menyukai Dan Memberi Komen Positif Terhadap Filem Ini. Tak Sia-Sia Datang Ke GSC Pavillion Kan?

P/S : Jangan Lupa Sertai Peraduan Seterusnya Di Facebook Rollo De Pelicula Untuk Menang Tiket Filem Kung Fu League Pula :)



6 ulasan:

  1. menarik jgk... entah bila lah dpt menonton agaknya nih

    BalasPadam
  2. Aku confuse la..

    Macam mana Glass boleh jumpa Kapten Russia tu, padahal masa tu bukan ke dia pegi ke kapal selam US yg kena torpedo tu?

    Ke masa tu dia memang pegi ke kapal selam Russia?

    Either aku lost focus, or aku terlepas pandang..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Awal2 filem ni..mula2 kapal selam rusia kena serang...lepas tu baru kapal selam us yg follow belakang kena serang.

      So glass mula2 jumpa kapal us tp semua mati

      2nd time baru team diorang jumpa kapal rusia pula...itu yg boleh jumpa kapten rusia tu

      Padam
    2. Ooo patut ler..aku igtkn Tampa Bay yg kena serang dulu dgn submarine yg bawah ais tu..tu yg aku confuse mana dtg Capt Russia..

      Tampa Bay tu patutnya kalau dh xleh menyelam, naik darat. Jadi tukun..

      Padam