8/10/18

Review Filem Kalla - Hidup Atau Mati


Filem:
Kalla - Hidup Atau Mati

Penilaian:
5 / 10

Pengarah:
Alan Smithee 

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Faizal Hussein, Farali Khan, Vanida Imran, Azhan Rani, Zaidi Omar, Riz Amin & Etc

Tarikh Tayangan:
11 Oktober 2018

Pengedar:
Empire Films Solution

Sinopsis:

Filem ini berkisarkan tentang seorang pensyarah Sejarah iaitu Dr. Ezahar yang sudah berkahwin dengan Serina dan hidup mereka berdua begitu bahagia sehingga terjadinya satu insiden serangan kumpulan pengganas bernama Kalla yang telah mengebom bangunan tempat Serina bekerja. Disebabkan insiden tersebut, Serina telah terkorban dan menyebabkan Dr. Ezahar berasa sedih dan tertekan. Namun, apa yang mengejutkan ialah Dr. Ezahar mendapat berita bahawa isterinya masih hidup melalui anggota Kalla yang menyerang dia di dalam rumahnya. Kini misi Dr Ezahar adalah untuk mencari dimana isterinya berada dengan dibantu oleh seorang bekas anggota Kalla bernama Uyun. Namun, pencarian isterinya menemui pelbagai halangan dan penemuan Dr Ezahar selepas itu amat mengejutkan. Apakah sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah aku berkesempatan menghadiri tayangan perdana filem tempatan terbaru iaitu Kalla - Hidup Atau Mati yang akan menemui penonton di Malaysia, Brunei dan Singapura pada 11 Oktober 2018 ini di pawagam-pawagam seluruh Malaysia. Pada mulanya aku sedikit hairan kerana menyangkakan filem ini merupakan filem Rajinikanth kerana tajuk filemnya sememangnya sama cuma ejaannya sahaja yang berlainan. Melihat kepada barisan pelakonnya yang hebat-hebat pasti akan membuatkan peminat filem tempatan teruja untuk melihat kredibiliti Faizal Hussein, Azhan Rani dan Vanida Imran beraksi di dalam filem ini.



Filem Kalla ini bagi aku memberi sesuatu pembaharuan yang agak bagus dari segi jalan cerita filem tempatan apabila mengangkat kisah sejarah tentang kekayaan kerajaan Empayar Melaka pada abad ke-15 untuk dimasukkan ke dalam plot ceritanya. Memandangkan aku cukup sukakan tentang sejarah Melaka yang mempunyai pelbagai versi dan misteri, maka ia berjaya menarik perhatian aku untuk menonton perjalanan filem ini sehingga akhir. Ia berkenaan harta empayar Melaka itu sendiri yang sebenarnya masih tidak ditemui sehingga kini. Sedikit perkongsian sejarah berkenaan empayar Melaka yang dapat aku kongsikan disini melalui hasil bacaan ialah hampir 66 peratus harta kekayaan empayar Melaka dipercayai masih tersimpan di sekitar Melaka namun sehingga kini masih belum ditemui. Dikhabarkan juga sepanjang penjajahan Portugis terhadap Melaka, mereka hanya hanya menjumpai dan memperoleh sekitar 33 peratus sahaja hasil kekayaan bumi Melaka itu sendiri. Jadi, bagi aku ini antara subjek yang menarik untuk diketengahkan di dalam sebuah filem aksi seperti ini.



Lebih menarik apabila filem ini berjaya menggabungkan kisah sejarah lama dengan kisah terkini yang menghantui banyak negara-negara maju di dunia iaitu berkenaan isu serangan pengganas. Ini secara tidak langsung menjadikan filem ini tersenarai di dalam kategori filem yang berani berhadapan dengan risiko besar dengan keluar daripada zon selamat dan menyertai filem-filem tempatan yang lain seperti Dukun, Pulang dan Paskal kerana menjual kisah yang berlainan melalui filem Kalla - Hidup Atau Mati ini. Filem ini menampilkan babak-babak aksi yang agak menarik. Tempo atau pacing filem ini juga bergerak lancar dan selesa untuk ditonton. Dalam masa yang sama, unsur humor secara sederhana juga bijak diselitkan di dalam filem ini oleh pihak produksi bagi memberi pelbagai warna kepada filem Kalla - Hidup Atau Mati ini.   




Menyentuh tentang jalan cerita, filem ini bagi aku mempunyai jalan cerita yang menarik serta plot twist yang agak menarik pada awal filem. Namun, aku masih merasakan filem ini mempunyai plot hole iaitu kelompongan cerita yang agak ketara dan boleh dipersoalkan seperti mana kita menonton filem Munafik 2. Sebagai contoh, watak Sherina yang merupakan isteri Dr Ezahar telah dibuktikan mati apabila rambut dan cincin perkahwinannya ditemui di sebalik satu mayat  yang telah disahkan sebagai Sherina. Namun, apabila diketahui Sherina masih hidup maka ini menimbulkan persoalan besar bagaimana rambut dan cincin tersebut boleh berada disitu kerana ditunjukkan Sherina terus beredar daripada lokasi sebelum berlakunya serangan pengganas yang memusnahkan dan meruntuhkan bangunan tersebut. Tiada babak yang ditunjukkan untuk mewajarkan hal ini. Kelompongan kedua pula ialah apakah bukti atau petunjuk yang membuatkan kumpulan pengganas percaya bahawa Sherina masih hidup sedangkan suaminya sendiri mengalami sedih dan tekanan yang berpanjangan gara-gara tidak dapat menerima kematian Sherina. Kelompongan ketiga ialah pemberian skrol sejarah lama Melaka oleh Pak Manok kepada Dr Ezahar dimana aku merasakan babak itu tidak diperkembangkan dengan sewajarnya yang seolah-olah bukan sahaja memaksa watak Dr Ezahar itu untuk menerima dan mempercayainya bulat-bulat tetapi bagaikan turut memaksa penonton untuk menerima tanpa menyoal. Kelompongan cerita yang terakhir ialah filem ini tidak memberitahu penonton apakah punca utama yang menyebabkan dalang sebenar di dalam filem ini terlibat di dalam jenayah pengganas ini yang pasti membuatkan anda tertanya-tanya,"Kenapa kau nak jadi jahat? Kenapa kau buat benda nih? Apa motif kau?" Itu antara kelompongan cerita di dalam filem ini yang boleh aku kongsikan buat masa ini. 



Tidak dapat disangkal lagi, kekuatan filem Kalla - Hidup Atau Mati ini datangnya daripada persembahan lakonan para pelakonnya yang mempunyai kredibiliti dan tahap yang tersendiri. Faizal Hussein sangat berjaya menghidupkan watak Dr Ezahar yang berpewatakan skema, tidak pandai berlawan dan manusia yang berasa keliru dengan situasi yang dihadapi dengan begitu baik sekali. Azhan Rani seperti biasa berjaya tampil dengan lakonan bersahaja yang sangat berkualiti tetapi pada masa yang sama mampu menjentik hati penonton dengan humor yang sederhana. Vanida Imrah juga tidak kurang hebatnya kerana berjaya tampil dengan dua perwatakan yang berbeza sebagai seoang isteri yang manja dan juga sebagai manusia yang terperangkap antara kasih sayang dan pengorbanan. Namun apa yang mengejutkan aku ialah lakonan Farali Khan yang berbahasa Indonesia agak cemerlang kerana aku hampir percaya dia merupakan pelakon dari Indonesia tetapi rupa-rupanya tidak. Disebabkan pihak produksi mengetahui kebolehannya berbahasa Indonesia dengan baik maka Farali diberi tanggungjawab untuk mengubah skrip yang diperolehnya di dalam bahasa Melayu kepada bahasa Indonesia untuk filem ini. Lakonan pelakon-pelakon lain seperti Riz Amin, Haeryanto Hassan dan lain-lain juga bagi aku sangat cemerlang walaupun ada sesetengah pelakon yang keluar cuma dalam dua babak sahaja untuk filem ini.



Namun, aku melihat filem ini kekurangan dari segi establish shot yang menggambarkan lokasi atau keindahan sesuatu kawasan yang dipaparkan. Sebagai contoh untuk memudahkan kefahaman anda yang membaca, kita lihat kepada filem tempatan sebelum ini iaitu Paskal The Movie. Apabila ditunjukkan lokasi di Angola maka kita diperlihatkan sebuah bukit yang kontang dan berpasir. Apabila ditunjukkan lokasi di Sabah maka kita dipertontonkan dengan keindahan Pasar Filipino. Tetapi, filem Kalla gagal mengambil peluang mengaplikasikan hal ini menggunakan visual-visual cantik yang sememangnya mudah diperoleh di negeri Melaka untuk digunakan di dalam filem ini. Berkenaan extreme wide shot pula, aku perasan ada dua shot ini di dalam filem Kalla tetapi yang aku paling suka ialah sewaktu babak kejar mengejar antara Dr Ezahar dan Inspektor Haris yang seakan-akan babak di dalam filem Mission Impossible dimana penggunaan drone berjaya mendapatkan visual subjek yang sedang mengejar dan dikelelilingi oleh kubah masjid serta bahagian atas bumbung yang sememangnya membuatkan aku kagum dengan hasilnya yang sangat cantik. Sayangnya filem ini tidak mengikut jejak filem Korea yang selalunya banyak menggunakan shot sebegini di dalam filem mereka. Jika dibanyakkan lagi visual sebegitu di dalam filem Kalla: Hidup Atau Mati ini pasti akan menjadikan sinematografi filem ini berada di kelas yang tersendiri.




Antara babak-babak yang menarik perhatian di dalam filem ini yang boleh dikongsikan kepada anda semua ialah:

1) Babak-babak aksi berlawan, kejar mengejar serta tembak menembak yang boleh dikatakan menarik, tidak membosankan dan masih mempunyai elemen Malaysia. Maksud aku disini ialah anda tidak berasa babak-babak aksi tersebut seperti anda menonton filem Hongkong atau India. Paling aku puas hati ialah filem ini berjaya mengekalkan perwatakan Dr Ezahar yang tidak tahu berlawan daripada awal sehingga kepada pertengahan filem. Cuma dihujung-hujung filem tiba-tiba Dr Ezahar menjadi sedikit kuat dan hebat cuma masih boleh diterima secara positif.  

2) Babak-babak yang mengandungi elemen humor selalunya datang apabila munculnya Inspektor Haris dan dua orang bawahannya. Paling menarik pada satu dialog yang diungkapkan berkaitan dengan permainan pingpong. Anda kena saksikan sendiri untuk memahami apa yang aku maksudkan.

3) Babak akhir filem ini yang menunjukkan pertembungan antara Dr Ezahar dan Inspektor Haris juga agak menarik bagi aku kerana terdapat sedikit plot twist yang memacu filem ini kepada penamat yang boleh diterima logik akal



Walau bagaimanapun, filem Kalla - Hidup Atau Mati ini juga mempunyai beberapa kelemahan yang dapat dilihat daripada beberapa sudut pandang seperti :


1) Kekurangan dari segi kesan CGI yang dilihat agak lemah terutama sewaktu babak runtuhan bangunan yang dibom pengganas serta kenderaan bomba yang datang ke tempat kejadian. Namun, secara peribadi aku melihat babak itu tidak lah terlampau teruk dan tidak kelihatan terlalu animasi sangat cuma aku masih membayangkan jika runtuhan bangunan itu betul-betul kelihatan lebih realitik pasti akan membuatkan aku lebih teruja. Mungkin kerana kekangan kos untuk menghasilkan CGI yang lebih padu. Namun, babak-babak selepas runtuhan menampilkan kesan visual dan CGI yang lebih baik dan agak meyakinkan.

2) Seperti yang dinyatakan tadi, jalan cerita ini mempunyai beberapa kelompongan atau plot hole yang bakal membuatkan penonton tertanya-tanya tetapi naratif filem ini masih boleh diterima dan ditonton kerana konti setiap babak dijaga dengan baik dan kemas.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Kalla - Hidup Atau Mati pada bulan Oktober ini:

1) Lakonan pelakon-pelakon legend yang cukup hebat seperti Faizal Hussein, Azhan Rani dan Vanida Imran yang pasti membuatkan anda puas hati menonton filem ini.

2) Jalan ceritanya dipenuhi dengan aksi yang menarik, cemas dan diselangi dengan elemen humor yang membuatkan anda selesa dan segar menonton filem ini daripada awal sehingga ke penamat ceritanya.

3) Filem yang berjaya menampilkan sebuah jalan cerita serta plot yang berlainan daripada kebiasaan filem-filem tipikal tempatan.

4) Sokonglah filem ini jika anda mahukan sekual keduanya kerana penerbitnya memberitahu jika filem ini mendapat sambutan menggalakan seperti mana filem-filem tempatan yang lain maka akan ada sambungannya dan yang pasti lebih hebat daripada filem yang pertama. 


Terima kasih kepada produksi filem ini yang sudi mengadakan tayangan perdana di GSC Signature Mid Valley tempoh hari serta sudi berkongsi gambar-gambar di sebalik tabir melalui email kepada blog filem ini. Jadi, marilah kita beramai-ramai memberikan sokongan kepada filem Kalla - Hidup Atau Mati dengan menonton filem ini di pawagam berdekatan anda pada 11 Oktober 2018 ini. Selamat menonton dan jangan lupa kongsikan komen dan pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Harap-Harap Ada Jemputan Untuk Menyaksikan Filem Polis Evo 2 dan Gol & Gincu Vol 2 Selepas Ini :) 



6 ulasan:

  1. akak mati2 ingat filem ni sama lakonan rajnikan hehehhe....
    rupanya filem malaysia yek....
    tinginnya tgk, akak mmg peminat faizal hussin ngn azhar rani, selalunya lakonan mereka kt drama atau filem mmg best la

    BalasPadam
  2. xterasa nak tgok filem ni.. =p

    BalasPadam
  3. baca sinopsis macam nak p tengok. kadang, cerita ni, kalau cantik macam pulang, memang best layan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe...
      cubalah tonton...
      tetapi Pulang punya storyline so far best lagi

      Padam