5/10/18

Review Filem Venom


Filem:
Venom

Pengarah:
Ruben Fleischer

Genre:
Aksi, Seram & Fiksyen

Pelakon (Suara):
Tom Hardy, Michelle Williams, Riz Ahmed, Marcella Bragio,
Woody Harrelson, Jenny Slate, Mac Brandt, Ron Cephas Jones & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang wartawan bernama Eddie Brock yang suka mengkaji dan membongkarkan pelbagai isu yang panas dan sensasi. Pada suatu hari, Eddie ditugaskan untuk menemuramah Carlton Drake berkenaan projek sains terbarunya. Namun, Eddie menemui satu bukti yang memberikan maklumat yang cukup luar biasa tentang satu kajian rahsia yang sedang dilakukan oleh Carlton Drake. Eddie berjaya menyusup masuk ke makmal rahsia Carlton Drake dan disinilah dia telah diserang oleh satu organisma daripada angkasa lepas yang dinamakan Drake sebagai Symbiote yang mempunyai kelebihan bersatu dengan tubuh manusia dan menjadikan manusia bertambah kebal dan hebat. Symbiote yang menyerang Eddie itu dikenali sebagai Venom dan kini menjadikan Eddie sebagai rumah tumpangannya. Eddie pula terpaksa mengawal Venom daripada terus melakukan kerosakan dan kejahatan. Namun, apa yang lebih menakutkan satu lagi Symbiote bernama Riot yang paling berkuasa telah terlepas dan meresap masuk ke dalam tubuh Carlton Drake. Mampukah Eddie dan Venom menyelamatkan dunia daripada kerosakan yang dibuat oleh Carlton Drake dan Riot. Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku berkesempatan menonton filem Venom di TGV Cinemas The Mines pada 4 Oktober 2018. Sebelum ini filem ini dikecohkan dengan pelbagai ulasan buruk dan dikatakan ulasan ini direka-reka oleh sesetengah pihak serta peminat Lady Gaga untuk menjatuhkan filem ini dan menaikkan filem lakonan Lady Gaga. Memandangkan filem yang ada hubung kait dengan Marvel Studios selalunya jarang mengecewakan jadi seperti biasa aku memang akan pergi tonton tanpa mempedulikan kata-kata orang lain. Tengok sendiri baru boleh nilaikan sendiri.


Permulaan filem ini agak menarik buat rakyat Malaysia kerana lokasi pertama yang menjadi tempat Venom ini muncul ialah di Sibu, Sarawak. Lebih menarik kerana bahasa Malaysia turut sama berkumandang di dalam filem Venom ini pada peringkat awal cerita. Memandangkan ini filem Marvel yang pastinya ditonton ramai di seluruh dunia maka bagi aku wajar untuk berasa gembira kerana publisiti besar seperti ini akan membuatkan lebih ramai lagi yang akan mengenali Malaysia berbanding Singapura. Menyentuh tentang makhluk asing iaitu Venom ini, sememangnya kita boleh lihat plot cerita berkaitan makhluk asing ini selalunya tidak lah serumit mana dan boleh dikatakan lebih kepada kitar semula dan menjadikannya lebih baik daripada sebelumnya. Biasalah selalunya plot untuk filem-filem sebegini sememangnya mudah diramal seperti contohnya makhluk asing datang ke bumi sama ada melalui UFO, terhempas atau tersesat. Misi untuk menakhluk bumi dan kemudian berlawan sesama mereka sendiri. Jadi, dari segi itu sememangnya tiada apa-apa sangat yang luar biasa. 


Tempo filem Venom ini bergerak tidak konsisten tetapi masih berada di tahap yang bersesuaian dengan jalan cerita. Pada permulaannya, pergerakan filem ini sedikit perlahan kerana memberi ruang kepada watak Eddie, Carlton Drake dan Symbiote Venom untuk berkembang. Cuma pada pandangan aku, pengenalan dan perjalanan Symbiote Venom ini adakala sedikit meleret kerana terlalu banyak sangat menunjukkan pertukaran antara Venom dengan manusia lain sebelum bertemu Eddie. Adakalanya nampak menarik dan adakalanya sedikit membosankan dari sudut tersebut.


Bagi aku filem ini agak menarik apabila dilihat kepada sisi lakonan pelakon-pelakon utamanya iaitu Tom Hardy dan Riz Ahmed. Karakter Eddie Brock ini sebenarnya penuh warna. Bermula sebagai seorang wartawan yang sangat berani dan bersemangat di dalam tugasnya membongkarkan kebenaran. Selepas itu ditunjukkan pula bagaimana Tom Hardy berjaya menyampaikan rasa putus asa dan kecewa di dalam hidup saat hilang segala-galanya. Paling menarik apabila dia dapat membuatkan penonton percaya tentang ketakutan dan kekeliruan jiwa dan fikirannya saat jasad Eddie dan Venom sudah bersatu. Riz Ahmed pula sebagai pemegang watak antagonis juga bagi aku sangat berjaya kerana watak ini sememangnya kejam dan dipertontonkan terang-terangan tetapi ia bijak disembunyikan dengan wajahnya yang naif dibantu dengan susuk tubuh Asia yang dimilikinya itu. Memang lakonan watak-watak utamanya sangat membantu menghidupkan filem Venom ini.


Filem anti hero ini sememangnya mengikut acuan filem-filem Marvel yang lain. Jika anda mengharapkan filem ini menampilkan kisah dark horror maka boleh lupakan saja kerana ia meneruskan kesinambungan memasukkan elemen komedi yang berjaya menarik ramai penonton untuk menyukai naskhah filem yang melibatkan syarikat tersebut. Tetapi, babak aksinya memang menarik perhatian penonton untuk merasai debaran terutamanya babak kejar mengejar yang melibatkan Eddie yang masih keliru dengan kuasa baru yang dimilikinya serta pasukan Carlton Drake yang sememangnya kejam. Pasti babak ini akan menaikkan adrenalin anda semasa menontonnya nanti.


Jadi, terdapat beberapa kelemahan filem ini mengikut pandangan amatur aku yang boleh aku kongsikan disini :

1) Kesan khas CGI yang melibatkan Symbiote dan Venom yang sudah berada di dalam badan Eddie tidak konsisten dari segi kualitinya. Adakala nampak menarik dan realistik. Tetapi, sesetengahnya pula kurang jelas dan nampak agak animasi sedikit. 

2) Asal usul Venom yang memang tidak diketahui daripada mana. Apa yang penonton hanya tahu ialah ianya diambil daripada angkasa lepas. Jika hal ini diterangkan lebih sedikit dan menggantikannya dengan babak Venom bertukar badan dengan ramai manusia pasti akan lebih menarik. 

3) Tidak dinafikan elemen humor membantu filem menjadi lebih menarik dan santai tetapi aku yakin jika filem ini tampil sepenuhnya dengan elemen aksi dark horror pasti akan menjadikan filem ini lebih unik dan menarik.


Jadi, aku tidak mahu menulis terlampau panjang kerana filem Venom ini masih menarik dan berbaloi untuk ditonton. Jadi, aku senaraikan disini beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Venom :

1) Filem anti hero yang menampilkan jalan cerita yang agak menarik dan segar. 

2) Tom Hardy memberikan kualiti terbaik di dalam wataknya sebagai Eddie dan Venom.

3) Anda tidak akan terasa lama berada di dalam pangung wayang kerana hampir keseluruhan filem ini mampu menghiburkan anda yang menonton dengan pelbagai elemen aksi dan komedi yang menarik.


Secara keseluruhan bagi aku filem Venom ialah sebuah filem yang boleh diagak kesudahannya. Cuma yang menarik untuk aku apabila melihat bagaimana pertentangan sikap dan tindakan Eddie dan Venom ini mampu membuatkan mereka berdua hidup secara simbiosis dan mencorakkan jalan cerita filem ini. Jadi, selamat menonton dan semoga kalian juga terhibur dengan filem Venom ini. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Berkenaan Filem Bollywood Terbaru Iaitu Sui Dhaaga Pula Akan Hadir Di Dalam Blog Ini. Serius Filem Tersebut Sangat Menarik Dan Sedikit Lain Berbanding Filem Bollywood Seangkatan Dengannya. Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Masa Terdekat! 



6 ulasan:

  1. jadi tak best bila banyak kena potong plus cerita dia agak lain dengan komik asal

    BalasPadam
    Balasan
    1. owh sebab tak baca komik dia
      lagi pun ini sebab dah ada kerjasama dengan marvel
      jadi, memang lain daripada komik

      Padam
  2. Ada yg aku agak confuse or maybe aku terlepas pandang..

    Ada 1 symbiote terlepas, which is Riot..
    Ada 3 symbiote bawak balik ke Life Foundations..
    1 is Venom..
    The other 2? Kalau xsilap sekor mati lepas yg Dr ppuan tu mati..
    Yg sekor lagi? Mati dgn arnab ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. yang sekor tu tak pasti...sebab banyak sangat orang yang diujikajinya
      padahal ada 3 jer symbiote dalam makmal tu...hahaha

      Padam
  3. yg terlepas tu rasa bkn riot..yg trlpas tu Carnage. yg kluar dr saintis tu br riot. filem ni kna cut 30-40min kot. of cos la jalan crita terencat skit

    BalasPadam
    Balasan
    1. entah...jumlah simbyote dia pun meragukan..haha

      Padam