18/08/18

Review Filem Hantu Kak Limah


Filem:
Hantu Kak Limah

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Mamat Khalid 

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Awie, Delimawati, Rab Khalid, TJ Isa,Sharwani,
Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim,
Ziema Din, Erra Fazira, Jue Aziz, DS Vida, Imuda & Etc 

Tarikh Tayangan:
8 Ogos 2018

Terbitan:
Infinitues Gold & Astro Shaw

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Husin yang kini sudah menetap di Kampung Pisang dan kini bekerja di kilang arang bersama rakan-rakan baiknya iaitu Yeh Sekupang, Wani dan Khuda. Ditakdirkan Khuda berkahwin dengan Kak Limah dan hidup bahagia namun satu kejadian misteri berlaku apabila Kak Limah telah ditemui mati dengan keadaan yang cukup menakutkan. Bermula daripada hari dimana mayat Kak Limah ditemui, seluruh penduduk Kampung Pisang mula diganggu oleh kelibat hantu Kak Limah. Jadi, Yeh Sekupang membawa Husin dan rakan-rakan yang lain untuk meminta bantuan kepada Encik Solihin yang merupakan seorang guru silat dan dikatakan mempunyai kemahiran menghalau hantu untuk menghentikan gangguan hantu Kak Limah. Pelbagai insiden lucu dan seram mula berlaku terhadap penduduk Kampung Pisang sepanjang mereka cuba menyelesaikan misteri kematian dan gangguan hantu Kak Limah ini. Untuk mengetahui punca sebenar gangguan hantu Kak Limah, jangan lupa saksikan filem yang sangat menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda.

Ulasan:

Filem Hantu Kak Limah sememangnya merupakan antara filem yang amat aku nanti-nantikan sejak aku tahu tentang kewujudan judul filem ini pada bulan Disember 2017 yang lepas. Sebelum ini aku berkesempatan menonton promosi filem ini di youtube dalam durasi lebih kurang 15 minit yang berakhir dengan babab Yeh Sekupang di dalam bilik air sebelum akhirnya aku berpeluang menonton keseluruhan kisah filem ini di TGV The Mines pada 8 Ogos 2018. Secara peribadi, aku sukakan cara pihak produksi mempromosi filem ini melalui youtube kerana mereka bijak memilih babak di minit terakhir yang membuatkan aku semakin tertanya-tanya apa yang terjadi seterusnya dan tidak sabar-sabar untuk menonton.


Seperti mana yang semua sedia maklum jika kalian menonton di youtube secara percuma untuk 15 minit terawal filem ini, pasti anda semua sedar bahawa plot cerita filem ini sebenarnya ringkas sahaja tetapi filem ini menjadi kuat dan hebat kerana kelincahan dan kekuatan para pelakon yang terlibat di dalam filem. Rata-rata mereka tidak kira sama ada pelakon utamanya, pelakon pembantunya, pak pacak mahu pun cameo sekali pun memang berjaya memberi lakonan yang sangat baik dan menghidupkan watak masing-masing. Secara tidak langsung mata aku yang menonton rasa puas kerana aku memahami setiap watak yang berfungsi dengan betul dan berkesan.


Siapa sangka lirik lagu 'enjit-enjit semua, siapa sakit naik atas' yang merupakan lagu rakyat terkenal di kalangan kanak-kanak ini sekali lagi memberi fenomena kepada peminat filem-filem berlatar belakang Kampung Pisang ini. Selepas kejayaan filem-filem sebelum ini seperti Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin Mon Jin Pakai Toncit, kemunculan filem Hantu Kak Limah ini bukan sekadar berjaya menyampaikan gabungan dua elemen kesukaan penonton Malaysia iaitu seram dan komedi tetapi juga berjaya memperkenalkan watak-watak baru yang sangat menghiburkan pada naskhah kali ini seperti Yeh Sekupang, Wani dan banyak lagi.


Aku suka dengan watak serta perwatakan Kak Limah lakonan Delimawati dalam filem Hantu Kak Limah untuk naskhah terbaru ini. Kalau sebelum ini Hantu Kak Limah yang bukan hantu pun sebenarnya dipaparkan di dalam keadaan lawak yang biasa-biasa sahaja. Namun, kali ini ia berlainan kerana watak ini tampil dalam keadaan kejahatan yang berjaya memberi debaran tetapi dalam masa yang sama masih berjaya mengekalkan identiti hantu Kak Limah sebelum ini yang sentiasa dalam keadaan selamba. Boleh dilihat pada babak Kak Limah mengganas di rumah Yeh Sekupang tetapi dalam masa yang sama keadaan seram itu masih mampu menghiburkan penonton dengan gaya berdiri dan pergerakan tangannya yang melucukan. Sama juga keadaannya sewaktu hantu Kak Limah mengganggu Nayan di klinik kesihatan dengan mematikan sumber bekalan elektrik. Boleh dilihat juga babak dimana hantu Kak Limah bersama dengan barisan pelakon utama yang sama-sama mencari kelibat dirinya di rumah Khuda.


Bagi aku, ada dua orang pelakon di dalam filem ini yang sangat berjaya memberi impak terhadap filem Hantu Kak Limah. Kedua-dua ini berjaya membantu memberi nilai tambah kepada unsur humor yang bukannya sedikit sepanjang filem ini bercerita kepada penonton. Salah seorang pelakon tersebut ialah Ropie yang memegang watak Nayan dimana dia sememangnya layak diberi pujian. Lakonan, dialog, mimik muka serta nada suara Ropie yang sangat bersahaja pasti akan buat penonton ketawa tanpa henti sepanjang kemunculan dia di dalam filem ini.


Pelakon kedua yang sangat memberi kesan di dalam filem ini ialah pelakon Rab Khalid yang memegang watak sebagai Yeh Sekupang di dalam filem ini. Pekat dengan loghat utaranya, tidak lekang dengan rokok panjang di mulutnya serta kelihatan dialognya seperti dalam keadaan spontan sememangnya membuatkan aku ketawa berdekah-dekah kerana unsur komedi yang datang daripada dia memang kena dengan selera tontonan aku. Sayangnya, bakat lakonannya hanya dapat ditonton sampai disini sahajab kerana Allahyarham telah pun meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Januari 2018 yang lepas. Al Fatihah untuk Allahyarham!


Menyentuh berkenaan kemunculan pelakon Zul Ariffin yang kali ini lari seratus peratus daripada forte dia yang lebih dikenali penonton dengan watak-watak romantik dan macho. Kali ini dia berjaya tampil dengan lakonan yang cukup lucu dan sangat selenga. Aku pada mulanya agak was-was adakah Zul Arifin ini akan memberikan lakonan yang akhirnya tergolong di dalam kategori syok sendiri tetapi sangkaan aku meleset kerana dia berjaya menyampaikan mesej lucu wataknya itu melalui dialog serta mimik mukanya yang mengenakan celak mata di dalam filem ini.



Tidak termasuk lagi dengan watak-watak Cameo yang walaupun muncul sekejap tetapi berjaya menggamatkan panggung dengan jayanya seperti kemunculan Erra Fazira, DS Vida, Mus May dan Imuda. Nak tahu kenapa panggung boleh jadi gamat? Itu kalian semua kena tonton sendiri di pawagam. Hehehe!



Salah satu perkara yang aku suka di dalam filem Mamat Khalid ialah kritikan sosial beliau terhadap masyarakat tempatan yang disampaikan secara bersahaja di dalam filem ini. Kritikan terhadap soal halal haram rezeki melalui dialog mesin kuda dan kedai vape yang disampaikan oleh watak Yeh Sekupang. Kritikan terhadap orang Melayu dari sudut perniagaan yang walaupun bukan semua tetapi masih ramai yang nak cepat kaya berbanding memberikan servis yang terbaik yang disampaikan melalui watak Nayan. Kritikan terhadap kebergantungan manusia kepada manusia sedangkan sepatutnya bergantung dan meminta kepada Allah yang disampaikan oleh watak Encik Solehin. Banyak lagi sebenarnya kritikan yang jika ditonton pasti anda akan perasan semua ini. 


Ada babak di dalam filem ini yang di ambil daripada filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu babak hantu jepun di dalam filem berjudul Pendekar Bujang Lapuk. Memandangkan filem P.Ramlee tersebut telah aku tonton beratus kali atau mungkin ribuan kali, jadi aku tidak merasakan babak itu memberi kekuatan kepada filem ini. Tetapi, menurut Mamat Khalid pula, dia hanya sekadar mahu memberi tribute kepada seniman hebat negara. Jadi, terserah kerana filem ini ialah karya dia. Cuma bagi aku kalau tak ada pun tak apa.



Biasalah kalau filem Mamat Khalid, salah satu elemen yang aku suka ialah dialog-dialognya yang memang lucu kalau dengar sepintas lalu tetapi sebenarnya membawa makna yang tersirat. Dialog serampang dua mata yang sememangnya merupakan kekuatan dan kelebihan di dalam mana-mana naskhah Mamat Khalid. Melalui watak yang dilakonkan Sabri Yunus dan Rab Khalid, aku dapat lihat dialog yang disampaikan sebenarnya memberi fokus kepada dunia politik yang bukan sahaja dituju kepada yang di atas tetapi sebenarnya kepada seluruh peringkat. Tak kiralah dari kampung, tempat kerja dan sebagainya sebenarnya isu-isu yang ditunjukkan itu memang sentiasa berlaku seperti peralihan kuasa ketua, jasa-jasa yang disumbangkan, melobi untuk kepentingan diri sendiri dan banyak lagi.



Salah satu sebab lain kenapa aku nak sangat puji filem Hantu Kak Limah ini ialah walaupun filem ini mempertaruhkan elemen komedi sebagai kekuatan utama namun elemen seramnya juga tidak diambil ringan kerana setiap aspek dalam mana-mana babak-babak seram yang dipertontonkan sentiasa menitik beratkan sinematografi, kesan bunyi serta pergerakan kamera yang sangat baik dan membantu menambah rasa seram tersebut.



Kesimpulannya, aku setuju filem Hantu Kak Limah ini perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia untuk ditonton di pawagam kerana lima sebab yang aku senaraikan di bawah :

1) Jalan ceritanya mudah difahami tetapi dialog-dialognya bukannya dialog bodoh yang tidak bermakna apa-apa. Jika dilihat dan difikirkan, setiap dialog itu mempunyai maksud tersirat yang sebenarnya berjaya menyindir sikap rakyat Malaysia sendiri daripada pelbagai sudut seperti kehidupan, budaya, sikap, politik, kepercayaan karut serta agama jika diamati betul-betul.

2) Gabungan komedi dan seram yang sangat menjadi dan berkesan kerana berjaya disampaikan dengan cukup baik oleh pelakon-pelakonnya. Kau boleh ketawa berdekah-dekah dan dalam masa yang sama juga kau akan rasa cuak. Hahaha!

3) Lakonan pelakon-pelakonnya memang hebat. Hebat yang dimaksudkan disini kerana hampir kesemua pelakonnya sama ada yang terkenal mahu pun popular sehinggalah yang kita tak pernah kenal atau tahu kewujudan mereka berjaya menyerlahkan watak masing-masing dan secara tak langsung menguatkan jalan cerita filem ini daripada awal hingga akhir .

4) Sinematografi filem ini menarik. Kesan bunyinya pun berpada-pada dan tidak sesekali memaksa penonton untuk cuba takut. Solekan hantu kak limah pun kali ini berjaya menimbulkan rasa seram kepada yang menonton.

5) Filem ini pasti tidak akan mengecewakan anda dan aku yakin anda tak akan bosan untuk menonton buat kali kedua mahu pun kali ketiga selepas ini kerana watak-watak di dalam filem ini memang sumpah kelakar dan poyo habis. Boleh dicakapkan dalam semua filem yang berkaitan dengan Kak Limah, filem Hantu Kak Limah ini adalah yang paling terbaik sekali antara semua!

P/S : Aku Masih Tak Boleh Move On Dengan Dialog Allahyarham Rab Khalid Berkenaan Stim. Serius Terhibur Betul Dengan Filem Hantu Kak Limah Nih :)



31/07/18

Review Filem Pulang


Filem:
Pulang

Penilaian:
8 / 10

Pengarah:
Kabir Bhatia 

Genre:
Biografi, Drama & Sejarah

Pelakon:
Remy Ishak, Puteri Aishah Sulaiman, Alvin Wong, Sherry Al Jeffry,
Azrel Ismail, Erwin Dawson, Juliana Evans, Jalaluddin Hassan, Aida Khalida & Etc 

Tarikh Tayangan:
26 Julai 2018

Terbitan:
Primeworks Studios

Sinopsis:

Filem ini diinspirasikan daripada kisah sebenar yang berlaku di Malaysia pada tahun 40-an. Filem ini menceritakan mengenai pasangan suami isteri iaitu Othman dan Thom. Othman yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan di Serkam telah membuat keputusan untuk berlayar ke seluruh dunia dengan harapan dapat menjadi kaya dan dapat mengubah nasib keluarganya yang hidup dalam kesempitan. Othman berjanji kepada isterinya yang dia pasti akan pulang. Namun, setelah 61 tahun berlalu, Thom masih menunggu kepulangan Othman. Adakah Othman berjaya menunaikan janjinya pulang semula bertemu dengan Thom? Saksikan filem hebat ini di pawagam berdekatan anda.

Ulasan:

Alhamdulillah. Filem Pulang yang ditayangkan tepat pada tarikh hari lahir aku sememangnya merupakan sebuah filem yang amat aku nanti-nantikan sejak Disember tahun lepas. Tambahan pula apabila filem ini telah dicanang di dada media tentang kos keseluruhan pembikinan filem yang agak besar iaitu RM6 juta dimana RM2 juta daripada nilai tersebut sahaja telah diperuntukkan untuk hasil kesan khas imej janaan komputer (CGI) yang digunakan hampir 70 peratus di dalam filem ini.


Permulaan awal filem ini sahaja sudah berjaya memberikan satu wajah awal yang sangat positif untuk menangkap perhatian penonton dimana aku cukup suka bagaimana produksi filem ini yang sememangnya sebelum ini dikenali ramai melalui kekuatan sinematografi di dalam setiap filem-filem terbitan mereka berjaya memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menggunakannya sebagai medium bercerita kepada penonton. Bagi aku ini adalah antara salah satu kejayaan besar filem ini yang wajar dipuji dan dibanggakan.


Menyentuh berkenaan para pelakon yang membintangi filem ini, setiap pelakon yang membintangi filem Pulang perlu menghadiri sesi ujibakat terlebih dahulu dan kemudian menghadiri kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar selama dua bulan. Kehebatan Remy Ishak tidak perlu dipertikaikan lagi kerana bagi aku dia telah berjaya membawakan watak sebagai seorang lelaki melayu tradisional yang cuba mempertahankan akidahnya, berjaya menyampaikan ego seorang lelaki melayu dan dapat memberi gerak tubuh serta gaya bahasa seorang lelaki romantik versi lelaki melayu secara dalaman dengan begitu cantik sekali. Sekalung tahniah buat pelakon Remy Ishak kerana lakonan anda memang tidak mengecewakan.


Lakonan Puteri Aishah yang memegang watak sebagai Thom pula bagi aku tidak terlalu cemerlang tetapi bukan bererti lakonannya lemah. Ini kerana watak Thom itu sendiri sememangnya memerlukan penghayatan yang lebih secara dalamannya dan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk pelakon yang bagi aku masih baru lagi di dalam industri. Bagaimanapun, ada babak yang berjaya disampaikan emosinya dengan baik oleh Puteri Aishah dimana aku dapat rasa penderitaan dan kesunyian yang dialami oleh watak Thom yang telah lama ditinggalkan oleh suaminya. Secara keseluruhan, naskhah filem ini berjaya membantu Puteri Aishah membawa nama dan bakat lakonannya ke satu fasa yang lebih baik melalui watak berat yang dipegangnya ini.


Berbalik kepada momentum penceritaan di dalam filem ini, aku secara peribadi sangat kagum dengan perjalanan ceritanya yang pantas kerana aku sendiri tidak berminat dengan babak-babak meleret yang kerap kali dijumpai di dalam filem-filem Melayu. Walaupun filemnya bergerak pantas tetapi setiap mesej dan pengolahannya ceritanya bergerak seiring tanpa terpotong atau melompat disana sini. Bagi aku filem ini memang sangat berjaya di dalam menyampaikan penceritaannya dengan cara yang bijak.


Berkenaan teknik khas CGI yang digunakan pula, aku rasa babak yang memaparkan lokasi-lokasi seperti Hong Kong, Okinawa, Kepulauan Jeju dan beberapa negara yang dilawati agak kemas dan tiada sangat masalah untuk filem ini. Cuma kesan khas yang digunakan sewaktu berada di atas kapal dan kejadian kapal karam itu masih tersangat lemah. Masih kelihatan terlalu animasi tetapi mungkin ini menjadi penanda aras kepada pengeluar filem-filem seterusnya yang berhasrat untuk memaparkan lagi kisah kelasi-kelasi Malaysia untuk menambah baik lagi hasil penggunaan teknik khas CGI ini. Namun disebabkan penceritaan filem ini sangat kuat dan disampaikan dengan baik oleh barisan pelakonnya berjaya mengaburi serba sedikit kelemahan hasil kesan khas imej janaan komputer (CGI) tersebut.


Berkenaan susunan plot cerita filem Pulang ini, aku beranggapan ia agak menarik dan tersusun bermula daripada kisah pertemuan di pasar pagi, penjajahan Jepun ke atas Malaya sehingga ke zaman selepas merdeka. Penggunaan props untuk melambangkan latar setiap zaman yang dipaparkan juga bagi aku menarik, cantik dan menghidupkan suasana pada ketika itu. Babak sewaktu Othman dan 'Omar' melarikan diri daripada pihak tentera Jepun dan terpaksa bersembunyi di sebalik timbunan mayat adalah antara babak yang bagi aku cukup menggelikan tetapi itulah antara babak yang sebenarnya sangat menarik.


Tetapi, filem yang berjaya menambat hati pastilah filem yang mampu menipu ramalan awal aku atau pun pengakhiran yang diluar jangkaan. Apa yang menarik perhatian tentang filem ini ialah perubahan plot yang sedikit di luar jangkaan dan berjaya membuatkan aku sedikit tergamam serta sedih apabila memikirkan betapa deritanya kisah hidup kedua-dua watak utama di dalam filem ini. Serius apabila difikirkan balik betapa tragis dan kejamnya takdir yang menimpa kedua-dua watak utama ini. Kalau nak tahu apa yang aku maksudkan, kalian harus lah tonton sendiri filem ini di pawagam untuk mengetahui jawapan kepada persoalan yang aku tinggalkan ini.


Menyentuh berkenaan pelakon Sherry Al Jeffry yang memegang watak Thom yang telah pun tua, aku mengakui sangat sukakan kualiti suaranya yang sangat artistik, klasik dan ekslusif. Walaupun kadang-kadang terasa sedikit janggal dengan gaya bahasanya yang baku tetapi bagi aku itulah keindahan bahasa Melayu yang menjadikan keunikan terhadap filem ini.


Berbalik kepada sinematografi yang dipaparkan di dalam filem ini bukan sekadar untuk mencuci mata penonton dengan warna lautan yang cantik membiru hijau. Bukan juga untuk memberi kesan takjub dengan memaparkan pasir putih yang melandai di pantai. Tetapi, sinematografi filem ini berjaya bercerita dan menyampaikan emosi sedih, rindu, marah, kasih sayang dan pelbagai lagi yang menjadikan perjalanan cerita ini semakin menarik dan mencuri hati penonton. Paling aku suka babak yang melibatkan Omar memandang Othman dan Thom menari di malam bulan purnama serta babak Omar memandang cikgu sekolahnya bersama Thom yang membawa dua persepsi yang sangat berbeza dan berjaya disampaikan dengan begitu menarik sekali.



Aku tidak mahu bercerita lebih kerana aku yakin filem ini ada keistimewaan dan perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia untuk ditonton di pawagam kerana jika filem ini berjaya mencapai kutipan yang tinggi dan memberangsangkan maka pasti kita berpeluang untuk menonton filem-filem yang hebat dan lebih hebat seperti filem Pulang ini. Cuma aku senaraikan lima sebab disini kenapa anda wajib menonton filem Pulang :

1) Memberi fokus terhadap tema dan cerita yang masih baru di dalam dunia perfileman Malaysia iaitu berkenaan kelasi kapal tetapi filem ini digarap dengan cukup baik dan bukannya dibuat secara semberono.

2) Plot twist yang bijak dan sedikit diluar jangkaan pada pandangan aku kerana filem ini akan buat anda tertanya-tanya, sedikit geram dan mempersoalkan kembali tentang kata-kata serta janji yang dibuat bersama antara Othman, Thom dan Omar. Mungkin ada antara kalian yang akan menyumpah serta menggeleng kepala tetapi akhirnya menyesal dengan apa yang anda lakukan selepas melihat pelbagai kejutan plot yang dipaparkan mulai pertengahan filem Pulang ini lagi.

3) Berjaya memaparkan budaya masyarakat Melayu tradisi yang pemalu tetapi berani dimana dapat dilihat betapa beraninya Othman berjuang menjadi kelasi seorang diri dan betapa beraninya Thom mencari Omar di luar negara sedangkan ilmu pengetahuannya tentang dunia luar adalah sangat cetek.

4) Sinematografi filem ini sememangnya sangat cantik dan membantu penonton untuk lebih fokus terhadap setiap babak yang dipertontonkan.

5) Sebab filem Pulang ini adalah antara naskhah filem yang bagus dan berjaya ditayangkan pada tahun 2018. Sokonglah filem tempatan yang bagus dan In Sha Allah lebih banyak filem yang bagus yang dibuat dan ditayangkan untuk penonton Malaysia.

P/S : Angin Menderuuuu.......Aku Jatuh Hati Betul Dekat Suara Thom Versu Tua Tu! Mahal Betul Kualiti Suara Dia :)



15/07/18

Review FIlem Skyscraper


Filem:
Skyscraper

Pengarah & Penulis Skrip:
Rawson Marshall Turber

Genre:
Aksi, Jenayah, Drama

Pelakon:
Dwayne Johnson, Neve Campbell, Pablo Schreiber, Noah Taylor,
McKenna Roberts, Kevin Rankin, Rolland Moller & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Will Sawyer, seorang bekas ketua pasukan menyelamat tebusan FBI yang kini menjadi penilai keselamatan untuk sebuah bangunan pencakar langit yang tertinggi di dunia iaitu Skyscraper. Ketika tugasan di sana, dia telah diperangkap serta diperdaya oleh rakan lamanya atas kesalahan jenayah iaitu sabotaj serta menceroboh sistem keselamatan bangunan tersebut yang sedang terbakar yang sebenarnya tidak dilakukan oleh Will. Pada masa yang sama, keluarga Will sedang berada di bangunan Skyscraper dan terperangkap sewaktu kejadian tersebut. Kini, misi Will bukan sahaja untuk menyelamatkan dirinya daripada buruan pihak polis tetapi dalam masa yang sama perlu menyelamatkan keluarganya dan membersihkan namanya daripada tuduhan jenayah tersebut. Berjayakah Will menyelesaikan misinya? Saksikan filem yang penuh aksi ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan Hans:

The Rock atau nama sebenarnya Dwayne Johnson memang tidak asing lagi di dalam kalangan rakyat Malaysia. Mempunyai karisma serta nilai humor yang tersendiri sememangnya berjaya menarik perhatian ramai pihak untuk datang menonton setiap filem lakonan beliau. Namun, untuk filem Skyscraper ini, Dwayne telah berjaya lari daripada karakter yang membawakan sisi komedi kerana watak Will Sawyer ini berjaya mengembangkan lagi sisi lakonan beliau ke satu tahap yang lebih baik.

TUA-TUA PUN TETAP SADO JUGA THE ROCK NIH

Aku nampak karakter seorang bapa yang sangat menyayangi dan melindungi anak-anak serta isterinya yang telah dipaparkan sejak dari awal lagi filem ini bermula. Lakonannya berjaya membuatkan aku percaya yang Dwayne ialah Will Sawyer. Memang sangat berpuas hati dengan lakonan yang dipersembahkannya di dalam filem ini. Tidak kurang juga lakonan pelakon-pelakon yang lain yang sememangnya berjaya menjadikan filem ini penuh debaran dan dramatik.

KAGUM DAN TERUJA TENGOK ADEGAN PAKAI KAKI PALSU NIH

Dari segi grafik dan kesan khas yang terdapat di dalam filem ini, aku sangat kagum dengan babak Will Sawyer memakai kaki palsunya. Serius memang terbaik sebab anda akan nampak seolah-olah memang betul Dwayne Johnson merupakan seorang lelaki yang kudung sebelah kaki. Iini sangat membuatkan aku terpesona sebab aku gigih juga tengok mana tahu dia lipatkan kaki ke belakang macam segelintir peminta sedekah yang berlakon kaki kudung dekat Malaysia ini tetapi memang tak jumpa.

SERIUS CANTIK GILA BILA TIBA BABAK NIH! 

Bangunan Skyscraper itu sendiri yang memang sah 100 peratus menggunakan CGI lagilah sangat mengagumkan aku dengan reka bentuknya yang sangat unik di luar dan sangat cantik di dalam. Belum lagi dengan babak-babak kebakaran serta babak yang mendebarkan seperti melompat dari kren dan sebagainya yang cukup menarik. Untuk pengetahuan semua, filem Skyscraper ini memang sangat banyak menggunakan kesan khas CGI daripada peringkat awal hingga akhir tetapi yang membuatkan aku sukakan filem ini ialah kebanyakan kesan khas yang digunakan memang nampak betul-betul asli. Itu yang membuatkan aku sangat terhibur menonton filem Skyscraper ini. Untuk bab ini, aku akui ia sangat berbaloi buat sesiapa yang membeli tiket untuk menonton filem ini.

LAWA PULA SI HANNAH QUINLIVAN NIH
WALAUPAUN WATAK ANTAGONIS

Berkenaan jalan cerita pula, bagi aku biasa-biasa sahaja sebab daripada awal aku dah boleh meneka siapa yang jahat, siapa dalang kejahatan dan apa yang akan terjadi selepas itu. Kalau nak diikutkan secara logik, bagi aku Will Sawyer tu dah mati masa dia lompat ke bangunan Skyscraper daripada penghujung kren tu. Mengalahkan hero filem Tamil! Hahaha! Tetapi, nama pun filem aksi Hollywood, jadi layankan sahaja aksi-aksi maha luar biasa watak utama yang merupakan hero filem ini iaitu Dwayne Johnson. Senang cakap memang kalau kata benda ini terjadi di dunia nyata, semua manusia yang ada dalam bangunan Skyscraper tu pasti akan mati rentung tetapi bagusnya disini mereka dapat menyusun plot-plot cerita dengan cukup bagus, pantas dan tidak meleret langsung. Ini yang membuatkan aku langsung tidak terasa bosan menonton filem ini sehingga ke penghujung.

ADAKAH SALAH SEORANG DARIPADA MEREKA AKAN TERKORBAN?

Daripada segi mesej pula, apa yang aku nampak lebih kepada nilai kekeluargaan yang cuba disampaikan tetapi secara ringan sahaja. Selain daripada itu mungkin lebih kepada nilai moral manusia tetapi secara sepintas lalu. Ini kerana kekuatan utama filem ini datangnya daripada babak-babak aksi yang sangat menarik serta kesan khas CGI yang sangat memukau pada pandangan mata aku. Penggunaan muzik latar dan kesan bunyi di dalam filem ini juga bagi aku memang sesuai pada waktu ia digunakan dan berjaya membangkitkan rasa gelisah dan risau sewaktu menonton babak-babak yang mendebarkan.

AGAK-AGAK KORANG BANGUNAN SKYSCRAPER 
INI AKAN TERBAKAR SAHAJA ATAU RUNTUH?

Bagi aku filem ini masih berbaloi untuk ditonton kalau anda memang meminati filem bergenre aksi dan lagak ngeri seperti ini. Jadi, selamat menonton dan semoga anda terhibur dengan filem Skyscraper ini.

P/S : Review Filem Ant-Man And The Wasp Juga Masih Belum Ditulis Sebab Aku Rasa Tak Berapa Seronok Sangat Filem Tu! Setuju Tak? Hahaha!